Malaysiakini |
May 18, 08 6:30am |
Keputusan membatalkan penggunaan dakwat khas dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu bukan satu arahan, tetapi sebaliknya pandangan kerajaan kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Perdana Menteri berkata walaupun pada dasarnya keputusan itu dibuat oleh kerajaan namun ia disampaikan dalam bentuk pandangan dan keputusan akhir tetap tertakluk kepada budi bicara SPR selaku suruhanjaya yang menggerakkan perjalanan pilihan raya di negara ini. "Memang perkara itu menjadi tajuk yang dibincangkan dalam Kabinet sebab kita ada beberapa maklumat berkaitan perkara ini, antaranya ada pihak-pihak tertentu yang telahpun membeli dakwat ini walaupun mereka tidak ada kuasa untuk membelinya. "Dan kita mencurigai bahawa dakwat itu akan digunakan dengan cara-cara yang boleh mengelirukan dan menimbulkan keadaan yang boleh menyulitkan, boleh membawa masalah kepada proses pengundian yang berlaku pada hari itu," katanya. Menurut laporan Bernama, Abdullah berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman semalam, bahawa penggunaan dakwat khas itu tidak diluluskan oleh Kabinet walaupun telah dipersetujui oleh SPR. Perdana Menteri berkata, pihaknya ada menerima laporan bahawa penggunaan dakwat itu akan membawa kepada beberapa masalah yang tidak diingini justeru ia dibatalkan selepas mengambil kira faktor-faktor tertentu. "Saya kata begini, soalnya kita hendak teruskan juga (penggunaan dakwat khas) dan biarkan kemungkinan berlaku sesuatu daripadanya atau kita kata tak payah pakailah kerana itu lebih terjamin, tidak akan ada masalah. Laporan polis JPM "Pilihanraya sudah berjalan dengan baik, keputusan sudah diumumkan dan semua pihak dah menerima, jadi apa lagi yang hendak dijadikan isu," katanya. Sementara itu, Bernama juga memetik Abdullah sebagai mempertahankan tindakan Jabatan Perdana Menteri (JPM) membuat laporan polis ke atas beberapa akhbar berikutan penyiaran kandungan laporan siasatan suruhanjaya diraja mengenai klip video perbualan seorang peguam dengan hakim kanan bagi mengatur pelantikan hakim. Sambil menyifatkan penyiaran tersebut sebagai `sesuatu yang tidak betul dan tidak wajar', perdana menteri berkata, laporan berkenaan seharusnya dibentangkan terlebih dahulu kepada kerajaan. Beliau berkata keputusan sama ada hendak menjadikan laporan itu bahan bacaan umum atau bahan rahsia adalah hak kerajaan, justeru tidak wajar sekiranya ada pihak-pihak tertentu yang ingin mendahului kerajaan dalam hal itu. "Itu adalah perkara yang penting, jadi sebelum kerajaan buat apa-apa keputusan, tidak wajarlah bagi mana-mana pihak hendak mendahului kerajaan mengeluarkan dan melaporkan hal-hal yang berkaitan dengan beberapa perkara yang ada dalam laporan itu. "Ini satu tindakan yang tidak betul, tidak wajar dilakukan jadi tentulah pihak jabatan yang bertanggungjawab untuk menyediakan laporan ini akan merasa sesuatu yang tidak kena, sesuatu yang tidak betul, sesuatu yang melanggar undang-undang yang mengikut pandangan mereka. Maka sebab itulah mereka membuat aduan itu dan tindakan itu satu tindakan yang wajar," katanya di sini, Sabtu. Abdullah diminta mengulas mengenai laporan polis yang dibuat oleh JPM berikutan tindakan akhbar The Star, New Straits Times dan Berita Harian menyiarkan kandungan laporan siasatan suruhanjaya berkenaan. Kedudukan Tengku Adnan Menjawab dakwaan bahawa laporan itu tidak tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA), perdana menteri berkata pihak yang berkenaan perlu mengambil kira keperluan untuk laporan tersebut disampaikan kepada kerajaan terlebih dahulu. "Jadi itu yang pentingnya, kerajaan dulu, sebab itu apabila saya ditanya mengenai laporan ini, adakah mahu mendedahkannya kepada umum, saya kata tunggu kejap. Pada waktu itu saya pun belum baca lagi, saya sendiri belum tengok, tiba-tiba saya kata umumkannya, takkan begitu. "Kalaupun saya dah baca, saya kena tunggu juga untuk membentangkannya kepada jemaah menteri. Ini yang lazimnya yang kita lakukan untuk laporan-laporan suruhanjaya lain," katanya. Abdullah berkata adalah tidak wajar untuk menyiarkan laporan itu sedangkan ia belum dibentangkan kepada kerajaan. Mengulas mengenai kedudukan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berhubung pembabitannya dalam siasatan suruhanjaya berkenaan, Abdullah meminta kerjasama media agar tidak membuat spekulasi sendiri mengenai perkara itu. Beliau berkata perkara itu tidak seharusnya dijadikan 'pendakwaan awam' memandangkan ia akan mewujudkan ketidakadilan kepada individu yang terlibat dalam siasatan itu. "Jangan buat tuduhan yang bukan-bukan. Ini tak adil kepada orang yang berkenaan. Tunggu siasatan, jangan buat siasatan itu dan ini dan buat tuduhan sendiri," katanya. Katanya, laporan siasatan itu telah diserahkan kepada peguam negara selaku penasihat kerajaan dalam aspek perundangan untuk tindakan selanjutnya. |
Sunday, May 18, 2008
PM: Batal dakwat budi bicara SPR
Posted by
Sang Pemantau
at
2:59 PM
Labels: bohong rakyat, malaysiakini, Pak Lah undur, SPR
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment