+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, September 17, 2008

ORANG ISLAM PERLU JUGA PERHATIAN

Kedahlanie

Oleh Iskandar Abdul Samad


DBKL mengambil tindakan pantas menukar tanda-tanda jalan dari yang mempunyai tulisan jawi kepada yang mempunyai tulisan Cina apabila dibantah oleh YB Teresa Kok, Ahli Parlimen Seputih.

Walaupun ianya melibatkan kawasan YB itu, kawasan majoriti Cina, tetapi jarang sekali DBKL begitu pantas memenuhi permintaan parti-parti pembankang. Menukar papan-papan tanda jalan bukan satu perkara yang kecil. Jadi adakah ianya bertujuan untuk mendapatkan undi-undi untuk BN atau terdapat agenda politik lain? Sudah tentu penukaran itu akan menjadikan YB Teresa “heroine” kepada pengundi-pengundi Seputih dan tidak akan menguntungkan BN. Jadi kenapa dilakukan?

Saya berpendapat impak yang diharapkan bukanlah di Seputih tetapi di seluruh negara. Bukan kepada orang Cina atau masyarakat bukan Islam yang lain tetapi impak yang diharapkan adalah di kalangan orang Melayu, orang Islam.

Saya yakin tindakan itu adalah untuk menimbulkan rasa “insecure” atau tidak selamat orang Melayu. Orang Melayu hendak ditakut-takutkan. Tulisan jawi boleh ditukar dengan sewenang-wenangnya. Jika tulisan Melayu boleh ditukar, perkara-perkara lain pun boleh ditukar!

Tetapi adakah orang-orang Melayu boleh ditakut-takutkan? Mungkin mereka yang berkempen di Permatang Pauh tidak merasakan begitu tetapi di peringkat akar umbi lain ceritanya.

Di Permatang Pauh, undi PKR meningkat tetapi itu sememangnya kubu kuat PKR. Bagaimana pula di kawasan yang orang Melayu yang menolak PKR atau PAS pada pilihanraya umum 8 Mac? Adakah sokongan kepada Pakatan telah meningkat di Sabak, Sg. Burung, Sg. Air Tawar, Taman Templer atau Dusun Tua?

Masih banyak masjid-masjid dan surau-surau di Selangor yang di kuasai oleh UMNO dan ini menunjukkan bahawa ianya terus mempunyai pengaruh yang kuat di peringkat akar umbi.

Pada pendapat saya, kurang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Rakyat untuk menarik orang Melayu dari UMNO, sama ada di Selangor, Perak ataupun Pulau Pinang. Yang ada seperti hadiah kemasukan ke IPTA/IPTS, skim takaful warga emas dan hadiah RM100 untuk setiap bayi yang lahir adalah universal untuk seluruh rakyat tanpa mengira kaum.

Ramai yang berpendapat orang-orang Cina mendapat lebih banyak “habuan-habuan” dari kerajaan Pakatan. Lanjutan pajakan 99 tahun bagi kampung-kampung baru Cina, cukai pintu nominal bagi tokong-tokong, layanan khas bagi kilang-kilang haram dan yang terbaru pula, penganugerahan tanah oleh kerajaan Negeri Perak kepada sekolah-sekolah Cina boleh memastikan sokongan masyarakat Cina kepada Pakatan.

Masyarakat India juga mendapat perhatian khusus dari kerajaan Pakatan. Masalah kemiskinan orang India dan masalah sekolah-sekolah Tamil sedang diberi perhatian. Tidak ada lagi kuil yang akan diroboh seperti di Kg. Rimba Jaya.

Tanpa menafikan hak-hak orang Cina, orang-orang Melayu perlu juga mendapat “keistimewaan-keistimewaan” dari kerajaan Pakatan. Saya bimbang kerana ramai yang telah bertanya, “Apa yang orang Melayu dapat dari kerajaan Pakatan?”.

Sebenarnya orang-orang Melayu lebih senang merasa terancam, lebih merasa “insecure” dari orang Cina atau orang India. Mereka lebih mudah ditakut-takutkan. Mereka senang terperangkap dengan isu-isu perkauman. Kalau ada yang berkata orang Melayu sudah berubah, saya yakin ini satu dongengan sahaja. Betul mereka boleh mengundi DAP atau calon-calon bukan Melayu tetapi ini boleh bertukar dengan sekelip mata.

Ini tidak mengejutkan kerana orang Melayu adalah bangsa yang telah dijajah, telah dijadikan hamba selama lebih 500 tahun. Dari Portugis kepada Belanda, kemudian Inggeris dan Jepun, Bintang Tiga dan Inggeris kembali maka tidak hairan jika api perkauman boleh disemarakkan dengan mudah di kalangan orang Melayu. Inilah realitinya. UMNO masih dapat memenangi 18 kerusi di Selangor. UMNO mempunyai kerusi yang terbanyak di DUN Perak, lebih banyak dari DAP, PKR atau PAS bersendirian.

Saya melihat untuk mengekal kerajaan Pakatan di Selangor atau Perak, kuncinya adalah pada pengundi-pengundi Melayu yang telah menolak Pakatan pada pilihanraya umum yang lalu. Apakah agenda khusus untuk menarik mereka dari UMNO?

YB Ronnie Liew pernah berkata MCA tidak akan menang di Perak apabila Kerajaan Negeri Perak memberi tanah kepada sekolah-sekolah Cina tetapi beliau lupa tanpa undi orang Melayu, PKR dan PAS mungkin akan kalah dan kerajaan Pakatan tidak akan dapat ditubuhkan hanya dengan DAP.

Sekiranya pemberian tanah kepada sekolah-sekolah Cina tidak disusuli dengan pemberian tanah kepada sekolah-sekolah agama rakyat maka sudah tentu akan berlaku tindakbalas (backlash) dari kalangan orang-orang Melayu. UMNO begitu cekap mengeksploit isu-isu seperti ini.

Begitu juga di Selangor, walaupun bagi kebanyakan 16 kerusi wakil rakyat Melayu-Islam dimenangi dengan undi Cina tetapi jika undi-undi Melayu berubah kepada BN, 16 kerusi itu akan jatuh ke tangan BN. Ini belum dikira kerusi-kerusi PKR di mana peratusan pengundi Melayu adalah tinggi dan kemenangan PKR adalah hasil dari undi-undi Melayu.

Ada orang PAS yang berkata, kita “tarbiyyah” sahaja, melalui masjid dan surau. Tetapi “tarbiyyah” tidak dapat atau memerlukan masa untuk menyelesaikan rasa tidak puas hati orang-orang Melayu yang tidak mempunyai tanah walhal pemodal-pemodal Taiwan boleh mendapat tanah industri dengan mudah, yang menetap di rumah-rumah kos rendah yang sempit walhal warga Singapura dapat membeli banglo-banglo yang mewah, yang menghadapi masalah untuk mendapat pinjaman dari bank tetapi akan dikatakan malas apabila perniagaannya gagal atau yang menghadapi diskriminasi ketika mencari pekerjaan tetapi setiap kali mereka bersuara mereka akan dilabel sebagai ekstrim.

Sesuatu yang drastik perlu dilakukan oleh kerajaan Pakatan yang ada. Bukan sahaja orang Melayu yang masih bersama BN akan kekal bersama BN malah orang-orang Melayu yang bersama Pakatan akan turut hanyut. Orang Melayu, orang Islam juga perlu diberi perhatian.

6 Ramadhan 1429 / 6 September 2008
Iskandar Abdul Samad
Yang Dipertua PAS Kawasan Pandan & ADUN Chempaka, Selangor D.E.

Read More...

Raja Petra kemuka habeas corpus

KUALA LUMPUR 16 Sept. - Selepas Ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor, Teresa Kok, hari ini pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamarudin pula memfailkan permohonan habeas corpus untuk dibebaskan daripada tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Notis usul bagi permohonan tersebut difailkan oleh beliau melalui firma guaman Tetuan Mathews Hun Kandiah di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

Semalam Teresa, 44, memfailkan permohonan yang sama selepas beliau ditahan di bawah ISA pada 12 September lalu ekoran penglibatannya dalam mengeluarkan arahan melarang azan dilaungkan menggunakan pembesar suara di masjid dan surau.

Dalam permohonannya, Raja Petra, 58, menamakan Ketua Polis Negara sebagai responden.

Afidavit yang diikrarkan oleh isteri Raja Petra, Mable @ Marina Lee Abdullah, 54, turut dilampirkan bagi menyokong permohonan tersebut.

Mengikut afidavit tersebut, penahanan Ra- ja Petra didakwa tidak menurut undang-undang atau tanpa asas undang-undang dan fakta serta berniat jahat.

Memetik laporan akhbar, Raja Petra ditahan mengikut Seksyen 73(1) ISA kira-kira pukul 1.10 petang, 12 September lalu oleh sepasukan 10 anggota polis di rumahnya di Bukit Rahman Putra Sungai Buloh, Selangor.

Penahanan itu dibuat selepas polis berpuas hati bahawa beliau menghina Islam dan Nabi Muhammad melalui laman web Malaysia Today.

Sepasukan polis yang diketuai oleh Asisten Supritendan Mohd. Yusof Chem turut merampas 15 keping cakera padat dipercayai mengandungi ceramah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan 16 naskhah buku.

Raja Petra pernah ditahan ISA pada 11 April 2001 kerana terbabit dalam gerakan reformasi menyokong Anwar melalui laman web kendaliannya, FreeAnwar.com.

Beliau juga kini sedang menghadapi tuduhan berkaitan Akta Hasutan di Mahkamah Majistret di sini dan Petaling Jaya.

Read More...

Kes bunuh Altantuya: Peguam mohon Sirul dibebas

Berita Harian

Oleh Norhashimah Mohd Radzali
norhashimah@bharian.com.my

Pembela dakwa wujud banyak keraguan untuk mensabitkan tertuduh

SHAH ALAM: Peguam bela tertuduh kedua, Koperal Sirul Azhar Umar memohon Mahkamah Tinggi di sini melepas dan membebaskan anak guamnya tanpa perlu dipanggil membela diri atas tuduhan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu di Puncak Alam di sini, 19 Oktober 2006.

Kamarul Hisham Kamaruddin yang mewakili Sirul Azhar, ketika mengemukakan hujahan balasnya di akhir kes pendakwaan, semalam memohon supaya anak guamnya dibebaskan kerana wujud banyak keraguan dan persoalan dalam kes pendakwaan untuk mensabitkan tertuduh.

Beliau berkata, pendakwaan juga tersilap dalam penghujahan mereka dengan menyatakan perlakuan Sirul Azhar menunjukkan tempat kejadian adalah mengikut Seksyen 8 Akta Keterangan 1950, sedangkan mengikut peruntukan undang-undang keadaan Sirul Azhar ketika itu lebih menjurus kepada Seksyen 27 akta sama.

Kamarul turut memohon mahkamah menolak permohonan pendakwaan itu berdasarkan beberapa contoh peruntukan undang-undang sedia ada.

Dalam perbicaraan lalu, pendakwaan berhujah Sirul Azhar yang membawa polis untuk mencari lokasi pembunuhan Altantuya dan perlakuannya yang menunjukkan tempat kejadian bukan satu kenyataan mengikut peruntukan Seksyen 27 Akta Keterangan kerana polis sudah menemui tempat kejadian.

(Beberapa saksi dalam keterangan sebelum ini memberitahu lokasi tempat kejadian ditemui polis berdasarkan pendedahan tertuduh pertama, Cif Inspektor Azilah Hadri)

Kamarul berkata, jika pendedahan maklumat Sirul Azhar berhubung lokasi bunuh Altantuya tidak diklasifikasikan sebagai Seksyen 27, pendakwaan masih boleh berpegang kepada keterangan barang kemas milik mangsa ditemui di rumah tertuduh untuk mensabitkannya terhadap tuduhan.

"Kami memohon mahkamah mengambil kira bukti berdasarkan keadaan dalam kes ini bagi menentukan sama ada keterangan berhubung penemuan barang kemas mangsa di rumah tertuduh boleh diambil kira, sedangkan terlalu banyak keraguan timbul berkaitan bagaimana ia boleh berada di rumah tertuduh.

"Dari mana sebenarnya polis mendapat 'tiga anak kunci misteri' untuk membuka pintu rumah tertuduh jika keterangan dua saksi pendakwa sebelum ini menyatakan ia bukanlah kunci rumah Sirul Azhar kerana kunci yang diterima mereka lebih daripada tiga, sudah lama dan tidak berkilat.

"Jadi dari mana tiga anak kunci itu datang? Dari mana polis memperolehnya dan siapa lagi yang mempunyai akses untuk memasuki rumah tertuduh," katanya.

Perbicaraan disambung 18 September ini.

Kamarul berkata, selain itu catatan salah '5-2-4' yang dibuat polis berhubung nombor rumah Sirul Azhar yang sebenarnya bernombor '5-3-7' dalam laporan berhubung penemuan barangan kemas mangsa turut menimbulkan keraguan.

Beliau berkata, penjelasan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9), Asisten Superintendan Zulkarnain Samsudin tidak konsisten dan hanya menyatakan dia tersalah menulis nombor rumah Sirul Azhar kerana merujuk alamat pada bil-bil yang diambilnya daripada peti surat tertuduh.

"Sirul Azhar menafikan memberikan sebarang pendedahan maklumat kepada polis dan semua berlaku adalah dirancang polis. Tertuduh diarahkan: "Kamu ikut saya pergi dan hanya tunjuk saja." Gambar pula diambil hanya selepas barang kemas ditemui dan gambarnya memegang jaket dan menunjuk jari ke arah barang kemas itu pula hanyalah lakonan semula.

"Jadi persoalannya, adakah setiap keterangan dikemukakan pendakwaan melalui saksi polis memang berlaku atau hanya rekaan semata-mata? Kami berhujah polis sememangnya mempunyai pengetahuan awal berhubung lokasi rumah tertuduh dan barang kemas mangsa yang disimpan di rumahnya. Polis turut mereka keterangan yang boleh menjuruskan tertuduh terhadap pertuduhan dengan memintanya mengakui semua keterangan itu," katanya.

Menyentuh hujahan pendakwaan yang menyatakan pihaknya langsung tidak mencabar keterangan berhubung barang kemas mangsa, Kamarul berkata, beliau hanya menyentuh isu yang relevan saja dan adalah pelik baginya untuk mempersoalkan apakah barang kemas dipakai Altantuya pada malam kejadian, 19 Oktober 2006.

Kamarul berkata, pihaknya hanya boleh menganggap barang kemas itu milik Altantuya kerana tiada keterangan boleh digunakan untuk mencabarnya.

Bagaimanapun katanya, cara rakan Altantuya, Uuriintuya Gal-Ochir mengecam barang kemas itu menimbulkan keraguan kerana ia dibuat polis terhadap seorang wanita yang berada dalam keadaan emosinya terganggu, yang mana UUriintuya terus menangis selepas menyatakan beliau cam ia dipakai mangsa pada malam kejadian.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin bersambung 18 September ini.

Read More...

Membaca Hikmah Di Sebalik Tindakan Abdullah

msomelayu

SEKALIGUS pertukaran portfolio antara Abdullah Ahmad Badawi dengan Najib Razak untuk jawatan Menteri Kewangan dan Menteri Pertahanan memperlihatkan keikhlasan Abdullah untuk mengangkat Najib sebagai Perdana Menteri. Pertukaran itu juga sebagai persiapan kepada Najib untuk berlatih mengira dan menghitung wang.

Petukaran itu juga membayangkan Abdullah bersedia memenuhi impian dan angan-angan Najib untuk mengambil alih tempatnya sebagai Perdana Menteri.
Najib tentu gembira dengan apa yang berlaku secara tiba-tiba dan seolah yang bulat datang menggolek dan yang leper datang melayang itu! Yalah Menteri Kewangan merupakan meteri paling berprestej dan glomour. Ditangan menteri itulah terletaknya karung dan guni kewangan negara.

Najib juga diberikan jawatan Pengerusi Khazanah Negara. Kedudukan itu meletakkan Najib sebagai pemegang segala khazanah dan seluruh kekayaan negara baik yang beku atau cair.

Peralihan itu juga semacam menampakkan Abdullah mengakui akan kelemahan beliau dalam menjana ekonomi negara. Peralihan itu mengesahkan apa yang dilemparkan kepadanya yang jahil mengenai ekonomi dan buta untuk mencari wang kepada negara. Beliau seakan mengakui akan kelemahan itu dan bersedia memberikan kepada mereka yang lebih layak dan bernafsu untuk merangkulnya.

Dalam hal ini saya ada pandangan lain mengenai diri dan politik Perdana Menteri ini. Pada saya apa yang beliau lakukan itu bukan proses memberi pengalaman atau kenaikan pangkat kepada Najib tetapi ia satu perangkap kepada timbalannya itu. Pertukaran hari ini bukan suka sama sukar seperti dipamerkan tetapi Najib terpaksa menerimanya. Harapnya Najib tidak silap dalam mentafsirkan ini.

Apa yang mungkin terselimut di hati Abdullah ialah beliau mahu rakyat mengetahui sejauh manakah kemampuan Najib menjana ekonomi negara. Kantung kewangan negara kini kering kontang. Perkembangan ekonomi lembab. Apakah dengan suasana ini Najib dapat mengubah dan menambah kantung kewangan negara?

Pada Abdullah mungkin Najib tidak akan dapat melakukan sesuatu untuk merancakkan ekonomi negara. Dengan ilmu yang sedikit sudah pasti Najib tidak dapat melakukan apa-apa yang lebih baik daripadanya. Najib pernah menjadi Timbalan Menteri Kewangan satu masa dulu. Jadi apa yang Abdullah hendak tengok ialah kegagalan Najib kelak. Kegagalan itu pula akan menjadi senjata kepada Abdullah untuk melihat Najib mati secara beragam dengan angan-angan besarnya.
Saya nampak dalam hal ini Abdullah mahu memberi peluang kepada Najib melakukan sesuatu. Apakah beliau berbakat dalam hal kewangan dan ekonomi atau tidak? Abdullah ada alasan sendiri untuk menjadi PM bukan saja memerlukan kepada kesegakkan tubuh badan tetapi kecerdikan otak serta sifat-sifat lain lagi.

Sepatah kata Abdullah dalam memancing dan mencabar Najib, sekiranya prestasi Najib bagus mungkin beliau akan berundur awal. Mungkin pancing itu dimakan dan ditelan Najib dengan penuh keazaman dan lahap. Tetapi dalam suasana hari ini - dengan kemelsetan ekonomi global apa yang Najib mampu lalukan?

Di sebalik pertukaran yang berlaku hari ini saya juga nampak Abdullah mahu apa yang berlaku ke atas Anwar Ibrahim dulu berulang kepada Najib. Anwar semasa menjadi TPM juga menjadi Menteri Kewangan. Kementerian berkenaan menjadikan Anwar lupa daratan dan membina kekuatan politiknya. Amalan kronisme dan nepotisme wujud ketika itu. Akhir apa yang berlaku ke atas Anwar dengan keduduaknnya itu; beliau menjadi seperti bawang yang ditimpa oleh jambaknya.

Jadi pertukaran yang dianggap ikhlas oleh Najib mengenai portfolio itu bukan sesuatu yang boleh dibanggakan Najib. Rosmah tidak perlu memikirkan yang bukan-bukan dengan kedudukan dan kuasa terbaru suaminya itu. Sebab kalau tidak kena gaya kuasa baru yang dijabati hari ini akan membawa Najib ke lembah yang curam dan dalam!
Sementara itu pengambilalihan jawatan Menteri Pertahanan itu mungkin disebabkan Abdullah sudah sedar apa dilakukan Najib dengan kementerian itu. Penggunaan Milltary Intelligent Organization (MIO) oleh Najib untuk kepentingan poltiknya mungkin membimbangkan Abdullah. Jadi sebelum pagar memakan padi elok kalau beliau mengawal sendiri kementerian berkenaan dan biarlah MIO melaporkan semua perkembangan mengenai keselamatan dan politik negara kepadanya seorang saja. [wm.kl 6:00 pm 17/09/08]

Read More...

Balak: K'jaan Pahang diperintah bayar RM60 juta

Malaysiakini

Sep 17, 08 7:40pm

Kerajaan Pahang hari ini diperintahkan membayar RM60 juta kepada sebuah syarikat pembalakan selepas gagal dalam usaha terakhirnya di Mahkamah Persekutuan bagi mendapatkan kebenaran untuk merayu.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum yang bersidang bersama Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nik Hashim Nik Ab Rahman dan Datuk Abdul Aziz Mohamed sebulat suara menolak permohonan kebenaran untuk merayu oleh kerajaan negeri dan Pengarah Perhutanan Negeri Pahang.

Hakim Malanjum berkata persoalan undang-undang yang dikemukakan oleh kerajaan Pahang, yang diwakili Penasihat Undang-undang Datuk Mat Zara'ai Alias, "bukanlah satu persoalan yang wajar dan ia dibangkitkan di Mahkamah Rayuan."

Kerajaan negeri Pahang dan pengarah perhutanan negeri telah memohon kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 3 Ogos lalu yang menolak rayuan mereka untuk melanjutkan masa bagi memfailkan notis rayuan, demikian dilaporkan oleh Bernama.

Notis rayuan itu adalah terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan pada 25 Mei 2007 yang memerintahkan mereka membayar RM37,127,471.60 kepada Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd dengan faedah pada kadar 8 peratus setahun mulai 31 Disember 2000 sehingga selesai pembayaran.

Mahkamah Tinggi memerintahkan mereka membayar jumlah itu kepada Seruan Gemilang setelah berpuas hati bahawa pengarah perhutanan negeri telah bertindak secara cuai apabila enggan mengguna pakai pelan terkini yang dikemukakan oleh Seruan Gemilang yang telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) pada 5 April 2000, sebaliknya mengarahkan pelan asal yang diluluskan oleh exco pada 7 Januari 1998, diguna pakai.
Atas tanah Umno

Pada 9 Disember 2002, Seruan Gemilang memfailkan saman terhadap Kerajaan negeri Pahang dan pengarah perhutanan negeri bagi memohon ganti rugi RM31 juta kerana didakwa melanggar perjanjian kontrak konsesi pembalakan berhubung pengeluaran kayu balak di atas tanah milik Umno di Mukim Bebar, Daerah Pekan seluas 4,000 hektar.

Seruan Gemilang menamakan kerajaan negeri Pahang sebagai defendan pertama dan pengarah perhutanan negeri, defendan kedua.

Dalam pernyataan tuntutan, Seruan Gemilang mendakwa pada 31 Julai 2000, defendan kedua telah memberi kelulusan kepadanya bagi mengeluarkan kayu balak dari mukim itu bagi kawasan seluas 3,200 hektar.

Pada 13 Mei 2002, defendan kedua telah memberi kelulusan kepada Seruan Gemilang bagi mengeluarkan kayu balak dari baki kawasan seluas 800 hektar di tanah yang sama. Ini bermakna Seruan Gemilang telah diberi kelulusan untuk mengeluarkan kayu balak dari kawasan seluas 4,000 hektar.

Bagaimanapun defendan kedua hanya membenarkan Seruan Gemilang mengeluarkan kayu balak dari kawasan seluas 2,800 hektar sahaja manakala baki selebihnya telah diberikan kepada beberapa pihak ketiga untuk mengeluarkan kayu balak dari tanah tersebut.

Kedua-dua defendan dalam pernyataan pembelaan mereka menyatakan bahawa Seruan Gemilang hanya diberi lesen untuk menjalankan kerja pembalakan secara pemindahan bagi kawasan seluas 2,800 hektar sahaja manakala bagi baki 1,200 kektar itu pula, defendan mendapati Seruan Gemilang tidak berminat untuk menjalankan kerja pembalakan di situ.

Read More...

Harga ayam, telur tidak naik

Utusan Online

MELAKA 16 Sept.- Bekalan daging ayam dan telur bagi musim perayaan Aidilfitri ini dijamin mencukupi dengan tiada kenaikan harga yang ketara, kata Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia, Lee Ah Fatt.

Katanya, persatuan itu telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed dan pihak berkuasa tempatan bagi menjamin keperluan bekalan dua bahan utama ini bagi musim perayaan itu mencukupi.

"Persatuan juga telah meminta kepada kerajaan supaya paras harga ayam pada kadar RM7.50 sen sekilo manakala harga telur Gred A pada harga 34 sen sebiji," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, kerajaan akan menetapkan harga siling kedua-dua bahan itu bagi musim perayaan Aidilfitri ini tidak lama lagi.

Katanya, harga ayam pada masa kini antara R7.00 dan RM7.50 sekilogram manakala harga telur Gred A antara 30 sen dan 35 sen sebiji.

Menurutnya, purata keperluan bekalan ayam setiap hari adalah sebanyak 1.3 juta ekor manakala permintaan untuk telur antara 15 juta dan 25 juta bergantung kepada keadaan semasa bagi Semenanjung Malaysia.

"Kita menjangka kenaikan permintaan sebanyak tiga hingga empat peratus daripada kadar permintaan pada hari biasa semasa menghadapi musim perayaan Aidilfitri ini," katanya.

Beliau berkata, lazimnya permintaan untuk bekalan telur akan meningkat pada minggu ketiga umat Islam berpuasa kerana suri rumah akan mula melakukan persiapan untuk membuat kuih raya.

Read More...

Penulis blog Kickdefella ditahan bawah Akta Hasutan

Mstar Online

KOTA BAHARU: Penulis blog Kickdefella, Syed Azidi Syed Aziz, ditahan polis di rumahnya di Demit di sini mengikut Akta Hasutan.

Isteri Syed Azidi, Bariah Ishak berkata, polis yang datang ke rumah mereka dengan menaiki sebuah Pajero berwarna putih dan bercermin gelap, menahan suaminya 5.05 petang.

"Tiga lelaki, yang berpakaian preman, datang ke rumah kami dan memaklumkan bahawa mereka datang untuk menahan suami saya di bawah Akta Hasutan.

"Mereka datang dengan baik walaupun tidak mempunyai waran untuk menahan suami saya," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, salah seorang daripada pegawai polis itu memaklumkan suaminya akan dibawa ke Kuala Lumpur hari ini untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kelantan SAC II Amir Hamzah Ibrahim ketika dihubungi tidak dapat mengesahkan mengenai tangkapan itu kerana tiada maklumat yang diterima oleh polis Kelantan mengenainya.

"Kita akan periksa dahulu mengenai perkara itu," katanya.

Syed Azidi, 38, adalah Pegawai Perhubungan Awam Perbadanan Menteri Besar Kelantan.

Menerusi blog Kickdefella, beliau pernah pernah mencadangkan agar bendera Malaysia dikibarkan secara terbalik semasa menyambut ulang tahun kemerdekaan negara.

Beliau juga pernah mengarahkan filem pendek bertajuk 'Lautan Biru di Waktu Subuh'.

Read More...

Henti sengketa - Raja Nazrin mahukan tumpu pembangunan

RAJA NAZRIN menyampaikan sumbangan kepada wakil Persatuan Bekas Tentera Cawangan Perak, Kpt. (B) Rosli Yahya di Ipoh semalam.


IPOH - Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah menyeru barisan kepimpinan negara supaya berhenti bersengketa sesama mereka, sebaliknya menumpukan kepada usaha membangunkan sumber negara bagi kesejahteraan rakyat.

Titah baginda, dunia sedang menghadapi iklim ekonomi yang suram dengan kenaikan harga minyak dan makanan yang memerlukan kerajaan memastikan bekalan makanan terjamin, meningkatkan produktiviti, menyakinkan pelabur dan mewujudkan pekerjaan baru untuk meringankan beban rakyat.

"Ia merupakan cabaran besar kepada mana-mana kerajaan sekalipun. Ia tidak akan dicapai melalui retorik politik semata-mata.

"Ia tidak akan dicapai jika di kalangan barisan kepimpinan, baik yang berada di dalam atau di luar kerajaan terus bersengketa," titah baginda pada Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP) ke-162 di Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini semalam.

Raja Dr. Nazrin bertitah, suasana muram ekonomi dunia memerlukan para pemimpin mentafsirkannya sebagai cabaran terhadap negara dan bangsa yang memerlukan mereka bersama-sama menumpukan fikiran serta usaha untuk melaksanakan kerja yang produktif.

"Jika cabaran berat ini gagal ditangani, dibimbangi kestabilan dan ketenteraman negara akan terjejas, segala kejayaan yang telah dicapai sejak 51 tahun merdeka akan turut hilang dan pupus," titah baginda.

"Begitu besar nikmat jika perpaduan dapat dipupuk, malah rahmat akan dilimpahkan di kalangan warga dan negara yang berada dalam harmoni; sebaliknya persengketaan akan berakhir dengan perpecahan hingga kemakmuran tidak mungkin tercapai," titah baginda. - Bernama

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |