+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Tuesday, July 1, 2008

Anwar dakwa 3 orang rancang kes liwat, PM jamin keselamatan

Mstar Online

01-07-2008 09:13:32 PM
Oleh SA'ODAH ELIAS, ARIFFUDDIN ISHAK dan ZANARIAH ABD. MUTALIB

ANWAR Ibrahim dengan ditemani Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Tropicana, Petaling Jaya petang tadi. - foto The Star oleh Azhar Mahfof

(Dikemas kini) PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tiga orang yang dikenali Mohd Saiful Bukhari Azlan terlibat dalam rancangan dakwaan meliwat membabitkan beliau.

"Saya pasti tuduhan ke atas saya mesti dirancang oleh ketiga-tiga karakter ini, bukan orang lain," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor petang tadi.

Pada sidang akhbar itu Anwar juga mendakwa Saiful mempunyai hubungan akrab dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak; isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan pegawai khas Najib, Khairil Anas Yusof.

Anwar menjelaskan, Saiful bukan bekerja secara tetap dengannya tetapi mula berkhidmat secara sukarela dengan PKR dalam kempen pilihan raya umum 8 Mac lepas.

Beliau juga berkata peguamnya telah menulis tiga pucuk surat kepada Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan untuk mendapatkan tarikh beliau boleh memberi keterangan untuk membantu siasatan kes terbabit.

"Peguam saya ada berhubung dengan mereka, tapi sampai sekarang mereka belum jawab," katanya.

Anwar juga berkata, sebab utama beliau bersembunyi di kediaman Duta Turki, Barlas Ozener, adalah bagi menjaga keselamatannya.

Kedutaan Turki dalam satu kenyataan semalam menjelaskan bahawa penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dibenarkan berada di kediaman dutanya atas dasar perikemanusiaan semata-mata.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini memberi jaminan bahawa kerajaan akan memastikan keselamatan Anwar sentiasa terjamin dan menolak sebarang kemungkinan penasihat Parti Keadilan Rakyat itu akan dianiaya.

Jaminan itu diberikan oleh Abdullah ketika pertemuan kira-kira 20 minit dengan isteri Anwar, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wam Ismail yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) di pejabatnya di bangunan Parlimen berikutan dakwaan Saiful yang mendakwa diliwat majikannya itu.

Bercakap kepada pemberita selepas pertemuan itu Abdullah berkata, kerajaan tidak sekali-kali akan menganiayai atau menzalimi sesiapa atau membuat tuduhan tidak berasas terhadap mana-mana pihak.

Katanya, jaminan kerajaan itu diberikannya kepada Azizah setelah beliau meminta agar kerajaan memastikan nyawa suaminya itu tidak terancam tidak dizalimi.

Abdullah berkata, kerajaan juga akan memastikan bahawa keselamatan orang yang membuat tuduhan terhadap Anwar itu serta yang dituduh sentiasa terjamin.

Mengenai kesangsian yang dilahirkan Azizah terhadap kredibiliti siasatan terhadap suaminya nanti memandangkan dua personaliti yang terlibat dalam siasatan terhadap Anwar 10 tahun lalu iaitu Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail akan terlibat dalam siasatan kali ini Abdullah berkata: "Musa dan Gani adalah orang yang profesional dan berkredibiliti dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing."

Katanya, walaupun Anwar telah membuat laporan polis terhadap Musa dan Gani, pada peringkat ini masih terlalu awal bagi kerajaan untuk membuat ketetapan mengenai peranan kedua-duanya dalam siasatan kes itu.

Ditanya sama ada kebimbangan Azizah terhadap keselamatan suaminya itu berasas atau sebaliknya, Abdullah berkata, itu hanya perasaan mereka sedangkan pada hakikatnya undang-undang mempunyai peruntukan untuk memastikan keselamatan semua pihak terlibat.

Ditanya sama ada jaminan kerajaan tentang keselamatan Anwar dan mereka yang terlibat dalam kes itu boleh dilihat sebagai campur tangan kerajaan dalam siasatan polis Abdullah menidakkannya.

Jelas beliau, semua yang terlibat adalah mereka yang berpengalaman tinggi dalam tugas mereka dan jaminan yang beliau berikan kepada Azizah adalah sesuatu yang memang diperuntukkan undang-undang.

Mengulas kenyataan pemimpin-pemimpin PKR bahawa mereka mempunyai maklumat yang disampaikan badan perisik sebuah negara jiran tentang usaha membunuh Anwar dan usaha pihak yang tidak dinamakan untuk membawa masuk pembunuh upahan untuk tujuan itu Abdullah berkata:

"Kalau mereka ada apa-apa maklumat tentang ancaman terhadap nyawa Datuk Seri Anwar, mereka perlu lapor kepada polis dengan memberikan maklumat yang tepat. Jangan hanya buat andaian dan cakap-cakap.

"Saya harap tidak ada pihak buat andaian, spekulasi dan lontar tuduhan pada mana-mana pihak. Biarlah siasatan kes ini dijalankan dengan adil."


BERITA TERDAHULU:

Anwar anjur rapat umum malam ini, umum 4 MP BN sertai Pakatan Rakyat

(Mutakhir) PETALING JAYA: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Shah Alam pukul 3 petang tadi, dijadual mengadakan rapat umum di Stadium Shah Alam pada pukul 8.30 malam ini.

Difahamkan, rapat umum itu diadakan untuk memberi peluang Anwar menjelaskan kedudukan dirinya dan situasi politik semasa.

Selain itu, Anwar juga dijangka mengumumkan nama empat Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang disebut-sebut kemungkinan menyertai Pakat Rakyat.

Dua daripada mereka dikatakan wakil rakyat Umno.

Perkara itu dinyatakan oleh Naib Presiden PKR, Azmin Ali di lobi Parlimen hari ini.

“Saya tiada hak untuk umumkan apa-apa. Anda (media) kena tunggu dan dengar malam ini.

“Ketua Umum Pakatan Rakyat, Anwar juga akan hadir pada perhimpunan malam ini untuk menjelaskan kepada penyokongnya mengenai apa yang telah berkaku,” katanya.

Selepas satu tempoh selama 10 tahun, Anwar berhadapan dengan dakwaan yang sama.

Tuduhan liwat ke atas Anwar kali ini menjadi topik hangat setelah satu laporan polis dibuat oleh pembantunya Saiful Bukhari Azlan, 23, pada Sabtu lalu di Pondok Polis Hospital Kuala Lumpur.

Beliau mendakwa Anwar telah meliwatnya beberapa kali, termasuk kali terakhir di sebuah kondominium di Damansara pada 26 Jun lalu.

Bagaimanpun, Anwar mendakwa tuduhan terbaru itu adalah satu fitnah dan keselamatannya terancam.

Beliau juga mendakwa, semua tuduhan ini merupakan ulangan wujudnya konspirasi untuk menjatuhkan dan membunuh karier politiknya.

Ditanya berhubung khabar angin kerusi Parlimen Bandar Tun Razak, disandang Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang juga Menteri Besar Selangor, akan dikosongkan bagi memberi laluan kepada Anwar, Azmin memberitahu, perkara itu sudah dibincangkan.

“Berdasarkan perbincangan yang kita lakukan, beberapa Ahli Parlimen menyatakan persetujuan untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding,” katanya lagi.

Mengenai langkah keselamatan yang diambil bagi memastikan tahap keselamatan Anwar terkawal, Azmin memaklumkan PKR akan mepertingkatkan kawalan keselamatan terutamanya ketika menghadiri perhimpunan umum.

“Selain itu kita juga menyambut baik jaminan yang diberikan oleh Kementerian Dalam Negeri mengenai keselamatan Anwar,” katanya.

Azmin juga menyifatkan dakwaan terbaru salah laku seksual terhadap Anwar adalah fitnah yang kejam dan jahat.

“Ini fitnah yang menggunakan skrip yang lama pada tahun 1998. Kita harap perhatian rakyat tidak dialihkan dengan isu-isu seperti ini.

“Apa yang penting ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menumpukan perhatian kepada soal masalah ekonomi yang menekan kehidupan rakyat hari ini,” katanya lagi.

Anwar Ibrahim berada di IPK Selangor 40 minit. Beliau tiba di IPK kira-kira pukul 2.50 petang dengan diiringi lima peguamnya dan meninggalkan premis itu pada pukul 3.25 petang.

Turut berada di pekarangan IPK ialah kira-kira 500 penyokongnya.

Semalam beliau keluar daripada berlindung di Kedutaan Turki, Kuala Lumpur selama lebih 30 jam.

Ketika ditemui wartawan petang ini, Anwar berkata, beliau akan berjuang habis-habisan untuk mematikan konspirasi politik kali kedua.

"Jangan cuba lagi," katanya pada sidang akhbar sejam selepas membuat laporan polis di IPK.

Malah, kata Anwar, Saiful tidak pernah akrab dengan beliau, sebaliknya dengan Timbalan Perdana Menteri dan pegawainya.

"Saya telah meminta polis siasat itu," katanya lagi.

Bagaimanapun Anwar mengakui bahawa Saiful pernah meminta jadi sukarelawan ketika pilihan raya umum yang lalu di bawah penyeliaan salah seorang pegawainya.

Katanya, laporan polis juga dibuat terhadap Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berhubung kewujudan elemen memesokongkan bukti pada 1998.

Tambah Anwar, peguammnya telah menghantar tiga surat kepada Peguam Negara dan Ketua Polis Negara menyatakan kesediaan beliau untuk bekerjasama dalam siasatan yang dijalankan, tetapi sehingga petang ini belum ada maklum balas.

Dalam pada itu, Datuk Kamaruddin Jaafar (Pas-Tumpat) melahirkan kekecewaan mengenai situasi politik negara kerana masih wujud lagi konspirasi untuk menjatuhkan seorang pemimpin politik.

"Konspirasi seperti ini adalah kaedah yang cukup jijik dan mengaibkan," katanya.

Ditanya sama ada terdapat sebarang bukti untuk menyangkal dakwaan terhadap Anwar, beliau berkata sebahagian bukti-bukti politik telahpun ditunjukkan dan apabila kes ini dibawa ke mahkamah, bukti perundangan akan ditunjukkan.


  • Najib: Anwar disiasat bukan sebab politik
  • Tuduhan liwat tidak jejaskan hubungan PAS-PKR
  • Hishammuddin: Strategi Anwar tidak akan menjadi
  • Anwar buat polis terhadap Peguam Negara, Ketua Polis Negara
  • Laporan Polis Dato Seri Anwar Ibrahim di IPK Selangor
  • Anwar tidak perlu takut disiasat jika tak bersalah - Syed Hamid
  • Dakwaan liwat Anwar: Amerika beri Malaysia amaran
  • Shahrir: Kerajaan tiada masa wujudkan konspirasi babitkan Anwar

  • 0 comments:

    Carian dalam Tau Takpe

    masukkan je apa-apa yg nak dicari

    Tau takpe

    Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

    - OrangKita (OK) -

    Video mesti tengok!!!

    | Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |