+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Tuesday, September 16, 2008

Kes bunuh Altantuya: Misteri anak kunci belum terjawab

Berita Harian

Oleh Norhashimah Mohd Radzali
norhashimah@bharian.com

Penemuan barang kemas Altantuya dalam jaket tertuduh meragukan: Peguam

SHAH ALAM: Misteri tiga anak kunci yang dikemukakan pihak pendakwaan sebagai kunci rumah tertuduh kedua, Koperal Sirul Azhar Umar dalam perbicaraan kes bunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu sebelum ini masih belum terjawab.

Peguam Sirul Azhar, Kamarul Hisham Kamaruddin yang mengemukakan hujahan balas secara lisan di Mahkamah Tinggi di sini, semalam berkata pendakwaan gagal menjawab persoalan itu, sebaliknya hanya menggunakan keterangan anak guamnya ketika perbicaraan dalam perbicaraan sebagai penjelasan.

Kamarul berkata, pendakwaan menggunakan keterangan Sirul Azhar bahawa dia cam kunci yang diserahkan anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Sarjan Rosli Ibrahim kepada pegawai penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9), Cif Inspektor Koh Fei Cheow untuk menjelaskan misteri itu dan menjawab keraguan munasabah ditimbulkan pihak pembelaan.

Beliau berkata, Sirul Azhar cam kunci yang diserahkan Rosli kepada Koh ketika pasukan polis yang terdiri daripada D9, UTK dan Unit Pemusnah Bom membuat pemeriksaan di rumahnya di Kota Damansara di sini.

Dalam perbicaraan sebelum ini, Timbalan Komander UTK, Asisten Komisioner (ACP) Mastor Mohd Ariff dan Rosli dalam keterangan mereka menafikan tiga anak kunci itu sebagai kunci rumah tertuduh.

Mastor menyatakan tiga anak kunci itu bukanlah serangkai kunci yang diserahkan Sirul Azhar kepadanya ketika dalam penerbangan balik dari Pakistan ke negara ini, sebaliknya mendakwa kunci yang diterimanya lebih daripada tiga, sudah lama dan tidak berkilat.

Katanya, kunci yang dikemukakan pendakwaan pula masih baru dan berkilat.

Rosli dalam keterangannya turut menafikan tiga anak kunci itu adalah serangkai kunci yang diserahkan Mastor kepadanya, manakala Sirul Azhar ketika perbicaraan dalam perbicaraan juga menafikan ia adalah kuncinya yang diserahkan kepada Mastor.

“Kami berhujah serangkai kunci yang diterima Mastor dan Rosli, bukanlah kunci sama yang digunakan Asisten Superintendan (ASP) Zulkarnain Samsudin (pegawai penyiasat D9) untuk membuka mangga, pintu gril dan utama rumah Sirul Azhar.

“Polis boleh menghasilkan kunci pendua dan Zulkarnain mungkin menggunakan kunci lain. Kami berhujah polis sebenarnya sudah memiliki kunci pendua ketika itu dan tidak memerlukan serangkai kunci daripada Sirul Azhar untuk membuka pintu rumahnya. Malah, pendakwaan juga tidak pernah mendedahkan keraguan ini,” katanya.

Kamarul berkata, Zulkarnain berjaya membuka pintu rumah Sirul Azhar menggunakan tiga anak kunci itu, bagaimanapun ia tidak menjawab persoalan yang timbul dari mana beliau memperoleh kunci berkenaan kerana ia bukan kunci tertuduh.

“Kami berhujah adalah mudah bagi pendakwaan untuk menjawab keraguan ini dengan memanggil bekas rakan serumah Sirul Azhar, Radzi Mohd Tahir atau pemilik sebenar rumah yang disewa tertuduh memberi keterangan.

“Bagaimanapun, pendakwaan tidak pernah menyoal Radzi berkaitan kunci itu ketika pemeriksaan utama, malah pemilik rumah Sirul Azhar juga tidak dipanggil memberikan keterangan. Jika beliau hadir, sudah pasti dia dapat mengecam kunci yang pernah diberikannya kepada tertuduh ketika menyewakan rumah itu,” katanya.

Kamarul berkata, pihaknya berhujah polis sebenarnya sudah mempunyai pengetahuan awal berhubung lokasi rumah tertuduh dan barangan kemas mangsa yang disimpan di rumahnya.

Kamarul berkata, Zulkarnain dalam keterangannya mencatatkan jam 1.45 petang dalam diari siasatan kerana ketika itu, dia menerima arahan daripada pegawai penyiasat kes, Superintendan Gan Tack Guan untuk menyoal siasat Sirul Azhar.

Katanya, Zulkarnain kemudian mencatatkan jam 2.20 petang apabila Sirul Azhar membuat pendedahan maklumat mengenai barangan kemas mangsa yang disimpan di rumahnya.

Kamarul berkata, Zulkarnain bagaimanapun, mengubah keterangannya apabila menyatakan menerima arahan daripada Gan untuk menyoal siasat tertuduh pada jam 12.30 tengah hari.

“Kami berhujah polis mencatatkan pendedahan maklumat itu dalam diari siasatan sebelum mereka mula menyoal siasat tertuduh. Teori kami, polis sudah mempunyai pengetahuan awal mengenai maklumat itu dan hanya meminta tertuduh mengakuinya.

“Sirul Azhar sebenarnya tidak pernah membuat sebarang pendedahan maklumat kepada polis dan ia sengaja direka untuk menjuruskannya terhadap pertuduhan. Jika tidak, bagaimana polis boleh mencatatkan jam 1.45 petang di dalam diari siasatan, sedangkan maklumat masih belum diperoleh,” katanya.

Kamarul berkata, keterangan Zulkarnain dan Koh mengenai penemuan barang kemas Altantuya di dalam jaket Sirul Azhar di rumah tertuduh amat meragukan dan pendakwaan tidak menjelaskannya dalam hujahan balas mereka.

Katanya, Koh menukar jawapannya sebanyak tiga kali apabila disoal siapa mengeluarkan jaket dari almari, pada awalnya dia menyatakan Zulkarnain, kemudian Koh menyatakan tidak ingat dan apabila ditanya lagi, beliau pasti Sirul Azhar yang mengeluarkannya.

Kamarul berkata, wujud keraguan munasabah dan pendakwaan perlu menjelaskannya dan bukan hanya mengabaikannya dengan menegaskan tiada percanggahan dalam keterangan saksi pendakwa.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin bersambung hari ini.


Read More...

Harga minyak - rakyat bagi subsidi ke KERAjaan???

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Sedar atau tidak, dalam pada semua menunggu pertukaran kerajaan kita sebenarnya telah memberi subsidi secara tak langsung kepada kerajaan Pak Lah dengan membayar harga minyak yang lebih dari sepatutnya.

Setakat artikel ini ditulis, harga minyak dunia sudah jatuh ke paras
USD 92.7 setong. Kerajaan Malaysia pimpinan Pak Lah yang masih lagi dalam kekalutan politik sekali lagi membelakangkan kepentingan rakyat dengan tidak mengambil apa-apa tindakan yang drastik di atas penurunan harga minyak semasa dunia ini.

Janji telah ditabur dan dicanang kepada rakyat bahawa kerajaan akan memberi subsidi hanya 30 sen per liter kepada rakyat bermakna rakyat hanya akan dapat penjimatan harga minyak sebanyak 30 sen dengan setiap liter yang dibelanjakan untuk memenuhi tangki kenderaan masing-masing. Tapi adakah janji yang dibuat oleh kabinet Pak Lah itu relevan dengan keadaan semasa??Adakah ianya digunapakai oleh Menteri jaga harga minyak, Datuk Shahrir Samad?? Jika mengikut perkiraan mudah, dengan harga minyak sekarang sebenarnya membuatkan rakyat pula yang memberi subsidi kepada kerajaan.


Perkiraan mudahnya seperti di bawah :-

1 barrel(tong) = 159 liter
1 USD = RM 3.45 (converter di sini)
harga minyak semasa = USD92.7 setong (rujuk sini)

Dulu USD145 x 3.3 (Rate semasa) / 159 liter = RM3 – RM0.30 (Subsidi) = RM2.70
Skrg USD93 x 3.45 (Rate semasa) / 159 liter = RM2 – RM0.30 (Subsidi) = RM1.70

Kerajaan jual => RM2.55
Harga tanpa subsidi => RM2.00
Kita tanggung kerajaan = RM0.55 per liter.

Mengikut perkiraan mudah ini, harga minyak tanpa subsidi di Malaysia adalah RM2.00 seliter. Kerajaan menjual kepada rakyat dengan harga RM2.55 seliter. Bermakna rakyatlah yang memberi subsidi kepada kerajaan sebanyak 55 sen seliter. Berapa banyak agaknya kerajaan dapat dengan mengekalkan harga minyak RM2.55 sen seliter ini? Dan Pak Shahrir, menteri jaga harga minyak berkata bahawa harga minyak akan diturunkan sebelum Aidilfitri sebanyak 15 sen lagi kepada RM2.40.

Dengan harga ini pun, rakyat masih lagi memberi subsidi kepada kerajaan sebanyak
40 sen. Siapa yang tolong siapa? rakyat ke yang tolong kerajaan atau pun kerajaan tolong rakyat??? Jangan asyik nak pergi melawat sana-sini, tapi rakyat dibiarkan sengsara menanggung kesan kenaikan melampau harga minyak beberapa bulan lalu.

Bangkitlah Pak Lah dari lena. Kapal dah nak karam pun masih lagi lena dibuai mimpi. Mana janjimu dengan mengatakan pilih BN akan menjadikan SELAMAT, AMAN, MAKMUR? Ayuh rakyat Malaysia, bangkit menentang penipuan kerajaan BN pimpinan Pak Lah!!!

Ingat!!!! kamu pemimpin....sama ada kita membuat sejarah, ataupun kita yang akan menjadi sejarah......Renungkan!!!!!

-------------------------------------------------
catatan orangkita : 16 Sept 2008, 1040 am
http://sangpemantau.blogspot.com/
-------------------------------------------------

Read More...

UMNO Penang perkauman melampau!!

chegubard

Umno Pulau Pinang terus cuba bakar 'line'........






Tangkapan ISA kononya untuk tenangkan ketegangan kaum.... tetapi Umno Pulau Pinang terus bakar 'line' dengan megah... tanpa rasa takut ISA...

Teringat ketika operasi Lalang, yang bergaduhnya ialah Umno dan MCA. Najib yang berikrar membasahkan keris dengan darah cina... malah Muhammad Mohamad Taib dalam satu temuramah radio secara lansung menyeru orang Melayu berkumpul di Kampung baru dengan menggesa semua membawa pisau. Katanya "bawalah pisau senang nak kupas limau"

Lee Kim Sai, pemimpin MCA pada ketika itu menjawab tuduhan cina sebagai pendatang dengan menyatakan Melayu juga adalah pendatang dari Indonesia. Pertikaian bermula dari Forum Bantahan yang diadakan pada 11 Oktober 1987, yang dihadiri hampir 2,000 orang di Dewan Perhimpunan Cina membantah perlantikan 100 orang Guru Besar bukan berpendidikan aliran cina di sekolah - sekolah jenis pendidikan cina.

Selepas forum tersebut satu perhimpunan balas diadakan di kampung Baru oleh pemimpin Umno.

Apa masalah sebenar ketika itu ? Bukankah itu isu pendidikan dan pengurusan Kementerian Pendidikan seharusnya diselesaikan secara lebih matang ? Sebenarnya kerajaan Bn pada ketika itu goyah... ikatan dalam parti komponen cukup lemah dan malah dalam Umno juga krisis pertembungan Team A dan Team B masih belum selesai maka dibakar sentimen perkauman untuk menyelamatkan Umno dan Bn.

Maka operasi lalang (ISA) dilakukan. Malangnya Lee Kim Sai, Najib dan pemimpin Bn yang jadi tukang bakar 'line' semuanya bercuti di luar negara tetapi pemimpin bukan Bn yang banyak ditangkap. Ada pemimpin Bn yang ditangkap tetapi nyamuk bukan gajah yang banyak cakap.

Bukankah sekarang ini berlaku sedemikian juga. Ikatan Komponen Bn lemah...Umno bertembung teruk di dalam.... kiriman gambar - gambar banner yang tergantung di sekitar Pulau Pinang juga menjadi bukti penguat Umno cuba bakar sentimen perkauman untuk halang kebangkitan rakyat.

Tetapi yakinlah rakyat akan terus bersatu menumbangkan regim Bn.... Tiada masalah perkauman tetapi Bn yang bermasalah.

Menurut penghantar email ada banyak lagi... juga kelihatan poster ditampal.

p/s : bn pakar buat benda karut ini..contohnya di Permatang Pauh mereka buat banner keADILan tulis Lim Kit Siang bakal TPM untuk takutkan pengundi Melayu. Mereka reka poster palsu 16 September - perhimpunan di Istana...mereka buat memorandum palsu kononya cina anti Azan.... Umno sudahlah....

Read More...

SELAMAT PAGI MALAYSIA BARU

Tukar tiub

Untuk pertama kalinya kita rakyat Malaysia telah menyambut HARI MALAYSIA. Perhimpunan bersejarah di Stadium Kelana Jaya pada malam 15 September 2008 telah merakamkan rasa hormat kita kepada warga Sabah dan Serawak yang selama ini telah ‘ditipu’ dan terpaksa menyambut tarikh 31 Ogos sebagai Hari Malaysia.

Poooorah 31 Ogos bukan Hari Malaysia. Khalas. Period. Khatam. Finito. Fin. Kaput. End.

Hari Malaysia ialah 16 September. September 2008 adalah kali kedua Hari Malaysia dirayakan di Semenanjung. Kali pertama dahulu pada September1963.

Hari Malaysia ini juga akan membawa satu lagi perubahan baru. Kerajaan baru Pakatan Rakyat akan ditubuhkan. Ini bukan mimpi. Ini bukan olok-olok. Ini adalah harapan warga Malaysia yang telah bosan dan mual dengan kerajaan Barisan Nasional yang di kepalai oleh United Malays National Organisation. Hari Malaysia adalah tanda rakyat mahukan perubahan.

Dari ucapan Sdr Anwar Ibrahim di Stadium Kelana Jaya , kita rakyat telah diajak untuk meyakini kelahiran kerajaan baru ini.

Mustahil?

Tidak perlu ada loncatan parti. Tidak perlu meninggalkan parti.

Apabila pemimpin Parti Keadilan Rakyat berkata ‘ kita cukup jumlah’ jangan salah tafsir. Bukan jumlah ahli parlimen untuk melompat parti dan meninggalkan parti asal mereka.Tetapi jumlah untuk menyatakan yang mereka TIDAK lagi memiliki keyakinan terhadap pimpinan Abdullah Ahmad Badawi.

Surat resmi telah dihantar kepada Abdullah Badawi pada hari Jumaat lalu. Pakatan Rakyat ingin mengadakan pertemuan agar peralihan kuasa berjalan lancar. Dan Kerajaan Malaysia Baru akan ditubuhkan.

Malaysia Baru adalah Malaysia yang berpandukan Ketuanan Rakyat.
Malaysia Baru adalah Malaysia tanpa Akta Keselamatan Dalam Negeri - ISA.
Malaysia Baru adalah Malaysia tanpa Akta Cetak.
Malaysia Baru adalah Malaysia tanpa Akta Universiti dan Kolej Univeriti.

Malaysia Baru adalah Malaysia yang agihan kekayaan bukan mengikut kaum/agama tetapi keperluan.

Malaysia Baru menjamin dan menghormati kebebasan beragama/berkepercayaan.

Malaysia Baru adalah untuk semua rakyat Malaysia. Tidak ada yang menjadi tuan dan tidak ada yang menjadi hamba. Tidak ada yang istemewa. Semua setaraf. Semua sederajat.

Kita semua adalah anak semua bangsa berbeza-beza tetapi sederajat.

Anak semua bangsa marilah kita rayakan perbezaan dalam Malaysia Baru.

Read More...

Kenyataan Nik Aziz Yang Di'haram'kan

Edyesdotcom

Di petik dari kickdefella untuk tatapan umum !
hak cipta tak terpelihara, selamat mentelaah dengan minda terbuka...


Tangan yang menyuap nasi itu masih perit merasa dipatuk ular UMNO yang pernah mengusir PAS dari BN sehingga Nik Aziz tinggal seorang diri di Dewan Rakyat. Sebab itu Tuan Guru tidak rela melihat PAS mengalami nasib yang sama.

RAKYAT TERENGGANU SALAH PILIH PESURUHJAYA

1. Saya telah membaca dengan teliti pandangan Pesuruhjaya PAS Terengganu yang kali ini lebih gemar menggunakan nama beliau sebagai pengamal dan penganalisis politik daripada bertindak sebagai seorang Pesuruhjaya PAS Negeri. Walaupun sewaktu beliau berdiri sebagai penganalisis politik dalam mana-mana waktu sekalipun, pada saya, beliau tetaplah Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu. Baik dalam keadaan berdiri, duduk, atau berbaring, Mustafa bin Ali adalah seorang Pesuruhjaya PAS.

2. Dengan demikian, mahu tidak mahu pandangan beliau itu tetap mencerminkan pandangan PAS Terengganu. Lebih mendukacitakan lagi ialah apabila pandangan beliau ini bersifat anti keputusan Muktamar. Sekaligus, ia menentang arus Syura yang memutuskan untuk mengukuhkan Pakatan Rakyat dan tidak sebaliknya seperti yang sedang dilakukan oleh Mustafa Ali. Dalam respons dan setiap ayat yang digunakan, saya tidak nampak sikap Mustafa yang boleh mengukuhkan Pakatan Rakyat seperti yang diputuskanoleh Muktamar secara “standing ovation”.

3. Sepatutnya tugas pemimpin termasuk Pesuruhjaya ialah mendukung dan mengukuhkan keputusan Muktamar. Sifat rajin mengeluarkan kenyataan walaupun tidak disuruh adalah sesuatu yang aneh dan menghairankan. Lebih-lebih lagilah ia mencanggahi keputusan Muktamar. Sepatutnya ceramah atau temuramah bersifat lanjutan kepada keputusan Muktamar.

4. Saya membuat perbandingan antara kenyataan Mustafa di muka surat 1 dan 3 Utusan Malaysia, 11 September 2008 dengan kenyataan Dato’ Johari Baharom, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri sendiri termasuk kenyataan PM sendiri dalam Berita Harian pada hari yang sama. Mesejnya sama iaitu tidak ada apa yang akan berlaku pada 16 September 2008 iaitu “tidak mungkin ada undi tidak percaya kerana Parlimen tidak bersidang.” Sentimen Mustafa yang “terus terang tidak yakin adanya bilangan sebanyak 30 orang yang akan melompat parti” betul-betul serupa dengan nada Presiden Umno. Betul-betul serupa.

5. Lidah Mustafa boleh dikatakan sudah menjadi lidah Umno. Kita kena faham bahawa lidah ini adalah jurubahasa kepada hati. Jika begitu keadaannya apa yang ada dalam hati, maka lebih baik terang-terang sokong Umno. Hujah untuk “meredakan keresahan rakyat” yang digunakan oleh Mustafa tidak tepat. Apa yang tepat ialah kita kena tanya rakyat resah kerana apa? Jawabnya, rakyat resah kerana pimpinan di bawah Umno selama ini telah menimbulkan seribu satu macam keresahan. Usaha Pakatan Rakyat yang sama-sama sedang didukung oleh PAS, PKR dan DAP ini adalah usaha untuk memulihkan keresahan rakyat. Pemulihan dan keyakinan akan berlaku apabila Pakatan Rakyat menguasai di peringkat Pusat. “Cross over” kepada Pakatan Rakyat yang menuju ke arah peralihan kuasa sama ada 16, 17, 18, 19 atau 20 September 2008 hendaklah menjadi agenda setiap orang : agenda setiap Pesuruhjaya PAS Negeri termasuklah Mustafa bin Ali. Inilah semangat Muktamar yang telah kita sama-sama putuskan secara sebulat suara. “Standing ovation” itu adalah sebulat suaralah tu. Keputusan Muktamar ini, bukan kerja main-main.

6. Apa tujuan kita adakan kursus, seminar, ceramah, tamrin, usrah, doa, sembahyang hajat, munajat, pagi, petang, siang dan malam kalau tidak kerana untuk menumbangkan sebuah pemerintahan yang tidak cenderung kepada Islam. Jika Umno hendakkan Islam, sudah lama dia laksanakan Islam.

7. Saya tidak fahamlah bila Mustafa menyebut bahawa dia bercakap secara bebas dan pendirian beliau bertaraf peribadi; bukan atas kapasiti seorang pemimpin PAS. Pada saya, beliau adalah Pesuruhjaya PAS Terengganu. Dalam Islam, seseorang itu hanya boleh mempunyai satu sahsiah saja. Sesiapa yang cuba bermain-main dengan dua atau lebih rupa sahsiah, tidak layak menjadi pemimpin gerakan Islam. Sebab itu, Islam selalu menekankan soal tauhid, yakni penyatuan segala perkara di atas satu dan menuju kepada satu. Dalam PAS, tidak ada dua wajah sahsiah. Jika ada juga, maka ia sesuai untuk mewakili Umno.

8. Jika Dr. Mahathir pernah berkata bahawa ia tersalah pilih Perdana Menteri maka dalam konteks ini boleh jadilah Terengganu sudah tersalah pilih seorang Pesuruhjaya. Dalam akhir ayat Mustafa Ali, ada juga saya terbaca beliau menyifatkan isu ini timbul disebabkan keghairahan satu pihak untuk mengambil alih kerajaan. Di sini, saya cukup tidak fahamlah. Seolah-olah pada Mustafa, adalah satu kesalahan apabila kita ghairah nak gantikan kerajaan secara demokrasi. Sejak bila pula Mustafa jadi begini? Kita kena faham bahawa isu menghuruharakan ini timbul kerana sejak 50 tahun Umno memimpin negara, rakyat tidak dipimpin dengan jelas dan betul dari segi Islam atau demokrasi. Keadilan tidak diberi kepada orang-orang Melayu, Cina, India, Siam atau Kadazan. Ini yang kita ghairah untuk menggantikan kerajaan. Kita bawa Islam kerana Islam itu adil. Islam itu untuk keamanan dan kesejahteraan seluruh kaum yang bermastautin di Malaysia. Apabila nampak bahawa Kerajaan BN/Umno sudah panik dan resah sehingga terpaksa melarikan 50 Wakil Rakyat, maka pada saya, ini adalah petanda kejayaan. Tak tahu lah pula saya kenapa Mustafa Ali terpaksa bersusah payah untuk menjelaskan situasi sebenar demi meredakan. Meredakan hati siapa? Hati pemimpin Umno?

9. Dalam keadaan beginilah hati saya cepat-cepat teringat tentang HARAKAH. Saya tak dapat bayangkan bagaimana HARAKAH boleh memainkan peranan sebagai lidah rasmi parti dan organ parti, apabila orang nombor satu yang merupakan Pesuruhjaya PAS Terengganu ini telah mengambil sikap membelakangi keputusan Muktamar. Saya percaya, ini sedikit sebanyak akan mempengaruhi pojok, cerita, berita dan analisis yang dibuat. Dengan dibenarkan penerbitan dua kali seminggu maka lebih cepat lagilah ia boleh merosakkan imej HARAKAH. Pada logiknya, pembaca HARAKAH akan berkurangan. Saya fikir suatu keputusan perlu dibuat mengenai perkara ini.

CheGu Pa, pernah berkata Abangnya tidak ’sihat’. Abangnya pernah menyeru ahli PAS untuk masuk UMNO jika benar memperjuangkan Islam. Kini mungkin dia juga sudah tidak sihat kerana beria benar membantu mempertahankan UMNO dari tenggelam.

10. Saya sebenarnya masih mahu mengambil sikap bertangguh dari terlalu cepat mengemukakan respons. Dengan begitu, saya akan cuba ikuti lagi apa rentak yang akan dibawa oleh pemimpin seperti Mustafa Ali. Saya percaya, mungkin ada satu atau dua orang lagi yang bersama dengan beliau. Selaku orang tua dalam parti, saya telah mengikuti orang penting dan orang yang tidak penting keluar masuk ke dalam parti. Bahkan Allahyarham Dato’ Haji Asri Muda sekalipun pernah meninggalkan Parti PAS. Pada waktu itu beliau adalah di kerusi Presiden. Beliau akhirnya masuk Umno dan semua orang tahu bagaimana beliau mengakhiri karier politiknya.

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT

Bertarikh : 11 Ramadhan 1429
11 September 2008.

p/s Kenyataan di atas telah diarah ditarik siarannya dari Harakah. Terdapat tangan-tangan hitam di puncak Raja Laut yang begitu taksub dengan UMNO sehingga tindakan mereka pun sudah sama dengan UMNO.

Read More...

Mu sekat aku, aku luku kepalamu

Penarik beca

Malam tadi, dalam ceramah di Taman Melewar, Tok Guru Mursyidul Am menghentam Cik Gu Pa sakan-sakan. Marah sungguh Tok Guru dengan tindakan meng"ISA"kannya.

Saya memang suka dan meraikan sangat kebebasan bersuara di dalam PAS. Hujah lawan hujah. Hanya jiwa yang kurang ajar dan berpenyakit sahaja yang takutkan kebebasan hujah lawan hujah.

Tapi, kalau sampai peringkat mu sekat suara aku, aku pulak luku-luku kepalamu atas pentas, ni dah merapu dah ni. Yang menyekat dan yang meluku-luku itu bukan taraf bakaq a.k.a ~penarik beca. Oleh kerana dua-duanya pandai cakap Orang Putih, tolong dengaq sat bakaq nak habaq: Think about what you have done. Think about it!

Semua ini berlaku kerana dua sebab besar:

1. Suka kencing dan berak atas konsep musyawarah. Kencing dan berak tu sama ada buat dulu dua tiga kali ikut suka nafsu baru beritahu mesyuarat sehingga ahli mesyuarat bagaikan dipaksa endorse atau bila mesyuarat dah putuskan jangan, buat juga ikut suka nafsu apa yang mesyuarat kata jangan.

2. Tidak datang mesyuarat. Tidak datang mesyuarat boleh berpunca dari pelbagai sebab - sakit, tak larat, merajuk tak tentu fasal, anggap mesyuarat tak penting, pandang lekeh kepada kawan-kawan dalam mesyuarat, jakun kepada diri sendiri dan macam-macam lagi penyakit pelik-pelik yang tidak disenaraikan dalam kitab dan rujukan para tabib dahulu dan sekarang.

Jika dua penyakit besar di atas dapat diatasi, banyak masalah dapat diselesaikan.


OK- apa nak jadi dengan PAS ni??ada hikmah kot....:(

Read More...

Anwar mahu temui PM isu tukar k'jaan

Malaysiakini

Jimadie Shah Othman | Sep 15, 08 11:53pm

Pakatan Rakyat yang dikepalai Datuk Seri Anwar Ibrahim masih yakin rancangannya untuk membentuk kerajaan baru akan berjaya dalam masa terdekat.

Bagaimanapun Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan rancangan ketua pembangkang itu sebagai "sesuatu perkara yang karut".

Bercakap di depan puluhan ribu penyokong pembangkang di stadium Kelana Jaya malam ini, Anwar berkata Pakatan Rakyat telah menghantar surat hari ini untuk bertemu Abdullah bagi membincangkan isu pembentukan kerajaan baru.

"Petang tadi, (ahli parlimen DAP) Anthony Loke, (ahli parlimen PKR) Johari (Abdul) telah pergi ke Putrjaya, hantar surat untuk berjumpa segera dengan perdana menteri sebab kita mahukan perubahan aman dan tenteram," kata Anwar.

"Kita sudah ada jumlah (wakil BN yang akan melompat kepada Pakatan), dan kita telah bersedia. Hari ini 16 September, esok 17 September, kita bersedia membentuk kerajaan."

Anwar, yang juga penasihat PKR, meyakinkan para penyokongnya bahawa rancangannya untuk menubuhkan kerajaan dengan cara memujuk lebih 30 wakil rakyat BN meninggalkan parti itu "masih seperti dirancang."

"Apabila kita kata 'on track' (masih seperti dirancang), maksudnya 'on track'.

"Hendak jadi macam mana (perubahan kerajaan pada 16 September), mereka bawa (ahli-ahli parlimen BN) ke Taipei," katanya, merujuk lebih 50 wakil rakyat BN yang secara mendadak dibawa melawat Taiwan beberapa hari lalu.

"Tetapi kita ada cukup jumlah untuk mengalahkan BN. Bukan hendak paksa, pergi Putrajaya hendak heret, ambil alih (kuasa kerajaan pusat) bukan mengikut hukum rimba, yang lalu tetap berlalu.

"Esok kita akan umumkan pendirian kita."

Sementara di Kuala Terengganu, lapor Bernama, sambil menempelak tentang hasrat itu, Abdullah berkata pertukaran kerajaan baru tidak akan berlaku.

"Orang kita cepat sangat terkejut, tergempar, cepat sangat kelam-kabut tentang soal pertukaran kerajaan. Ketepikan semua perkara begini.

"Beri perhatian kepada perkara yang mendatangkan manfaat serta kebaikan dan bukan sembang kosong yang tidak beri manfaat.

"Kita suka sangat berhujah dan bersembang tentang perkara ini (pertukaran kerajaan). Perkara ini tidak akan berlaku," katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama pemimpin dan rakyat di Masjid Abidin malam ini.

Menurut agensi berita itu lagi, Abdullah meminta umat Islam meningkatkan ibadat bersempena bulan Ramadan dan tidak terlalu ghairah memperkatakan isu pertukaran kerajaan.

"Pembohongan ini menyebabkan keadaan menjadi kelam-kabut sehingga selepas berbuka dan Tarawih, bukan nak buat Taddarus tetapi yang dibincangkan ada hubung kait dengan pertukaran kerajaan.

"Sepatutnya kita guna bulan Ramadan ini untuk tingkatkan ibadah untuk kemuliaan di sisi Allah dan tidak digunakan bersembang perkara yang tidak akan berlaku," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai peletakan jawatan Datuk Zaid Ibrahim sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Anwar membayangkan wujud perbincangan antara pihaknya dengan bekas ketua bahagian Umno Kota Bharu itu.

"Terima kasih kepada Zaid. Dalam beberapa hari lagi akan ada berita baik daripada Zaid. Ada orang kata kita beli (Zaid). Bukan beli, tetapi dia benci penahanan (bawah) ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri)," kata bekas timbalan perdana menteri.

Anwar bagaimanapun tidak menjelas lanjut berhubung perkara itu.

Zaid hari menyerahkan surat peletakan jawatan, namun perdana menteri memintanya bercuti sebelum mengambil keputusan muktamad tentang perkara tersebut.

Read More...

Rakyat usah terpedaya alasan Anwar - pemimpin UMNO

Berita harian

Oleh Anwar Hussin


DATUK Seri Anwar Ibrahim (tengah) ketika mengadakan sidang akhbar di Ibu pejabat PKR, kelmarin. Turut kelihatan, Lim Kit Siang (kiri) dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang. - Foto Reuters

Penasihat PKR penting diri, tak bermoral: Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Pemimpin Barisan Nasional (BN) mengingatkan rakyat supaya tidak terpedaya dengan pelbagai alasan yang diberikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penangguhan hasrat Pakatan Rakyat untuk mengambil alih kerajaan esok.

Pembentukan kerajaan baru seperti yang dicanangkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu selama ini, memang tidak berasas dan tidak mungkin dapat dilaksanakan. Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata tindakan Anwar itu sebenarnya satu pembohongan dan tidak bermoral.

"Jelas, Anwar hanya mementingkan diri sendiri tanpa menghormati amalan demokrasi di negara ini," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Kelmarin, Anwar memberitahu pemberita yang Pakatan Rakyat terpaksa menangguhkan hasrat mengambil alih kerajaan pada 16 September ini atas alasan tarikh yang ditetapkan itu tidak lagi sesuai berikutan beberapa perkembangan terbaru politik negara.

Muhyiddin yakin Anwar akan terus gagal dalam usahanya menubuhkan kerajaan menerusi pintu belakang, walaupun beliau meminda tarikhnya beberapa kali.

"Anwar sudah hilang kredibilitinya sebagai seorang ahli politik berwibawa. Cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri hanya akan menjadi Mat Jenin," katanya.
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam pula berkata BN sejak dulu lagi yakin dengan keutuhan gabungan itu kerana ia dipilih oleh rakyat dalam pilihan raya umum.

"Anwar saja yang gila hendak menubuhkan kerajaan melalui pintu belakang dengan cubaan membeli Ahli Parlimen BN. Ia tidak demokratik serta memalukan sehingga menyebabkan negara berada dalam keadaan yang tidak stabil," katanya.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Nazri Aziz berharap rakyat tidak tertipu lagi dengan permainan politik kotor Anwar.

"Ini kali ketiga Anwar menipu rakyat apabila memberi pelbagai alasan untuk menangguhkan impian kosongnya." katanya.Nazri berkata, beliau memang sudah lama yakin kerajaan baru Anwar tidak mungkin dibentuk pada 16 September ini.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata Anwar sudah memberi tiga alasan berbeza berhubung penangguhan pembentukan kerajaan, iaitu Parlimen tidak bersidang, Ahli Parlimen BN ke Taiwan dan penahanan tiga orang termasuk Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

"Lama-kelamaan orang akan sedar siapa Anwar sebenarnya," katanya.

Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, berkata budaya katak yang mahu diamalkan Anwar akan menyebabkan pentadbiran negara menjadi tidak menentu dan menimbulkan kacau bilau.

Dr Koh berkata, budaya seperti itu harus dielakkan kerana rakyat pasti tidak mahu pentadbiran negara ditentukan oleh beberapa orang yang suka berpaling tadah.

"Jangan biarkan kerajaan negara kita ditentukan oleh beberapa orang yang mengamalkan budaya lompat ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman dalam satu kenyataan berkata Anwar terbukti mempunyai cita-cita besar dan terburu-buru untuk menubuhkan kerajaan sehingga tidak sanggup menunggu pilihan raya.

"Strategi Anwar itu sangat tidak demokratik, tidak beretika dan 'tidak gentleman. Kalau beliau yakin bahawa rakyat menyokongnya, dia patut menunggu proses itu," katanya.

Musa yang juga Pengerusi BN Sabah berkata wakil rakyat BN cukup matang dan bijak untuk tidak terperangkap dengan politik Anwar.

Beliau berkata, mereka mungkin bersuara lantang berkaitan beberapa isu tetapi ia tidak bermakna mereka menentang pucuk pimpinan BN.

"Saya yakin mereka akan tetap mengenang jasa dan berterima kasih kepada penyokong BN yang memberi laluan kepada mereka untuk menjadi anggota Parlimen," katanya.

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |