+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Monday, June 30, 2008

Gani serah polis siasat 'konspirasi'

Berita Harian

Peguam Negara enggan komen tuduhan Anwar


KUALA LUMPUR: Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, menyerahkan kepada polis untuk menyiasat dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan terbabit dalam konspirasi politik bagi menjatuhkan bekas timbalan perdana menteri itu.

Abdul Gani berkata, beliau tidak mahu membuat sebarang komen terhadap dakwaan Anwar bahawa tuduhan liwat ke atasnya dilakukan sebagai tindak balas terhadap bukti diperolehnya berhubung salah laku dan rekaan bukti dalam kes terhadapnya pada 1998 dan 1999.

"Jika dia (Anwar) tuduh begitu, adalah tidak adil. Saya sendiri tidak tahu apa bukti yang dikatakannya itu, hanya Tuhan yang tahu. "Jika benar bukti itu ada, biar dia (Anwar) yang keluarkan.

"Saya tidak mahu komen, biar polis siasat, tidak ada orang yang ditangkap atau dipanggil begitu saja, semuanya kena diperiksa betul-betul, termasuk saksi dan laporan perubatan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Anwar dalam laman web mendakwa tuduhan liwat ke atasnya itu dilakukan pihak berkepentingan untuk menjatuhkan karier politiknya.

Bagaimanapun, Anwar menegaskan tuduhan terbaru liwat terhadapnya tidak akan menghalang beliau daripada mendedahkan bukti berkenaan (terhadap Musa dan Abdul Ghani) kepada orang ramai.

Jumaat lalu, pembantu khas Anwar berusia 23 tahun, membuat aduan polis mendakwa diliwat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu di sebuah kondominium di Bukit Damansara dekat sini, Khamis lalu.

Anwar bagaimanapun, menafikan laporan itu dan mendakwanya ia adalah rekaan semata-mata.

Dalam satu kenyataannya, Anwar percaya ia adalah ulangan daripada apa dilakukan terhadapnya pada 1998 dengan dakwaan sama dilemparkan terhadapnya secara paksaan.

Dakwanya, ia jelas adalah satu percubaan terdesak rejim Barisan Nasional (BN) untuk menyekat pergerakan rakyat Malaysia ke arah kebebasan, demokrasi dan keadilan.

Mengulas lanjut, Abdul Gani berkata, adalah tidak adil baginya untuk membuat sebarang kenyataan sebelum polis menjalankan siasatan bagi menentukan kebenaran kes itu.

"Sama ada benar atau tidak dakwaan Anwar itu, biarlah polis siasat dulu. Jika saya cakap nanti tidak adil pula kepada Anwar.

"Saya yakin siasatan akan dijalankan dengan adil, tanpa menyebelahi mana-mana pihak," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan ketika dihubungi enggan memberikan sebarang ulasan mengenai dakwaan Anwar.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |