+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Saturday, September 27, 2008

Eurocopter dapat kontrak ganti Nuri

Berita Harian

Oleh Norfatimah Ahmad
tim@bharian.com.my


ABDULLAH menerima tabik hormat di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur, semalam.

Syarikat penuhi kriteria kementerian: PM

KUALA LUMPUR: Syarikat pengeluar helikopter terkemuka berpangkalan di Eropah, Eurocopter memperoleh kontrak untuk membekalkan pesawat baru bagi kegunaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menggantikan penggunaan Nuri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata ketika ini Kementerian Pertahanan sedang meneliti beberapa syarat sebelum menandatangani surat hasrat (LOI) secara rasmi dengan syarikat berkenaan.

“Kementerian Pertahanan mendapat banyak permohonan daripada syarikat pembuat dan penjual pesawat antarabangsa menerusi tender terbuka yang dilaksanakan dan memilih Eurocopter selepas meneliti pelbagai kriteria serta keupayaan syarikat itu.

“Kami pilih yang terbaik dan keputusan itu bukan dibuat dengan sewenang-wenangnya,” katanya selepas menghadiri taklimat khas di Wisma Pertahanan, di sini, semalam.

Terdahulu, Abdullah yang juga Menteri Pertahanan yang baru menerima tabik hormat dan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama membabitkan tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat diketuai Mejar Mohamad Qadri Abu Bakar dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Minggu lalu, Abdullah menyerahkan jawatan Menteri Kewangan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan mengambil alih jawatan Menteri Pertahanan daripada Najib. Sebelum ini, beliau pernah menjadi Menteri Pertahanan dari 1986 hingga 1987.

Abdullah berkata, keputusan menggantikan Nuri dikemukakan dalam mesyuarat Kabinet tahun lalu berikutan kemalangan dan kematian dicatatkan sepanjang penggunaan pesawat berkenaan.

“Semua kes dicatatkan membabitkan Nuri adalah satu kerugian besar kepada Kementerian Pertahanan,” katanya.

Selain itu, Abdullah yang berpuas hati dengan prestasi kementerian berkenaan berkata, penekanan akan diberikan untuk memastikan keberkesanan guna tenaga dicapai, selain meningkatkan keupayaan sistem pertahanan negara.

Beliau juga memaklumkan, mulai sekarang semua projek perumahan ATM akan menggunakan konsep pembinaan pasang siap atau dikenali Sistem Binaan Berindustri (IBS) bagi memastikan ia dilaksanakan dengan pantas, bermutu dan tanpa perlu menggunakan buruh ramai.

“Sebelum ini, Kementerian Pertahanan pernah menggunakan sistem berkenaan, tetapi ketika itu Jabatan Kerja Raya (JKR) belum bersedia menggunapakai sistem itu,” katanya.

Beliau berkata, sistem berkenaan akan digunakan dalam pembinaan rumah baru dan membaik pulih kediaman anggota tentera yang usang di 12 kem tentera di luar Lembah Klang.

Ditanya sama ada ATM akan membantu membebaskan rakyat Malaysia yang ditawan lanun, berkata: “Jika diperlukan, kita sedia memberi bantuan pada bila-bila masa.”

Mengenai pengganti Tan Sri Lee Lam Thye, Abdullah berkata, jawatan Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MKLN) yang baru akan diisi Datuk Tiki Lafe berkuat kuasa 1 Oktober ini untuk tempoh tiga tahun.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |