+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Friday, May 23, 2008

Petronas sumbang RM357.8b

Utusan Online

KUALA LUMPUR 22 Mei – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, sejak ditubuhkan pada tahun 1974 sehingga tahun kewangan berakhir 31 Mac 2007, Petronas telah mencatat keuntungan sebanyak RM570 bilion.

Menurut Perdana Menteri, daripada jumlah itu, Petronas telah membayar sebanyak 62.8 peratus atau RM357.8 bilion dalam bentuk cukai, royalti, duti eksport dan dividen kepada Kerajaan Malaysia.

Tambahnya, sebanyak 7.2 peratus atau RM41.4 bilion adalah keuntungan yang diperuntukan kepada pemegang saham minoriti kumpulan dan perbelanjaan cukai luar negara.

“Sebanyak 30 peratus daripada keuntungannya atau RM170.8 bilion digunakan untuk pelaburan semula serta mengembangkan perniagaannya,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Teo Nie Ching (DAP-Serdang) hari ini.

Kata Abdullah, wang diterima oleh kerajaan dari Petronas sama ada dalam bentuk royalti, duti eksport, cukai atau dividen dimasukan ke dalam akaun Kumpulan Wang Yang Disatukan bersama hasil lain yang diterima kerajaan.

“Hasil yang kerajaan terima ini digunakan untuk perbelanjaan mengurus termasuk pemberian subsidi ke atas produk petroleum, sektor kesihatan, sektor pendidikan serta sektor pertanian dan perbelanjaan pembangunan,” ujarnya.

Perdana Menteri berkata, selain sumbangan dalam bentuk royalti, duti eksport, cukai dan dividen kepada kerajaan, Petronas juga menanggung beban subsidi harga gas kepada sektor elektrik dan bukan elektrik.

Tambahnya, sejak Mei 1997 sehingga Mac tahun ini, subsidi harga gas yang ditanggung Petronas adalah kira-kira RM79 bilion.

“Penetapan harga gas yang rendah kepada sektor elektrik telah membolehkan pihak Tenaga Nasional Berhad. (TNB) mengenakan tarif elektrik yang rendah yang dinikmati oleh kira-kira 5.5 juta pelanggannya,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, pelaburan semula keuntungan adalah kritikal bagi Petronas untuk membolehkannya terus meningkatkan usaha-usaha cari gali minyak dan gas dalam negara, membina serta meningkatkan kapasiti pengeluaran loji-loji penapisan dan pemprosesan untuk memenuhi permintaan bagi minyak dan gas.

“Langkah ini secara langsung menambah nilai kepada sumber minyak dan gas negara. Pada tahun kewangan berakhir Mac 2007, umpamanya Petronas membuat pelaburan semula bernilai RM21.6 bilion yang mana RM16.2 bilion dalam sektor minyak dan gas manakala RM5.4 bilion dalam hartanah dan khidmat logistik.

“Dengan pelaburan ini, Petronas telah dapat mencatat keuntungan yang baik dan ia membolehkannya terus menyumbang kepada negara melalui pembayaran kepada kerajaan dalam bentuk cukai, dividen, duti eksport dan royalti,” ujarnya.

Oleh itu, Abdullah berkata, pelaburan semula yang dibuat Petronas adalah lebih memberi manfaat kepada negara dalam jangka panjang berbanding penggunaannya untuk pemberian subsidi minyak.

Perdana Menteri turut menjelaskan, Petronas juga perlu membayar pinjamannya yang digunakan untuk mengembangkan operasinya dan pada tahun kewangan berakhir Mac 2007, baki pinjamannya adalah sebanyak RM35.9 bilion.

“Selain itu, Petronas juga melaksanakan tanggungjawab sosialnya dalam bidang pendidikan, kesihatan, sukan dan kesenian.

“Selain itu, Petronas juga merupakan penabung tunggal kepada Kumpulan Wang Amanah Negara yang ditubuhkan pada tahun 1988 dengan tujuan untuk memastikan penggunaan optimum sumber-sumber negara yang menyusut bagi faedah generasi akan datang dan memberikan sumber pendapatan yang berterusan kepada negara,” katanya.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |