MUMBAI - Pakar-pakar automotif di India semalam memuji kereta termurah di dunia, Tata Nano dan menyifatkannya antara tawaran terbaik sepanjang zaman dan merupakan cetusan kepintaran minda anak watan negara berkenaan.
Kereta kecil semurah AS$2,000 (RM7,251) untuk model asas itu diperkenalkan kepada umum kelmarin oleh pengerusi syarikat Tata Motors yang menyatakan Tata Nano akan merevolusi kaedah perjalanan berjuta-juta rakyat India.
Rata-rata media India bersetuju kereta dengan reka bentuk sporty memiliki kapasiti enjin 624 cc itu melepasi ujian sebagai kereta yang setaraf dengan jenama kenderaan kompak Eropah seperti Smart dan Volkswagen Beetle.
Majalah kereta Autocar India menyifatkan Tata Nano sebagai comel, disukai dan menarik terutamanya kepada golongan wanita manakala ramai pemberita automotif terpegun dengan keluasan ruang dalamannya.
Menurut mereka, ruang dalaman kereta dengan ukuran panjang 3.1 meter itu cukup untuk penumpang menempuh kesesakan lalu lintas dengan selesa.
"Ia bukan kereta mainan atau beca beroda empat seperti dakwaan golongan skeptik. Tata Nano ialah sebuah kereta yang boleh dipercayai dan melakukan tugasnya dengan baik," kata AutoCar.
"Kereta itu kukuh dan berbaloi untuk setiap sen yang anda keluarkan dan kami percaya ia akan digilai ramai seperti Beetle," tambahnya.
Bagaimanapun, menurut penganalisis, para pembeli terpaksa menunggu agak lama sebelum dapat memandunya kerana permintaan untuk Tata Nano jauh melepasi jumlah pengeluaran 50,000 kereta setahun bagi tahun pertama. - AFP
0 comments:
Post a Comment