IPOH 22 Mei - Kerajaan pakatan pembangkang Perak menggesa Kementerian Pelajaran supaya melaksanakan semula pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda bagi meningkatkan penguasaan pelajar dalam kedua-dua subjek itu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, berdasarkan maklum balas yang diterima, pelajar-pelajar di negara maju seperti China, Korea, Jepun, Jerman dan Perancis yang belajar dalam bahasa ibunda lebih cemerlang dalam kedua-dua subjek itu berbanding negara lain yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantara.
''Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu (BM) pada asalnya, pun banyak melahirkan siswazah dari universiti yang hari ini banyak menduduki institusi-institusi profesional seperti jurutera, doktor dan angkasawan.
''Kalau tidak mengajar (Sains dan Matematik) dalam bahasa ibunda, baik bahasa Mandarin, Tamil dan Melayu, ia bertentangan dengan Akta Pendidikan, Akta Bahasa Kebangsaan dan tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan sendiri," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Perak di sini hari ini.
Mohammad Nizar berkata, kerajaan pakatan pembangkang tidak menafi dan memperkecilkan penguasaan bahasa Inggeris tetapi bukannya melalui pengajaran Sains dan Matematik.
Sebaliknya, kata beliau, ini boleh dilakukan dengan memperkenalkan pengajaran subjek bahasa Inggeris dan kesusasteraan bahasa Inggeris di peringkat sekolah rendah lagi bagi mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris.
''Kalau hendak menyatakan kerajaan pakatan pembangkang tidak memperjuangkan bahasa ibunda khususnya bahasa Melayu, ia tidak betul kerana kami antara yang pertama membawa perkara ini ke mahkamah.
''Pada tahun 2004, anak saya, Mohd. Syawal yang berada di darjah empat menyaman kerajaan dan Kementerian Pendidikan pada masa itu kerana melaksanakan dasar pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris yang bertentangan dengan Akta Pendidikan, Akta Bahasa Kebangsaan dan Perlembagaan Persekutuan," ujar beliau.
-
0 comments:
Post a Comment