+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Sunday, January 3, 2010

Tambahan Subsidi Sebanyak RM260 Juta Jika Harga Gula Kekal

Mstar Online

BERA: Kerajaan terpaksa menambah peruntukan subsidi gula sebanyak RM260 juta setahun jika harga gula di pasaran kekal pada harga RM1.45 sekilogram, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya walaupun berlaku kenaikan bahan itu sebanyak 20 sen setiap sekilogram kerajaan masih memberikan subsidi berjumlah RM1.2 bilion seperti subsidi tahun lepas.

Beliau berkata rakyat seharusnya memahami masalah kenaikan harga bahan itu dan bukannya kerajaan bertujuan menghapuskan subsidi atau membebankan rakyat.

"Walaupun perjanjian harga gula mentah yang kita beli secara pukal sebanyak 70 peratus daripada negaranegara pembekal akan tamat pada tahun 2011 tetapi kita terpaksa membeli 30 peratus lagi dengan harga baru mengikut pasaran semasa.

"Harga gula di negara kita masih rendah iaitu RM1.65 sekilogram berbanding di negaranegara jiran seperti Thailand, Indonesia, Singapura, Vietnam dan lainlain," katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra dengan para pekerja kilang kelapa sawit Felda Bukit Kepayang dan acara pesta membuat bubur asyura dekat Bera di sini, hari ini. +/-

Beliau berkata kerajaan memberi subsidi sebanyak 80 sen bagi setiap sekilogram gula yang sekarang ini dijual pada harga RM1.65.Sebahagian besar gula dibeli dari Brazil, Thailand, Australia dan beberapa buah negara pengeluar lain, katanya.Walaupun Thailand dan beberapa buah negara yang lain menjadi negara pengeluar dan pembekal, beliau berkata negara berkenaan menjual gula di negara masingmasing mengikut harga semasa antara RM2.50 hingga RM2.60 sekilogram.

"Rakyat perlulah mengurangkan penggunaan gula dalam makanan dan minuman bagi menangani kenaikan dan ini secara tidak langsung dapat menjaga kesihatan rakyat daripada dihinggapi penyakit kencing manis, darah tinggi, jantung dan sebagainya.

"Menurut kajian rakyat Malaysia adalah yang terbanyak mengambil gula dibandingkan dengan rakyat negara lain iaitu lebih 20 sudu gula sehari bagi setiap seorang," katanya.

Beliau berkata kadar sepatutnya ialah setiap seorang hanya perlu mengambil tujuh sudu gula sahaja sehari. BERNAMA

Read More...

Friday, January 1, 2010

Pemuda Umno Bantah Kenaikan Harga Gula

Mstar Online

KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Umno Malaysia hari ini membantah kenaikan harga gula yang diumumkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan semalam.

Setiausaha Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Megat Firdouz Megat Junid dalam satu kenyataan media menegaskan perkara ini tidak patut berlaku walaupun kenaikan sekadar 20 sen ia tetap memberi impak negatif serta kesengsaraan kepada rakyat terutama yang berpendapatan rendah dan sederhana.

"Di saat dunia menjangkakan ekonomi akan beransur pulih, rakyat dikejutkan dengan kenaikan mendadak ini," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurutnya, Pemuda Umno berharap kenaikan harga gula dapat dibatalkan atau ditangguhkan demi menghayati konsep 1Malaysia Rakyat Didahulukan.

"Pemuda UUMNO sedar kerajaan Malaysia sedang mendidik rakyat agar mengurangkan pengunaan gula, tetapi dengan cara menaikkan harga gula..sebenarnya kerajaan (kementerian) membebankan rakyat," katanya.

Beliau berkata, kaedah lain boleh diambil bagi mendidik rakyat. Dalam konteks kenaikan gula mentah dunia, Pemuda Umno berharap kerajaan serta pengilang yang selama ini mengaut keuntungan, menanggung beban harga kenaikan agar rakyat Malaysia dapat menarik nafas lega meneruskan kehidupan seharian.

Katanya, Pemuda UMNO Malaysia juga berharap roti putih tetap disenaraikan sebagai bahan kawalan kerana khuatir pihak pengeluar roti akan sewenangnya menaikkan harga roti.

"Adakah roti selepas ini akan menjadi bahan makanan mewah? Rakyat Malaysia merungut, dan kami Pemuda UMNO akan sentiasa mendengar rungutan serta bersuara untuk rakyat," katanya.

Terdahulu pukul 12 tengah malam tadi, harga runcit gula dinaikkan sebanyak 20 sen sekilogram iaitu RM1.65 di Semenanjung dan RM1.75 di Sabah dan Sarawak yang diumumkan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Mohd Zain Mohd Dom.

Menurut beliau, kerajaan turut membuat keputusan tidak akan memberi subsidi bagi roti putih mulai esok (1 Januari 2010) dan barangan tersebut akan ditarik keluar dari skim kawalan harga.

Katanya, kenaikan harga gula sebanyak 20 sen itu perlu berikutan kenaikan harga gula mentah dunia dan kerajaan masih menanggung subsidi sebanyak RM1.008 bilion setahun dengan kadar subsidi sebanyak 80 sen sekilogram.

Read More...

Sambutan 2010 meriah

Utusan Online


Warga Kuala Lumpur meraikan Sambutan Ambang Merdeka sempena tahun baru 2010 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, malam tadi. – Utusan/Shaifudin Mohd. Nor


KUALA LUMPUR 31 Dis. – Kedatangan tahun baru 2010 disambut dengan meriah oleh pelbagai lapisan masyarakat di seluruh negara malam tadi.

Di ibu negara, sambutan ambang tahun baru diadakan di beberapa lokasi dengan beberapa aktiviti yang berlainan daripada kebiasaan.

Di Menara Berkembar Petronas, kira-kira 10,000 warga kota membanjiri kawasan persekitaran tasik di situ dan mereka dihiburkan dengan persembahan pancutan air berirama bermula pukul 9.25 malam.

Persembahan itu ternyata menghidupkan suasana sambutan sambutan tahun baru di kalangan pengunjung termasuk pelancong asing.

Kemuncaknya ialah persembahan bunga api yang bermula tepat pukul 12 tengah malam serentak dengan lapan lagi persembahan seumpamanya di lokasi berbeza di sekitar ibu negara.

Di Dataran Merdeka pula, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin serta Pengerusi Kumpulan AmBank, Tan Sri Azman Hashim bersama kira-kira 30,000 warga kota meraikan sambutan tahun baru 2010 dengan Konsert Ambang 2010.

Konsert itu merupakan anjuran Kumpulan AmBank dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bermula pukul 8 malam diikuti dengan pertunjukan bunga api tepat pada detik 12 tengah malam.

Antara artis terkenal yang menghiburkan pengunjung ialah Ella, Kumpulan Hujan, Bunkface dan Amy Search selain persembahan tarian 1Malaysia daripada kumpulan Permata Negara.

Sebelum acara dimulakan, pengunjung mendengar ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyampaikan amanat tahun baru.

Di Bukit Bintang, sambutan tahun baru 2010 juga meriah apabila kira-kira 2,000 warga kota pelbagai kaum termasuk warga asing hadir untuk memeriahkan sambutan tersebut.

Di Menara Kuala Lumpur, sambutan tahun baru menampilkan kelainan apabila seramai 10 orang penerjun tempatan membuat penerjunan tanpa henti bagi memeriahkan acara.

Selain itu, pengunjung juga dapat menyaksikan persembahan bunga api di sekitar ibu negara dari Pelantar Terbuka pada ketinggian 300 meter.

Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Mohamad berkata, 50 pengunjung tempatan dan 50 pengunjung luar negara yang paling awal berpeluang mengadakan lawatan ke Pelantar Pemandangan dan Air H20.

“Penerjunan tanpa henti bermula dari pukul 9 malam hingga 1 pagi bagi memeriahkan lagi sambutan tahun baru,’’ katanya.

Pelajar Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Mohd. Faiz Mohd. Nor Lidzan, 23, berkata, ini merupakan peluang terbaik untuk dia dan rakannya turut sama menyambut tahun baru dengan warga kota yang lain.

Pekerja bahagian teknologi komputer Universiti Malaya (UM), Syafawil Malifuad, 29, pula berkata, sambutan tahun baru di negara ini amat meriah dengan pelbagai aktiviti.

Kemeriahan sambutan itu turut dirasai oleh pelancong asing yang hanya mahu dikenali sebagai Tony, 50, dari Australia yang menyifatkan pengalaman menyambut tahun baru di Bukit Bintang sebagai menakjubkan.

Dia dan pasangannya, Debbie Dewhirst, 50, gembira kerana dapat bersama-sama dengan pelbagai kaum di Malaysia meraikan sambutan tahun baru 2010.

“Saya kagum melihat pelbagai kaum di Malaysia bersama-sama meraikan sambutan tahun baru dalam suasana aman,’’ ujarnya.

Alireza Ismail Jamal, 35, dari Iran yang berkunjung ke Bukit Bintang bersama ahli keluarganya turut kagum dengan semangat perpaduan yang ditunjukkan rakyat negara ini.

“Jika ada peluang kami mahu bersama-sama meraikan tahun baru di Malaysia pada tahun depan,” katanya.

Read More...

Harga gula naik 20 sen hari ini.

Kosmo Online


PENIAGA Fazlul Rahman menunjukkan bekalan gula habis di kedainya di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur semalam.


PUTRAJAYA - Harga jualan runcit gula di pasaran dinaikkan sebanyak 20 sen sekilogram menjadi RM1.65 di Semenanjung dan RM1.75 di Sabah dan Sarawak berkuat kuasa mulai pukul 12 malam tadi.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Mohd. Zain Mohd. Dom berkata, kenaikan harga gula sebanyak 20 sen itu perlu berikutan kenaikan harga gula mentah dunia dan kerajaan masih menanggung subsidi sebanyak RM1.008 bilion setahun dengan kadar subsidi sebanyak 80 sen sekilogram.

"Subsidi bagi gula masih dikekalkan dan jumlah itu adalah lebih tinggi berbanding tanggungan subsidi pada 2009 iaitu sebanyak RM720 juta setahun.

"Harga gula mentah dunia telah naik dengan tinggi khususnya mulai bulan Ogos hingga hari ini. Sebelum ini harganya 14 hingga 16 sen AS (Amerika Syarikat) bagi satu satu paun, telah naik hingga 27 sen AS, jadi kerajaan perlu menaikkan harga gula," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Kali terakhir harga gula dinaikkan ialah pada 13 September 2006 iaitu sebanyak 5 sen daripada RM1.40 kepada RM1.45 bagi Semenanjung manakala RM1.55 bagi Sabah dan Sarawak.

Jika tidak dinaikkan, Mohd. Zain berkata, tanggungan subsidi gula yang perlu ditampung oleh kerajaan akan meningkat kepada RM1.26 bilion bagi tahun 2010.

Read More...

Wednesday, November 18, 2009

Amalan rasuah di Malaysia di pandang semakin menjadi-jadi

E-mail Print PDF
http://www.buletinonline.net/images/stories/berita13/image.jpg 
KUALA TERENGGANU - Negara kita, Malaysia sekarang dipandang lebih ‘rasuah’ daripada tahun sebelumnya, berdasarkan laporan terbaru Transparency International yang dilancarkan hari ini.

Laporan yang baru dibentangkan itu mendedahkan indeks persepsi rasuah global 2009 dimana pencapaian Malaysia telah jatuh 9 tangga ke bawah.

Read More...

Tuesday, September 8, 2009

Ramadhan dan penurunan (nuzul) al-Quran

presiden.pas.org.my

Written by Presiden PAS
Friday, 04 September 2009
news-photo.jpg
Terdapat kajian oleh pihak berkenaan yang menyebut bahawa beransur-ansur dalam melaksanakan undang-undang bukan maksud beransur-ansur dalam menurunkan syariat. Ini adalah terjemahan yang tidak betul.
Barangkali hasil daripada terjemahan inilah menyebabkan arak masih dibenarkan dijual di negara ini, dihalalkan buat semenara waktu kemudian dikarakan akan diharamkan terus sebagaimana pernah berlaku pada zaman Nabi Muhammad s.a.w di samping kononnya dilaksanakan syariat secara sedikit demi sedikit.


Oleh kerana terjemahan tidak betul maka fahaman pun turut sama menyeleweng. Tasyri' dalam bahasa Arab adalah masdar (Kata terbitan) dari Syara'a, tayri'an. Maka tasyri' itu ialah membuat undang-undang bukan mendaulatkan undang- undang.

Dalam menyebut undang-undang (tasyri') memang berlaku secara tadarruj (beransur-ansur) di mana undang-undang ini dikatakan beransur-ansur oleh Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w secara tadarruj, beransur-ansur ayat demi ayat.


Inilah sejarah turunnya al-Quran yang bukan sahaja diwahyukan kepada Nabi Muhammad pada bulan Ramadhan, tetapi mewahyukan juga kepada masa-masa lain.


Yang dimaksudkan dengan ditutunkan al-Quran di sini islah turun daripada Loh Mahfuz ke Baitul 'Izzah pada bulan Ramadhan. Inilah kelebihan bulan Ramadhan yang diturunkan padanya al-Quran.


Firman Allah SWT yang bermaksud "(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang pasanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah." (al-Baqarah ayat 185)


Sekiranya kita mahu mengetahui yang mana betul dan yang mana salah, bukalah al-Quran maka di sana tahulah yang mana betul dan yang mana sebaliknya. Dengan sebab itulah Allah berfirman yang bermaksud:"Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya." (An-Nisaa ayat 59)


Sekiranya kamu bertelinkah dalam apa-apa masalah sekalipun, kembalilah kepada al-Quran maka bertemulah yang mana betul dan yang mana salah. Kebiasaanya orang Islam bertelingkah kerana mereka tidak mengetahui. Yang tidak mengetahui mestilah kembali kepada al-Quran dan hadis Nabi Muhammad s.a.w sehingga apabila kembali kepadanya semua menjadi betul dan baik. Inilah dia cara Islam.


Kalau tidak mahu kembali kepada al-Quran itu bukan cara Islam dan sekiranya takut kembali kepada al-Quran, mereka yang berkenaan itu dikuasai oleh syaitan. Firman Allah yang bermaksud :"Maka sesiapa yang menyaksikan di kalangan kamu bulan Ramadhan maka hendaklah dia berpuasa." surah al-Baqarah ayat 185.


Sesiapa yang menyaksikan bulan Ramadhan (yang dia berada di dalam bulan Ramadhan) di mana bulan itu berlaku sama ada dengan melihat anak bulan ataupun dengan tidak melihatnya, tetapi disabitkan apabila berlakunya cuaca yang buruk maka disempurnakan bulan Syaaban itu kepada 30 hari.


Maka selepas itu umat Islam hendaklah berpuasa bulan Ramadhan kerana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Berpuasalah kamu dengan melihat anak bulan dan berhari rayalah kamu dengan melihat anak bulan. Jika sekiranya dikelamkan kepada kamu (berlaku cuaca buruk) maka sempurnakanlah bulan Syaaban itu 30 hari."


Kejadian luar biasa di bumi Makkah

Begitu juga dengan bulan Ramadhan, sekiranya anak bulan Syawal tidak kelihatan, maka dicukupkan puasa Ramadhan sehingga 30 hari. Sekiranya melihat anak bulan Syawal, maka hendaklah Muslimin menyambut Aidilfitri, jangan mahu cukupkan puasa Ramadhan sebanyak 30 hari, perbuatan sebegini adalah haram.


Sebagaimana berlaku di Makkah pada tahun 1998 di mana hari yang ke-28 puasa sudah kelihatan anak bulan.


Ini suatu kejadian luar biasa kerana [enduduk Makkah berpuasa Ramadhan dalam keadaan cuaca buruk lalu mereka menyempurnakan bulan Syaaban 30 hari dan mereka berpuasa lewat sehari. Tiba-tiba pada hari yang ke-28 anak bulan syawal kelihatan.


Apabila anak bulan Syawal kelihatan walaupun puasa baru 28 hari maka mereka hendaklah berhari raya paad hari yang ke-29 dan hendaklah diqada puasa Ramadhan sehari sebagai ganti hari yang ditinggalkan (bagi mempercukupkan puasa 29 hari).


Ini kerana bulan Islam ini sekurang-kurangnya 30 hari, tidak boleh lebih dari 30 hari. Firman Allah Taala yang bermaksud:" Dan sesiapa yang berasa dalam keadaan sakit ataupun dalam keadaan musafir, maka hendaklah dia mengulanginya paa hari-hari yang lain." - Al-Baqarah ayat 185


Orang yang berkenaan boleh qada pada hari yang lain sebab apa masalah qada ini diulang buat kali yang kedua? Tujuannya ialah untuk menjelaskan lagi bahawa sesungguhnya inilah kemudahan yang diberi oleh Allah SWT kepada mereka yang berkenaan dan boleh jadi ada orang yang salah faham dalam masalah ini.


Firman Allah yang bermaksud: "Maka sesiapa yang menyaksikan di kalangan kamu bulan Ramadhan maka hendaklah dia berpuasa." Surah al-Baqarah ayat 185


Boleh jadi ada yang memahami bahawa ayat ini memansukhkan ayat yang terdahulu daripadanya. leh kerana ayat ini kemudian dan ayat yang terdahulu lain, maka Allah menyebut sekali lagi bahawa sesiapa yang sakit ataupun musafir, maka hendaklah dia mengulanginya pada hari-hari lain.


Firman Allah yang bermaksud: "Allah menghendaki kemudahan kepada kamu dan Dia tidak menghendaki kepayahan berlaku kepada kami." - Al-Baqarah ayat 185.


Kamu hendaklah sempurnakan bilangan bulan Ramadhan (masanya) dalam menunaikan qada puasa yang ditunaikan itu. Jangan kamu meninggalkan puasa tiga hari dan mengqadakannya hanya dua hari dan seumpamanya.


Firman-Nya lagi yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu membesarkan Allah dengan memuji-Nya." - Al-Baqarah ayat 185


Membesarkan Allah SWT di atas apa-apa yang telah ia beri petunjuk kepada kamu.


Kamu hendaklah membesarkan Allah terutamanya selepas hari raya, sidunatkan kita berlafaz dengan lafaz takbir, membesarkan Allah di atas petunjuk yang telah diberi kepada kita di mana tidak ada nikmat yang lebih besar daripada nikmat Islam.


Dinukilkan daripada buku 'Tauhid Uluhiyyah dan Tauhid Rububiyyah' oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, muka surat 116-123 terbitan Dewan Muslimat Sdn Bhd 1999.

Last Updated ( Friday, 04 September 2009 )

Read More...

Pemindahan kuil Hindu Seksyen 19 dibekukan

Malaysiakini

Jimadie Shah Othman
Sep 5, 09
2:00pm

Kerajaan Selangor memutuskan untuk memembekukan rancangan memindahkan kuil Hindu di Seksyen 19, Shah Alam ekoran bantahan keras penduduk Seksyen 23 - tempat kuil itu hendak dipindahkan - dalam sesi dialog pagi tadi.

Bercakap kepada pemberita di kediaman rasminya, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim Khalid berkata rancangan pemindahan kuil yang mencetuskan kontroversi itu, dibekukan sehingga tapak alternatif yang sesuai dikenalpasti.

Ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan ADUN Batu Tiga turut hadir.

Ditanya bila satu penyelesaian dijangka dicapai, Khalid berkata "secepat mungkin, tetapi proses sewajarnya perlu diikuti, termasuk mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak terbabit."

"Selepas kita bertemu PKNS (Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor), MBSA (Majlis Bandaraya Shah Alam), maka kita akan kemukakan cadangan mengenai pemindahan kuil tersebut," katanya.

Ditanya sama ada pemindahan kuil itu ke Seksyen 23 dibatalkan, Khalid mengulangi bahawa "ia dibekukan".

Katanya, ekoran bantahan penduduk dalam sesi dialog pagi tadi, kerajaan negeri terpaksa terpaksa menilai semula cadangan memindahkan kuil Sri Mariaman itu ke Sekyen 23.

"Kita faham, perkara yang melibatkan agama merupakan isu sensitif. Tetapi kita tidak akan menyapunya ke bawah permaidani (mengelak daripada menyelesaikannya)," katanya.

Menegaskan beliau tidak kecewa dengan insiden itu, Khalid Ibrahim berkata, bantahan itu telah dijangka, berdasarkan mood penduduk setempat ketika ini.

"Kita hargai hujah yang baik dan positif, walaupun ia bersulamkan emosi," katanya yang tidak mahu menyalahkan pendudik Melayu yang membantah keras cadangan tersebut.

Sementara itu, Khalid Samad pula menyifatkan insiden pagi tadi berpunca daripada salah faham semata-mata ekoran terdapat anggapan bahawa keputusan telah dibuat.

Sedangkan, katanya, perkara itu masih di peringkat cadangan.

Ditanya kewajaran kerajaan negeri membenarkan petugas Unit Amal PAS memasuki dewan di MBSA, tempat dialog itu diadakan - yang menimbulkan kemarahan penduduk - menteri besar berkata, ia bertujuan membantu pasukan penguatkuasa mengawal keadaan.

Bagaimanapun, Khalid meminta perkara itu tidak dipanjangkan kerana ia telah selesai.

Read More...

Sesi ‘Dialog’ Dengan Penduduk Seksyen 23

Khalid Samad

Semua melihat apa yang berlaku dalam sesi dialog tersebut. Saya merasakan ianya peristiwa yang amat memalukan ummat Islam. Tengah-tengah bulan puasa pula. Sedih. Itulah apa yang berlaku bila tidak menghayati ajaran agama dan tidak juga menerima asuhan yang baik dari pemimpin. Hishamuddin memberi sokongan dan dorongan secara terbuka dan selepas itu menyedari tidak boleh secara terbuka, mesti secara tertutup. Seterusnya mengutuk tetapi semua tahu, reaksi awal adalah apa yang sebenar tersemat di hati. Hakikatnya tukang demo tidak dikenakan apa-apa tindakan hingga ke hari ini. Sedangkan tindakan mereka jelas melampaui batas. Ini adalah bukti bahawa Hishamuddin membela dan melindungi mereka. Begitu juga si Noh Omar, ‘hero Melayu’ gelar mereka.

Matlamat sesi dialog adalah untuk mendapat pandangan dan reaksi penduduk terhadap cadangan pemindahan berkenaan. Ianya merupakan langkah terakhir dalam proses lima langkah seperti berikut :-

1. Tapak cadangan dari PKNS - Ini adalah kerana telah dipersetujui PKNS akan menggantikan tapak kuil di Seksyen 19 dengan tapak lain milik mereka kerana tapak di Seksyen 19 akan diambil alih oleh mereka.

2. Persetujuan MBSA bahawa lokasi berkenaan adalah sesuai. Ini adalah wajar memandangkan MBSA adalah pihak yang bertanggung jawab atas perancangan bandar Shah Alam.

3. Persetujuan AJK Kuil – ini telah diperolehi selepas proses perbincangan pada hujung bulan Mei. Nota mesyuarat ditanda-tangani sebagai bukti persetujuan mereka kerana tidak mahu berlaku penafian atau bertukarnya fikiran. Surat inilah yang dijaja oleh orang-orang demo kepala lembu itu. Persetujuan AJK kuil perlu kerana dasar PR ialah musyawarrah bukan paksa pindah ke mana orang lain tetapkan.(Itu dasar UMNO – rujuk pengakuan bangga KT).

4. Persetujuan Kerajaan Negeri atas cadangan untuk memindahkan kuil ke tapak yang dicadangkan. Ini adalah kerana Kerajaan Negeri mahu memantau semua aktiviti pembinaan dan perobohan kuil.

Pada tahap ini, cadangan mencapai status sebagai ‘cadangan rasmi’ dan barulah boleh dibincangkan dengan pihak awam, terutama penduduk sekitar kawasan berkenaan. Mengadakan perbincangan bersama penduduk sebelum mendapat persetujuan ke empat-empat pihak ini tidak memberikan sebarang makna, kerana cadangan itu belum lagi merupakan cadangan rasmi.

5. Pertemuan dan perbincangan dengan penduduk berhubung cadangan yang telah dipersetujui terlebih dahulu oleh ke empat-empat pihak seperti di atas. Ini adalah kerana walau macam mana sekalipun, penerimaan oleh penduduk sekitar adalah penting untuk menjamin keharmonian.

Jika berdasarkan peraturan yang sediada, peruntukan jarak melebihi 50 meter tidak mewajibkan sebarang perbincangan diadakan dengan penduduk. Namun dasar PR adalah untuk mengadakan perbincangan walaupun jaraknya melebihi 50 meter, jika dilihat akan memberikan kesan. Sekiranya penduduk bersetuju, maka inilah yang ideal dan cadangan itu boleh dilaksanakan. Sekiranya setelah dikemukakan, penduduk menolak maka adalah lebih baik untuk dipertimbangan tapak alternatif sekiranya ada.

Malangnya kerajaan Negeri Selangor tidak diberi peluang untuk membentangkan cadangan ini di peringkat ke-5. Cadangan ditolak sebelum ianya dikemukakan dengan cara amat tidak sopan.

Hakikatnya, sekiranya cadangan ditolak secara sopan sekalipun – iaitu tanpa sebarang aksi yang telah ditunjukkan sebelum ini, kerajaan PR akan mengambil kira pandangan penduduk. Namun atas sebab hasutan pihak tertentu dan kempen salah-maklumat yang dilakukan maka cadangan ditolak mentah-mentah dengan cara paling tidak sopan. Yang dipertikaikan adalah cara bantahan dibuat, bukannya bantahan itu sendiri. Ada yang menganggap kerajaan negeri sudah pun mahu mula pembinaan! Sedangkan tiada pelan kuil yang telah diluluskan. Nak bina macam mana kalau tiada pelan?

Kami dituduh tidak mahu mendengar pandangan penduduk. Yang hadir pada hari tersebut melihat secara jelas siapa sebenarnya yang tidak mahu mendengar. Ini boleh dibuktikan melalui video clip yang tersiar di beberapa blog. Hanya blog UMNO yang tidak mahu menyiarkannya kerana tahu ianya hanya akan memalukan mereka. Semua tahu yang berperangai sedemikian bukan ahli PAS dan bukan PKR. Nafikanlah berapa kali sekali pun, rakyat tahu ini perangai UMNO.

Saya diberitahu juga ada pihak yang mendakwa bahawa mereka yang terlibat membuat kacau semasa sesi dialog tempohari adalah terdiri dari ahli PAS dan PKR. Sekiranya benar, maka saya cadangkan mereka ini dihadapkan di bawah lembaga disiplin parti, dipecat dan sekiranya didapati bersalah dikenakan tindakan dibawah akta hasuatan. Dalam masa yang sama, saya juga berharap jika ada ahli UMNO yang terlibat sama, maka mereka juga dikenakan tindakan yang sama. Mahukah mereka melakukan perkara yang sama sekiranya benar-benar yakin?

Teringat saya kisah Haji Bakhil. Dia tanam duit di sesuatu tempat dan meletakkan papan tanda ‘Tiada Duit Di Sini’. Datang pula Haji Bahalol menggali dan mengambil duit berkenaan. Seterusnya dia meletak papan tanda yang menyatakan ‘Bukan Hj Bahlol yang ambil duit di sini’. Bagi saya, begitulah penafian mereka terhadap keterlibatan UMNO dalam soal ini.

Esoknya Najib dengan gembiranya mengumumkan sesi dialog tersebut merupakan bukti kegagalan PR mentadbir Negeri Selangor. Persoalannya, adakah kemungkinan orang-orang yang bertindak samseng diminta berkelakuan sedemikian supaya Najib boleh membuat kenyataan sebegini? Sudah pasti mungkin! Dan ini juga merupakan penjelasan munasabah mengapa mereka bertindak sedemikian rupa. Tanpa provokasi dan tanpa sebab seperti yang telah dijelaskan.

Sebenarnya kenyataan Najib sendiri itu pun tidak benar sama sekali. Kerajaan negeri telah berjaya mengadakan sesi dialog dengan penduduk dan maklumat yang diinginkan telahpun diperolehi (walaupun bukan melaui jalan perbincangan yang diharapkan) iaitu penduduk setempat menolak cadangan tersebut. Mungkin bagi Najib ‘kejayaan’ diukur berdasarkan nilai projek yang dijalankan. Khir Toyo membelanjakan RM600,000 dan ini dianggap ‘kejayaan’. Walaupun masalah tetap tidak diselesaikan! Kontraktor juga yang untung.

Sebagai kerajaan yang perihatin, kami mengambil kira penolakan ini oleh penduduk Seksyen 23, bukan kerana ianya dilakukan secara biadab, tetapi kerana ianya adalah pandangan penduduk setakat mana yang boleh diperolehi. Walaupun ramai yang berdiam diri, namun itulah keputusan yang dizahirkan.

Begitu jugalah dengan kenyataan Khir Toyo. Dia dengan gembiranya menyatakan bahawa semasa dia MB, tiada masalah sebegini. Ya, betul kerana kami sebagai pembangkang merupakan pembangkang yang bertanggung jawab. Kami tidak menggunakan provokasi samseng atas isu-isu perkauman dan agama seperti mereka. Mereka bila jadi pembangkang, jelas merupakan pembangkang yang tidak bertanggung jawab! Bila memerintah pun menjadi kerajaan yang tidak bertanggung jawab, bila pembangkang begitu juga, pembangkang yang tidak bertanggung jawab!

Seterusnya kami telah pergi melawat tapak alternatif dengan kadar segera. Kami ingin memenuhi hak penduduk Seksyen 19 dan juga hak kuil tersebut. Tapak tanah di tepi kilang Nitto Denko Seksyen 23 telahpun kami lawati pagi tadi bersama PKNS, MBSA, para ADUN dan juga MB. Seterusnya akan dikemukakan kepada AJK kuil. Sekiranya mereka setuju, akan disediakan kertas cadangan untuk kelulusan Exco Kerajaan dan melalui 5 proses yang sama seperti yang telah dinyatakan. Lokasinya ditanda dipeta yang disertakan.


Sambil semua perkara ini diusahakan, saya berharap semua bertenang dan bersabar. InsyaAllah masalah ini akan diselesaikan dengan baik walaupun UMNO berusaha untuk mengagalkannya. Itulah sahajalah yang UMNO pandai buat: KACAU.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |