+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++
Showing posts with label hudud. Show all posts
Showing posts with label hudud. Show all posts

Saturday, December 27, 2008

Hadi: Situasi tidak stabil, sukar laksana hudud

Mstar Online

Masalah ekonomi, pengangguran halang pelaksanaan hudud, kata Presiden PAS

SHAH ALAM: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengakui sukar untuk melaksanakan undang-undang hudud dan qisas di negara ini kerana ia hanya boleh dilakukan jika rakyat negara ini berada dalam keadaan yang stabil.

Malah, beliau juga mengakui bahawa bukan mudah untuk melaksanakan hukum hudud memandangkan negara dan rakyat berhadapan dengan pelbagai masalah.

Kata Abdul Hadi, situasi ekonomi semasa dan pengangguran di kalangan rakyat negara ini menghalang hudud daripada dilaksanakan.

Ditanya sama ada PAS akan membawa usul mengenai pelaksanaan hukum Hudud di Parlimen untuk dibahaskan, beliau yang juga anggota Dewan Rakyat berkata, belum tiba masanya untuk berbuat demikian.

"Masalah pengangguran masih ada lagi dan untuk laksanakan hukum ini kedudukan rakyat Malaysia mesti stabil contohnya daripada segi pendidikan, kehidupan, dan hubungan keluarga juga kena dijaga," katanya.

Katanya, kebimbangan yang dilahirkan oleh segelintir rakyat negara ini sama seperti mentaliti kampung ketika era 1950-an.

Mentaliti kampung tahun 1950-an menyaksikan orang ramai khuatir untuk ke hospital kerana mereka bimbang sebaik sahaja melangkah ke hospital, mereka akan dibedah.

Terdahulu beliau merasmikan kempen 'Jom Sertai Pas' di Dataran Shah Alam di sini hari ini.

Kata beliau, masyarakat bukan Islam tidak seharusnya berasa bimbang jika hukum hudud dilaksanakan di negara ini kerana pelaksanaannya hanya melibatkan kalangan yang beragama Islam.

Beliau berkata, golongan bukan Islam sebaliknya boleh memilih undang-undang yang mereka mahu seperti yang telah tertulis dalam Undang-undang Kanun Jenayah Syariah Kelantan dan Terengganu.

"PAS tak perlu terangkan (tentang hukum Hudud) kerana undang-undang ini tiada kena mengena dengan orang bukan Islam.

"Pada kita, tidak timbul lagi soal hudud kerana ia telah diluluskan di DUN (Dewan Undangan Negeri) Kelantan sejak tahun 90-an lagi dan di Terengganu pula telah diwartakan," katanya.

Read More...

Henti Momokkan Hukum Hudud - Abdul Aziz

msomelayu

PAGI tadi saya berkesempatan berjumpa dengan Pensyarah Kuliyyah Unang-undang UIA, Prof Abdul Aziz Bari di pejabatnya di UIA Gombak. Sudah lama saya ingin berjumpa dan bertukar fikiran dengan Profesor ini yang juga pakar mengenai perlembagaan negara ini. Mungkin kerana kesibukan masing-masing menyebabkan niat itu tidak menjadi kenyataan hinggalah pagi ini.

Hari ini sejarah bagi saya kerana berjumpa dengan beliau. Perjumpaan itu tentulah bertolak daripada wacana Tranformasi Politik Malaysia di Kota Bharu minggu lepas di mana beliau salah seorang panelis bersama Khairy Jamaluddin dan Husam Musa. Saya turut sama hadir untuk mengikuti wacana yang dianggap penting dalam proses membangunkan politik bangsa itu.

Ada beberapa yang saya inginkan penjelasan daripada beliau berkenaan wacana itu. Dalam pengamatan saya ada semacam sesuatu yang tidak memuaskan hatinya. Ada perkara yang tidak sampai atau sempat dilontarkan menerusi wacana itu.

Alhamdulilah, walaupun hari ini hari cuti umum namun profesor berkenaan sedia untuk ke pejabatnya. Khabarnya beliau selalu berada di pejabat tanpa mengira hari termasuk hari cuti umum!

Berbaloi, hampir tiga jam bersembang mencakupi pelbagai topi politik semasa dengan beliau khasnya mengenai hukum hudud yang kini sudah menerawang semula di persada maya dan menjadi polemik menarik antara orang politik. InsyaAllah interviu penuh dengan beliau akan disiarkan dalam Siasah minggu hadapan.

Rumusan mengenai pertemuan tadi, Abdul Aziz minta agak hudud jangan lagi dimompokkan sebagai satu sistem yang kejam dan zalim. Menurutnya masyarakat juga sudah faham mengenai hudud dan hukum hudud ini bukan perkara baru bahlah lama diperkatakan.

Dalam hal ini katanya Pas harus berhenti daripada memperkatakan hudud dalam konktes politik dan ia juga perlu dibincang seara terbuka dan lebih rasional lagi mengatasi kerangka politik partisan itu sendiri.

“Hudud bukan hak Pas tetapi hak semua individu yang yakin kepadanya. Jadi janganlah tempelkan hudud itu kepada Pas sahaja saja, umpamanya mengatakan hudud ini undang-unang rekaan Pas dan sebagainya,” begitulah tegas Abdul Aziz.

Dalam pada itu perbincangan mengenai hudud perlu dibuat dalam satu flatform khas yang khusus dan spesifik. Ia juga bukan seharusnya dibincang oleh Pas tetapi harus melibat golongan profesional lain, kumpulan agama, golongan akademi atau NGO yang memperjuang Islam seperti Peguam Muslim atau sebagainya.

Dalam pada itu menurut Abdul Aziz, Pas janganlah sesekali menjadikan hukum hudud untuk mengejek dan mengutuk Umno kerana sebagai tabii Umno akan membalas dan mempertahankan dirinya kalau ianya diejek.

"Bila keadaan ini berlaku maka terjadilah polemik tidak berkesudahan antara kedua puak yang tidak mengutungkan Islam," tukasnya.

Secara jujur Abdul Aziz merasakan Pas tidak mampu untuk melaksanakan hudud secara bersendiri kerana ia memerlukan banyak perkara yang perlu dilengkapkan. Misalnya prasarana untuk melaksanakannya masih belum wujud seluruhnya. Justeru kata menurutnya kalau pun Pas ada kuasa ia tidak semestinya Pas mampu melaksanakannya.

"Pas hanya boleh berkata ia ingin melaksakananya tetapi pelaksananya siapa?" tanya beliau. "Pelaksanaan hukum hudud bukan semudah diucapkan. Perkara paling penting mempersiapkan segala prasarananya terlebih dahulu baru boleh dilaksanakan," tegasnya.

Menarik... itulah yang dapat saya simpulkan mengenai pandangan yang dilontarkan oleh Abdul Aziz mengenai hudud ini. Apa yang penting beliau tidak mahu hudud dijadikan alat atau pun diperkatakan dalam kerangka politik kerana ia akan menjadi polimek yang tidak mengutungkan mana-mana pihak. [wm.kl 6:00 pm 27/12/08]

Read More...

Amaran pada Umno:Usah 'permain' Hudud, Qisas

Harakahdaily

Fri | Dec 26, 08 | 9:14:11 am MYT

KUALA TERENGGANU, 26 Dis (Hrkh) - Tindakan menentang Hudud dan Qisas bukan sahaja melibatkan akidah seseorang tetapi dilihat sebagai 'menderhaka' kepada Sultan Terengganu yang telah memperkenankan Enakmen Jenayah Syariah Hudud dan Qisas di negeri Terengganu ini.

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Terengganu tidak teragak-agak untuk mengadap dan menghantar memorandum kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu, sekiranya Umno-Barisan Nasional tidak menghentikan permainan politik murahan berkaitan isu hukum Hudud dan Qisas

Ketuanya, Fariz Musa berkata isu Hudud dan Qisas tersebut sengaja ditimbulkan oleh Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dengan tujuan memerangkap Naib Presiden PAS, Dato' Paduka Husam Musa dan menimbulkan polimik khususnya di kalangan masyarakat bukan Islam ketika berdebat di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.

"Tujuan Khairy tidak lain adalah untuk menakut-nakutkan masyarakat Cina khusus di Parlimen Kuala Terengganu yang akan menghadapi Pilihan raya Kecil tidak lama lagi,"katanya yang dipetik dari laman web Buletin Online melalui wartawannya, SM Noor.

Beliau berkata demikian dalam sidang media yang diadakan di pejabat Perhubungan Parti Keadilan Rakyat Terengganu, Gong Kapas, semalam.

Beliau berkata isu Hudud dan Qisas tidak perlu dipolitikkan oleh Umno kerana ianya merupakan isu yang lapuk dan tidak akan memberikan apa-apa kesan kepada para pengundi berketurunan Cina di Kuala Terengganu dan rakyat Terengganu amnya.

Katanya, ia adalah kerana masyarakat keturunan Cina khususnya dan rakyat Terengganu amnya tidak jahil, telah arif dan matang berkaitan Hudud dan Qisas kerana mereka telah diberikan pengetahuan dan penjelasan oleh Kerajaan Negeri Terengganu sewaktu PAS memerintah Negeri Terengganu.

"Kerajaan PAS Terengganu telah membawa Enakmen Kesalahan Jenayah Hudud dan Qisas Terengganu 2002 kedalam Dewan Undangan Negeri dan diluluskan sebulat suara. Enakmen tersebut juga telah mendapat perkenan Sultan Terengganu, Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin pada 2 September 2002 dan kemudiannya diwartakan pada 25 September 2002.

"Walaupun masih belum berkuatkuasa namun kerajaan Umno-BN yang merampas kembali pemerintahan dari PAS pada tahun 2004 tidak menolak dan meminda Enakmen tersebut, di mana dalam kerajaan Umno-Barisan Nasional itu termasuk seorang wakil bukan Islam iaitu dari MCA,"jelas Fariz.

Katanya wakil MCA tersebut sehingga hari ini tidak pernah menyuarakan apa-apa ketidakpuasan hati terhadap enakmen itu yang telah menjadi sebahagian daripada undang-undang bagi negeri Terengganu.

Sehubungan dengan itu beliau berkata, sebenarnya Umno sudah terdesak dan tidak mempunyai isu sehingga isu hudud dan qisas cuba dipolitikkan .

"Khairy sebenarnya yang masuk perangkap sendiri dan akan menjadi liabiliti kepada Umno dan Barisan Nasional dalam pilihan raya kecil P036 Kuala Terengganu.

"Beliau harus sedar bahawa Enakmen Hudud dan Qisas telah menjadi undang-undang yang diperkenan oleh Sultan Mizan Zainal Abidin,"tegasnya.

Justeru katanya sebarang tindakan menentang atau mepelekehkan Hudud dan Qisas bukan sahaja membawa kepada menghina Islam dan implikasi aqidah, malah boleh dilihat sebagai 'menderhaka' kepada Sultan Terengganu yang telah memperkenankan Enakmen Jenayah Syariah Hudud dan Qisas di negeri Terengganu ini.

Beliau juga mendesak agar semua pihak menghentikan segera sebarang perbahasan isu politik murahan Hudud dan Qisas yang cuba dimainkan oleh Umno-Barisan Nasional.

"Semua pihak termasuk parti-parti yang bergabung dalam Pakatan Rakyat harus lebih matang menghadapi karenah Umno yang sudah 'bankrup'dan mestilah mengambil pendekatan tidak melayan sebarang propaganda yang cuba dicetuskan oleh Umno-BN dan media arus perdana,"tambahnya.- azm/mks. _

Read More...

Perlu pinda perlembagaan jika hendak laksana hudud - Zahid Hamidi

Mstar Online

SHAH ALAM: Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda jika PAS mahukan melaksanakan hukum hudud di negara ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

"Kalau hajat mereka begitu, saya doakan supaya hajat mereka itu tercapai tetapi hakikat politik tidak begitu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pegawai Penguatkuasa Agama dan Pendakwa Syarie Seluruh Malaysia dan Pelancaran Kod Etika Pegawai Penguatkuasa Agama di sini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa pada Sabtu lepas bahawa parti itu akan tetap melaksanakan hukum hudud di seluruh negara sekiranya pakatan pembangkang berjaya memerintah pada masa depan.

Cadangan itu bagaimanapun hari ini mendapat bantahan daripada DAP, rakan parti itu dalam Pakatan Rakyat, yang berkata pelaksanaan hukum hudud tidak termasuk dalam manifesto Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum Mac lepas.

Di Alor Star, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kenyataan Husam itu adalah "satu cerita politik" sematamata kerana jika PAS benarbenar mahu melaksanakan, ia pasti sudah lama dikuatkuasa di Kelantan. BERNAMA

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |