+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Monday, June 30, 2008

Penduduk bantah pelan bandar raya 2020, musnah pendidikan Islam

Harakahdaily

Adnan Ibrahim

Mon | Jun 30, 08 | 12:20:24 pm MYT

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Hrkh) - Penduduk Kampung Padang Balang membantah draf pelan bandar raya Kuala Lumpur 2020 kerana tidak mengikut justifikasi tertentu terutama melebelkan kampung tersebut sebagai setinggan dan rumah usang serta terdapat motif menghancurkan pusat hafazan al-Quran, Darul Furqan.

Pengerusi Jawatankuasa Masjid Saidina Ali Kampung Padang Balang, Zainal Abdidn Maas mendakwa seolah-olah terdapat perancangan tertentu memusnahkan 100 peratus pusat pendidikan Islam di kampung tersebut dengan pembinaan stesen pertukaran transit aliran ringan (LRT) di situ.

"Mengikut pelan tersebut sekolah Darul Furqan habis lenyap kerana dibina stesen transit LRT Star yang pecah kepada tiga laluan lagi. Stesen di sini tidak masuk akal kerana jaraknya yang dekat tidak sampai satu kilometer terdapat tiga stesen LRT," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan penerangan berhubung pelan tersebut di majlis perjumpaan yang dihadiri hampir 500 orang penduduk Kampung Padang Balang di Masjid Saidina Ali di sini semalam.

Menurut beliau, penduduk juga mempertikaikan draf pelan itu yang menyatakan taraf penduduk Kampung Padang Balang sebagai setinggan dan rumah usang.

"Sedangkan kita ada geran tanah warna merah. Kita juga dibayar pampasan hanya RM7 sekaki persegi. Kalau ikut nilai semasa ada yang jual tidak kurang RM22 sekaki persegi," katanya.

Beliau mewakili jawatankuasa masjid bergabung dengan majlis bertindak penduduk bagi Kampung Padang Balang, Kampung Chubadak dan Kampung Puah dalam satu majlis permaufakatan.

Ketiga kampung tersebut bertaraf Tanah Rizab Melayu dan hanya di antara baki-baki tanah berstatus tersebut yang tinggal di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, kerana kerajaan tidak menganti balik rizab Melayu yang telah diambil mengikut keluasan yang sama.

Mengikut Akta Tanah, pihak berkuasa hendaklah mengganti semula dengan keluasan yang sama Tanah Rizab Melayu yang diambil supaya hak keistimewaan tanah tersebut tidak hilang.

Kampung tersebut dibuka sejak 1940-an lagi dan sudah sepatutnya diberi kelayakan dan setaraf Kampung Baru di Kuala Lumpur. Ia juga layak diisytihar kampung warisan, katanya.

Sepatutnya pembangunan melibatkan kampung tersebut mengambil kira pandangan penduduk yang telah lama menetap di situ. Sebaliknya draf pelan yang dibuat itu langsung tidak berbincang dengan penduduk kampung terlebih dahulu, sambungnya. - mns _

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |