+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, May 29, 2008

Dua harga jual petrol, diesel

Berita Harian

Oleh Azman Zakaria, Abdul Halim Yusoff, Nazura Ngah dan Sazarina Shahrim


PERDANA Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan bekas Ketua Pemuda PKR Mohamad Ezam Mohd Nor ketika sidang media selepas menyerahkan borang keahlian ahli Umno di parlimen, semalam. - Gambar Rosdan Wahid

Sistem berperingkat pastikan rakyat nikmati subsidi, warga asing beli ikut pasaran

KUALA LUMPUR: Kerajaan mungkin melaksanakan sistem harga berperingkat bagi petrol dan diesel untuk kenderaan yang didaftarkan di negara ini serta negara asing, dalam usaha memastikan subsidi yang diberikan hanya dinikmati rakyat tempatan.

Melalui sistem harga berperingkat itu, semua pemilik kenderaan yang didaftarkan di luar negara perlu membeli petrol atau diesel mengikut harga pasaran dunia jika memasuki negara ini.Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata pelaksanaan langkah itu dapat membantu memastikan hanya rakyat tempatan menikmati subsidi minyak yang diberikan kerajaan, manakala kenderaan asing dikehendaki membayar harga penuh (mengikut pasaran semasa).

"Mesyuarat Kabinet pada Jumaat ini (esok) akan membincangkan cadangan supaya kenderaan asing yang mengisi minyak dan petrol dikenakan bayaran mengikut harga pasaran," katanya selepas menerima borang keahlian Umno bekas Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Ezam Mohd Noor, di pejabatnya di bangunan Parlimen, semalam.

Isnin lalu, kerajaan memutuskan supaya semua stesen minyak yang terletak dalam lingkungan 50 kilometer (km) dari sempadan negara tidak lagi dibenarkan menjual petrol atau diesel kepada kenderaan yang didaftarkan di luar negara, mulai esok.

Larangan itu membabitkan semua stesen minyak dalam lingkungan jarak 30 hingga 50km dari sempadan Malaysia-Thailand di Perlis, Kedah, utara Perak dan Kelantan serta Malaysia-Singapura iaitu di beberapa daerah di Johor termasuk Kulai dan Johor Bahru.

Arahan bertulis mengenai larangan itu, yang dibuat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 akan dikeluarkan kepada kira-kira 200 hingga 300 pemilik stesen minyak di kawasan berkenaan, dalam masa terdekat.

Abdullah berkata, jika cadangan untuk melaksanakan sistem harga berperingkat itu dipersetujui mesyuarat Kabinet, maka kenderaan asing yang mengisi minyak di negara ini perlu membayar mengikut harga penuh.

"Tunggulah Jumaat (esok) ini (untuk pengumuman)... jika penguatkuasaannya diumumkan, semua pihak perlu ikut peraturan baru itu," katanya yang enggan mengulas lanjut.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga mungkin mempertimbangkan supaya harga jualan petrol dan diesel untuk rakyat tempatan ditentukan berdasarkan kemampuan seseorang atau mengikut kapasiti enjin kenderaan mereka.

Difahamkan, cadangan berkenaan ialah antara perkara yang dibincang oleh Jawatankuasa Kabinet Mengenai Inflasi yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam beberapa mesyuaratnya sebelum ini.

Abdullah berkata, semua cadangan itu adalah sebahagian usaha untuk membendung pengaliran keluar subsidi minyak yang diberikan kerajaan bagi meringankan beban rakyat negara ini serta mencegah penyeludupan.

"Minyak kita murah, jadi biarlah ia digunakan oleh rakyat kita dan bukan digunakan oleh orang tertentu untuk buat keuntungan. Minyak kita pun bukan banyak sangat, ada pula orang nak bawa keluar untuk buat untung... ini tak boleh.

"Minyak itu pula dibeli oleh orang yang bukan dari negara kita, sama ada dari Singapura atau Thailand. Jadi dia kena bayar harga penuh bila beli minyak dan cara yang baik ialah jika tak jual kepada mereka," katanya.

Semalam, Najib dilaporkan sebagai berkata, kerajaan dijangka mengumumkan beberapa langkah bagi mengurangkan kesan kenaikan harga minyak terhadap rakyat dan ekonomi negara selepas mesyuarat Kabinet pada Jumaat ini.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |