Tatkala Buletin Utama TV3 menyiarkan berita ura-ura Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia akan meletakkan jawatan sehingga menimbulkan kegemparan di Parlimen, beliau malam Khamis kelihatan terus mempengerusikan hari terakhir Penggal Pertama Mesyuarat Pertama Sidang Dewan Rakyat Ke-12.
Agendadaily cuba mendapatkan komen daripada Pandikar Amin.
Namun, apa yang berlaku sejurus menamatkan sidang tersebut pada jam 8.35 malam Pandikar Amin terus menuju ke bilik rehat Ahli Parlimen yang berada di situ ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Agendadaily yang turut berada di bilik rehat berkenaan segera mendapatkan reaksi Perdana Menteri mengenai laporan Buletin TV3 tersebut.
“Mana ada…apa ni,” kata Perdana Menteri sambil melihat ke wajah Pandikar Amin.
Pandikar Amin terus memberikan penjelasannya “ Mereka mungkin tidak faham slanga orang Sabah (bila bercakap dalam bahasa Inggeris)”.
Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata, memang ada wartawan bertanya kepada beliau sama ada beliau mampu bertahan menghadapi karenah Ahli-Ahli Parlimen pada sesi sidang Dewan Rakyat pertama penggal ke-12 kali ini.
“Saya menjelaskan, saya masih dapat mengawal keadaan, jika suatu masa nanti saya sudah tidak dapat mengawal keadaan, saya akan letak jawatan,” katanya menjelaskan maksud jawapannya kepada soalan yang dikemukakan oleh wartawan berkenaan.
“Saya seronok menjalankan tugas saya…saya akan terus jalankan tugas saya selagi Perdana Menteri mahu saya teruskan tugas ini,” katanya sambil disambut tepukan oleh Abdullah dan beberapa orang Menteri yang turut hadir serta dua orang Timbalan Speaker Dewan Rakyat.
Sementara itu Abdullah ketika ditanya sama ada beliau berpuashati dengan perjalanan sidang Dewan Rakyat kali ini berkata, beliau gembira dengan perjalanan Dewan Rakyat tersebut.
“Saya gembira…malah saya ikuti sidang dari atas (pejabatnya di bangunan Parlimen,” katanya.
Pandikar Amin ketika menangguhkan sidang Dewan Rakyat membaca serangkap pantun “Kalau ada jarum yang patah jangan disimpan di dalam peti, kalau ada silap dan salah, sama-sama kita perbaiki”. – 29/5/2008
0 comments:
Post a Comment