Kuala Lumpur - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sudah mengeluarkan 257,411 sijil kelahiran yang didaftarkan tanpa dicatatkan nama bapa dari 2000 hingga Julai lalu
Bernama memetik Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata demikian ketika menjawab soalan R Sivarasa (PKR Subang).(gambar kanan)
Beliau berkata pendaftar tidak boleh mencatatkan nama bapa dalam sijil kelahiran bagi anak-anak tidak sah taraf iaitu anak-anak luar nikah, kecuali atas permintaan bersama ibu dan orang yang mengaku dirinya sebagai bapa, selaras dengan peruntukan Seksyen 13 Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 atau Akta 299.
“Bagaimanapun mengikut Seksyen 28 Akta 299, pendaftar berhak mendapatkan maklumat sebaik mungkin berkenaan ibu dan bapa yang sah bagi setiap kelahiran yang hendak didaftarkan.
“Ini bermakna pihak pendaftar boleh membuat siasatan bagi mendapat maklumat yang sahih bagi tujuan pendaftaran ke atas setiap kelahiran,” katanya
Badan Pencegah Rasuah (BPR) sudah selesai menjalankan siasatan kes insiden "mata lebam" Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa dalam tahanan 10 tahun lalu.
Ketua Pengarah BPR, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan bagaimanapun tidak dapat menyatakan dengan tepat bila siasatan itu selesai dan menurutnya kertas siasatan sedang dalam proses penelitian.
"Dari segi siasatan dah selesai tapi sekarang sedang dikaji oleh panel bahagian pendakwaan kita," katanya kepada pemberita di Kuching hari ini.
Mengenai bila keputusan siasatan tersebut akan diketahui, Ahmad Said dilaporkan oleh Bernama sebagai berkata, ia terserah kepada panel bahagian pendakwaan untuk menentukannya.
Siasatan itu dijalankan laporan yang dibuat oleh Anwar terhadap Tan Sri Musa Hassan dan Tan Sri Abdul Ghani Patail.
Anwar mendakwa, Musa dan Abdul Gani menyembunyikan fakta dan memalsukan maklumat dalam kes membabitkan serangan fizikal terhadapnya oleh Tan Sri Rahim Noor, waktu itu ketua polis negara, pada 20 September 1998.
Abdul Gani pada ketika itu adalah timbalan pendakwaraya paling kanan, manakala Musa pula ketua pegawai penyiasat kes yang membabitkan Anwar.
Pada 15 Oktober lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menafikan dakwaan bahawa siasatan kes insiden 'mata lebam' Anwar sudah selesai dan hasil laporan itu mendapati terdapat elemen penyalahgunaan kuasa oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.
Mohamed Nazri menjelaskan siasatan kes itu dijalankan BPR dan bukan oleh Pejabat Peguam Negara seperti yang didakwa ahli Parlimen DAP bagi Ipoh Timur, Lim Kit Siang.
Mengenai kes kehilangan wang bukti berjumlah RM40,000 dalam peti keselamatan di pejabat BPR Sibu pada September lalu, Ahmad Said berkata kes itu diserahkan kepada polis untuk siasatan manakala BPR turut menjalankan siasatan dalaman.
"Seorang pegawai (BPR Sibu) yang disyaki terlibat telah pun dipindah ke Kuala Lumpur dan sedang disiasat ," katanya.
KUALA LUMPUR, 31 OKTOBER (SK) - Walaupun Razak Baginda dibebaskan namun kes ini harus dilihat bagaimana penghakiman ini memberi kesan kepada rakyat Malaysia, kata Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff.
Ketika dihubungi Suara Keadilan Online, Yusmadi berkata, terdapat beberapa kecurigaan yang berlaku sepanjang kes ini berlaku yang menjadi persoalan kepada rakyat negara ini.
“SAYA Berpendapat bahawa keputusan tersebut patut dihormati, tapi pada masa yang sama sejauh mana keputusan ini boleh memberi keyakinan rakyat kepada sistem jenayah dan sistem keadilan negara yang setakat ini dikritik hebat,” katanya.
Pagi ini Mahkamah Tinggi Shah Alam, Hakim Mohd Zaki Md Yasin membebaskan tertuduh ketiga kes pembunuhan berprofil tinggi, Abdul Razak Baginda degan alasan pihak pendakwa gagal membuktikan kes prima facie terhadap penganalisis politik berkenaan.
Mengulas mengenai keputusan bekenaan, bapa kepada mangsa bunuh, Dr Setev Shariibuu berkata beliau amat kecewa dengan keputusan mahkamah berkenaan yang bebaskan Razak.
Tambah Yusmadi yang juga peguam hak asasi, sesuatu penghakiman yang diputusan makamah mesti mempunyai nilai kepentingan awam, yang bermaksud pihak awak mampu melihat satu proses keadilan yang adil kepada kedua-dua pihak samaada tertuduh dan yang mendakwa.
“Saya rasa ini merupakan satu isu yang besar dan perlu dilihat oleh pemerintah dan pihak-pihak berwajib supaya keputusan mahkamah yang diputuskan dinegara tidak dijadikan bahan ketawa apatah lagi tidak dapat pengiktirafan oleh rakyat dan masyarakt global,” katanya lagi.
Selain Razak yang dibebaskan, tertuduh pertama dan kedua, Azilah Hadri dan Sirul Azhar dikehendaki membela diri, hakim mengumumkan 10 November ini sebagai tarikh perbicaraan bela diri bagi mereka.
Mereka bertiga didakwa kerana membunuh seorang warga Mongolia, Altantuya Shariibuu. Mayat Altantuya telah diletupkan dan cebisan daging dan tulangnya ditemui bertaburan di kawasan Puncak Alam dan dipercayai diletupkan pada 19 Oktober 2006
KUALA LUMPUR, 31 Okt: Satu demi satu kontroversi yang menimpa bakal perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Apakah ia berlaku tanpa dirancang atau sememangnya ada perancangan besar (grand design) di belakang semua perkara ini.
Inilah yang hangat dibincangkan di kalangan penyokong timbalan presiden Umno itu.
"Kalau hendak dikatakan ia perkara biasa dalam tempoh peralihan kuasa kerana dia pun tidak boleh mengawal sepenuhnya lagi, apakah selepas menjadi PM segala kontroversi ini akan hilang?" soal seorang penganalisa politik yang mengkaji perkara ini.
Beliau mengkaji trend memburuk-burukkan nama baik Najib yang sedang merebak sekarang ini.
"Mula-mula (Datuk Seri) Anwar membawa isu Altantuya. Selepas itu, Bank International Indonesia (BII). Pembangkang juga bantah isu pinjaman RM5 bilion wang KWSP. Kini Pak Lah batalkan projek pembelian Eurocopter, Mahathir pula kritik cadangan memansuhkan pendekatan DEB. Semua kontroversi ini menghala kepada Najib. Saya rasa ini semua ada perancangan," kata beliau kepada Siasah.
Beliau berpendapat, semacam ada satu usaha untuk memburuk-burukkan nama Najib supaya dia tidak sempat menjadi PM Mac tahun depan.
Namun, siapakah yang berkepentingan?
Pertama, adalah pembangkang. Sememangnya pembangkang risau dengan pendekatan yang bakal diambil Najib dalam menghadapi kebangkitan mereka sebagaimana pendekatan Abdullah ketika mula-mula mengambil alih tapuk kepimpinan negara sebelum ini.
"Jika Najib sempat naik, ramai yang berpendapat habislah peluang Anwar untuk menjadi Perdana Menteri. Oleh itu, pembangkang perlu sekat Najib. Jadi, mereka kena pastikan Najib tidak jadi PM," katanya.
Pihak kedua yang ada kepentingan adalah 'budak-budak Abdullah'.
Mereka ini terdiri dari para pemimpin Umno yang bimbang apabila Najib dan Muhyidin naik, mereka akan tersingkir dari kedudukan mereka sekarang.
"Mereka telah gagal memujuk Pak Lah agar lawan Najib. Pak Lah tak mau Umno pecah. Sekarang mereka berusaha untuk memastikan Najib tidak sempat jadi PM pula," kata sumber itu.
Bagi beliau, jika adanya grand design ini, ia adalah kerjasama antara budak-budak Pak Lah dengan pembangkang untuk menyekat Najib.
Hairan??!! Rumah yang bertanda pangkah menerima notis roboh, rumah yang bertanda anak panah (rumah kerabat JKKK) tidak diberi notis !
Kuala Nerus – Tempias pembangunan ‘rakus’ Pulau Duyong dan Monsoon Cup bakal memberikan ‘hadiah istimewa’ kepada penduduk asal yang tinggal di pesisir sungai Terengganu dalam DUN Seberang Takir.
Dalam keadaan ‘kroni’ yang terbabit bergembira menyambut keputusan kerajaan meneruskan penganjuran sukan tersebut dengan peruntukan RM22.6 juta, tiga keluarga di Kampung Tok Abu Seberang Takir mengalami ‘detik cemas dan perasaan gundah gulana’ kerana rumah mereka akan dirobohkan pada bila-bila masa mulai 22 Oktober lalu.
Pihak Pejabat Tanah Kuala Terengganu telah menghantar notis pada 22 September lalu mengarahkan mereka berpindah dalam tempoh 30 hari dan ‘merombak’ rumah mereka sendiri, sebelum pihak pejabat ‘membawa jentolak’ untuk menyodok dan merobohkannya.
Seorang penduduk yang terlibat, Encik Mokhtar Ali, 56, dari Kampung Seberang Tok Abu mendakwa beliau adalah penduduk asal dan telah tinggal di atas tanah tersebut sejak lebih 20 tahun lalu.
Katanya, tanah tersebut merupakan peninggalan keluarga serta mengakui tidak pernah membuat permohonan secara rasmi kerana pernah mendapat jaminan dari wakil rakyat Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN).
“Saya akui kesilapan tidak membuat permohonan rasmi tetapi telah tinggal sejak lebih 20 tahun dan penduduk asal di kampong ini.
“Saya pernah dapat ‘jaminan’ seorang bekas wakil rakyat Umno-BN ketika itu supaya duduk (tinggal) di atas tanah itu tanpa rasa bimbang kerana telah turun-temurun,” jelasnya kepada Buletinonline, hari ini.
Beliau melahirkan rasa sedih dan dukacita kerana menerima notis dari kerajaan yang dipilihnya pada pilihanraya umum yang lalu.
“Saya rasa terkilan dan sedih dengan penerimaan notis itu dan harap kerajaan buat pertimbangan semula dengan menyediakan tapak baru untuk kami sekeluarga sebagai tempat tinggal baru,” katanya ketika ditemui Buletinonline semalam.
Menurutnya, pihak kerajaan negeri tidak akan membayar apa-apa pampasan terhadap notis tersebut kerana didakwa menceroboh tanah kerajaan.
Seorang warga emas dan ibu tunggal, Wan Mariam Endut, 62, turut melahirkan rasa sedih, terharu dan marah dengan perintah pejabat agar tanah yang diterokai oleh datuk neneknya, dikosongkan segera.
“Mak Cik cukup-cukup sedih dan terasa hati bila dapat notis kerajaan supaya kami kosongkan tanah itu yang diduduki sejak lebih 35 tahun lalu.
“tanah ini telah di terokai, diusahakan dan diduduki oleh ibubapa dan datuk nenek Mak Cik sejak Mak Cik dilahirkan lagi,
“Mak Cik pernah buat permohonan tanah itu sejak 10 tahun lalu tetapi kerajaan tidak memberikan jawapan dan tiba-tiba menerima notis roboh,” ujarnya dengan nada sedih dan terharu.
Katanya, kerajaan negeri perlu melihat kewajaran ‘menghalau’ penduduk asal yang tinggal di atas tanah tersebut sejak terun-temurun lagi.
Beliau juga meminta kerajaan berlaku adil, kerana menurutnya hanya tiga buah rumah sahaja disitu yang menerima notis roboh sedangkan dua rumah yang didiami oleh ‘kaum kerabat Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung tidak diberi notis.
“Kerajaan kena adil, jangan pilih kasih, mengapa rumah Mak Cik yang kena sedangkan dua rumah lagi ‘adik beradik’ JKKK tidak diberi notis,”katanya sambil jarinya menunjuk kearah dua buah rumah tersebut.
Pengerusi Majlis Tindakan Dun (MTD) Seberang Takir, Haji Zakaria Dagang meminta kerajaan negeri membuat pertimbangan hak milik kepada tiga orang penduduk asal yang ‘tercicir’.
“Saya minta kerajaan negeri buat perkiraan dan pertimbangan semula untuk beri hak milik kepada tidak orang penghuni yang masing-masing telah terima notis roboh rumah mereka.
“mereka (mangsa) adalah penduduk asal di Kampung Tok Abu ini dan wajar diberi hak milik ke atas tanah yang telah mereka terokai dan usahakan,
“menurut kaedah Islam, mereka berhak diberi hak milik kerana usaha mereka ‘menghidupkan’ tanah tersebut ” ujarnya.
Katanya, tanah ganti dan pampasan perlu diberi jika kerajaan negeri terpaksa mengambil balik tanah-tanah tersebut.
Ketua Angkatan Muda Parti KeADILan Rakyat (AMK) Terengganu, Fariz Musa isu tersebut perlu ditangani segera dengan menggantikan tapak tanah baru kepada penduduk terbabit.
“Masalahnya, ke mana mereka hendak pergi jika rumah mereka dirobohkan dan kerajaan perlu tangani segera dengan menggantikan tapak tanah baru kepada penduduk yang terlibat dengan pengambilan balik tanah di Kampung Tok Abu,” tegasnya.
Oleh itu, katanya pihak Pejabat Tanah Daerah perlu menyediakan tapak tanah baru kepada beberapa buah keluarga tersebut yang tidak berjauhan dengan tempat kerja mereka.
Menurut notis (imej bawah) yang dikeluarkan oleh Pejabat Tanah Kuala Terengganu, penduduk terbabit didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 425 (1) Kanun Tanah Negara yang boleh diambil tindakan denda tidak melebihi RM50,000.00 atau tidak lebih lima tahun penjara atau kedua-dua sekali.
Notis berkenaan turut memaklumkan bahawa pihak Pejabat Tanah Daerah tidak akan mengeluarkan apa-apa amaran lagi dan tindakan roboh boleh dilakukan pada bila-bila masa dari sekarang
KUALA LUMPUR: Peguam Kamarul Hisham Kamaruddin yang mewakili Koperal Sirul Azhar Umar berkata, pihaknya akan mendapatkan keterangan Raja Petra Kamaruddin, yang kini ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), sebagai saksi kepada anak guamnya.
"Saya ingin mendapatkan keterangan Raja Petra sebagai saksi kerana berdasarkan kenyataannya yang terkandung dalam Akuan Bersumpah beliau sebelum ini mengenai kes ini," katanya ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.
Menurutnya, secepat mungkin beliau akan menulis surat kepada Mentei Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar bagi mendapatkan kebenaran untuk mendapatkan keterangan Raja Petra.
"Terlebih dahulu mestilah saya akan berhubung dengan peguam beliau (Raja Petra) bagi mendapatkan keizinan.
"Kemudiaan kita akan dapatkan kebenaran daripada menteri," katanya.
Tambah beliau, jika beliau gagal mendapatkan kebenaran tersebut, pihaknya akan memohon mahkamah mengeluarkan sapina untuk membolehkan menemui Raja Petra.
Selain Raja Petra, Kamarul juga menjelaskan pihaknya akan mendapatkan penyiasat persendirian, P. Balasubramaniam sebagai saksi kes ini.
Penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini daripada tuduhan bersubahat membunuh wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.
Bagimanapun, dua anggota polis daripada Unit Tindakan Khas, Cif Inspektor Azilah Hadri, 32, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 36, diperintah membela diri terhadap tuduhan itu.
Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin yang membuat keputusan itu berkata beliau mendapati bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Abdul Razak, 48.
Mahkamah menetapkan 10 November ini untuk Azilah dan Sirul Azhar membela diri.
Azilah dan Sirul Azhar mempunyai tiga pilihan untuk membela diri iaitu memberi keterangan bersumpah, memberi keterangan dalam kandang tertuduh atau berdiam diri. Kedua-duanya memilih untuk memberi keterangan bersumpah.
KUALA LUMPUR, 31 Okt (Hrkh) -Tindakan dan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebaskan penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda daripada tuduhan membunuh Altantuya Shaariibuu telah mengecewakan bapa mangsa berkenaan.
Dalam satu maklum balas kepada wartawan sebentar tadi,Dr Shaariibuu Setev melahirkan kekecewaan dengan keputusan yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Dato' Mohd. Zaki Md. Yasin.
Walaupun dua tertuduh lain iaitu Cif Inspektor, Azilah Hadri, 32 dan Korporal Sirul Azha Umar, 37,yang merupakan anggota Unit Tindakan Khas (UTK) diperintah untuk membela diri dalam kes pembunuhan tersebut,namun keputusan tersebut masih tidak memuaskan hatinya.
Katanya, keputusan tersebut bakal mencemarkan imej sistem kehakiman negara ini di peringkat antarabangsa kerana kes itu menjadi tumpuan dunia.
Tambahnya,beliau akan mendapatkan nasihat daripada pihak berkuasa kehakiman dan Kementerian Luar Mongolia untuk membuat rayuan keputusan kes hari ini.
Dalam keputusan pagi tadi, memutuskan terdapat kes prima facie terhadap tertuduh pertama, Azilah dan tertuduh kedua, Sirul.
Kedua-dua mereka didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun itu yang mana jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum gantung sampai mati.
Azilah yang mula berkhidmat dalam UTK sejak 8 Januari 2003, mempunyai kepakaran dalam body-guarding atau teknik mengawal orang kenamaan penting (VVIP) sama ada secara berjalan kaki mahupun berkenderaan.
Manakala, Sirul yang menyertai UTK sejak 23 Januari 1996 pula bertugas dalam Unit Komunikasi.
Sementara itu, pihak pendakwa dijangka akan mengemukakan rayuan terhadap pembebasan Razak Baginda.
Kes yang mendapat perhatian seluruh negara ini bermula apabila mayat model Mongolia tersebut ditemui di Lot 12843 dan Lot 16735 di Mukim Bukit Raja, Selangor.
Altantuya dipercayai telah ditembak sebelum badannya diletupkan dengan menggunakan bahan letupan dua tahun lalu.
Azilah dan Sirul didakwa secara bersama dalam pembunuhan Altantuya dan Razak Baginda pula telah didakwa bersubahat dalam pembunuhan tersebut.
Kes berprofil tinggi yang mendapat perhatian seluruh negara ini berlarutan selama 151 hari sejak November 2006, yang menyaksikan pihak pendakwa mengemukakan 84 orang saksi. - mks._ _
Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini membebaskan penganalisa politik Abdul Razak Baginda daripada tuduhan bersubahat membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Bagaimanapun, dua anggota polis daripada Unit Tindakan Khas, Cif Inspektor Azilah Hadri, 32, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 36, yang dituduh membunuh Altantuya, diperintah membela diri.
Azilah dan Sirul Azhar dituduh membunuh Altantuya, 28, di lokasi antara Lot 12843 dan 16735, Mukim Bukit Raja, di Shah Alam antara jam 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober tahun lalu.
Abdul Razak, pengarah eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia, pula dituduh bersubahat dengan mereka di Wilayah Persekutuan antara jam 9.54 pagi 18 Oktober dan 9.45 malam 19 Oktober tahun 2006.
Mahkamah menetapkan 10 November ini untuk Azilah dan Sirul Azhar membela diri. Kedua-duanya memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah.
Mayat Altantuya telah diletupkan dan cebisan daging dan tulangnya ditemui bertaburan di kawasan Puncak Alam.
Dalam keputusannya, Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin berkata pihak pendakwa gagal membuktikan kes prima facie terhadap Abdul Razak, 48.
Pihak pendakwa dijangka memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah membebaskan Abdul Razak itu.
Razak diwakili oleh peguam Wong Kian Kheong. Azilah diwakili peguam Datuk Hazman Ahmad dan J Kuldeep Kumar manakala Sirul diwakili peguam Kamarul Hisham Kamaruddin, Hasnal Redzua Merican dan Ahmad Zaidi Zainal.
Pendakwaan pula diwakili Timbalan Pendakwaraya Tun Abdul Majid Tun Hamzah, Noorin Badaruddin, Manoj Kurup dan Hanim Rashid.
Peguam Karpal Singh, Sangeet Kaur Deo dan Ram Karpal Singh pula bertindak peguam pemerhati bagi keluarga Altantuya.
Pihak mendakwa selesai berhujah pada 23 Jun lalu selepas mahkamah mendengar keterangan daripada 84 saksi selam 151 hari.
Abdul Razak yang jelas kelihatan gembira dengan keputusan tersebut, meninggalkan mahkamah dengan ditemani isteri dan anak perempuannya pada kira-kira jam 10.10 pagi.
Beliau bagaimanapun enggan menjawab soalan wartawan yang menunggunya, dan hanya berkata: "Saya mahu pulang ke rumah".
Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.
Video klip best...penuh dengan msg kesedaran untuk rakyat yg tido...bangkitlah menentang kerajaan korup!!!Harga barang makin naik...Mat Mongol tak abis2 dgn projek rangsangan ekonomi....