+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, May 29, 2008

Kembali kepada perjuangan pengasas bangsa - Ezam

KLpos

Cetak E-mail
Oleh Mohamad Ezam Mohd Nor
Khamis, 29 Mei 2008


SEBAIK selesai pengajian di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) pada tahun 1991, saya menyertai UMNO dengan semangat melakukan perubahan ke arah kebaikan di samping meneruskan cita-cita besar bapa-bapa pengasas negara ini (the founding fathers).

Saya dipecat dari UMNO pada tahun 1998 kerana lantang mengkritik presiden parti pada masa itu.

Semalam, saya menyatakan hasrat secara rasmi untuk kembali menyertai UMNO di hadapan Presiden Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan niat yang sama iaitu - melakukan perubahan ke arah kebaikan, mempertahan dan meneruskan cita-cita serta pengorbanan besar bapa-bapa pengasas negara ini.

Sepanjang 10 tahun saya melalui liku perjuangan yang getir, pelajaran paling berharga bagi saya dalam tempoh tersebut adalah terbitnya keyakinan di hati bahawa kemelut masyarakat dan negara ketika ini berpunca daripada persoalan rasuah dan penyelewengan.

Ini juga sesuai dengan hadis Rasulullah SAW yang kebetulan saya membacanya tatkala di penjara, "Setiap ummat ada cabarannya dan cabaran bagi ummatku adalah harta". (riwayat muslim)

Dan berdasarkan keyakinan itu, saya mengorbankan segenap jiwa dan tenaga untuk mengajak pemimpin dan masyarakat menghadapi cabaran utama kita hari ini iaitu membanteras rasuah.

Bertolak dari kesedaran itu, saya menubuhkan Gerakan Rakyat anti Korupsi (GERAK) dengan segala kepayahan dan keterbatasan tetapi tetap dengan semangat melawan demi menjadikan rasuah musuh nombor satu negara.

Kenyataan Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sebaik memegang tampuk pemerintahan bahawa memerangi rasuah adalah agenda utamanya amat menarik minat saya dan saya ikutinya secara dekat dan mendalam.

Perubahan dasar dalam kerajaan

Sementara, pengumuman Perdana Menteri beberapa minggu lalu mengenai komitmen untuk melakukan perubahan besar terhadap Badan Pencegah Rasuah (BPR) dengan penubuhan Suruhanjaya Anti Rasuah Malaysia, ditambah dengan struktur yang menjamin kebebasannya bertindak merupakan kenyataan paling bermakna bagi saya dan paling penting serta signifikan dalam perjuangan melakukan perubahan (reform) di negara ini.

Setelah berjumpa Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini, saya percaya beliau komited di dalam memastikan proses perubahan itu berlaku.

Dengan semangat reformasi itulah, saya di sini, pada hari ini menyatakan dengan jelas hasrat, sokongan dan komitmen saya untuk bersama-sama Perdana Menteri dan pemimpin-pemimpin negara meneruskan perjuangan melakukan perubahan tersebut.

Saya ingin mengotakan janji pada diri saya sendiri selama ini, bahawa saya akan membantu siapapun Perdana Menteri yang mempunyai komitmen dan berani memberikan BPR kebebasan untuk melakukan tindakan terhadap setiap penjenayah rasuah. Kerana bagi saya inilah komitmen yang paling sukar untuk dilakukan oleh seorang perdana menteri yang sedang berkuasa.

Membina negara dengan sejumlah pengorbanan

Seperti yang saya nyatakan awal tadi, niat saya di dalam politik selain melakukan perubahan juga mempertahan dan meneruskan cita-cita bapa-bapa pengasas negara ini. Mereka yang terdiri daripada pemimpin pelbagai kaum yang berusaha membina negara ini dengan cita-cita besar dan sejumlah pengorbanan.

Mereka menggubal dasar untuk menjamin negara ini ditadbir dengan penuh hemah dan keutamaan nombor satu mereka adalah Malaysia. Hari ini semangat dan pengorbanan mereka telah dinodai oleh pemimpin-pemimpin yang meletakkan kepentingan diri menguasai kepentingan negara.

Kerakusan kepada kuasa menyebabkan mereka sanggup mencemuh dasar dan asas negara yang dibina oleh pemimpin terdahulu hanya atas tujuan untuk memancing undi dengan meniupkan sentimen perkauman.

Mereka mendakwa mereka membawa politik baru berbilang kaum tetapi hakikatnya memainkan sentimen kaum yang sempit dan politik tanpa batasan.

Pengasas negara ini dahulu yang memulakan politik berbilang kaum dengan asasnya Melayu di samping pengiktirafan wajar kepada bangsa lain dengan semangat menghormati dan bekerjasama membina Malaysia ini.

Sebab itulah budaya orang Cina mengundi calon Melayu dan India dan sebaliknya berlaku semenjak awal penubuhan negara ini lagi. Pertimbangan utama pemimpin pada ketika itu adalah kepentingan negara. Justeru mereka saling memahami dan berkorban dalam mempertahan asas negara ini.

Politik tanpa jiwa kenegaraan

Sayangnya terdapat segelintir pemimpin hari ini pertimbangan utama adalah kepentingan diri dan kelompok mereka. Mereka mempopularkan budaya politik tanpa batasan- iaitu apa sahaja boleh asal aku dan kelompok aku berkuasa. Sebab itulah hari ini kita melihat politik melampau berleluasa, politik fitnah, menjatuh dan melompatkan orang menjadi agenda paling utama.

Budaya matlamat menghalalkan cara ini, amat asing di awal penubuhan negara ini. Hari ini kita melihat lenyapnya jiwa kenegaraan (statemanship) dalam kepimpinan bangsa ini. Yang menonjol adalah pemimpin yang hebat percaturan politik untuk kepentingan individu dan kelompok sendiri sehingga sanggup menggadai persoalan asas negara yang dibina dengan semangat dan cita-cita bersama.

Saya kembali untuk bersama teman-teman saya dalam UMNO dan Barisan Nasional meneruskan perjuangan dengan keyakinan bahawa formula BN merupakan formula terbaik untuk negara ini.

Sedikit pengalaman saya di 'luar' BN mungkin dapat membantu meyakinkan orang ramai bahawa formula lain tidak mampu membina negara ini dengan berkesan dan bertahan (sustainable).

Kembali kepada formula BN

Dan formula BN yang terbukti berjaya selama lebih 50 tahun ini juga dibina dengan nilai integriti, kesederhanaan, humiliti (tawadu'), tolak ansur, hormat-menghormati dan yang paling penting semangat kenegaraan (statemanship) yang utama di kalangan pengasas-pengasas BN.

Ciri-ciri negatif keangkuhan dan kemewahan yang menghakis nilai integriti hampir tidak wujud dikalangan pengasas BN pada ketika itu.

Saya melihat dan yakin komitmen Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri serta beberapa pemimpin utama BN untuk membina kembali nilai-nilai integriti pengasas-pengasas BN yang menjadi tunjang kekuatan bangsa dan negara selama ini.

Justeru, saya menawarkan diri saya untuk bersama mereka membina kembali kekuatan nilai integriti tersebut demi rakyat dan negara yang tercinta ini.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |