+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Saturday, September 27, 2008

Pemilihan Umno ditangguh hingga Mac

Malaysiakini

Jimadie Shah Othman | Sep 26, 08 12:11pm

Majlis Tertinggi Umno memutuskan hari ini untuk menangguhkan perhimpunan agung serta pemilihan parti dari Disember ke Mac tahun depan.

Penundaan ini bertujuan memastikan proses peralihan kuasa berjalan lebih awal.

Ia dilihat sebagai usaha mendesak Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan kuasa kepada Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam tempoh enam bulan.

Sebelum ini, Abdullah - dalam pelan peralihan kuasanya - bersetuju untuk menyerah kuasa kepada Najib pada pertengahan 2010.

Bagaimanapun, pemimpin akar umbi Umno tidak sekata mengenai tarikh tersebut dan ramai yang mendesak supaya tarikh itu dipercepatkan lagi.

Abdullah yang juga presiden Umno bagaimanapun enggan mengulas lanjut tentang peralihan kuasa.

pak lah umno supreme council special meeting 260809 02"Apa juga yang diperlukan, peraturan-peraturan, apa yang hendak saya laksanakan nanti, apa juga, akan diputuskan (bersama) antara saya dan (timbalan presiden) Datuk Seri Najib (Razak),” katanya.

Pemilihan pucuk pimpinan Umno sebelum ini dijadualkan pada 16 hingga 21 Disember depan.

Abdullah turut menafikan mendapat tekanan suapaya peralihan kuasa itu disegerakan, sebaliknya perkara itu, menurutnya, “berkaitan dengan kerjanya” sebagai presiden Umno.

Hubungan baik

“Tidak ada kena mengena dengan semua itu (tekanan). Ia berhubung kait dengan kerja saya. Apabila kerja habis, habislah.”

Perkara itu juga, tambah Abdullah, tidak ditimbulkan dalam mesyuarat tergempar pagi ini.

“Tidak ada apa-apa. Pada hari ini tidak ada langsung (bincang) tentang perkara itu. Mungkin ada dua, tiga orang yang kata begitu. Tetapi tidak ada satu-satu sebab hendak tekan, sebab mereka tahu hubungan saya dengan Najib baik.

“Dalam apa-apa perkara pun, kami mempunyai persefahaman yang baik. Tidak ada masalah patut timbul dalam perkara ini,” katanya.

Bagaimanapun, mesyuarat perwakilan Umno bahagian akan diteruskan seperti yang dijadualkan mulai 9 Oktober hingga 9 November depan.

bm version umno polling dates and quota for 2008 party polls 250908 march 2009Perkara itu diputuskan kerana perubahan tarikh mesyuarat di peringkat itu “tidak membawa kepada apa-apa kebaikan tambahan” kepada parti, tegas Abdullah.

Putuskan sebelum 9 Okt

Keputusan itu disifatkan sebagai “bukan sesuatu yang menyusahkan” bahagian dan telah diterima ahli MT.

Abdullah juga berkata, belum memutuskan sama ada akan mempertahankan jawatan presiden.

Bagaimanapun, katanya, beliau akan membuat keputusan mengenainya sebelum mesyuarat bahagian bermula 9 Oktober depan.

“Apa-apa keputusan saya akan buat sebelum mesyuarat bahagian,” katanya.

“Bertanding atau tidak, (itu) keputusan saya. Kamu boleh terus meneka tetapi keputusannya milik saya.”

Abdullah memberitahu demikian dalam sidang akhbar selepas mesyuarat tergempar MT selama sejam di ibu pejabat Umno pagi tadi.

pak lah umno supreme council special meeting 260809 03Sebelum itu, Abdullah mengadakan pertemuan empat mata selama setengah jam dengan timbalannya sebelum mesyuarat MT bermula kira-kira jam 11 pagi tadi.

Mesyuarat MT ini merupakan pertemuan kedua pada bulan ini, selepas mesyuarat bulanannya pada 18 September.

Tidak akan bercuti

Kebiasaannya, mesyuarat MT hari ini juga diadakan pada sebelah petang tetapi kali ini ia diadakan pada sebelah pagi.

Ditanya sama ada beliau akan bercuti, Abdullah menjawab: "Ada banyak kerja nak buat."

Beliau juga tidak berniat meninggalkan Umno dan perkara itu dibuktikan dengan rekodnya bersama parti itu yang "bersih".

“Saya cintakan parti saya. Walaupun pada masa yang sukar saya tidak tinggalkan. Saya tidak pernah menyertai mana-mana parti lain.

"Saya tidak pernah berada atas landasan pembangkang. Tidak ada rekod saya yang menentang parti pun, pada bila-bila masa pun,” katanya ketika ditanya sama ada beliau akan meninggalkan parti itu.

Najib berada di sisi kanan Abdullah sepanjang sidang akhbar tersebut.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |