By webmaster at ,
Maka gegak gempitalah Ketua Pemuda Umno dengan hamburan demi hamburan yang dituju kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.Tidak cukup dengan fitnah dan kezaliman yang dilancarkan ke atas Pakatan Rakyat, hari ini Hishamuddin Tun Hussien melalak lagi. Kononnya mempertikaikan dasar yang lapuk dan usang dianggap salah. Kononnya usaha menyanggah kesalahan pemerintah dan menawarkan alternatif yang lebih baik dikira satu petualang.
Apakah mempersoalkan dasar afirmatif yang menindas dikira satu tindakan yang salah?
Kita sama sekali tidak akan menafikan hak melayu bumiputera sebagaimana yang dijelaskan di dalam Perlembagaan Persekutuan, tetapi yang dipersoalkan ialah tindakan menghalalkan penguasaan sesetengah pihak untuk memastikan khazanah negara dibolot rakus oleh hubaya-hubaya yang angkuh dan sanggup menindas bangsa sendiri di atas nama bangsanya.
Kita tidak bersetuju dengan kebebasan tanpa limitasi dan tanggungjawab,tetapi kita juga sama
sekali tidak bersetuju dengan tindakan menyekat kebebasan media, kebebasan bersuara dan kebebasan berhimpun sebagaimana dititip jelas dalam Perlembagaan Persekutuan.
Di bawah regim Umno-BN, menempelak pemerintah tatkala mereka melakukan kesalahan adalah dosa yang maha besar. Sebaliknya budaya ampu,julang menjulang adalah mauduk wajib jika mahu terus kekal di persada.
Menempelak Anwar Ibrahim sebagai petualang melayu hanya memalitkan si penuduh semata-mata. Mana lebih dasyat: memperjuangkan keadilan untuk semua atau membunuh potensi bangsa melalui sistem pendidikan yang rapuh yang mengabaikan kelangsungan bahasa ibunda? Mana lebih keparat: memupuk persefahaman membentuk kerajaan atas dasar prinsip perjuangan, atau menjatuhkan kerajaan pilihan rakyat dengan berselindung di balik imuniti istana?
Mana lebih khianat: memperjuangkan dasar tadbirurus yang kompeten,adil dan telus atau mempertahankan dasar yang menindas, mengayakan puak sendiri, dan membunuh potensi orang lain? Mana lebih bangsat: memupuk perpaduan antara kaum ke arah menjulang ketuanan rakyat, atau menyemai kebencian atas sentimen perkauman yang sempit,jumud dan kolot?
Gema di dalam Dewan Tun Dr Ismail di PWTC mungkin menggamit suasana,tetapi apakah mungkin rakyat terkesan dengan retorik tahunan yang bergema atas sentimen sempit yang makin parah dan usang? Hishamuddin boleh terus berkokok, dan Pemuda Umno boleh terus bersorak.
Tetapi rakyat masih kenal fungsi akal: untuk menilai secara rasional, mempertahankan yang hak dan membunuh kebathilan! KELAB ANWAR IBRAHIM PEMANGKIN AGENDA PERUBAHAN
Mohd.Saifuddin Amri
Exco Penerangan Anwar Ibrahim Club
saifuddin.amri@gmail.com
0 comments:
Post a Comment