Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyambut hari jadinya yang ke 61 memotong kek di majlis makan malam di New York. Berdiri disebelah beliau ialah isterinya, Puan Seri Noorainee Abdul Rahman. Foto: Baizura Basri |
NEW YORK, 17 Mei (Bernama) -- "Saya paling tidak banyak cita-cita di kalangan ahli politik," kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin secara berseloroh pada jamuan malam di sini Jumaat.
Kenyataan beliau itu mencuit hati kira-kira 100 orang pelajar, profesional dan pegawai-pegawai kerajaan Malaysia di majlis itu.
Beliau menjawab soalan dari seorang hadirin mengenai kemungkinan beliau bakal menjadi Perdana Menteri.
Muhyiddin, yang menyambut hari jadinya yang ke 61 Khamis lepas, mengetuai misi perdagangan dan pelaburan ke Detroit dan New York dari 13 hingga 19 Mei. Jamuan adalah bersempena misi itu.
Menyentuh isu lain secara lebih serius, Muhyiddin, yang juga naib presiden Umno berkata cabaran paling besar bagi parti itu dan negara ialah memiliki kepimpinan yang kuat.
"Perkara paling penting buat Umno ialah mempunyai kepimpinan yang kuat bagi menyediakan masa depan yang lebih baik untuk parti. Anda perlu mempunyai kepimpinan yang kuat memandangkan profil penduduk Malaysia telah berubah.
"Ini cabaran paling besar dan persoalannya bagaimana menanganinya," kata beliau.
Muhyiddin berkata Barisan Nasional (BN) dan Umno khususnya, akan "hanyut" jika krisis kepimpinan sekarang tidak dikendalikan dengan betul.
"Terdapat anjakan dalam cara pemikiran rakyat, jadi kita perlu menyusun semula tentang apa yang harus dilakukan untuk menangani ini," kata menteri itu.
Oleh itu, Umno dan BN mesti memahami perubahan cara pemikiran ini, terutama di kalangan genersi muda yang terus mahukan perubahan," ujarnya.
-- BERNAMA
0 comments:
Post a Comment