+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Saturday, September 27, 2008

Dedah laporan kebocoran radioaktif kapal selam AS di Klang

Malaysiakini

Sep 26, 08 1:10pm

Kementerian Pertahanan harus menjelaskan kebocoran radioaktif dari kapal selam Amerika Syarikat USS Houston di Pelabuhan Kelang sewaktu ia singgah pada 2006.

Kapal selam itu telah mengalami kebocoran selama dua tahun, termasuk sewaktu kunjungannya ke negara-negara Asean, tetapi hanya disedari apabila ia pulang ke negara itu pertengahan Julai tahun ini.

uss houston ssn 713 los angeles class nuclear submarine 260908Menurut laporan CNN awal bulan lepas, tentera laut Amerika Syarikat mengesahkan kebocoran tersebut terjadi sejak dua tahun lalu dan telah memaklumkan kepada kerajaan Malaysia dan Singapura baru-baru ini.

Ahli parlimen Kelang, Charles Santiago hari ini mendesak Menteri Pertahanan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mendedahkan laporan dari negara kuasa besar itu seperti yang dimaklumkan oleh rakan sejawatnya dari Singapura, Teo Chee Hean, di negara itu.

"Saya terkejut apabila menyedari Kementerian Pertahanan begitu lembab mengenai kebocoran radioaktif kapal selam berkuasa nuklear yang berlabuh di Pelabuhan Barat Kelang antara 16 hingga 21 September 2006," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menggesa Abdullah, yang juga perdana menteri, menubuhkan satu pasukan pakar bagi menyiasat kebocoran itu untuk memastikan sama ada ia melebihi atau kurang daripada piawaian yang dibenarkan oleh jawatankuasa sains mengenai kesan radiasi atom Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSCEAR) dan Suruhanjaya Antarabangsa Mengenai Perlindungan Radiologi.

"Kerajaan wajar mengenakan syarat ketat sebelum membenarkan kapal berkuasa nuklear berlabuh.

"Ia juga perlu meletak satu sistem pemantauan yang dapat mengukur kualiti udara, air dan contoh dasar laut untuk memastikan tahap radiasi persekitaran yang normal," kata Charles.

"Bacaan ini boleh digunakan, kemudiannya, untuk menilai sebarang tahap luar biasa pancaran radioaktif."

Tambah anggota parlimen DAP itu, jika kerajaan gagal berbuat demikian, ia menunjukkan kerajaan tidak serius mengenai ancaman yang boleh dihasilkan akibat kebocoran radioaktif di masa depan.

Berbeza dengan laporan CNN, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bulan lepas mengesahkan tidak menerima sebarang laporan berhubung kebocoran bahan radioaktif dari kapal selam tersebut.

Menurut agensi berita Bernama 8 Ogos lepas, Kementerian Pertahanan berkata tiada sebarang siasatan akan dibuat berhubung perkara itu.

"Perkara itu sudah lama dikatakan berlaku pada 2006, mengapa sekarang baru nak lapor, kita tidak pernah menerima sebarang laporan berhubung kebocoran itu, dan siasatan mengenainya tidak akan dibuat," kata pengarah perhubungan awamnya Kol. Fadzlette Osman Merican.

USS Houston merapat di pelabuhan bagi lawatan operasi setelah mendapat kelulusan Wisma Putra, tambah kementerian itu.

Bagaimanapun, 7 Ogos lalu, pada Kementerian Pertahanan Singapura semalam berkata tentera laut Amerika Syarikat telah memaklumkan kepadanya berhubung kebocoran berkenaan.

Bagaimanapun tahap radioaktif itu adalah rendah dan tidak membahayakan, kata Singapura.

Akhir bulan lepas, Jepun menerima laporan penuh dari Amerika Syarikat hasil siasatan kebocoran kapal selam tersebut, yang turut mencemarkan pelabuhan negara itu dalam lawatannya antara Julai 2006 hingga April lalu.

Bagaimanapun, kebocoran akibat kerosakan injap USS Houston "tidak mendatangkan bahaya", satu kenyataan Kementerian Luar Jepun dipetik.

"Tahap radioaktiviti yang dikesan tidak mendatangkan kesan mudarat terhadap kehidupan manusia, hidupan laut atau alam sekitar," agensi berita Associated Press memetik laporan tentera laut AS itu yang dibekalkan oleh Jepun.

Selain tiga negara tersebut, tentera laut negara itu mendedahkan kebocoran USS Houston turut mencemarkan Guam, sebuah pulau kecil di Lautan Pasifik, dan Pearl Harbor di Amerika Syarikat.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |