+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Sunday, March 8, 2009

Bahasa Melayu masih dominan


Kosmo Online

Kini terdapat lebih 300 juta penutur bahasa Melayu dengan dialek berbeza di seluruh dunia sekali gus menjadikannya bahasa keempat terbesar di dunia.


OLGA MADIMOVNA VASILEVSKAYA juara pidato PABM dua tahun lalu.


DIMULAKAN sejak tahun 2007, Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Timbalan Perdana Menteri 2009 (PABM 2009) ini merupakan inisiatif Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pada tahun pertama, pertandingan itu hanya mempunyai satu kategori iaitu antarabangsa dengan 23 peserta mengambil bahagian. Tidak ada kategori Nusantara atau sebagainya.

Bilangan itu kemudiannya bertambah kepada 39 peserta dari 33 buah negara pada tahun 2008. Pertambahan itu membuatkan penganjur menambah jumlah kategori.

Memasuki edisi ketiga pada tahun ini, jumlah penyertaan kian besar dengan 46 peserta dari 39 buah negara. Ini termasuklah lima buah negara baru iaitu Belarus, Armenia, Republik Czech, Itali, dan Palestin.

Menurut syarikat yang menganjurkan PABM 2009, AG Bestari Events Sdn. Bhd., penyertaan diperoleh daripada pihak-pihak yang pernah berurusan dalam PABM sebelum ini, selain Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABAM) dan profesor-profesor yang mewakili benua atau zon di seluruh dunia.

Ia merupakan jemputan rasmi dari kerajaan Malaysia kepada negara atau universiti yang terlibat.

Manfaat utama PABM 2009 ialah membuktikan bahawa bahasa Melayu sudah berkembang ke enam benua di seluruh dunia.

Maklum balas positif yang diterima penganjur ialah terdapat permintaan belajar bahasa Melayu dialek Malaysia yang tinggi di Rusia, China, Korea Selatan dan Jepun.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memberitahu bahasa Melayu menjadi salah satu bahasa yang diminati oleh pelajar luar negara.

Selain PABM, kerajaan juga katanya berusaha mengembangkan bahasa Melayu dengan menubuhkan kursi-kursi pengajian Melayu dan pengajian bahasa Melayu di beberapa universiti ternama dunia.

Antara kursi itu termasuklah Kursi Tun Razak di Universiti Ohio, Amerika Syarikat, Kursi Pengajian Melayu Wilayah Eropah di Universiti Leiden, Belanda dan Kursi Pengajian Melayu di Universiti Victoria New Zealand.

Malah, University of Hawaii di Amerika turut menawarkan pengajian bahasa Melayu, kebudayaan, tarian dan alat muzik Melayu di sana.

Wakil dari AG Bestari pula menambah, apa yang lebih istimewa, tenaga pengajar di pusat pengajian terbabit bukan terdiri daripada orang Melayu. Profesor dari luar itu datang ke Malaysia atau Indonesia, kemudian kembali ke negara masing-masing dan membuka fakulti atau kursus bahasa Melayu.

"Saya fikir, dalam tempoh sedekad akan datang bahasa Melayu pasti berkembang. Tambahan pula Kementerian Pengajian Tinggi menubuhkan banyak kursi-kursi pengajian bahasa Melayu di luar negara," katanya.

Menurut Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), kini terdapat lebih 300 juta penutur bahasa Melayu dengan dialek berbeza di seluruh dunia. Ia sekali gus menjadikannya bahasa keempat terbesar di dunia.


AKSI Olga ketika berpidato pada tahun 2007.


Merupakan pertandingan tahunan, AG Bestari menyasarkan pertambahan bilangan peserta kepada lebih 50 orang yang dialeknya bahasa Melayu Malaysia, selain penyertaan dari 10 negara baru.

Tahun ini, Jerman, Scotland, Brazil, Argentina dan Uzbekistan tidak dapat menghantar wakil masing-masing.

PABM 2009 berlangsung dari 2 hingga 7 Mac 2009 di Auditorium Perdanasiswa, Universiti Malaya untuk peringkat saringan dan separuh akhir. Acara kemuncaknya akan diadakan di Dewan Planery, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada pukul 8.30 malam, 6 Mac ini. Ia akan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bertemakan Pengantarabangsaan Bahasa Melayu, pertandingan itu dianjurkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi dengan kerjasama Kementerian Pelajaran, Kementerian Penerangan dan Kementerian Pelancongan.

Pertandingan dibahagikan kepada dua kategori iaitu Nusantara dan Antarabangsa khusus untuk memberikan keadilan dalam pemilihan peserta terbaik untuk dinobatkan sebagai juara.

Kategori Nusantara terdiri daripada negara-negara yang digolongkan sebagai negara pengamal bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda mereka.

Ia meliputi Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura, dan Thailand.

Setiap negara akan diwakili oleh dua orang peserta yang dipilih oleh kementerian atau pihak berkuasa di negara mereka.

"Kategori Antarabangsa menyaksikan penyertaan yang amat memberangsangkan. Mereka terdiri daripada anak watan yang mengambil jurusan bahasa Melayu sebagai kursus elektif di pusat-pusat pengajian tinggi di negara masing-masing.

"Sehingga tahun 2007, terdapat 129 buah institusi pengajian tinggi yang menawarkan pengajian bahasa Melayu di 40 buah negara di seluruh dunia," kata Pengarah Jabatan Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar, Jabatan Pengajian Tinggi, Profesor Dr. Mohd. Fauzi Ramlan.

Para peserta diberikan 10 tajuk yang bersifat tempatan dan sejagat. Mereka dikehendaki memilih satu tajuk sahaja untuk dikupas dan dibahaskan.


PEMENANG kategori Antarabangsa dan kategori Nusantara, dengan piala dan cek kemenangan Pidato PABM 2008.


PABM dianjurkan sebagai simbolik bahawa bahasa Melayu telah menjadi salah satu bahasa yang kukuh kedudukannya di seluruh dunia. Ia digunakan dengan meluas sebagai medium dalam menyampaikan buah fikiran dalam bentuk pengetahuan atau kesusasteraan.

"Mesej kepada orang Melayu, bahasa Melayu masih lagi dominan dan menjadi bahasa komunikasi antarabangsa. Kita mahu orang Melayu jangan malu dengan bahasanya sendiri," katanya lagi.

Read More...

Hendak Jumpa Raja Pun Dihalang!

msomelayu

Apa nak jadi dengan negaraku?
Hendak Jumpa Raja Pun Dihalang!


APA nak jadi dengan Malaysia? Kebebasan sudah tidak ada lagi. Suara rakyat sudah dipancung. Rakyat boleh bersuara jika ada permit. Percakapan rakyat perlu dijaga dan dikawal oleh undang-undang. Kehidupan rakyat seolah-olah berada dalam kawalan rejim komunis.

Apa-apa kegiatan perlu dikawal atas nama keselamatan! Walhal keselamatan yang dijaminkan itu bukan untuk keamanan, tetapi membuka ruang kepada satu mala petaka. Atas nama keselamatan jiwa dan kalbu rakyat terus sakit dan marah. Marah...

Rakyat hendaklah dibisukan dari bercakap mengenai apa saja. Apa-apa cakap yang tidak senada dengan kerajaan, akan disekat dan dihalang dan dianggap sebagai menghasut yang boleh didakwa di bawah akta Hasutan 1948. Atau kalau perlu kepada yang keras dan degil di penjara di bawah ISA.

Cakap-cakap mestilah senada dengan kerajaan dan yang baiknya membodek kerajaan. Jadi cina buta kepada kerajaan. Dalam masa sama kerajaan melaungkan kebebasan, melaungkan keadilan dan melaungkan ketelusan. Hakikinya kebebasan sudah mati, keadilan sudah lama pincang dan ketelusan sudah lama ditambak dengan kuasa yang ada; polis, mahkamah dan kemudian penjara. Pintu penjara negara ini tidak pernah terkatup melainkan senantiasa dingangakan seluasnya.

Jangan cakap mengenai apa-apa pun. Diam atau gamkan mulut! Kerajaan sedang mengajar rakyat menjadi beruk yang bisu yang tertenggek atas dahan mati yang hanya perlu merasa seronok bila tuan menghulurkan pisang separuh masak. Kemudian beruk perlulah menghingguk-hingguK batang pokok menandakan terima kasih kepada penghulur pisang separuh masa itu. Jangan tungging jubur nanti ditembak. Inilah negaraku Malaysia di bawah kerajaan Umno Barisan Nasional (UBN).

Apa yang berlaku hari ini adalah konklusi ke atas segala kekejaman kerajaan. Manusia dari benua mana pun kalau melihat apa yang berlaku hari ini akan terkejut dan hairan. Masakan rakyat tidak boleh menemui rajanya untuk menyampaikan bantahan jiwanya yang bimbang mengenai masa depan anak bangsanya sendiri. Bukankah itu gila namanya kalau bukan babuk?

Kalau rakyat berhimpun hendak memaki hamun raja-raja dan sultan ada ‘kulihah’nya kalau mereka dihalang, disekat kemudian ditembak dengan gas pemedih mata. Hatta kalau guna peluru hidup pun tidak mengapa. Tembaklah anasir yang merosak negara, boleh dibenarkan dan seluruh rakyat akan memuji dan memuja kerajaan.

Misalnya kalau rakyat berhimpun hendak runtuhkan istana, tembaklah mereka, bomlah macam Israel bom rakyat Palestin biar hancur kepala dan terburai tali perut mereka. Tidak mengapa itu wajar sebab mereka pengkhianat. Di mana-mana dan sesiapa saja pengkhianat perlu ditembak sampai mampus tanpa mengira darjat, keturunan dan kedudukan mereka.

Kalau mereka berarak hendak robohkan Parlimen, lambang keunggulan institusi demokrasi negara ini, tak mengapa, halang dan sekatlah mereka. Kalau perlu tembak mereka, tembak dan pancunglah kepala mereka sekali. Usahkan air gatal (water cannon) atau gas pemedih mata, hatta C4 yang digunakan untuk meletupkan Altantuya Shariibuu pun halal digunakan. Bunuhlah...

Tetapi hari ini rakyat berhimpun hendak menyerahkan sekeping kertas kepada rajanya – Yang di-Pertuan Agong, apakah itu perbuatan salah? Salahkah? Apakah itu satu dosa dan satu penderhakaan? Puluhan ribu yang berarak ke istana hari ini kerana ingin membela bahasa mereka, Bahasa Melayu. BAHASA MELAYU?

Mereka bukan berarak untuk membela bahasa penjajah, tetapi berarak untuk membela bahasa mereka, bahasa Melayu. Mereka melakukan tugas dan tanggungjawab mereka kepada rakyat. Mereka buat untuk kebaikan bangsa Melayu dan juga negara ini bukan untuk kepentingan sesiapa atau mana-mana golongan. Manfaat yang diperjuangkan itu untuk kepentingan bersama.

Kenapa harus dicurigai niat suci mereka. Kenapa tidak reti membaca hati putih rakyat? Perarakan hari ini bukan bermotif politik. Apakah pihak kerajaan, penguasa buta mata hati dan suduh tertutup sanubari mereka. Begitu mudah pihak polis membuat andaian kononnya ianya didalang parti politik. Kenalkah mereka kepada Dr Hassan Ahmad, A Samad Said, Ainon Mohamad, Dr Hassan Mohamad, Dr Shahrir Md Zain, Baha Zain dan lain-lain. Mereka bukan aktivis politik, mereka adalah pencinta dan pejuang sastera dan bahasa.

Kenapa kerja suci mereka diragui? Kenapa? Apakah perbuatan mereka itu salah? Apakah di zaman ini rakyat tidak lagi boleh mengadu hal-hal masalah kepada raja-raja mereka. Apakah raja-raja hak sesuatu golongan saja? Atau raja-raja hanya sedia mendengar dari golongan tertentu yang boleh memberi apa-apa nafkah untuk kehidupan mereka saja. Begitukah? Dan bukankah sokongan rakyat jelata adalah jaminan keunggulan institusi raja dan keselamatan keturunan mereka?

Seharusnya tidak ada sekatan dan halangan ke atas perarakan membawa memorandum untuk menghapuskan PPSMI itu. Mereka perlu diberi jalan seluasnya. Mereka bukan perlu dinanti dan dihalang dengan gas pemedih mata, gari, belantan atau kamera tetapi mereka perlu diiringi dan dikawal daripada pengacau lain. Itu sepatutnya.

Pembawa memorandum itu adalah mereka yang suci dan bersih. Tangan mereka putih daripada rasuah dan gila kuasa politik atau membunuh manusia lain. Mereka tidak ada apa-apa ambisi untuk berkuasa. Mereka membawa sekeping hati rakyat Melayu untuk ditunjukkan kepada raja mereka, betapa remuk, bera dan birunya hati rakyat kerana bahasa mereka diinjak-injakkan. Yang membuka kaki menginjanya orang yang mengaku Melayu juga. Jadi salahkah? Salahkah? Salahhhhhhhkah?

Kepada para penembak tepat dalam pasukan polis, FRU, SB dan segala macam, apakah mereka sedar apa yang GMP lakukan itu untuk siapa? Untuk mereka, anak-anak mereka juga. Mungkin mereka boleh beralasan kerana itu arahan ketua mereka. Siapa ketua mereka? Apakah ketua mereka juga tidak ada akal budi dan akal fikir bagi menilai apa yang GMP lakukan itu.

Semuanya kini sudah jadi haru biru dan tidak tahu hujung pangkal. Kedudukan rakyat pun cuba dipisahkan dari raja dan istana. Atas nama nak menjaga kemuliaan raja tetapi mereka menyimpan motif untuk menjauhkan rakyat dengan rakyat. Mereka mahu memonopolikan raja sebagai hak mereka saja.

Yang salah di sini bukan raja. Tetapi para pengawal raja yang zalimnya. Para penasihat yang ada kepentingan. Raja sebagai raja berperlembagaan mengikut saja lembaga yang menentukan gerak geri mereka. Bagaimana pun diharap raja sesekali perlu menjenguk jendela untuk menghirup udara di luar dan melihat realiti yang riuh randah di luar istana.

Namun kita percaya keadaannya tidak seperti itu. Kini memorandum PPSMI itu sudah pun ditangan Yang di-Pertuan Agong ia diserahkan oleh A Samad Said dan Dr Hassan Ahmad. Kita berharap baginda akan meneliti dan menatapnya dengan penuh prihatin, insaf dan sedia menimbangkan.

Suara Perdana Menteri dikejauhan kedengaran hari ini juga satu perkembangan yang baik. Kata Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi yang hendak bersara esok lusa itu, masalah PPSMI perlu ditangani dengan segera kerana ia semakin mendapat tekanan. Kata Abdullah kalau ia tidak ditangani segera ia akan menjadi masalah besar. Jadi, tunggu apa lagi?

Hairan, apakah perdana menteri itu sudah tidak ada kuasa lagi? Atau kuasanya telah dirampas oleh timbalannya? Kalaulah beliau serius dan ikhlas kenapa beliau tidak arahkan hari ini juga Menteri Pelajaran, Hishmuddin Hussein agar memansuhkan PSPMI? Kenapa harus bermadah helah lagi. Atau suara perdana menteri itu sebagai hendak memujuk dan menyejukkan hati para pejuang bahasa dan sastera saja. Sesungguhnya Abdullah perlu menyengolahkan semula Hishamuddin.

Perarakan hari ini tidak akan menjadi kalau perdana menteri prihatin dan peka, dan tidak pekak. Wang kerajaan yang digunakan untuk membeli gas pemedih mata boleh diselamatkan. Wang petrol atau diesel trak dan kereta peronda polis dan helikopter boleh diselamatkan. Rakyat juga tidak berpedih mata dan pegap-pegap urat kerana lari menyelamatkan diri semasa perarakan tadi. Keadaan negara juga tidak menggambarkan seperti huru hara yang menakutkan pelabur.

Namun kerana PM kurang cerdik, lambat bertindak, teragak-agak, berfikir terlalu panjang, lembab dan lemah maka jadikan apa yang sudah terjadi. Apakah makna seorang PM mengatakan ia perlu diselesaikan segera? Dalam konteks hari ini ialah mengarahkan supaya PPSMI dimansuhkan. Dan bila PM tidak dapat bertindak maka ia menggambarkan seolah kuasanya sudah tidak ada.

Untuk apa Abdullah bersuara menyatakan masalah itu kalau ia sudah kehilangan kuasa sebelum jawatannya terlepas? Kalau hanya setakat bermadah untuk menarik simpati dan memberi keseronokan kepada rakyat tidak payahlah. Rakyat tidak lagi mengharap apa-apa harapan kepada Abdullah. Rakyat tidak lagi menaruh apa-apa keyakinan kepada Abdullah. Rakyat semuanya sudah cemuh dan menganggap Abdullah kini sedang persis koma sebelum jasadnya dibawa ke kuburan untuk ditalqinkan Najib.

Tahniah dan syabas kepada semua rakyat yang berarak hari ini. Yakin dan percayalah penderitaan yang dikecapi hari ini adalah penawar dan peristiwa yang akan menjadi manis selepas ini. Dan parut yang berbekas hari ini adalah bukti kepada anak bangsa bahawa kita adalah seorang pejuang. [***kl 7:00 malam 07/03/09]

Read More...

Berita Penuh Kisah Altantuya Dari Perancis

Tranungkite

Dilulus terbit pada Saturday, March 07 @ 11:59:48 MYT oleh TokPenghulu
Artikel Oleh PinkTurle 2


Shaaribu Setev adalah seorang lelaki yang kecewa dan marah. Namun disebalik wajah sedih lelaki Mongolia ini tersimpan semangat yang tinggi. Duduk di sebuah sofa di lobi sebuah hotel di Ulaan Battar sambil bergetar menahan angin beku yang bertiup, dia lelaki berumur 60 tahun itu bersiap sedia untuk melawan.

Raut parasnya dibentuk dari segala penderitaan dan iklim yang melampau, dan renungannya yang dalam menceritakan semuanya.

“Anak perempuan saya dibunuh oleh orang Malaysia di bumi Malaysia. Namun mereka langsung tidak memohon maaf,” katanya yang juga seorang professor psikologi di Universiti Kebangsaan Mongolia.

Pembunuhan anak perempuannya, Altantuya Shaaribu, berlaku pada bulan Oktober 2006. Ini adalah jenayah bunuh yang berbeza dari yang lain berlaku di sebuah rantau di mana konflik-konflik perniagaan atau pertelingkahan politik yang remeh diselesaikan dengan muncung pistol. Segala yang berkaitan dengan kes ini, yang bermula pada tahun 2002 apabila syarikat Perancis-Sepanyol Armaris mencapai persetujuan untuk menjual tiga buah kapal selam kepada kerajaan Malaysia dengan harga satu bilion Euro, adalah luar dari kebiasaan. Kesan “kes Altantuya” ini di Perancis, Malaysia dan Mongolia belum lagi mencapai klimaknya. Pembunuhan gadis Mongolia berusia 28 tahun itu adalah akibat dari “komisen” berharga 114 juta daripada Armasi kepada rakan niaganya di Malaysia. “Komisyen” ini yang diakui oleh kerajaan Malaysia di dalam Parlimen di Kuala Lumpur, telah mencetus beberapa siri peristiwa yang membawa kepada pembunuhan Altantuya dan kehilangan beberapa orang saksi penting di dalam kes itu.

Sebuah laporan dari polis Malaysia, yang masih disimpan secara rahsia sehingga sekarang, mendedahkan secara terperinci bagaimana perempuan muda yang tergolong dalam golongan atasan Asia itu dibunuh. Di dalam dokumen tersebut, salah seorang pembunuhnya, seorang anggota polis dari Cawangan Khas bernama Sirul Omar, menjawab soalan-soalan yang ditanya oleh seorang pegawai di sebuah stesen polis yang berdekatan dengan tempat pembunuhan.

“Apabila perempuan Cina itu melihat saya mengeluarkan sepucuk pistol, dia merayu supaya dilepaskannya kerana dia sedang mengandung. Azilah (pegawai pemerintah kepada Sirul) menarik perempuan itu dan [menghumbannya] ke atas tanah. Saya segera menembak pada bahagian kiri mukanya. Kemudian Azilah menanggalkan pakaian perempuan itu dan memasukkan pakaian yang ditanggal itu ke dalam sebuah plastik hitam. Azilah mendapati tangan perempuan itu masih bergerak. Dia memerintahkan saya untuk menembak sekali lagi, dan saya melakukannya”, ujar Sirul. Ini adalah merupakan pengesahan yang pertama identiti pembunuh Altantuya. ” Kemudian kami mengusung mayatnya ke dalam hutan, Azilah membalut bahan letupan di sekeliling kaki, abdomen dan kepala perempuan itu dan kemudian kami meletupkannya.”

Pendedahan laporan tersebut di dalam akhbar Perancis *Liberation* adalah bab terbaru dalam kisah yang penuh warna-warni dan dramatik ini yang melibatkan penjual senjata Perancis, pawang Mongolia dan politikus-politikus Malaysia. Kes ini sangat sensitif kepada kerajaan Malaysia, kerana Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak yang dijadualkan menjadi Perdana Menteri pada akhir bulan Mac nanti disyaki terlibat di dalam kes ini, tetapi ini juga kerana kes ini boleh memalukan DCNS, sebuah syarikat Perancis yang mengkhusus dalam pembinaan kapal laut tentera. Syarikat Perancis-Sepanyol Armaris, yang menjual Scorpene dan satu kapal selam Agosta kepada Malaysia pada bulan Jun 2002, dibeli oleh DCNS pada tahun 2007.

Dengan kecantikan dan keanggunannya yang memukau, Altantuya mengingatkan pada imej kacau seorang perempuan dari Timur Jauh bernama Mata Hari. Altantuya membesar di Saint Petersburg (Russia), kemudian belajar di Institut Pengurusan Ekonomi di Beijing. Di samping bertutur di dalam bahasa Inggeris, dia juga fasih di dalam bahasa Russia, Cina dan Korea. Sebagaimana yang telah ditakdirkan, semasa di Hong Kong dia bertemu dengan Abdul Razak Baginda pada tahun 2004. Baginda adalah seorang pakar keselamatan dan pengarah Malaysian Strategic Reseach Centre, sebuah badan pemikir yang pro-kerajaan. Tidak berapa lama kemudian hubungan mereka menjadi percintaan. Altantuya, atau dipanggil Tuya oleh teman-temannya, membuktikan bahawa dia adalah seorang pembantu yang berguna, menolong Baginda menterjemah bahasa Rusia ke bahasa Inggeris.

Jika Altantuya muda dan cantik, Baginda yang kaya dan menarik adalah seorang yang terkenal di kalangan elit Kuala Lumpur, terutama sekali kerana dia rapat dengan Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan menteri Pertahanan, Najib Razak (baginda juga penasihat urusan keselamatannya). Baginda selalu bertemu dengan lingkungan-lingkungan yang sangat eksklusif di Kuala Lumpur, kadangkala ditemani oleh isterinya yang sah.

Pada bulan Mac 2005, Altantuya dan Baginda berangkat ke Eropah, mengelilingi Perancis, Jerman, Itali dan Portugal dengan Ferrari merah Baginda, menginap di hotel-hotel mewah dan menjamu selera di restoran-restoran terbaik di benua itu. Bagaimanapun, lawatan itu bukan sekadar lawatan biasa: kontrak untuk menjual dua kapal selam itu telah ditandatangani pada tahun 2002, tetapi beberapa hal-hal penting yang berkaitan masih belum diselesaikan.

“Kami mengetahui bahawa Baginda digunakan oleh Timbalan Perdana Menteri Najib Razak sebagai pengantara dalam urusan sistem persenjataan, terutama sekali di peringkat tertinggi,” kata seorang pakar urusan keselamatan serantau.

Pada hujung bulan Mac Altantuya dan Baginda berada di Paris, di mana mereka bertemu dengan Najib Razak. Sekeping gambar yang diambil pada akhir Mac 2005, menunjukkan bahawa ketiga mereka berada di sebuah kelab persendirian di Paris.

“Tuya menunjukkan gambar itu. Katanya salah seorang lelaki itu, Abdul Razak Baginda adalah teman lelakinya, dan seorang lagi, Najib Razak, adalah “big boss”. Saya bertanya kepadanya adakah mereka bersaudara kerana nama mereka, tetapi katanya tidak, dan Najib Razak adalah “perdana menteri”, cerita Amy, teman rapat Altantuya (Najib Razak telah bersumpah dengan Quran mengatakan bahawa dia tidak pernah bertemu dengan Altantuya). Menurut seorang detektif persendirian, sekarang bersembunyi di India (Balasubramaniam? - Kelab GB), si Tuya yang cantik itu juga adalah perempuan simpanan Timbalan Perdana Menteri, yang dikenalkan oleh Baginda kepadanya pada akhir tahun 2004.

Cerita ini menjadi dramatik apabila pada Oktober 2006, Altantuya dimaklumkan bahawa komisyen yang dibayar oleh syarikat Perancis-Sepanyol Armaris telah masuk ke dalam akaun bank di Kuala Lumpur. Komisyen itu telah dibayar kepada Perimekar, sebuah syarikat yang dimiliki oleh Baginda. Altantuya segera berangkat ke Kuala Lumpur dengan tujuan menuntut bahagiannya dari komisyen itu dari Baginda; dia berkata dia berhak untuk mendapat 500, 000 dolar. Baginda dan Altantuya putus hubungan tidak berapa lama sebelum itu lagi. Rosmah Mansor, seorang ahli perniagaan yang digeruni dan isteri Najib Razak, cemburu lalu menghalang sebarang pembayaran kepada Altantuya. Altantuya tiba di Kuala Lumpur dengan dua orang wanita Mongolia, salah seorang darinya adalah pawang yang akan menjampi Baginda jika dia tidak membayar. Selama beberapa hari, Altantuya mengganggu bekas kekasihnya. Pada 18 Oktober, Baginda tidak dapat lagi tahan dengan Altantuya yang setiap hari berada di hadapan rumahnya. Dia menghubungi Pengarah Cawangan Khas, Musa Safrie, yang juga merupakan pegawai keselamatan Najib Razak.

Pada 19 Oktober 2006, jam mendekati 9 malam, dua orang pegawai polis Cawangan Khas, Azilah Hadri dan dan Sirul Omar, dihantar ke hadapan rumah Baginda di mana Altantuya menjerit dan berteriak. Mereka mendapat arahan “meneutralkan perempuan Cina itu.” Mereka menculiknya dan membawanya sejauh sepuluh kilometer dan menembaknya beberapa kali. Kemudian, mereka memusnahkan tubuhnya dengan bahan letupan C4, jenis yang hanya boleh diperolehi dari Kementerian Pertahanan. Kemasukannya ke Malaysia telah dipadam dari rekod imigresen. Ini seolah menunjukkan bahawa Altantuya tidak pernah ke Malaysia kerana tidak ada rekod yang menunjukkan sebegitu.

Tidak ada jenayah yang sempurna. Pemandu teksi yang disewa oleh Altantuya pada hari tersebut tidak dapat menerima kenyataan bagaimana penumpangnya yang masih belum membayar tambang diculik di depan matanya. Dia mencatit nombor pendaftaran kereta penculik itu dan membuat repot di sebuah balai polis. Dalam beberapa hari, polis mendapat tahu indentiti kereta itu dan mendapati ia adalah kereta kerajaan. Beberapa peristiwa berlaku sehingga Najib Razak sendiri tidak dapat menghalangnya. Dia cuba untuk menutup kes ini. Beberapa jam sebelum penahanan Baginda, dia menghantar satu SMS: “Saya Akan bertemu dengan Ketua Polis Negara pada jam 11 pagi hari ini…masalah tersebut akan selesai. Sabarlah”. Beberapa jam kemudian, Baginda ditahan, begitu juga dengan dua orang pegawai dari Cawangan Khas, Azilah dan Sirul.

Selepas perbicaraan yang dianggap meragukan oleh ramai pemerhati, Baginda dilepaskan dari tuduhan telah memerintahkan pembunuhan itu dilakukan dan dibebaskan pada bulan November 2008. Azilah dan Sirul yang dituduh melakukan jenayah tersebut, tampil di hadapan Mahkamah bulan lepas. Jika disabit kesalahan, mereka akan dihukum mati. Mahkamah akan memutuskan pada 9 haribulan April.

Beribu batu dari Kuala Lumpur, di ibu Negara Mongolia, Ulaan Baataar, Shaaribuu Setev, bapa Altantuya berusaha mengawal perasaan marahnya. Untuk dia dan keluarganya, pembebasan Baginda adalah simbol kepada ketidakadilan di dalam proses perundangan Malaysia.

“Kerajaan Malaysia langsung tidak membalas surat-surat yang dihantar oleh Kementeria Luar Mongolia,” katanya. Ketika Shaaribu datang ke parlimen Malaysia untuk bertemu dengan Najib Razak, Timbalan Perdana Menteri itu terpaksa keluar mengikut pintu belakang untuk mengelakkan pertembungan yang memalukan. Kes Altantuya telah menjadi elemen penting di dalam permainan politik Malaysia di antara Najib Razak (yang dijangka akan menjadi Perdana Menteri selepas Perhimpunan Agong UMNO pada bulan Mac ini) dan Anwar Ibrahim. Sehingga kini, Najib Razak berjaya menghadapi rintangan ini, tetapi pembunuhan perempuan Mongolia itu akan menjadi pedang yang tergantung di atas kepalanya.

Salah satu aspek yang kabur di dalam kes Altantuya ini adalah peranan syarikat Armaris. Pada Oktober 2007, Timbalan Menteri Pertahanan, Zainal Abidin Zin, mengakui di hadapan Parlimen bahawa Armaris telah membayar sebanyak 114 juta Euro sebagai komisyen kepada Perimekar. Dia menegaskan bahawa bayaran itu bulan rasuah tetapi adalah untuk “perkhidmatan-perkhidmatan sokongan dan koordinasi.” Adakah terdapat korupsi di dalam kes kapal Taiwan di mana DCNS French dikaitkan juga? DCNS, adalah syarikat swasta dengan dana awam, telah menolak permintaan kami untuk mengadakan pertemuan. ‘Tiada siapa yang boleh memberi komen terhadap kes itu,” jawab pegawai perhubungan awam DCNS di Paris. Sebuah dokumen, yang boleh menghubungkan antara Altantuya dan syarikat Perancis itu adalah surat jaminan yang ditulis oleh Abdul Razak Baginda supaya perempuan simpanannya itu dapat memohon visa untuk memasuki zon Schengen (Perancis adalah Negara ahli). Kedutaan Perancis tidak boleh menolak permintaan seorang lelaki yang telah dianugerahkan dengan Legion d’Honneaur itu. Tetapi peranan Altantuya di dalam perundingan kapal selam itu masih lagi belum jelas. Agensi-agensi perisikan mendapati latar belakangnya menarik dan FSB Rusia (ex-KGB) memantau secara dekat kes ini.

Di Ulaan Baatar, Mungunshagai, anak lelaki sulung Altantuya, yang berumur 12 tahun, mengalami trauma dengan kematian emaknya. Altanshagai, anak bongsu, yang berumur 5 tahun dan terencat akal, tidak dapat memahami bahawa dia tidak akan bertemu ibunya lagi. “Dia selalu bertanya tentang ibunya dan dia sepanjang hari meniarap di atas kerusinya.

Setiap malam, saya akan memberinya gula-gula dan mengatakan bahawa ibunya memberikan kepada saya untuk diberikan kepadanya”, ujar Shaaribuu Setev, datuk kepada dua dua orang budak lelaki itu. Tentang Baginda pula, dia sekarang menetap di United Kingdom dengan keluarganya. Dia tidak sekalipun pernah melafaz sepatah kata penyesalan terhadap kematian seseorang yang pernah berkongsi hidup dengannya selama dua tahun.

kerajaanrakyat
susunan illustrasi: GB

http://pinkturtle2.blogspot.com/2009/03/berita-penuh-kisah-altantuya-dari.html

Read More...

Himpunan bantah dasar bahasa Inggeris tukar ganas, 5 ditahan

Mstar Online

Samad Said, Hassan serah memorandum, perarakan surai selepas sejam

TINDAKAN POLIS... Pihak berkuasa keselamatan melepaskan tembakan gas pemedih mata untuk menyuraikan kumpulan yang menyertai perarakan menuju Istana Negara petang tadi.


SURAI... Anggota Pasukan Simpanan Persekutuan melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan penyokong Perhimpunan 100,000 Rakyat hari ini.


BANTAH... Penyokong-penyokong Perhimpunan 100,000 Rakyat yang diadakan di ibu negara bagi membantah dasar bahasa Inggeris untuk mengajar subjek Sains dan Matematik di ibu negara hari ini.


BANTAH... SEBAHAGIAN daripada mereka yang menyertai Perhimpunan 100,000 Rakyat hari ini.

[DIKEMAS KINI, 8 MALAM] PETALING JAYA: Perhimpunan 100,000 Rakyat petang ini - dianjurkan bagi membantah pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), bertukar ganas dengan lebih 5,000 penyokongnya merempuh sekatan polis untuk menuju ke Istana Negara.

Bagaimanapun perarakan itu berjaya disuraikan sebelum mereka tiba di kawasan Istana Negara.

Menurut kenyataan Polis Diraja Malaysia (PDRM), lima orang ditangkap iaitu empat orang di Istana Negara dan seorang di Masjid Negara di bawah Seksyen 27 Akta Polis 1967 dan Seksyen 341/353 Kanun Keseksaan.

"Polis Kuala Lumpur akan meneruskan siasatan ini dan akan memanggil beberapa individu yang terlibat dalam perhimpunan dan perarakan tersebut," kata polis dalam kenyataan itu.

Insiden itu juga menyebabkan kesesakan teruk di ibu negara pada sebelah petang.

Pihak polis telah memulakan sekatan di 16 lokasi di sekitar ibu negara sejak awal pagi tadi.

Beratus-ratus penyokong merempuh sekatan polis bermula di Masjid Negara, yang jauhnya kira-kira satu kilometer pada pukul 2 petang tadi untuk menuju ke Istana Negara.

Perhimpunan itu dianjurkan oleh Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP).

Kira-kira 20 minit kemudian mereka melepasi Jalan Kg. Atap menuju ke Jalan Istana.

Bagaimanapun mereka ditahan di laluan pertemuan Jalan Kg. Atap-Jalan Syed Putra daripada memasuki kawasan Jalan Istana.

Sebaik sahaja mereka tiba di kawasan pertemuan Jalan Syed Putra-Jalan Kg. Atap, anggota pasukan keselamatan melepaskan tembakan gas pemedih mata.

Mereka bertindak merempuh pintu besar Masjid Negara, Kuala Lumpur selepas tidak berpuas hati dengan keputusan polis yang sebelum ini hanya membenarkan tujuh wakil GMP ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum mereka kepada Yang di-Pertuan Agong.

Pun begitu, kira-kira pukul 2.30 petang tadi, hanya Pengerusi Jawatankuasa Induk GMP, Datuk Dr. Hassan Ahmad dan Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said yang berada di pintu masuk utama ke kawasan Istana Negara.

Hassan dan A. Samad memasuki kawasan Istana Negara pukul 2.35 petang dan keluar 15 minit kemudian.

Memorandum pihaknya diserahkan kepada Penolong Datuk Paduka Maharajalela Azuan Effendy Zairakithanini.

Sepatutnya tujuh orang dimaklumkan telah mendapat kebenaran untuk memasuki Istana Negara bagi menyerahkan memorandum.

Terdahulu mereka berhimpun di kawasan Masjid Negara walaupun berhadapan dengan hujan renyai-renyai.

Anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang ditempatkan di kawasan Masjid Negara juga tidak mampu untuk menahan kumpulan berkenaan daripada 'melepasi' garisan kawalan keselamatan.

Helikopter PDRM juga berlegar memantau pergerakan penyokong perhimpunan itu.

KOMEN KETUA POLIS NEGARA

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, pada awalnya kumpulan tersebut yang diketuai Datuk Hassan Ahamd, A. Samad dan Dr. Shaharil MD Zain telah bersetuju bahawa mereka tidak akan mengadakan sebarang perhimpunan ataupun demonstrasi.

"Mereka telah bersetuju akan menghantar wakil ke Istana Negara selepas sembahyang Zohor tetapi apabila parti-parti politik seperti PAS dan PKR terlibat bersama, ia berubah menjadi perarakan haram.

"Kami tiada pilihan dan terpaksa menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan kumpulan yang mengingkari amaran polis," katanya.

Read More...

Saturday, March 7, 2009

Isyarat jelas rakyat tolak PPSMI, himpunan 100,000 berjaya! - Abu Bakar Chik

Harakahdaily

Azamin Amin Foto | Wan Zahari Wan Salleh
Sat | Mar 07, 09 | 5:26:03 pm MYT

KUALA LUMPUR, 7 Mac (Hrkh) - Sungguhpun himpunan 100,000 hari ini dianggap hebat dan luar biasa kejayaannya namun insiden kekasaran dan serangan pihak polis yang terpaksa menurut arahan kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak boleh diterima sama sekali

Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat Dato' Abu Bakar Chik berkata serangan bertubi-tubi dan tanpa belas kasihan itu tidak mematahkan semangat tinggi dan 'membakar' hasrat rakyat khususnya para pejuang bahasa yang mahu menjujung dan memartabatkan Bahasa Melayu sekaligus membantah dasar PPSMI yang diperkenal kerajaan BN.

"Saya bersyukur dan rasa terharu dengan sokongan yang ditunjukkan oleh rakyat seluruhnya yang sanggup bersusah-payah mengharungi asakan pihak polis untuk menyampaikan suara hati mereka kepada Yang Dipertuan Agong.

"Target dan hasrat kita hari tercapai dengan terkumpulnya lebih 100,000 rakyat dan serahan memo juga berjaya disampaikan," katanya ketika dhubungi Harakahdaily kira-kira jam 5.00 petang tadi. Image

Beliau juga kagum dengan semangat para pejuang bahasa yang menunggu dan bersama-sama rakyat berarak dari mula acara sehinggalah himpunan bersurai seusai bacaan doa di adakan di pekarangan masjid negara kira-kira 4.45 petang tadi

"Isyaratnya sudah jelas, rakyat sangat-sangat tidak puas hati terhadap dasar kerajaan BN dalam menggangkat bahasa Melayu dan meneruskan dasar PPSMI itu. Oleh itu rakyat mahukan perubahan dan tidak mahu melihat lagi kedegilan kerajaan BN.

"Justeru kita berharap agar Yang DiPertuan Agong dan Majlis Raja-raja akan memperhalusi dan mempertimbangkan isu ini demi kedaulatan Bahasa Melayu di negara ini," katanya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu. Image

Sementara itu, beliau yang kecewa dengan sikap dan tindak tanduk polis yang sewajarnya melindungi orang awam dan para peserta daripada berlaku insiden tidak diingini sebaliknya mencetuskan suasana huru-hara mengakibatkan ramai pihak yang diasak teruk dan mengalami kecederaan.

"Asalnya polis benarkan, tiba-tiba di penghujung meraka bertindak kasar kepada orang ramai. Saya kira ini bukan kehendak mereka tetapi terpaksa ikut arahan BN yang tidak peduli keselamatan rakyat dan meremehkan suara mereka Image

"Yang hadir ada 60, 70 tahun ke atas malah kanak-kanak juga terpaksa menghadapi gas pemedih mata dan insiden kejar-mengejar yang menjadikan suasana hiruk-pikuk sedangan PDRM berperanan menjaga keselamatan. Saya sangat kecewa dengan tindakan polis yang hanya mengikut telunjuk Bn yang terang menganiaya rakyat" katanya dengan penuh semangat.

Katanya pihak polis perlu menghormati rakyat yang bersungguh-sungguh hadir untuk menunjukkan sokongan memartabatkan bahasa melayu dan bukan datang seperti 'penjenayah' yang wajar diperlakukan sebegitu rupa.

Di akhir perbualan beliau sekali lagi merasa bersyukur dan menganggap ianya satu sejarah telah tercipta membuktikan rakyat sudah berani bersuara untuk memastikan kerajaan bertindak demi kepentingan bahasa, bangsa dan agama. -azm _

Read More...

Demo anti-PPSMI dihujani gas polis

Malaysiakini

Jimadie Shah Othman & Abdul Rahim Sabri | Mar 7, 09 1:54pm

Gerakan aktivis bahasa menentang dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) mencipta sejarah apabila turun ke jalan raya, mengulangi peristiwa perarakan Keranda 152 beberapa dekad lalu.

ppsmi march 070309 crowd.jpgPeristiwa bersejarah pada 3 Mac 1967 itu bagi membantah Rang Undang-undang Bahasa Kebangsaan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), waktu itu antara lokasi penting kegiatan sasterawan dan intelektual Melayu.

Mereka merancang mengadakan bantahan ke Parlimen. Nombor '152' merujuk Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh fasal Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Malaysia.

Hari ini, selepas 42 tahun peristiwa penting dalam perjuangan mendaulatkan Bahasa Melayu, kira-kira 8,000 orang berarak dari Masjid Negara selepas jam 2 petang tadi.

Mereka bagaimanapun dihujani tembakan gas pemedih mata oleh polis di sekitar Kampung Attap, hanya beberapa ratus meter dari pintu masuk utama Istana Negara.

anti ppsmi rally 070209 climbing to palacePeserta perhimpunan itu - yang asalnya hanya dibenarkan oleh polis diadakan di masjid tersebut - melanggar arahan polis yang melarang sebarang perarakan.

Mereka berhasrat membawa memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon campur tangan baginda dalam pemansuhan dasar kontroversi itu yang diperkenalkan sejak 2003.

Polis pada mulanya berkawal dekat mahkamah syariah Wilayah Persekutuan, beberapa ratus meter dari Masjid Negara, jalan menuju istana melalui Lebuhraya Mahameru.

Untuk memintas sekatan polis di situ, kumpulan ribuan penentang dasar tersebut - termasuk pemimpin dan penyokong PAS dan PKR - bergerak melalui jejantas depan masjid menuju ke arah Kampung Attap melalui Jalan Syed Putra.

anti ppsmi rally 070209 tear gasPolis melepaskan berpuluh-puluh das gas pemedih mata ke arah kumpulan penentang dasar PPSMI di situ bermula jam 2.40 petang sehingga memecahkan kumpulan tersebut kepada beberapa kelompok kecil.

Suasana kelam-kabut, orang ramai yang berpakaian putih dengan tulisan merah "Mansuhkan PPSMI" dan "Selamatkan Bahasa Melayu" - sebagai lambang membantah PPSMI - di barisan hadapan bertempiaran lari.

Walaupun kelihatan asap gas pemedih mata berkepul-kepul di udara, barisan belakang peserta perhimpunan terus bergerak ke depan, dengan harapan dapat menuju ke Istana Negara.

ppsmi march 070309 tear gas.jpgMereka bersurai seketika bagi mengelak kesan asap gas pemedih mata. Manakala sebahagian lagi terus berdegil cuba berarak ke istana walaupun diminta bergerak pulang ke masjid.

Polis antirusuhan pula memancutkan air kepada orang ramai di jalan pendek menuju mahkamah syariah dari arah Jalan Syed Putra sewaktu mereka ingin pulang ke lokasi awal perhimpunan.

Sebahagian peserta demonstrasi telah kembali ke Masjid Negara selepas jam 3 petang tadi.

Ratusan orang ramai yang berkumpul di perkarangan masjid sekali lagi ditembak dengan gas pemedih mata. Beberapa das tembakan kedengaran.

Sementara di Istana Negara, kawalan lebih 150 anggota polis dan unit pencegah rusuhan FRU, termasuk kenderaan pemancut air.

Polis membuka semula laluan hampir jam 4 petang di Lebuhraya Mahameru dari kedua-dua arah yang ditutup selama 90 minit bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

anti ppsmi rally 070209 rally bannerEmpat lelaki berusia, dijangka antara 30-an hingga 50-an, ditahan polis dan mereka dimasukkan di dalam sebuah trak di depan istana.

Butiran lanjut belum diperolehi. Usaha Malaysiakini mendapatkan ulasan pegawai polis di situ gagal.

Penasihat Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP), yang menganjurkan perhimpunan itu, Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dan pengerusinya Datuk Dr Hassan Ahmad berjaya menyerahkan memorandum anti-PPSMI.

Penolong Datuk Paduka Maharajalela, Azuan Effendy Zairakithnaini menerima memorandum bersejarah itu di pintu masuk utama Istana Negara kira-kira jam 2.50 petang.

Lima lagi pemimpin GMP yang dijadual menyerahkan memorandum tersebut tidak kelihatan, dipercayai tersekat dalam kumpulan penyokong gerakan itu.

Bercakap kepada media selepas penyerahan tersebut, A Samad berkata rombongan pemimpin GMP pada asalnya merancang ke istana dengan kereta, bagaimanapun ia gagal kerana kesesakan.

"Saya berjalan (ke istana), sepatutnya diiringi dengan motokar," katanya.

anti ppsmi rally 070209 pak samad chokesTambahnya, inilah "pengalaman pertama" matanya pedih dan melalui keadaan tolak-menolak dalam kumpulan penentang PPSMI sewaktu menuju ke istana.

"Rupa-rupanya begini caranya untuk menyelamatkan bahasa," katanya (dua dari kanan).

Perjuangan menentang dasar ini tidak akan berhenti hari ini, katanya lagi, malah ia akan diteruskan pada masa akan datang.

Selain Ketua I Persatuan Penulis Nasional (Pena) Datuk Baha Zain dan beberapa sasterawan Melayu, pemimpin pembangkang yang kelihatan termasuk Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, timbalannya Nasharuddin Mat Isa, naib presiden Mohamad Sabu, setiausaha agung Datuk Kamaruddin Jaafar, ketua penerangan Datuk Mahfuz Omar dan naib ketua Angkatan Muda PKR Khairul Anuar Ahmad Zainuddin.

Read More...

PPSMI: Perarakan berjaya


Suara Keadilan

Kemaskini: Kuala Lumpur 7 Mac (SK): Penasihat Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP),Sasterawan Negara A Samad Said dan pengerusinya Dr Hassan Ahmad berjaya menyerahkan memorandum anti-PPSMI ke Istana Negara.

Kira-kira jam 2.50 petang tadi memorandum berkenaan kepada penolong Datuk Paduka Maharajalela, Azuan Effendy Zairakithnaini di pintu masuk utama Istana Negara.

Lain-lain pemimpin GMP yang dijadual menyertain penyerahan memorandum tersebut tidak dapat sampai ke Istana kerana disekat polis dalam kekecohan ala zionis membedil meriam air dan gas pemedih mata di sepanjang jalan menujuke Istana Negara.

Sekuruh kawasaan Istana Negara yang selama ini tenang di kawal rapi oleh pasukan polis.

Difahamkan President PAS Abdul Hadi Awang juga antara 120 ribu penentang PPSMI itu menyertai perarakan tersebut.

Demonstrasi menentang PPSMI kini bersurai pada jam 4.10 petang.

Read More...

Himpunan 100 ribu: Polis bedil Masjid Negara!

Harakahdaily

Oleh Irwan,Saidah,Anis,Intan,Salmiyah, Roy, Arif & Atriza.
Sat | Mar 07, 09 | 9:18:15 am MYT

Terkini|KUALA LUMPUR, 7 Mac (Hrkh) - Maklumat terkini daripada petugas Harakah di lokasi memaklumkan bahawa pihak berkuasa melepaskan gas pemedih mata dan pancutan air daripada 'Water Cannon' kepada orang ramai yang berada di dalam kawasan Masjid Negara.

Berikut adalah beberapa perkembangan terkini yang dibawa secara langsung oleh para wartawan Harakah yang bertugas di 3 lokasi perhimpunan serta di kawasan Istana Negara:

3.45 petang: Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaffar dan Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli dihalang pihak polis daripada bergerak ke Istana Negara.

3.25 petang: Sebahagian peserta himpunan tidak dibenarkan untuk masuk ke dalam masjid oleh pihak polis.

3.15 petang: Pihak berkuasa mula menyembur pancutan air daripada 'Water Cannon' dan melepaskan gas pemedih mata sebanyak 5 das kepada orang ramai yang sedang berehat di Masjid Negara.

3.00 petang: Ustaz Riduan Mohd Nor mengajak orang ramai untuk kembali semula ke Masjid Negara memandangkan pihak polis masih bertalu melepaskan gas pemedih mata.

2.55 petang: Sasterawan Negara, Dato' A Samad Said kelihatan berada di pintu pagar Istana Negara. Sebelum itu,beliau kelihatan diiringi pihak polis untuk masuk ke dalam kawasan istana dan keluar semula kira-kira 15 minit kemudian.

2.50 petang: Polis masih terus melepaskan gas pemedih mata. Dalam masa yang sama amaran dikeluarkan agar semua bersurai jika tidak tangkapan akan dilakukan.

2.35petang: pihak polis mula melepaskan berpuluh gas pemedih mata.

2.30 petang: Dianggarkan lebih 150 ribu orang sedang berusaha untuk menembusi sekatan FRU di jalan menghala ke Istana Negara.

2.21 petang: Kumpulan daripada Sogo yang berarak telah mula bersatu dengan kumpulan daripada Dayabumi,dianggarkan lebih 5,000 orang ketika ini sedang bergerak ke arah Istana Negara.

Sementara itu, dilaporkan bahawa FRU sedang mengalihkan trak untuk membuat hadangan terhadap kumpulan daripada Masjid Negara.

2.20 petang: Dianggarkan lebih 1,000 orang sedang berarak daripada Pasar Seni ke arah Dataran Merdeka dengan dipimpin oleh Ustaz Abu Bakar Chik.

Sementara itu, di Istana Negara para wartawan telah diarahkan untuk meninggalkan kawasan istana oleh polis. Dilaporkan,pihak polis sedang membuat hadangan di hadapan istana.

2.16 petang: Sementara di Pasar Seni, Ustaz Abu bakar Chik sedang membaca doa dan pihak polis telah membenarkan kumpulan di situ untuk berarak.

2.15 petang: Namun, rantaian sekatan yang dibuat FRU telah dirempuh oleh rakyat yang berhimpun dengan laungan 'Allahuakbar'!

2.10 petang: FRU ketika ini sedang menghalang rakyat yang berhimpun di Masjid Negara daripada berarak ke Istana Negara.

2.05 petang:Pihak polis sedang menghalang beberapa kumpulan di Pasar seni daripada berhimpun dan berarak ke Masjid Negara.

2.00 petang: Beberapa pimpinan Pakatan Rakyat sertai AJK GMP sedang berucap untuk menaikkan semangat rakyat yang hadir agar berarak ke Istana Negara.

1.52 petang: Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub,Dr Syed Azman, Dato' Mahfuz Omar sedang memimpin perarakan daripada Kompleks Sogo bersama lebih 1,000 orang yang menyokong untuk membantah dasar PPSMI.

Walaupun,hujan turun namun semua bersemangat dengan meneriak pelbagai slogan.

1.50 petang:Pihak kerajaan melaksanakan 'languange cleansing' (pembersihan bahasa) kerana berdegil untuk meneruskan dasar PPSMI walaupun dibantah oleh rakyat.

1.35 petang: Dua buah bas yang membawa orang asli daripada Tapah,Perak telah ditahan pihak polis di Damansara dan dibawa ke Balai Polis Sentul untuk disoal siasat.

1.25 petang:Sekumpulan wakil daripada Chinese Assembly Hall telah tiba di pekarangan Masjid Negara dan turut menyatakan sokongan terhadap bantahan PPSMI.

1.15 petang:Sasterawan Negara,Dato' A. Samad Said melahirkan kekecewaan dengan sistem demokrasi negara apabila dilaporkan dua buah bas yang sedang menuju ke Masjid Negara telah ditahan polis.

1.10 petang:Pihak polis mengarahkan sepanduk membantah PPSMI diturunkan di Masjid Negara.

1.00 petang: Dato' Dr Hassan Ahmad melahirkan rasa terharu dengan jumlah kehadiran yang begitu ramai hari ini dan ia jelas menandakan PPSMI ditolak oleh rakyat.

Dalam pada itu, Dr Hassan memaklumkan setelah berunding dengan wakil GMP,pihak polis hanya membenarkan sebanyak 7 orang dengan 3 buah kereta bergerak ke Istana Negara selepas solat Zohor (sekitar jam 2.00 petang). Turut serta adalah beberapa wakil NGO berbangsa Cina. Namun, pihak polis masih melarang untuk diadakan sebarang perarakan,tetapi perhimpunan hanya dibenarkan di kawasan masjid sahaja.

12.50 tengahari: Kira-kira 10,000 orang sudah mula berhimpun di sekitar kawasan Masjid Negara dengan memakai baju berwarna putih.

12.45 tengahari: Lebih 1,500 orang daripada Kelantan telah tiba di KL Sentral melalui keretapi dan kini telah bergerak ke tiga lokasi yang ditentukan oleh pihak penganjur.

12.45 tengahari:Keadaan di Masjid Negara masih terkawal,namun anggota polis dianggarkan lebih 50 orang ditempatkan sekitar kawasan masjid.

12.30 tengahari: Jalan dari arah Jalan Klang Lama dan Parlimen telah ditutup oleh pihak polis.

12.00 tengahari: Kawasan sekitar Pasar seni mula gamat dengan anggota polis yang ditambah lebih 100 orang. Sementara itu, di hadapan bangunan Jawi kelihatan 3 buah trak 'Water Cannon'.

11.40 pagi: Pihak polis dan FRU kelihatan telah bersedia di kawasan Istana Negara. Trak 'Water Cannon' hanya sebuah tetapi anggota FRU dianggar sekitar 100 orang. Dalam pada itu, helikopter kelihatan berlegar di kawasan istana.

11.20 pagi:Kawasan pusat membeli belah Sogo mula terasa bahangnya apabila bilangan anggota polis mula bertambah lebih 100 orang.

10.35 pagi: Kawasan membeli belah Kompleks Sogo pula kelihatan lebih 30 anggota polis sedang berkawal,namun suasana masih terkawal.

10.20 pagi: Tinjauan harakahdaily mendapati sebanyak 5 buah trak FRU kelihatan di Dataran Merdeka.

10.04 pagi: Kawasan di sekitar pasar Seni mula terasa bahang Himpunan apabila beberapa kelompok orang ramai di lihat berkumpul. wartawan Irwan,melaporkan kelihatan lebih 30 anggota polis di kawasan ketak kereta Pasar Seni.

9.20 pagi: Jalan menuju ke pusat bandar raya dari arah Jalan Kuching mula sesak apabila pihak polis mula mengadakan sekatan jalan raya.

9.00 pagi: Helikopter milik pasukan polis mula kelihatan dan berlegar di sekitar bandaraya. - mks.

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |