KUALA LUMPUR - "Ini dugaan terbesar saya lebih-lebih dah dekat nak raya ni."
Itulah reaksi Amy Search mengenai saman terhadapnya yang difailkan oleh Nik Muhammad Zakwan Nik Zahir, 4, melalui bapanya, Nik Zahir Nik Idris, 31, kelmarin bagi menuntut ganti rugi RM300,000 disebabkan dakwaan kecuaian Restoran Laksamana Cheng Ho pada 17 Jun lalu.
Nik Muhammad melecur di belakang badan selepas terkena tumpahan tomyam panas yang dibawa pekerja restoran itu.
Amy Search atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman pada sidang akhbarnya semalam berkata, beliau telah pun melantik peguam untuk mewakilinya dalam kes itu.
Sidang akhbar itu turut dihadiri oleh isterinya, Norhazniza Hassan.
"Untuk pengetahuan semua, saya tidak mengambil sikap lepas tangan terhadap apa yang terjadi kepada pelanggan saya itu... keadaan pada masa itu memang sedikit kecoh.
"Pada hari kejadian itu (17 Jun lalu), kita memang cari dia untuk tindakan susulan, namun menurut kakitangan saya, selepas bapa budak tu membawa anaknya ke tandas, bila kita datang semula cari dia, dia dah tiada," jelasnya.
Amy berharap pelanggan itu tampil ke restorannya, tetapi itu tidak terjadi sehinggalah tersiarnya berita mengenai kejadian berkenaan dalam sebuah akhbar pada 29 Jun lalu.
Sambil mengakui mangsa dan keluarganya mempunyai hak memfailkan kes ke atasnya, Amy pula bertekad beliau juga berhak mempertahankan diri.
Ketika ditanya sama ada kes saman itu menjejaskan imej baik restoran dan menyebabkan sambutan pelanggannya semakin berkurangan, katanya: "Itu semua tidak berlaku."
0 comments:
Post a Comment