| Written by SM Noor |
| Monday, 11 May 2009 22:04 |
| Menurutnya, Dato’ Seri Najib Razak menyatakan kononnya pilihanraya kecil itu banyak membelanjakan wang namun tidak banyak membawa faedah. Hakikatnya, kata beliau, perlaksanaan pilihanraya sebenarnya dapat menggerakkan ekonomi apabila wang dibelanjakan bagi mengongkosi perjalanan kempen. Selain itu beliau berkata, ada pihak-pihak yang mendakwa, Presiden UMNO itu, tidak mahu bertanding dalam pilihanraya tersebut kerana tidak sanggup lagi mendengar nama Altantuya, wanita Mongolia yang mati dibunuh, dikaitkan dengan beliau.(Video Klip Didalam) “Tetapi ada orang beritahu, sebenarnya Najib tidak mahu bertanding pilihanraya (DUN Penanti) kerana tidak mahu lagi mendengar Altantuya disebut-sebut, “berapa kali pilihanraya (kecil berlaku) tidak kena mengena pun, (PRK) Bukit Gantang (dan PRK) Bukit Selambau (Najib) tak turun pun, tapi ‘Altantuya’ turun juga,”katanya dalam majlis penerangan Isu DUN Perak di Masjid Rusila, Sabtu lalu. Katanya, sekiranya PRK DUN Penanti tidak diadakan, nama Altantuya tidak akan disebut dan beliau dapat melupakan sekejap tentang isu Altantuya. Dato’ Mustafa yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu berkata, akhbar dalam 18 buah negara didunia menyiarkan laporan peristiwa Altantuya dan mengaitkannya dengan Perdana Menteri Malaysia. Katanya dari segi kaedah hubungan diplomatik antarabangsa, negara kita sepatutnya memanggil duta-duta negara asing dan meminta penjelasan tentang perkara tersebut. “Dari segi kaedah hubungan antarabangsa, kalau negara kita tidak puas hati, bahawa suratkhabar dalam sesebuah negara itu mencemar nama baik (negara) kita. apa lagi Perdana Menteri, Malaysia boleh panggil duta, (mana-mana) negara yang menyiarkan, “(dan meminta penjelasan) pasal apa (negara) kamu duk cerita (melaporkan) bab (tentang) Perdana Menteri kami dengan Altantuya, ini boleh boleh menjejaskan hubungan diplomatik,”katanya sebagaimana tindakan yang diambil ke atas Denmark ketika menyiarkan ‘karikatur’ menghina RasuluLlah SAW Tetapi, katanya, ketika 18 buah negera menghina Perdana Menteri Malaysia, Duta Malaysia diluar negara tidak melakukan apa-apa dan kerajaan Malaysia juga tidak memanggil Duta negara tersebut. Ia berlaku demikian kerana, katanya, sekiranya diambil tindakan tertentu dan apabila siasatan dijalankan, dibimbangi ia akan menemui kebenaran yang lebih ‘parah’. Lihat Video Klip |
Monday, May 11, 2009
18 Buah Negara Menghina Perdana Menteri, Tidak Ada Apa-apa Tindakan – Dato’ Mustafa Ali
0 comments Labels: Altantuya, buletin online, najib razak
Polis cabul sidang Dun Perak , Sivakumar masih Speaker
| Debra Chong Sat | May 09, 09 | 5:00:15 am MYT | |
| SEMAKIN banyak pihak menimbangkan kesahihan perlucutan V Sivakumar daripada jawatan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak dan pengundian pengganti beliau, R Ganesan, bekas Adun Sungkai, dan juga dua lagi usul. Peguam dan juga Presiden Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (Hakam) Malik Imtaz Sarwar tidak bersetuju dengan pandangan Dato' Hafarizam Harun dan Dato' Muhammad Shafee Abdullah, yang dilaporkan berkata bahawa usul yang diluluskan 7 Mei adalah sah. "Saya tidak bersetuju dengan pandangan Hafarizam dan Shafee. Saya tak nampai bagaimana it boleh menjadi sah," jelas Malik Imtaz kepada Malaysian Insider. Prosidur diragui Dia mendapati terlalu banyak persoalan berhubung prosidur di dalam ruang dewan, mengakibatkan kesahihannya diragui. "Pertama, bagaimanakah persidangan itu boleh sampai ke peringkat di mana Hee mengambil alih persidangan?" beliau mempersoalkan, merujuk kepada Hee Yit Foong, Adun Jelapang merangkap Timbalan Speaker. "Sekiranya Sivakumar berada di situ secara sah, bagaimana dia (Hee) boleh mengambil alih (tugas Speaker)?" tambah beliau, merujuk kepada penjelasan Hafarizam yang membuat rujukan kepada Perkara 36A(1)(b) Peraturan Persidangan yang membenarkan Timbalan Speaker mengambil tempat menggantikan Speaker. Versi bercanggah Kata Imtaz, dia mendengar versi yang bercanggah-canggah mengenai peristiwa 7 Mei, termasuk dakwaan kononnya pada satu ketika Sivakumar tidak berada di dalam kamar dewan sewaktu persidangan berlangsung. Beliau juga mempersoalkan kehadiran pegawai polis berpakaian biasa di dalam kamar dewan. "Polis tidak sama sekali mempunyai kuasa dalam kamar dewan," kata Imtaz, dan merujuk kepada kenyataan terdahulu oleh Menteri Dalam Negeri ketika itu Syed Hamid Albar dan Ketua Polis Negara pada Mac lalu selepas Ahli Parlimen Pakatan Rakyat Karpal Singh dikasari di Parlimen. Syed Hamid dan Musa Hassan menegaskan bahawa pihak polis tidak boleh campur tangan dalam kamar dewan walaupun sekiranya terdapat pergaduhan dan hanya petugas dewan (sergeant-at-arms) mempunyai kuasa menangkap. Polis bukan agen parti politik "Polis telah bertindak tanpa kuasa. Mereka sebenarnya menjadikan diri mereka sebagai agen kepada sebuah parti politik dan bukan sebagai pelaksana bebas undang-undang," kata Imtaz, sambil menekankan bahawa Sivakumar adalah masih Speaker yang sah ketika itu. Sementara menekankan pandangannya bahawa tidak bermakna Adun Pakatan Rakyat bebas daripada apa-apa perlakuan salah, Imtaz menolak penjelasan Dr Zambry Abdul Kadir yang mengatakan BN tidak mempunyai pilihan kecuali memanggil polis apabila keadaan menjadi semakin tegang. "Mereka mengatakan mereka tidak ada pilihan tapi itu tidak benar. Mereka boleh sahaja memfail untuk mendapatkan perintah mahkamah dan menyebut Sivakumar sebagai menghina mahkamah. Mereka tidak melakukan demikian tetapi memilih untuk membantu diri-sendiri tetapi membantu diri-sendiri tidak dibenarkan di bawah sistem perundangan kita," jelas Imtaz lagi dengan nada marah. "Bahkan, cara paksaan terpaksa digunakan - dengan menggunakan polis untuk memaksa Sivakumar keluar dari kamar dewan tanpa sebarang alasan-� ini adalah merupakan penunjuk yang mencukupi bahawa BN tidak mempunyai penyelesaian politik mahupun perundangan terhadap kesulitan yang mereka sendiri mulakan." Beliau juga mempersoalkan: "Pada saat manakan persidangan sebenarnya bermula?" Bila sidang bermula? "Sekiranya perasmian persidangan bermula selepas titah Raja Nazrin, bagaimanapula mereka menjalankan sebarang urusan sebelum itu?" tanya Imtaz. Beliau menekankan, Raja Muda Perak yang sepatutnya membuka persidangan, memasuki kamar dewan hanya pada kira-kira jam 3.00 petang, setelah berlaku perebutan kerusi Speaker dan setelah tiga lagi usul - pemilihan Ganesan sebagai Speaker, anggota baru untuk jawatankuasa sampingan dan kelulusan pengisytiharan pembatalan sidang Pakatan Rakyat terdahulu yang diadakan di bawah sebatang pohon. Imtaz juga menegaskan persidangan tersebut juga melanggar beberapa lagi konvensyen, termasuk tidak mengadakan upacara mengangkat sumpah untuk Ganesan selaku Speaker. Ini, tegasnya, biasanya diadakan dalam satu upacara di masa lain di hadapan raja. Terus buntu "Inilah antara perkara yang menyebabkan saya merasa ragu tentang kesahan usul yang diluluskan," kata peguam yang baru-baru ini menjadi penerima anugerah hak asasi manusia antarabangsa. "Akhirnya, terdapat kebuntuan di sini," katanya, dan menambah sekiranya Perdana Menteri Najib Razak "ikhlas tentang Satu Malaysia, dia tidak boleh membenarkan BN melakukan tindakan tersebut." Bagi pensyarah undang-undang Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa, Profesor Abdul Aziz Bari, "semuanya begitu jelas dan terpampang." Katanya, dia bersetuju dengan Ir Mohammad Nizar Jamaluddin bahawa persidangan 7 Mei adalah "haram dan tidak berperlembagaan". Cara salah pilih Speaker "Bagi saya, cara mereka memilih Speaker adalah salah. Speaker masih Sivakumar," jelas ahli akademik itu. Beliau memerhatikan bahawa urutan peristiwa dari 5 Februari sehingga semalam - dari perbuatan melompat parti yang dilakukan wakil rakyat yang dipilih sehinggalah kepada keputusan mahkamah membatalkan keputusan Sivakumar untuk menggantung kehadiran Adun BN - membuatkan kesahihan usul cukup meragukan menurut pandangannya. Seperti juga Malik Imtiaz, Presiden Majlis Peguam Malaysia Ragunath Kesavan bersetuju situasi di Perak sudah tiba pada titik di mana tidak ada jalan lain kecuali Sultan Perakmembubarkan dewan undangan dan membuka jalan untuk pilihan raya umum baru bagi membersihkan kemelut yang berlaku. Undang-undang tak boleh selesai masalah "Bagi kita, cara perundangan tidak akan dapat menyelesaikannya kerana setiap peguam mempunyai pendapat berbeza," katanya. "Secara peribadi, saya rasa terdapat hujah yang memihak kepada kedua-dua pihak. Satu daripadanya bilakah persidangan itu sebenarnya bermula? Satu lagi apakah Speaker mempunyai kuasa untuk menolak usul yang hendak dibentangkan?" "Tapi kini Pakatan Rakyat adalah pihak minoriti dan BN mempunyai majoriti stabil dengan 28 campur tiga bebas," jelasnya. Ragunath menekankan cara terbaik untuk keluar dari permasalahan tersebut ialah membenarkan pengundi membuat keputusan. "Saya tak fakir dalam demokrasi, untuk kembali semula kepada rakyat setelah baru sahaja mengadakan pilihan raya umum merupakan satu masalah," katanya. ---- Tulisan dari The Malaysian Insider ini diterjemah oleh Shirzad Lifeboat _ |
0 comments Labels: Harakahdaily, krisis negara, Perak
Zambry terima dengan hati terbuka
| Malaysiakini |
| May 11, 09 8:33pm |
| Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata beliau menerima dengan hati terbuka keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang mengisytiharkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar yang sah. "Saya menerima keputusan mahkamah dengan hati dan fikiran terbuka. Saya serta rakan-rakan akan mengambil tindakan seterusnya menurut lunas undang-undang," katanya dalam kenyataan ringkas dikeluarkan melalui Setiausaha Akhbarnya Mohd Nizam Isa. "Kita akan kemaskan barang-barang dan mengosongkan pejabat secepat mungkin," kata Mohd Nizam. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai menteri besar yang sah kerana tiada kekosongan jawatan berlaku dan tiada usul undi tidak percaya terhadap beliau dibuat dalam persidangan Dewan Undangan Negeri. Zambry, 47, anggota Dewan Undangan Negeri Pangkor, telah mengangkat sumpah sebagai menteri besar ke-11 di hadapan Sultan Perak Sultan Azlan Shah pada 6 Februari lalu. Ia berlaku apabila Barisan Nasional yang sebelum itu mempunyai 28 kerusi DUN mendapat sokongan dua bekas wakil rakyat PKR dan seorang bekas wakil rakyat DAP yang mengisytiharkan diri mereka anggota bebas. Sementara itu, suasana di pejabat Menteri Besar Perak di bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh tenang dengan anggota media berkumpul di situ untuk mendapatkan reaksi Zambry. ADUN Pengkalan Baru Datuk Hamdi Abu Bakar bagaimanapun memberitahu pemberita bahawa Zambry pada waktu itu dalam perjalanan ke Kuala Lumpur bagi menghadiri majlis sambutan ulang tahun Umno ke-63 malam ini. Pegawai Khas Dr Zambry, Khairul Azwan Harun meminta semua media beredar dari pejabat berkenaan pada kira-kira jam 5.15 petang tadi kerana waktu pejabat telah berakhir. Sementara itu, Ketua Polis Perak Datuk Zulkifli Abdullah berkata polis akan mengadakan kawalan di sekitar bangunan berkenaan bagi memastikan keadaan keselamatan terkawal. Mulai jam 5.30 petang, beberapa unit Unit Simpanan Perkutuan (FRU) tiba di sekitar bangunan itu dan mula mengadakan kawalan. Pesuruhajaya PAS Perak, Ahmad Awang berkata keputusan mahkamah mengesahkan Mohammad Nizar sebagai menteri besar memang telah dijangka. |
0 comments Labels: malaysiakini, pemimpin haprak
Apa yang dibisikkan kepada Mohammad Nizar?
ahmadsyakir.sazili@kosmo.com.my
| |
| |
IPOH - "Kedudukan Beta di atas politik. Selepas titah ucapan, anda boleh teruskan.''
Itulah yang dibisikkan oleh Pemangku Sultan Perak, Raja Dr. Nazrin Shah kepada bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin yang kemudiannya mendorong kumpulan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Rakyat akur untuk mengambil tempat duduk.
Ia menamatkan sementara kekecohan pada sidang Dewan kelmarin dan membolehkan Raja Dr. Nazrin merasmikan mesyuarat pertama penggal kedua sidang itu selepas hampir enam jam menunggu di Kamar Diraja.
Mohammad Nizar berkata, Raja Dr. Nazrin juga meminta semua ADUN Pakatan Rakyat menghormati titah ucapan baginda.
"Tuanku said he is above politics and he said later on after the speech you can go on,'' kata beliau pada sidang akhbar lewat petang kelmarin yang turut dihadiri ADUN Sitiawan, Datuk Ngeh Koo Ham.
Penjelasan itu dibuat berikutan tanda tanya umum selepas melihat Mohammad Nizar dan Koo Ham dipanggil menghadap sebelum baginda merasmikan sidang Dewan.
Sebelum kedua-duanya dipanggil menghadap, mereka berada dalam kelompok 28 ADUN Pakatan Rakyat berkumpul di tengah Dewan untuk menyampaikan rasa tidak puas hati terhadap apa yang berlaku apabila bekas Speaker, V. Sivakumar diangkut keluar dari Dewan.
Selepas menerima titah tersebut, Mohammad Nizar memberi arahan kepada semua ADUN Pakatan Rakyat supaya kembali ke tempat duduk masing-masing dan mendengar titah ucapan Raja Dr. Nazrin.
0 comments Labels: DSNJ, kosmo, MB perak
Kemenangan Nizar, signal rakyat tolak rancangan jahat Najib
| Wan Nordin Wan Yaacob | Foto Nasir Sudin Mon | May 11, 09 | 7:17:24 pm MYT | |
| KUALA LUMPUR, 11 Mei (Hrkh) - Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengumumkan Dato' Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah adalah keputusan yang menyebelahi rakyat. Demikian kata Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar kepada Harakh semasa mengulas kemenangan Nizar.Beliau turut bersama di mahkamah ketika keputusan kes itu dibacakan Hakim Mahkamah Tinggi pada 11 Mei. Nizar kembali ke jawatannya secara sah dan diputuskan mahkamah setelah digugurkan jawatan tersebut, awal Februari lalu. Dalam penghakimannya, Hakim Abdul Aziz Abd Rahim berkata seseorang MB hanya boleh dipecat melalui undi tidak percaya di DUN, seperti kes Stephen Kalong Ningkan. Hakim menambah, dalam kes pelucutan Mohamad Nizar, tiada persidangan dewan diadakan untuk meluluskan usul sedemikian. Menurut Mahfuz, kemenangan ini memberi gambaran bahawa apa sahaja yang dilakukan Najib dan Menteri Besar BN yang haram, Zambru Abdul Kadir ialah bertentangan kepada perlembagaan dan Undang Tubuh kerajaan Perak. Dengan keputusan ini juga, menjawab segala fitnah yang dilontarkan BN kepada Pakatan Rakyat, katanya. Malah dengan kemenangan ini nyata apa yang dilakukan Najib dan Zambry sebelum ini hanyalah mempermainkan undang tubuh kerajaan negeri selain mempersenda Sultan Perak. Justeru Mahfuz menyeru Najib dan Zambry memohon maaf kepada rakyat Perak dan Pakatan Rakyat atas fitnah besar yang dilakukan ini hingga menyebabkan Perak 'kucar-kacir' selama tiga bulan. "Ini satu kesalahan dan aib yang besar, malah apa yang berlaku dalam sidang dun pada 7 Mei lalu juga berpunca daripada rampasan kuasa Februari lalu," katanya. Ahli dan rakyat diseru bersabar Kemenangan itu katanya adalah kemenangan perjuangan rakyat yang mahukan perlembagaan dihormati selain signal jelas kepada BN bahawa apa yang mereka lakukan sebelum ini bertentangan dengan undang-undang. Beliau juga menyeru ahli Pakatan Rakyat di Perak khasnya bertenang sementara ini dan tidak melakukan apa-apa tindakan yang bertentangan dengan undang-undang. Ahli juga diminta agar bersabar dan hanya bertindak dengan arahan dan perancangan teliti pimpinan buat sementara waktu ini. Mengulas kemenangannya, Nizar berkata beliau akan menghadap Sultan Perak berhubung penghakiman mahkamah tersebut. Pada 13 Februari lalu, Mohamad Nizar memfailkan saman mencabar pelantikan Zambry di kompleks mahkamah Jalan Duta, kira-kira seminggu selepas rampasan kuasa BN dan sekali gus pelantikan wakil rakyat BN itu. Mohamad Nizar, Adun Pasir Panjang, juga memohon mahkamah mengeluarkan perintah perisytiharan bahawa Zambry yang dilanti 6 Februari lalu tidak berhak memegang jawatan menteri besar. (i) Tidak terdapat pembubaran DUN Perak; (ii) Tidak terdapat usul tidak percaya diambil dan diterima pakai oleh DUN terhadapnya sebagai menteri besar Perak; dan (iii) Tidak terdapat peletakan jawatan menteri besar Perak. "Melalui kenyataan media pejabat Sultan pada 5 Februari 2009, Sultan bertitah tidak akan membubarkan DUN dan sekiranya saya serta ahli majlis mesyuarat negeri tidak meletakkan jawatan, jawatan kami akan dianggap kosong. "Saya menegaskan bahawa walaupun terdapat usaha mengusir saya daripada jawatan menteri besar Perak, saya masih menteri besar dan masih menjalankan fungsi dan tugas dengan baik, cermat dan adil," katanya dalam afidavit, menyokong permohonan itu. Mohamad Nizar juga memohon mahkamah mengeluarkan perintah supaya responden memberikan tunjuk sebab bagaimana dan di bawah dasar apa Zambry, sebagai responden, berhak memegang jawatannya sekarang. Beliau mendakwa responden secara tidak sah mengambil dengan tiada hak dan merampas jawatan menteri besar, serta menjalankan tanggungjawab, fungsi dan tugas sebagai menteri besar secara tidak sah dan bercanggah dengan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak. Nizar juga memohon perintah injunksi bagi menghalang responden daripada melaksanakan tanggungjawab dan tugas-tugas menteri besar di negeri itu. _ |
0 comments Labels: DSNJ, Harakahdaily, MB perak
Hakim: Nizar MB Perak yang sah
| Malaysiakini |
| Hafiz Yatim | May 11, 09 3:45pm |
| Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) Datuk Abdul Aziz Abd Rahim memutuskan bahawa Nizar tidak mengosongkan jawatannya itu kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota DUN. Dalam kes ini, Abdul Aziz berkata tiada undi tidak percaya telah diusulkan terhadap Nizar, lapor Bernama. "Bagaimana seseorang boleh mengatakan yang pemohon (Nizar) telah hilang kepercayaan majoriti mengikut Perkara 16(6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak?" "Berdasarkan amalan demokrasi, isu kehilangan kepercayaan majoriti hanya boleh diambil kira melalui undi tidak percaya terhadap pemohon (Nizar), hanya melalui cara ini menteri besar boleh disingkirkan," Abdul Aziz dipetik berkata dalam penghakiman bertulis yang disampaikannya pada 2.30 petang. Pada 13 Februari lalu, Nizar memfailkan permohonan kepada mahkamah bagi diisytiharkan bahawa beliau pada sepanjang masa adalah menteri besar Perak yang sah, bukannya Datuk Seri Zambry Abd Kadir. Nizar, yang dilantik sebagai menteri besar pada 17 Mac tahun lepas, juga memohon pengisytiharan bahawa Zambry tidak berhak untuk memegang jawatan tersebut. Abdul Aziz, dalam penghakimannya berkata seorang menteri besar tidak boleh dipecat oleh Sultan Perak atas alasan beliau tidak boleh memegang jawatan itu tanpa perkenan sultan. Pemecatan menteri besar oleh Sultan Perak tidak disokong oleh Perkara 16 (6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak, katanya. Hakim berkata walaupun Sultan Perak mempunyai kuasa mutlak melantik menteri besar, bagaimanapun seseorang menteri besar, sebaik dilantik, hanya bertanggungjawab kepada ADUN dan tidak kepada pihak-pihak lain, lapor agensi berita itu lagi. Dalam penghakimannya juga, Abdul Aziz - hakim ketiga di Mahkamah Tinggi yang mendengar kes itu - tidak bersetuju dengan hujahan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, selaku pencelah, bahawa hanya dalam dua keadaan yang membolehkan menteri besar boleh memohon bagi pembubaran DUN. "Peguam negara berhujah bahawa menteri besar hanya boleh memohon bagi pembubaran apabila tempoh penggal dewan telah hampir tamat, iaitu di bawah Perkara 36(2) dan satu lagi apabila beliau berhenti mendapat kuasa daripada majoriti. "Saya tidak bersetuju dengan perkara ini. Mengikut Perkara 36 Undang-undang Tubuh Negeri Perak, tiada keadaan yang terhad bagi menteri besar untuk memohon pembubaran daripada sultan, dan terserah kepada menteri besar untuk memilih masanya (untuk memohon bagi pembubaran)," kata Abdul Aziz seperti dilaporkan. Hakim juga tidak bersetuju dengan hujahan peguam negara dan Zambry sebelum ini bahawa Nizar dianggap telah meletakkan jawatan sebagai menteri besar walaupun beliau (Nizar) enggan berbuat demikian. "Peguam negara dan responden berhujah bahawa perkataan 'akan meletak jawatan' dalam Perkara 16(6) berupa mandatori bahawa menteri besar mesti meletak jawatan. "Bagaimana jika menteri besar enggan meletakkan jawatan? Walaupun ia mandatori, peruntukan itu tidak boleh ditafsirkan sebagai bermaksud bahawa menteri besar dianggap telah meletakkan jawatan," Abdul Aziz dilaporkan berkata lagi Beliau juga mencadangkan perkara itu dipinda bagi mengatasi kelemahan dalam Perkara 16(6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak. Mengenai isu afidavit penasihat undang-undang Perak Datuk Ahmad Kamal Md Shahid, Abdul Aziz memutuskan beliau bukan saksi yang berkecuali dan adil. "Ia merupakan pengakuannya sendiri bahawa beliau telah diarahkan oleh peguam responden untuk mengikrarkan afidavit itu. Perkataan yang digunakan amat keras. "Bagi saya beliau bukan saksi yang berkecuali dan adil, keterangannya diwarnai dengan arahan yang diterimanya," kata Abdul Aziz yang memilih versi Nizar mengenai apa yang berlaku semasa menghadap Sultan Perak di Istana Kinta pada 4 Feb. Hakim berkata beliau percaya dengan keterangan Nizar yang beliau tidak memohon perkenan Tuanku Sultan untuk membubarkan DUN kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti. "Keadaan pada 4 Feb ialah Pakatan Rakyat dan BN masing-masing mempunyai 28 kerusi dalam Dewan. "Keterangan pemohon bahawa semasa menghadap Sultan Azlan Shah, beliau telah memohon perkenan bagi membubarkan dewan mengikut Perkara 36(2) Undang-undang Tubuh Negeri Perak adalah disebabkan wujud kebuntuan dalam dewan (apabila Pakatan Rakyat dan BN masing-masing mempunyai 28 kerusi), tetapi menafikan beliau telah kehilangan kepercayaan majoriti anggota dewan," katanya. Krisis politik Perak bermula apabila dua ADUN PKR Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) meletakan jawatan masing-masing pada 30 Jan diikuti Hee Yit Foong (Jelapang) dari DAP, empat hari kemudian. Berikutan itu, Nizar telah menghadap Sultan Azlan Shah pada 4 Feb untuk memohon bagi pembubaran DUN tetapi permohonan itu ditolak. Menurut agensi berita itu lagi, Abdul Aziz mengulangi yang mahkamah tidak mempersoalkan keputusan Sultan Perak yang menolak permohonan itu kerana ia tidak berjustifikasi. "Tidak diragui bahawa Duli Yang Maha Mulia mempunyai bidang kuasa mutlak untuk tidak memperkenankan permohonan bagi pembubaran," tegasnya. Hakim itu turut mempersoalkan kenapa BN, selepas mengisytiharkan yang ia mendapat kepercayaan majoriti, tidak memanggil Nizar ke persidangan khas dewan untuk membentangkan usul tidak percaya terhadap beliau, kerana adalah lebih demokrasi untuk berbuat demikian. Selepas penyampaian penghakiman selama sejam itu, Datuk Cecil Abraham yang mewakili Dr Zambry, memohon penangguhan pelaksanaan keputusan itu sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan, tetapi ditolak oleh Abdul Aziz. "Saya menolak permohonan lisan Datuk. Datuk boleh memfailkan permohonan rasmi bagi penangguhan, bersama-sama dengan kes dan autoriti, jika Datuk mahu meneruskannya," katanya. Mahkamah sesak dengan lebih 50 wakil media dan anggota keluarga serta penyokong Nizar yang datang seawal 1.30 tengah hari. Nizar diwakili peguam Sulaiman Abdullah dan 10 peguam lain manakala Dr Zambry, yang tidak hadir di mahkamah hari ini, diwakili Cecil dan Sunil Abraham. |
0 comments Labels: badan kehakiman, malaysiakini, MB perak
Tuesday, May 5, 2009
Tender camry ditutup, pembida tidak ramai
kumara.sabapatty@kosmo.com.my
IPOH - Tempoh tender untuk melelong 16 buah Toyota Camry 2.4 yang dibeli oleh kerajaan negeri Perak pimpinan Pakatan Rakyat berakhir semalam dengan hanya tujuh sampul surat borang dikembalikan.
Sejak tender itu dibuka pada 28 April lalu, sebanyak 40 borang tender telah dijual dengan harga RM20 satu, majoritinya diambil oleh orang perseorangan.
Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri (Bahagian Khidmat Pengurusan), Shamshuzaman Sulaiman berkata, pihaknya tidak menyangka maklum balas yang diterima begitu sedikit.
Namun, jelasnya, ia bukan bermakna satu sampul hanya untuk sebuah kereta.
"Jumlah tender dan pembida hanya akan ditentukan pada 6 Mei ini (esok) kerana kita belum dapat memastikan bilangan kenderaan yang telah ditender sehingga kini.
"Jika ada kereta yang belum ditender, borang akan dijual lagi kepada orang ramai dengan segera,'' katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini semalam.
Menurut Shamsulzaman, kesemua 16 unit kereta Toyota Camry 2.4 ini akan dilelong di bawah pemantauan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Jamal Mat Hussain.
0 comments Labels: kosmo, pembaziran, Perak
A Samad Said: Malangnya rakyat bila akhbar disekat
| Irwan Muhammad Zain Mon | May 04, 09 | 4:11:24 pm MYT | |
| SABAN tahun Hari Kebebasan Media pada 3 Mei dirayakan oleh pengamal media di seluruh dunia. Di Malaysia tidak terkecuali. Ia juga disambut tidak kira dari media konvesional atau media baru. Namun persoalan yang timbul, apakah cukup hanya dengan merayakan Hari Kebebasan Media sedangkan hakikatnya banyak sekatan dikenakan terhadap syarikat penerbitan dan juga para wartawan. Bagi Sasterawan Negara, Dato' A Samad Said segala sekatan yang dikenakan seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, yang mewajibkan keperluan mendapatkan permit penerbitan Kementerian Dalam Negeri, yang kemudiannya menyekat segala bentuk informasi daripada disampaikan secara jujur dan telus. Beliau yang lebih dikenali sebagai Pak Samad berkata pelbagai akta di negara ini bukan hanya menyekat wartawan atau penulis untuk melaporkan perkara sebenarnya tetapi turut menghalang rakyat dari mendapat informasi yang tepat. Media di negara ini, tambahnya, tidak diberi ruang atau kebebasan yang munasabah hingga menyebabkan bantahan berterusan dilakukan oleh pihak-pihak yang terkesan akibat segala macam akta yang mengongkong itu. Beliau bersetuju dengan desakan supaya dihapuskan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, khususnya memansuhkan keperluan memohon permit penerbitan. "Adanya akta dan permit ini menyebabkan media oposisi sering digertak, malah ada yang dikenakan tindakan gantung," tegas beliau. Segala tindakan berat sebelah yang dikenakan terhadap media pembangkang dan lain-lain media yang tidak condong kepada pemerintah dianggap Pak Samas sebagai aksi ketinggalan zaman. "Tidak seharusnya juga media oposisi dihadkan jualan hanya kepada ahli sahaja. "Seluruh rakyat berhak untuk mendapatkan maklumat dari media oposisi dan juga media arus perdana. "Jadi tidak adil jika media oposisi dihadkan jualan kepada ahli sahaja kerana media milik kerajaan dibenarkan untuk dijual kepada seluruh rakyat," tegas Sasterawan Negara itu lagi. Akta tidak membebankan Berbeza dengan bekas Ketua Pengarang Kumpulan (NSTP), Dato' A Kadir Jasin yang berpendapat segala akta yang dikenakan itu tidak membebankan. Beliau berpendapat pelbagai akta tersebut hanya membebankan bagi mereka yang baru menceburi dalam dunia media. "Bagi orang seperti saya yang sudah lama dalam bidang ini, akta itu semua tidak menyekat atau membebankan," ujar beliau. Namun Kadir tidak menolak kadang kala masalah kawalan yang dikenakan menimbulkan sedikit kegusaran tetapi bukan dari aspek perundangan sebaliknya dari aspek perlaksanaan kerana pegawai yang ditugaskan sering bertukar ganti. Beliau juga tidak akan membantah jika ada desakan agar akta-akta yang ada itu dihapuskan kerana ia merupakan hak dan kebebasan pihak yang memperjuangkannya. Mengenai lanjut, Kadir menegaskan erti kebebasan media di negara ini amat luas. Bagi beliau, yang sering takut cuma wartawan atau pengarang yang gagal mengemukakan hujah dengan baik dalam laporan atau tulisan mereka. "Yang penting," kata Kadir, "bukan sekatan akta tetapi bagaimana seorang wartawan atau penulis itu berhujah melalui tulisan dan jika hujah itu mempunyai fakta yang lengkap, tiada tindakan yang boleh dikenakan." Wartawan, tegas beliau, mempunyai etika tersendiri yang harus dipatuhi dan ini bermakna mereka juga tidak bebas untuk menulis sesuka hati tanpa berpegang kepada etika tersebut. Saringan dalaman Sementara itu, Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, Ahmad Lutfi Othman bersetuju bahawa wartawan perlu menampilkan kualiti kerja yang cemerlang dan sentiasa berusaha meningkatkan mutu laporan pemberitaan yang terbaik. "Tapi halangan yang menekan, macam kami di Harakah selalu terima, elok dibuang sahaja, lagipun ia sudah ketinggalan zaman," ujar Lutfi merujuk kes Harakah yang sering dirampas KDN dan dianggap sentiasa melakukan kesilapan hanya kerana menjualnya kepada khalayak bukan ahli PAS. "Selain akta dan peraturan tidak munasabah KDN itu, saringan dalaman terutama di syarikat penerbitan besar juga menyebabkan dunia kewartawanan kita tandus dengan karya atau laporan yang bermutu dan mendalam," ujar Lutfi lagi. "Tanpa kebebasan sukar sekali kita mencari bakat-bakat baru wartawan yang berketrampilan. Sekatan permit menyebabkan tiada siapa yang mahu melabur untuk industri yang banyak mengundang risiko ini. "Saya sendiri pernah mengusahakan Penerbitan Pemuda, menerbitkan dua majalah bulanan, mempunyai ramai kakitangan, tapi akhirnya KDN haramkan begitu saja. Saya dapat rasakan peritnya ketika itu, menanggung hutang apabila tak dapat membuat kutipan selepas majalah diharamkan. Akhbar saya yang mendedahkan menteri rasuah dirampas di kilang percetakan, tanpa sempat masuk pasaran," kata Lutfi. _ |
0 comments Labels: Harakahdaily, media bebas, minda pemimpin