+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Tuesday, May 26, 2009

Dakwaan Aminah: SPR mahu kaji bukti terlebih dahulu

BUKIT MERTAJAM: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengkaji bukti-bukti yang akan dikemukakan oleh calon Bebas, Aminah Abdullah berhubung dakwaannya ditawarkan ganjaran oleh wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menarik diri daripada bertanding di Penanti.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, pihaknya perlu meneliti setiap bukti yang diberikan sebelum membuat sebarang keputusan lanjut mengenainya.

"Kita akan kaji dulu apa bukti-bukti yang beliau akan berikan, kita perlu pastikan kedudukan sebenar perkara ini mengenai apakah tawaran-tawaran yang dimaksudkan serta siapa yang terlibat.

"Perkara ini akan dirujuk kepada penasihat undang-undang parti," katanya kepada mStar Online.

Abdul Aziz berkata demikian bagi mengulas mengenai kenyataan Aminah yang akan melaporkan mengenai tawaran yang diterimanya itu kepada SPR sebagai badan pengurus pilihan raya untuk mengambil tindakan susulan.

Aminah akan membuat laporan tersebut di pejabat SPR Pulau Pinang di Komtar esok.

Pagi tadi Aminah mendedahkan bukti berbentuk rakaman audio perbualan antara beliau bersama wakil PKR yang cuba menawarkan ganjaran kepadanya termasuk wang sebanyak RM80,000 sebagai ganti rugi dan jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang.

Ditanya sama ada penyertaan calon PKR, Mansor Othman akan terbatal jika SPR mendapati dakwaan Aminah itu benar, Abdul Aziz berkata perkara tersebut tidak dapat diputuskan buat masa ini.

"Kita tak boleh ramalkan apa-apa lagi, kita perlu teliti dahulu sebelum buat keputusan," katanya.

Bagaimanapun beliau tidak menolak kemungkinan untuk merujuk kes berkenaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Tengoklah dulu macam mana nanti, kalau perlu kita rujuk mereka (SPRM) juga," katanya.

Read More...

Warga emas cedera dicekik, diheret 5 meter


Berita Harian

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim
bhkb@bharian.com.my




Peragut sempat larikan sebahagian rantai leher mangsa

TUMPAT: Seorang warga emas cedera dicekik dan diheret kira-kira lima meter oleh seorang lelaki yang meragut rantai lehernya di sebuah kedai runcit dekat Sri Tujoh di sini.

Dalam kejadian jam 4 petang kelmarin, Saadiah Musa, 63, cedera di mata, leher, tangan dan lutut selepas bergelut dengan peragut terbabit bagi menyelamatkan rantai lehernya yang bernilai RM5,000.


Saadiah berkata, sebelum kejadian itu sebuah Proton Wira Aeroback merah tua, beberapa kali lalu di hadapan kedainya tetapi beliau tidak mengesyaki apa-apa.

"Tiba-tiba kereta itu berhenti dan seorang lelaki berkaca mata hitam turun serta menuju ke arah saya memberitahu hendak membeli bawang dan gula. Saya masuk ke dalam kedai untuk mengambil gula dan membungkus bawang yang dimintanya.

"Ketika membongkok mengambil barangan itu, tiba-tiba saya dicekik dan muka ditolak ke lantai. Saya memegang tangannya untuk menghalangnya menarik rantai saya," katanya ketika ditemui, semalam.

Saadiah berkata, beliau meronta sambil menjerit memanggil suaminya yang berada dalam rumah, tetapi peragut terbabit terus mengheretnya keluar kira-kira lima meter hingga rantai lehernya terputus.

"Lelaki itu melarikan diri bersama sebahagian rantai leher yang putus ke arah Proton Wira yang menunggu di hadapan kedai," katanya yang menerima rawatan pesakit luar di Hospital Tumpat.

Katanya, kejadian itu adalah yang pertama sejak membuka kedai runcit di kampung itu lima tahun lalu.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Tumpat, Superintendan Othman Nayan, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.

Beliau berkata, polis sedang mengesan dua lelaki terbabit yang dipercayai penduduk tempatan di sekitar Tumpat.

Read More...

“Bubarkan DUN Terengganu Mendahului Negeri Perak” kata Dato’ Mustafa Ali

Buletin Online

Written by SM Noor
Wednesday, 13 May 2009 23:45

KUALA TERENGGANU - Sejak penubuhan kerajaan baru selepas pilihanraya umum ke 12, Mac 2008, negeri Terengganu tidak putus-putus menghadapi masalah.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Mustafa Ali berkata ia disebabkan terdapat dua kumpulan dalam UMNO Terengganu iaitu kumpulan yang menyokong bekas Menteri Besar Dato’ Seri Idris Jusoh dan kumpulan yang menyokong Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said.

http://www.buletinonline.net/images/stories/berita4/bubardunterengganu.jpgBeliau berkata perkara terakhir yang berlaku, rentetan dari pertelingkahan diantara dua kumpulan tersebut adalah penangkapan Dato’ Dr. Ahmad Ramzi Mohamad Zubir.

“Dato’ Ramzi ditahan oleh polis kerana disyakki terlibat dengan yang mengugut ‘bunuh’, walaupun sudah dibebaskan, tetapi beliau (Ramzi) telah dicari polis dan tidak menyerah diri sehingga ditangkap,” kata Dato’ Mustafa dalam satu sidang media di pejabat Perhubungan PAS Terengganu semalam.
http://www.buletinonline.net/images/stories/berita2/symbolvideo.gif

Katanya kes penangkapan Ramzi adalah satu tamparan kepada Dato’ Seri Idris Jusoh dan kumpulannya kerana Ramzi merupakan bekas Setiuasaha Politik Idris.

Beliau menganggap ugutan bunuh melalui SMS yang berlaku pada 13 April lepas adalah satu ugutan yang bukan sebenar, sengaja diada-adakan dan dirancang oleh pihak tertentu.

“Pada saya, ugutan bunuh ini tidak ‘real’ (bukan sebenar) dan ‘orchestrated’ (diada-adakan dan dirancang), tapi cukup untuk mengelirukan masyarakat tentang apa yang berlaku,”jelasnya.

Beliau berkata masalah diantara dua kumpulan UMNO Terengganu yang bertelingkah tidak akan dapat diubati walaupun menjemput ‘bomoh’ dari luar.

“Tok bomoh dalam (Terengganu) semua tak layak nak selesaikan masalah, panggil tok bomoh luar, (Dato’ Seri) Hishamudin datang, saya tak fikir (dia boleh selesaikan),”katanya.

Apabila ditanya apakah saranan beliau dalam menghadapi kemelut UMNO Terengganu yang tidak akan selesai itu, beliau berkata cara yang terbaik adalah “bubar mendahului Perak”.

“Dubar Dewan (Undangan Negeri Terengganu), tak boleh nak selesai, tak boleh nak jalan, tak boleh apa, bubarlah!,”katanya.

Beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihanraya PAS berkata apabila di bubarkan Dewan Undangan Negeri, UMNO akan bersatu.

Katanya masalah perpecahan UMNO boleh di selesaikan dengan pilihanraya kerana menurutnya UMNO boleh disatukan dalam menghadapi pilihanraya untuk melawan Pakatan Rakyat.

"Dato' Ahmad Said juga telah berkata,kalau ada undi tidak percaya keatasnya, dan mendapat soskongan, beliau akan membubarkan DUN Terengganu,"tambah Dato' Mustafa.

Lihat Klip Video
Last Updated on Monday, 18 May 2009 14:08

Read More...

Husam jangka Dun Perak bubar minggu ini

Siasahdaily

KUALA LUMPUR, 25 Mei: Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa tetap yakin Dun Perak akan dibubarkan segera selepas Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menang kesnya di Mahkamah Rayuan baru-baru ini.

"Posting saya tiga hari lalu (Rabu) telah 'meramalkan' Mahkamah Rayuan akan memihak kepada Zambry dan ia menjadi kenyataan hari ini (Jumaat 22 Mei).

"Ia sebenarnya bukan ramalan tetapi maklumat. Maklumat selanjutnya ialah pembubaran Dun Perak dalam masa terdekat, selepas Mesyuarat Majlis BN sekali lagi Isnin atau Selasa ini," tulis beliau dalam blognya.

Bagi Husam, keputusan Mahkamah Rayuan memberikan implikasi besar kepada perundangan di negara ini.

"Keputusan ini memberi kesan besar. Baik di Parlimen mahu pun di Dun yang lain, Agung atau Sultan boleh melantik PM atau MB yang baru tanpa PM atau MB berkenaan terlebih dahulu dilucutkan jawatan mereka melalui usul undi tidak percaya.

"Adakah negara kita sudah bersedia menerima hakikat kemungkinan perubahan teraju kepimpinan melalui proses tabung uji di luar rahim iatu Dewan Rakyat atau Dun seperti yang difahami sebelum ini?

"Khususnya Najib, sudahkah bersedia untuk Ahli Dewan Rakyat mengumpulkan senarai bahawa mereka sudah hilang kepercayaan kepada beliau dan Agung boleh dengan itu melantik PM yang baru tanpa proses Dewan Rakyat?," tanya Husam dalam tulisannya.

Read More...

PAS: Husam sah cabar Nasharuddin

Malaysiakini

Abdul Rahim Sabri | May 25, 09 12:27pm

Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa secara rasmi mengesahkan akan cabar Nasharuddin Mat Isa bagi jawatan timbalan presiden, kemungkinan besar dalam persaingan sengit tiga penjuru.

Dalam pengumumannya di ibu pejabat parti itu tadi, beliau berkata gandingannya dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang boleh menolong memajukan lagi parti.

"Saya yakin bahawa gandingan yang mantap boleh membantu Datuk Seri Tuan Guru memimpin PAS terus-menerus menerokai kemajuan dan pembukaan sehingga berjaya dari segi politik menggantikan tempat Umno sebagai teraju utama negara pada masa akan datang," katanya.

husam musa pas annouce contest of number 2 post 250509 02"Penolakan ke atas Umno adalah kerana sifat perjuangannya yang memisahkan aktiviti pemerintahan daripada hitungan akhirat dan bimbingan wahyu, yang membawa kepada berleluasanya korupsi, penyelewengan dan salah guna kuasa serta hilang puncanya
Umno dalam isu hubungan kaum dan agama di Malaysia."

Seorang lagi naib presiden Mohamad Sabu juga berminat jawatan nombor dua PAS.

Beliau dijangka mengesahkan bertanding hari ini, tarikh akhir semua calon wajib berbuat demikian menjelang pemilihan parti di muktamar tahunannya di Shah Alam bermula 5 Jun ini.

Ditanya sama ada beliau muktamad menentang Nasharuddin dan Mohamad, atau masih sedia berkompromi, Husam berkata:

"Saya telah ambil masa yang sangat lama untuk buat keputusan ini, dan ini adalah hari terakhir. Jadi saya rasa ini adalah keputusan yang muktamad."

Mengulas hasratnya bertanding berkaitan dengan isu kerajaan perpaduan yang disarankan oleh Abdul Hadi, Husam berkata:

"Saya tidak mahu masuk kepada tajuk yang boleh mengelirukan. Saya hanya berkata bahawa, apa yang saya tuliskan (kenyataan media) itu bolehlah saudara tafsirkan dengan bentuk positif.

"Iaitu suasana semasa adalah kritikal dan saya tidak ada pilihan, saya meletakkan satu petanda dalam bentuk pertandingan ini."

Ditanya berhubung dakwaan beliau seorang pemimpin liberal, Husam berkata:

"Saya menganggap penyandang jawatan sekarang (Nasharudin) juga liberal tetapi terlalu liberal (condong) kepada Umno adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

"Pada pendapat saya, PAS perlu berada di tengah, bukan bersikap terbuka kepada Umno atau untuk menyelamatkan Umno."

dr haron din pasSementara itu, Husam juga berkata pandangan Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din "bersifat peribadi" dan tidak mewakili keseluruhan pandangan PAS.

"Setahu saya kertas kerja tersebut adalah kertas kerja peribadi beliau. Dalam seminar tersebut, ia tidak diterima sebagai kertas kerja yang diterima bersama.

"Jadi proses itu (mekanisme baru) panjang lagi. Kalau dalam seminar tersebut belum diterima, saya rasa tak payah diulas secara panjang lebar," katanya.

Sabtu lalu, tokoh ulama itu memberi amaran kepada parti agar berwaspada terhadap pemimpin-pemimpin PAS yang ditaja oleh musuh - termasuk oleh Umno atau negara asing - yang mengambil kesempatan dalam pemilihan kali ini.

Beliau kemudian mencadangkan kepada PAS agar mengetatkan mekanisme pemilihan parti bagi menyekat kemaraan pemimpin seumpama itu.

Diminta mengulas lanjut, Husam berkata: "Kalau parti sudah membuat keputusan, perubahan tersebut saya akan patuh. Setakat ini saya tidak tahu ada perubahan ataupun tidak. Kena tanya Datuk sendiri."

Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar juga mengesahkan bertanding jawatan naib presiden.

Seramai 16 pemimpin dicalonkan untuk merebut tiga jawatan kanan tersebut.

Bagaimanapun setakat ini tidak dapat dipastikan jumlah sebenar mereka yang berminat.

Parti itu akan mengumumkan pemimpin-pemimpin yang ingin bertanding dalam satu sidang akhbar khas, esok.

Pertandingan PAS kali ini disifatkan persaingan dua aliran besar - satu pro-rundingan dengan Umno dan satu lagi pro-kerjasama dalam Pakatan Rakyat.

Nasharuddin - yang terlibat sendiri dalam satu rundingan sulit dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi, waktu itu presiden Umno, sejurus selepas pilihanraya umum tahun lalu - dikategorikan dalam kumpulan yang bertentangan dengan Husam.

Exco kerajaan Kelantan itu dikatakan lebih menyenangi idea mengukuhkan kedudukan PAS dalam gabungan pembangkang.

Read More...

Keputusan mahkamah satu skrip dan matinya demokrasi

Harakahdaily

Wan Nordin Wan Yaacob
Sun | May 24, 09 | 7:58:47 am MYT

KUALA LUMPUR, 24 Mei (Hrkh) - Keputusan Mahkamah Rayuan yang memberi kemenangan 3-0 kepada Dato' Dr Zambry Abdul Kadir pada 22 Mei lalu adalah satu keputusan yang telah diskripkan.

Demikian kata Naib Presiden PAS, Mohammad Sabu semasa diminta mengulas keputusan kes rayuan Dr Zambry bagi membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengesahkan Dato' Seri Ir NIzar Jamaluddin selaku MB yang sah.

Keputusan itu membatalkan penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lalu yang mengesahkan kedudukan asal Mohammad Nizar Jamaluddin.

Mengulas lanjut Mohamad Sabu berkata, keputusan yang telah diskripkan itu menandakan matinya demokrasi di negara ini.

"Keputusan ini sangat pelik kerana ia telah bocor dahulu, seluruh media BN telah menanti hanya untuk umumkan sahaja, satu lagi tanda sebelum keputusan dibuat ramai Adun dan pemimpin BN hadir, tak macam semasa keputusan di Mahkamah Tinggi,"ujarnya.

Meskipun begitu Mohamad Sabu masih mengharapkan akan berlakunya pembubaran Dun oleh pihak BN.

Dalam keputusannya, panel tiga hakim yang telah mendengar hujah kedua-dua pihak di Putrajaya seharian pada 21 Mei sebulat suara menerima rayuan Zambry.

Dalam penghakimannya, ketiga-tiga mereka berhujah bahawa hakim mahkamah tinggi Dato' Abdul Aziz Abd Rahim membuat kesilapan dalam keputusannya dan Sultan Perak layak melantik Zambry apabila Mohamad Nizar hilang majoriti dalam DUN.

Panel tiga hakim yang mendengar rayuan tersebut ialah Dato' Md Raus Sharif, Dato' Zainun Ali dan Dato' Ahmad Maarop.

Mahkamah senyap ketika penghakiman dibaca.

Nizar diwakili oleh sepasukan lapan peguam yang diketuai oleh Sulaiman Abdullah, manakala peguam Cecil Abraham mewakili Zambry.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail - sebagai pencelah - turut hadir. Manakala peguam Mohd Hafarizam Harun, Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin dan M Reza Hassan menjadi pemerhati bagi pihak BN. - mks. _

Read More...

Tuesday, May 12, 2009

Sambutan ulang tahun Umno 'muram'

Malaysiakini

Muda Mohd Noor | May 12, 09 1:23pm

Majlis sambutan ulang tahun penubuhan Umno kali ke-63 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara malam tadi dilihat 'agak muram' ekoran keputusan mahkamah yang mengisytiharkan Datuk Sri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar Perak yang sah.

Sebelum ini, Menteri Besar BN, Datuk Seri Dr Zambery Abdul Kadir telah menyandang jawatan tersebut selama kira-kira dua bulan.

umno 63 anniversary dinner 110509 03Selain itu, mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi juga kelihatan di majlis tersebut.

Dr Zambery juga tidak hadir dan difahamkan beliau bergegas ke Ipoh sebaik sahaja keputusan mahkamah tersebut diumumkan.

Walaupun, Tun Dr Mahathir Mohamad dan beberapa pemimpin veteran hadir tetapi suasana di dalam dewan merdeka yang menjadi tempat jamuan, tidak menampakkan kemeriahannya.

Ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berucap merasmikan sambutan tersebut ada yang tertanya-tanya mengenai ketiadaan Abdullah di majlis tersebut.

"Dulu Dr Mahathir tidak datang, kini Datuk Seri Abdullah pula. Kalau macam ini bila Umno hendak bersatu," kata seorang penyokong Umno yang lengkap berpakaian Melayu.

'Bukan penghujung jalan'


Dalam ucapannya, Najib turut menyentuh tentang keputusan mahkamah berhubung kemelut politik di Perak.

umno 63 anniversary dinner 110509 02Katanya, majlis sambutan tersebut dicemari dengan keputusan mahkamah tersebut.

Katanya, sebelum ini mahkamah telah mengharamkan Umno tetapi bangkit dan membina Umno yang baru.

"Kita menang dua kes mahkamah, kita kalah satu. Ia bukan penghujung jalan.

"Saya dan rakan-rakan dalam MT akan fikir semula apa jalan terbaik kepada Umno dan BN. Kita tidak akan patah semangat," tambahnya.

Dalam ucapannya, Najib banyak menyentuh mengenai konsep 1 Malaysia yang diperkenalkannya itu.

Perdana menteri berkata, 1 Malaysia berpaksi kepada perlembagaan dan rukun negara dan realiti kepada masyarakat majmuk negara.

"Datuk Onn (Jaafar) telah cuba membuka pintu Umno kepada kaum-kaum lain tetapi tidak berjaya.

'Solat hajat'

"Tunku Abdul Rahman telah menubuhkan Perikatan berdasarkan kebersamaan, ayahanda saya Tun Razak (Hussein) membesarkan lagi Perikatan kepada BN.

"Tun Dr Mahathir pula membuat lontaran dengan konsep Bangsa Malaysia dan Tun Abdullah dengan visi nasional," katanya.

Di majlis tersebut Najib menyampaikan anugerah Melayu terbilang kepada tokoh perniagaan, Tan Sri Syed Mukhtar Al Bukhari.

Sebelum itu, perdana menteri dan ahli Umno lain menghadiri majlis solat hajat dan bacaan Yasin.

Beberapa pemimpin komponen BN iaitu Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu; Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat, turut hadir di majlis tersebut.

Read More...

Hishamuddin Jangan Main Api Di Terengganu!

msomelayu

[kemas kini]
SAH Dr Ramzi telah ditangkap polis. Beliau katanya ditangkap di Jertih jam 8:30 pagi tadi. Beliau kini dibawa ke IPK Terengganu. Reporter sedang mengerumuni IPK untuk mendapat penjelasan lanjut.

ADA maklumat mengatakan Ahmad Ramzi Mohamad Zubir (Dr Ramzi) telah ditangkap polis pagi ini. Sama-sama kita tunggu pengumuman daripada Polis Di Raja Malaysia (PDRM). HARI ini 12 Mei, tanggal yang disebut-sebut Umno Terengganu akan disusun semula. Katanya kedudukan Ahmad Said sebagai Timbalan Pengerusi Umno Terengganu akan berubah. Pengerusinya, Hishamuddin Hussein ada nama lain untuk diganti di tempat Mat Said. Siapa?

Khabar ini rasanya tidak berapa benar dan tidak logik. Hishamuddin baru saja diumumkan oleh Najib Razak sebagai pengerusi Umno Terengganu dengan Mat Said sebagai timbalan. Apakah Hishamuddin sedia mengkhianati pilihan Najib?

Bukan itu saja menukar dan mengenepikan Mat Said ia bermakna mengenepikan restu istana kepada Mat Said. Khabarnya juga motif penyusunan semula itu untuk memenggalkan jawatan Mat Said sebagai MB Terengganu?

Justeru tidak mungkin Hishamuddin akan menambahkan pening kepala Najib. Isu di Perak belum habis dan melanda kembali kini, nak mula dengan Terengganu pulak? Kalau begitu rosak jahanam semua Umno Malaysia ini. Makanya tidak mungkin ada penyusunan semula Umno Terengganu kini.

Hishamuddin katanya telah membuat penyelidikan dan kajian mengenai kelemahan dan kekuatan Umno Terengganu. Katanya dia telah turun ke Terengganu untuk mengenal pasti masalah dalam menyelesaikan kemelut yang ditimbulkan itu. Sebelum beliau memberi taklimat kepada pihak istana Terengganu beliau sudah turun awal-awal ke negeri penyu menangis itu.

Timbul sedikit keanihan kenapa Hishamuddin seolah melindungi pemergiannya lebih awal ke Terengganu dalam rangka mencari kesimpulan bagi menenangkan ombak politik Umno Terengganu itu. Dalam kenyataan kepada media beliau seolah memaklumkan kepada istana dulu sebelum hendak berbuat sesuaatu ke atas Umno Terengganu! Manakala pemergian ke Terengganu itu juga diminta supaya disembunyikan.

Apakah yang silap di sini dan apakah Hishmuddin ada agenda lain di Terengganu. Beliau memang ke Terengganu tetapi bukan menemui akal umbi tetapi menemui buah hati! Apakah maksud buah hati itu pulak? Apakah Idris Jusoh buah hatinya?

Biarlah, Hishamuddin dan orang politik memang ada berbagai agendanya sendiri. Agenda itu pula kekadang terlalu confidential. Misalnya dua orang wakil rakyat dari Kelantan ada kekasih masing-masing yang sedang menuntut di Universiti Malaya. Hujung minggu mereka akan ke Kuala Lumpur, beri tahu isteri dan anak buah kononnya ada mesyuarat parti atau agensi tertentu. Walhal mereka berfoya-foya dengan buah hati masing-masing.

Hujung minggu mereka akan ke UM ambil buah hati untuk makan-makan dan sebagai-sebagainya. Nama kekasih kedua-dua wakil rakyat berkenaan sudah pun dalam tangan saya. Hanya tunggu hari untuk disahkan dan 'dikebekkan' dalam blog ini.

Berbalik kepada cerita Umno Terengganu tadi, kalaulah benar hari ini Hishamudin akan umumkan perstruktruan semula Umno Terengganu melibatkan Mat Said ia adalah satu tindakan kurang bijak. Apa lagi kalau 10 orang Adun yang menjadi penganggu kepada Mat Said itu diambil kira ia akan menjadikan Umno Terengganu makin celaru.

Sebaiknya Hishamddin usah bermain api di Terengganu. Beliau harus tinggalkan politik Umno Terengganu kepada orang Terengganu. Orang Terengganu lebih mengetahui segalanya. Mereka akan mengetahui ikan apa ada di bawah lautan hanya dengan melihat kepada pecahan ombak apabila ikan itu sesekali menyedut udara di atas muka laut.

Hishamuddin kalau nak pergi ke Terengganu untuk bersuka ria dan berkelah pergilah tidak ada siapa nak marah.

Kemelut yang berlaku sudah semakin jelas. Yang terbungkus sudah mula 'terkebek'. Apabila polis sudah nak tangkap orang bernama Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir, maka jelas siapa di sebalik penyebaran SMS tempoh hari. Orang ini pula adalah bekas Setiausaha Politik, Idris Jusoh. Apakah Idris tidak terlibat dalam soal ini?

Mungkin SMS itu dirangka demikian rupa. Disuruh buat dan dihantar ke dalam telefon sendiri kemudian buat report polis. Matlamatnya ialah untuk tidak mahu hadir siang dewan. Tujuan tidak mahu hadir sidang dewan supaya dewan kelihatan kosong dan yang ada Mat Said dengan speaker saja. Dengan cara itu dunia akan melihat Mat Said dipulau oleh Umno sendiri.

Maka betul dan benarlah kata Rahman Bakar, kemelut politik di Terengganu untuk menjatuhkan Mat Said ada grand design.

Kalaulah itu strategi kumpulan 10, itu silap. Mereka terlupa mengenai kehebatan Mat Said yang boleh berkawan dengan orang Pas. Semua Adun Pas di dewan katanya menyokong Mat Said. Pembelian dua ekor kambing Harun Taib oleh Mat Said adalah signal jelas bagaimana Mat Said rapat dengan orang Pas sampai boleh masuk ke dalam gok (kandang) kambing beor orang Pas.

Beginilah hidup. Selalu berlaku, walaupun perancangan manusia bijak tetapi bijak lagi perancangan Allah azajawa. Inilah kelemahan manusia tidak menyedari mereka berada di bawah kekuasan Tuhan. Kalau niat tidak betul maka semua perbuatan menjadi ‘belok belekar’.

Kepada Hismamuddin beliau harus selidiki dulu soal SMS itu. Beliau Menteri Dalam Negeri yang jaga polis. Kerah polis serek segera Ahmad Ramzi, soal dan siasat dia habis-habisan jangan bersikap double standard pula. Buka dan kobek apa yang ada dalam Umno Terengganu sebenarnya. Lepas itu barulah Hishamuddin buat keputusan. [wm.kl.11:00 am 12/05/09]

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |