Berita Harian
Islam tak anjur individu terbabit fitnah junjung al-Quran
KUALA LUMPUR: Umat Islam tidak harus mengambil jalan mudah untuk menyelesaikan sesuatu masalah fitnah dengan memaksa individu yang didakwa terbabit melafazkan sumpah mubahalah atau sumpah laknat, sekali gus menjadikan al-Quran sebagai alat untuk membuktikan seseorang itu berada di pihak benar atau tidak.
Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Datuk Dr Abdul Shukor Husin, berkata melafazkan sumpah itu wajar dijadikan jalan terakhir selepas mereka yang saling tuduh-menuduh tidak dapat membuktikan kebenaran dakwaan itu melalui proses lain dalam mencari keadilan.
“Dalam soal tuduhan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim misalnya, mana-mana pihak mesti berhati-hati dalam membuat keputusan untuk menggunakan al-Quran dan lafaz sumpah laknat ketika mahu menyelesaikan masalah berkenaan.
“Berusaha cara lain dan cari dulu cara lain yang boleh mengait atau mengelakkan seseorang itu daripada tuduhan berkenaan. Biarlah pihak keselamatan atau proses perundangan menentukan kebenaran tuduhan ini melalui proses pencarian bukti, saksi dan sebagainya.
“Jika tuduhan itu terus melarat, barulah lafaz sumpah itu digunakan,” katanya diminta mengulas kewajaran cadangan untuk bersumpah menjunjung al-Quran bagi membuktikan kebenaran masing-masing.
Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid, berkata Islam tidak pernah mensyariatkan supaya orang yang terbabit dalam fitnah bersumpah dengan menjunjung al-Quran tetapi cukup hanya bersumpah dengan nama Allah SWT.
Beliau berkata, adalah tidak wajar dan haram hukumnya untuk seseorang Islam menjadikan al-Quran sebagai alat untuk bersumpah kerana yang diharuskan agama ialah bersumpah dengan melafazkan nama Allah sebanyak tiga kali.
“Hanya Allah SWT yang berhak menggunakan nama makhluknya seperti al-Quran dan alat lain dalam mempertahankan kebenaran sesuatu perkara. Manusia pula disyariatkan bukan bersumpah dengan alat atau al-Quran sekalipun ketika mempertahankan diri mereka daripada fitnah atau penipuan tetapi cukup dengan menyebut tiga nama Allah, Wallahi, Wabillahi, Watallahi.
“Kalimah sumpah itu adalah yang termasyhur dan biasa disebut semua orang sama seperti lafaz sumpah yang digunakan ketika pemimpin politik mengangkat sumpah di Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri,” katanya.
Mufti Johor, Datuk Noh Gadut, berkata isu fitnah yang berleluasa ketika ini wajar ditangani di mahkamah yang bakal membabitkan lebih ramai pihak berwibawa dalam menentukan keputusan sama ada seseorang itu bersalah atau tidak.
0 comments:
Post a Comment