Mstar Online
17-05-2008 09:17:45 PM
JOHOR BARU: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini berkata, beliau bersedia disiasat dan didakwa di mahkamah berhubung isu aturan pelantikan hakim-hakim, sebagaimana disyorkan oleh Suruhanjaya Diraja Mengenai Klip Video Datuk V.K Lingam.
Kata beliau, pendakwaan terhadapnya di mahkamah akan memberi peluang untuk menerangkan tentang pelbagai perkara yang dilakukan oleh hakim-hakim termasuk berkenaan usaha melobi.
Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Forum UMNO Pascapilihan Raya Umum Ke-12 anjuran Badan Bertindak Gabungan AhliAhli Akar Umno Johor dan MykmuJohor.com di sini hari ini, Dr. Mahathir berharap siasatan terhadapnya tidak akan ditamatkan di atas alasan tiada kes.
"Jikalau didakwa di mahkamah, maka saya dapat menerangkan apa yang saya lakukan dan apa yang orang lain termasuk hakim telah lakukan di dalam perkara lobi.
"Saya hendak cerita berkenaan hakim-hakim yang melobi saya. Jikalau melobi adalah salah, maka hakimhakim ini sepatutnya disiasat," kata beliau.
Semalam Kabinet memutuskan supaya Jabatan Peguam Negara memulakan siasatan serta-merta berhubung segala tuduhan terhadap individu yang dinamakan dalam laporan Suruhanjaya Diraja itu, yang menyiasat klip video yang mengandungi perbualan Lingam, seorang peguam kanan dengan hakim kanan bagi mengatur pelantikan hakim.
Selain beliau, Individu yang dinamakan dalam laporan itu terdiri daripada Lingam, bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, tokoh korporat Tan Sri Vincent Tan, dua bekas ketua hakim negara iaitu Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan Tun Mohd Eusoff Chin.
Dr. Mahathir berkata, beliau tidak menyangka mereka yang melobi itu melakukan perkara yang salah, kerana sepanjang menjadi perdana menteri, banyak pihak yang melobinya, baik untuk jawatan menteri, timbalan menteri dan jawatan-jawatan di dalam kerajaan.
Bagaimanapun kata bekas Perdana Menteri itu, keputusan yang dibuatnya tentang sesuatu pelantikan termasuk hakim-hakim adalah berdasarkan kepada penilaiannya sendiri.
"Keputusan saya adalah berdasarkan penilaian saya. Saya tidak peduli siapa lobi, siapa cerita, kalau saya putuskan orang itu patut dilantik, saya akan lantik. Jikalau tak patut dilantik, walau dicadang oleh hakim, saya tidak akan lantik.
"Saya bukan posmen, bila Ketua Hakim cadang saya pun kata lulus dan pergi ke Yang di-Pertuan Agong dan baginda lulus. Kalau macam itu, lebih baik kata pelantikan Ketua Hakim harus diputuskan oleh Ketua Hakim, jadi saya tiada peranan langsung. Saya tidak mahu jadi posmen," kata Dr. Mahathir.
Beliau juga ditanya cadangan Suruhanjaya Diraja agar siasatan turut dilakukan terhadap Vincent Tan dan Tengku Adnan.
Dr. Mahathir berkata, beliau tidak mengetahui peranan mereka kerana mereka tidak pernah melobi dengannya.
"Sesiapa sahaja boleh memberi pandangan tentang pelantikan sesiapa, Perdana Menteri atau bakal Timbalan Perdana Menteri," menurutnya sambil menambah, sistem pelantikan hakim sedia ada adalah baik.
"Apa yang menjadikan sistem itu tidak berjalan dengan baik adalah manusia," katanya.
Forum itu dihadiri oleh kira-kira 2,000 orang, termasuk anggota Parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir, bekas Menteri Besar Kedah Tan Sri Sanusi Junid, bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times Datuk A. Kadir Jasin, bekas anggota Parlimen Parit Sulong Datuk Ruhanie Ahmad yang menjadi anggota penal majlis tersebut.
0 comments:
Post a Comment