+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Sunday, May 18, 2008

Buang pasport lebih 'selamat'

Kosmo Online


PASPORT-PASPORT Indonesia yang dibuang di sebuah kawasan semak di pinggir Kuala Lumpur baru-baru ini.


KUALA LUMPUR - Nilai sebenar pasport Indonesia hanyalah untuk melepasi pemeriksaan Jabatan Imigresen Malaysia ketika memasuki negara ini.

Itulah pengakuan beberapa warga Indonesia ekoran penemuan pasport-pasport negara itu yang dibuang di kawasan-kawasan semak setelah tempoh tinggal yang dibenarkan di negara ini tamat.

Apa motif pemiliknya? Kebanyakan warga Indonesia tanpa pasport yang ditemui berkata, cara begitu disifatkan lebih selamat kerana mereka akhirnya akan dihantar juga pulang ke negara asal jika ditangkap.

"Paling lama, kami akan ditahan dalam pusat tahanan selama enam bulan atau satu tahun dan kemudian kami akan dihantar pulang.

"Kalau balik sendiri melalui cara haram risikonya tinggi selain terpaksa keluar duit untuk bayar tambang bot atau mungkin ditangkap pihak berkuasa," kata seorang pendatang tanpa izin (PATI) yang dikenali sebagai Sudir.

Menurut seorang PATI yang cuma ingin dikenali sebagai Sarjono pula, mereka pada hakikatnya datang secara sah dan keluar dari negara ini juga secara sah.

"Melupuskan pasport adalah cara terbaik untuk balik semula ke negara kami setelah tinggal melebihi tempoh dan cara kepulangan kami juga lebih selamat kerana dihantar oleh pihak berkuasa.

"Jika ditangkap, kami tidak kisah pulang sehelai sepinggang kerana kami pasti akan datang semula satu hari nanti tetapi menggunakan pasport baru yang berlainan identiti," katanya penuh yakin.


ANTARA pasport Indonesia yang sengaja dibuang di kawasan semak di Hulu Yam, Selangor baru-baru ini.


Seorang lagi PATI yang dikenali sebagai Ludin berkata, jika mereka ditangkap di Malaysia kerana memiliki pasport yang telah tamat tempoh, tindakan yang dikenakan lebih menyusahkan.

Dia yang datang semula ke negara ini buat kali kedua dengan nama lain pernah dikenakan hukuman penjara selama tiga bulan sebelum dihantar pulang pada tahun 2003.

"Ada pasport pun tiada guna sebab telah tamat tempoh malah masalah yang kami tanggung lebih teruk berbanding mereka yang memasuki negara ini secara haram.

"Cara terbaik, buangkan sahaja dan mengaku sahaja masuk ke negara ini secara haram," jelasnya yang pernah dihantar pulang melalui program pemutihan beberapa tahun dulu.

Sebelum itu, pada pengalaman pertama, dia masuk ke negara ini secara haram menggunakan jalan laut yang diatur oleh calo (orang tengah yang membawa masuk mereka secara haram).

"Melalui calo, kami perlu membayar wang yang banyak sehingga ada yang terpaksa berhutang dan risikonya juga tinggi," jelasnya.

Seorang lagi pendatang asing yang cuma dikenali sebagai Bambang menjelaskan, walaupun tanpa pasport, mereka tetap juga akan dihantar pulang jika ditangkap.

"Kami dapat pulang dengan percuma tanpa perlu membiayai sebarang kos perjalanan dan selalunya kalau ada pasport, macam-macam perkara perlu kami lalui.

"Selepas tiga bulan, kami akan datang semula secara sah dengan pasport baru," ujarnya.


Jaafar


Sementara itu, Pegawai Rela Daerah Gombak, Leftenan Kolonel (Rela) Jaafar Abdul Rahman mendedahkan, penemuan pasport yang dibuang oleh warga asing adalah perkara biasa.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |