+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Tuesday, July 29, 2008

Mengesan surat Batu Puteh milik M'sia

Malaysiakini

Jul 25, 08 2:12pm

Seorang ahli Persatuan Sejarah Negeri Johor sedang menjelajah ke seluruh negeri itu untuk mengesan sepucuk surat yang berusia 164 tahun yang membuktikan bahawa Batu Puteh adalah hak Malaysia.

Surat tersebut ditulis pada tahun 1844 oleh Gabenor Negeri-negeri Selat, William John Butterworth, kepada Sultan dan Temenggong Johor.

Surat tersebut begitu penting kerana ia bukan sahaja menyentuh permohonan pihak British untuk membina rumah api di Batu Puteh, tetapi ia turut membuktikan hak negara.

linggiu reservoir johor dam 280207 zaaba abdul samadZaaba Abdul Samad memulakan misinya itu sejak dua tahun lalu. Beliau telah menemui waris-waris keturunan Temenggong Muar yang masih tinggal di Muar dan Segamat serta waris keturunan Kesultanan Johor dengan harapan untuk mengesan surat tersebut.

"Saya turut menemui pelbagai individu yang mendakwa mereka mempunyai pelbagai dokumen bersejarah tetapi malangnya sehingga kini masih gagal menemui surat terbabit," katanya kepada Bernama.

Bulan lalu, Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, Malaysia akan terus berusaha mencari bukti-bukti bagi membuktikan haknya terhadap Batu Puteh walaupun selepas Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 23 Mei lalu memutuskan bahawa Singapura mempunyai hak ke atas batuan tersebut.

Wisma Putra telahpun diarahkan supaya berusaha kembali untuk mengesan surat oleh Gabenor Negeri-negeri Selat pada 1844 itu, dengan harapan penemuannya akan membantu Malaysia membuka semula kesnya terhadap Batu Puteh.

ICJ yang bersidang di The Hague, Belanda, turut memutuskan bahawa Malaysia berhak ke atas Terumbu Karang Tengah manakala hak terhadap Terumbu Karang Selatin pula akan ditentukan di mana perairannya terletak.

Usaha sukarela

pulau batu putih pulau batu puteh 230508Bagi Zaaba, walaupun usahanya selama ini belum menunjukkan sebarang hasil, tetapi ia tidak pernah melemahkan semangatnya daripada terus menjelajah ke
seluruh Johor untuk mengesan surat berkenaan.

Sambil menyifatkan usaha sukarelanya itu sebagai tidak lebih suatu tanggungjawab seorang rakyat kepada negaranya, beliau berkata, sehingga kini beliau belum terfikir untuk menamatkan inisiatifnya itu.

"Walaupun Batu Puteh itu hanya merupakan batuan yang terletak di tengah-tengah laut, tetapi ia adalah hak milik kita semua (rakyat Malaysia dan Johor) dan usaha perlu dilakukan untuk memastikan ia (Batu Puteh) kekal milik kita semua," katanya.

Zaaba berkata beliau sehingga kini masih lagi menerima maklumat daripada pelbagai sumber di Johor tentang dokumen-dokumen bersejarah termasuk surat pada 1844 yang dipegang oleh beberapa individu.

Bagaimanapun, menurut Zaaba, oleh kerana beberapa sebab tertentu, beliau menaruh keyakinan yang amat tinggi bahawa surat penting 1844 oleh Gabenor Butterworth yang beribu pejabat di Singapura pada ketika itu, masih disimpan di republik itu ketika ini.

Satu daripada sebab di sebalik keyakinannya itu adalah kerana Singapura yang diperintah oleh British, menerusi muzium dan arkibnya, telahpun mempunyai sistem simpanan dan penjagaan dokumen-dokumen yang baik pada ketika itu, katanya.

Beliau juga berkata satu usaha juga perlu dilakukan untuk bertemu dan meminta bantuan daripada waris-waris Kesultanan Johor yang masih tinggal di Singapura untuk mengesan surat itu.

Menurutnya beliau dimaklumkan bahawa waris keturunan Kesultanan Johor yang masih tinggal di Singapura masih menyimpan pelbagai dokumen bersejarah yang berkemungkinan boleh membantu Malaysia menuntut semula haknya terhadap Batu Puteh.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |