+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, May 1, 2008

Sesi tergendala, tiga soalan dijawab

Malaysiakini

Apr 30, 08 12:46pm

Sesi soalan sidang Dewan Rakyat yang bermula hari ini tergendala hampir setengah sejam apabila beberapa wakil rakyat sering mempersoalkan peraturan mesyuarat.

Gangguan ini menyebabkan soalan pertama dapat dikemukakan selepas 20 minit sesi itu bermula untuk dijawab perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Beberapa anggota parlimen termasuk Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) dan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) terus membangkitkan lagi soal peraturan mesyuarat sehingga mendorong yang dipertua dewan Tan Sri Pandikar Amin Mulia berulang kali meminta mereka duduk untuk meneruskan sesi soal jawab.

Setelah hampir sejam kemudian, barulah soalan kedua dapat diteruskan.

Keseluruhannya hanya tiga soalan dapat dijawab setelah tempoh sesi soal-jawab selama satu setengah jam berakhir pada pukul 11.30 pagi.

Persidangan bermula dengan pengumuman pelantikan Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR-Permatang Pauh) sebagai ketua pembangkang.

Sesi pertama sidang pertama penggal ke-12 disiarkan secara langsung di RTM 1, satu langkah baru selepas pembangkang meraih jumlah kerusi terbanyak dalam sejarah pilihanraya umum.

Ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, Dr Wan Azizah mendesak kerajaan membebaskan tanpa syarat tahanan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atau membicarakan mereka dalam mahkamah terbuka.

Beliau berkata sejak digubal pada 1960, ISA telah menjadi alat paling berkuasa bagi pihak eksekutif untuk menahan seseorang individu atau kumpulan tanpa dibicarakan di mahkamah.

"Akta ini telah menyekat kebebasan individu, meningkatkan kuasa eksekutif, melemahkan kuasa mahkamah daripada menyemak sebarang ketidakadilan dan menjadi ancaman terhadap hak asasi manusia.

"Sejak ISA diperkenalkan, sejumlah 10,711 orang menjadi tahanan di bawah akta itu," katanya.

Terdapat 70 tahanan lagi yang masih meringkuk di kem tahanan Kamunting di Taiping.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) berkata Malaysia tidak perlu lagi mempunyai akta seperti itu sekiranya kerajaan benar-benar mengamalkan sistem demokrasi.

"ISA diwujudkan semasa negara menghadapi ancaman darurat tetapi sehingga kini selepas negara merdeka, akta itu masih diteruskan... ini tidak perlu," katanya.

Sementara Datuk Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) sebaliknya berkata ISA perlu diteruskan bagi menjamin keselamatan dan kestabilan negara tidak tergugat, terutamanya memandangkan Malaysia terdiri daripada masyarakat majmuk.

Sidang dewan ditangguh sehingga Isnin.

Read More...

MB Perak pertahankan tindakan yang diambil

Harakahdaily

Thu | May 01, 08 | 12:54:40 pm MYT

IPOH, 1 Mei (Hrkh) - Menteri Besar Perak hari ini mempertahankan tindakan mengarah pertukaran serta merta Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (Jaip), Dato' Jamry Sury dengan alasan ia hak dan dasar yang diperjuangkan kerajaan selaras manifesto Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum lalu.

Bernama yang dipetik Buletinonline melaporkan Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, kerajaan negeri tidak mahu diheret lebih jauh ke dalam isu pertukaran terbabit, malah bukan menjadi dasar kerajaan negeri untuk mendedahkan sikap sesetengah pegawai yang bertindak menimbulkan perkara meragukan.

"Bagaimanapun kerajaan negeri terpaksa mempertahankan hak dan dasar yang diperjuangkan sepertimana yang disuarakan melalui manifesto Pakatan Rakyat pada pilihan raya lalu.

"Sikap tidak menghormati pendirian kerajaan oleh kakitangan awam sememangnya satu sikap yang tidak profesional, sedangkan semuanya termaktub dan ditentukan oleh Allah SWT," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Beliau turut memaklumkan bahawa kedudukan Jamry adalah berstatus penempatan secara pentadbiran sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) Gred Utama C (Pinjaman).

"Jadi dalam ertikata sebenarnya dipulangkan ke jabatan asalnya.

"Bersesuaian dengan statusnya dipinjamkan ke jabatan berkenaan (Jaip) dan yang meminjamkannya ialah kerajaan negeri terdahulu. Oleh itu, setiap sesuatu yang dipinjam eloklah dipulangkan, apatah lagi sudah tiga tahun beliau dipinjamkan.

"Pertukaran Jamry ke jabatan asalnya adalah tanpa menjejaskan apa-apa yang sepatutnya diperolehi dan sesuai dengan kelayakannya," katanya.

Mohammad Nizar berkata, kerajaan negeri memberi tempoh yang panjang iaitu 40 hari untuk Jamry menyesuaikan diri dan bekerjasama.

"Tempoh 24 jam sepertimana digambarkan itu hanyalah satu proses prosedur.

"Beliau juga bukan dinafikan segala hak atas urusan pemindahan itu. Persoalan sewajarnya ialah apakah beliau mengalami apa-apa kerugian daripada arahan itu pastinya tidak.

"Persoalan kedua, kenapa hal ini dijadikan isu... kerana sebelum ini pun ada pegawai kanan kerajaan ditukarkan dari satu lokasi ke satu lokasi tanpa pengetahuan kerajaan negeri (walaupun ia patut dimaklumkan) tetapi tidak pula menjadi isu," katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri hanya membetulkan kredibiliti pentadbiran jabatan berkenaan dan mengucapkan terima kasih di atas perkhidmatan beliau selama memegang jawatan itu. - mks.

Read More...

Pertukaran Pengarah JAIP membelakangkan Sultan


Utusan Online

Jamry Sury


IPOH 30 April – Tindakan Menteri Besar Perak, mengarahkan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Datuk Jamry Sury ditukar serta-merta dianggap tidak menghormati Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP).

Pemimpin politik dan badan bukan kerajaan (NGO) di Perak semasa mengulas isu itu menegaskan sewajarnya Datuk Seri Ir. Muhammad Nizar Jamaluddin menghadap Tuanku terlebih dahulu memohon perkenan atas sebarang tindakan terhadap pegawai yang bertanggungjawab dengan institusi agama Islam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Pangkor, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, tindakan tersebut menunjukkan pemimpin berkenaan angkuh dengan kuasanya.

‘‘Tindakannya langsung tidak menggambarkan konsep keadilan yang seringkali disuarakan kerana pengarah itu tidak diberikan hak untuk mempertahankan diri,’’ katanya di sini hari ini.

Semalam, Jamry diarah bertukar serta-merta dalam tempoh 24 jam oleh Menteri Besar kerana didakwa tidak memberi kerjasama kepada kerajaan campuran DAP, PKR dan Pas.

Jamry yang juga Setiausaha MAIAMP dikatakan telah diarah keluar dari pejabatnya oleh Mohammad Nizar pagi semalam.

Ketua Pemuda UMNO Perak, Zainol Fadzi Paharudin pula berkata, Pemuda UMNO amat dukacita dengan arahan pertukaran serta-merta Jamry kerana ia tindakan yang bukan kebiasaan dilakukan.

‘‘Titah Sultan Perak dan Raja Muda Perak semasa Keputeraan Sultan Perak pada 13 April lalu menegaskan supaya masjid dan urusan agama adalah di bawah baginda dan meminta kerajaan Perak supaya tidak menjadikan masjid sebagai medan politik tetapi sebagai pusat penyatuan ummah.

‘‘Tindakan Menteri Besar ini jelas bertentangan dengan kenyataan beliau yang sebelum ini akan bekerjasama dengan semua pegawai kerajaan dan pernah meminta ketua-ketua kampung jangan meletakkan jawatan,’’ katanya.

Dalam pada itu, Ketua Umum Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Bakar berkata, pihaknya akan menghadap dan menghantar memorandum kepada Sultan Perak berhubung tindakan Menteri Besar itu.

Katanya, tindakan Muhammad Nizar mengejut dan mengecewakan masyarakat Melayu kerana sepatutnya pihak kerajaan berbincang terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan.

‘‘Pengarah JAIP bukan macam guru besar boleh ditukar ikut suka, beliau menjaga kepentingan agama Islam di negeri ini,” katanya.

Setiausaha Agung Persekutuan Seruan Islam Perak, Abdul Rashid Yang berkata, orang Melayu perlu bersatu menghadapi apa juga masalah yang dicetuskan oleh kerajaan baru itu.

‘‘Persekutuan Seruan Islam bimbang dengan situasi baru ini dan ia boleh menyebabkan perpecahan dalam kalangan orang Melayu dan Islam,” katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Suara Melayu Bersatu, Shahrul Anuar Abdul Rani meminta kerajaan negeri menjadikan institusi masjid sebagai alat untuk menyatukan orang Melayu dan Islam, bukannya menimbulkan perpecahan.

Dalam pada itu, pengamal undang-undang negeri Perak, Saiful Azli Mohd. Arshad berkata, kuasa untuk memindahkan seorang Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) adalah di bawah bidang kuasa Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

‘‘Bagaimanapun, apa yang menjadi tanda tanya ialah kenapa arahan pertukaran itu dilakukan dalam tempoh 24 jam kerana ia menggambarkan sesuatu yang tidak kena dan rakyat ingin tahu apa masalah yang berlaku.

‘‘Lebih-lebih lagi ia membabitkan seorang Pengarah JAIP dan beliau turut menjadi Setiausaha Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak dengan Raja Muda Perak menjadi Yang Dipertuanya,” katanya.

Read More...

Ibrahim Ali tunjuk tanda tidak sebelahi pembangkang

Mstar Online

30-04-2008 07:37:00 PM


KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali hari ini menunjukkan tanda-tanda awal beliau tidak tergolong dalam kalangan pembangkang di Dewan Rakyat apabila `bertikam lidah' dengan beberapa wakil rakyat DAP pada persidangan dewan.

Pada mulanya beliau memilih untuk berdiam diri apabila Karpal Singh (DAP Bukit Gelugor) mempertikaikan statusnya sebagai wakil Bebas dalam kedudukan Dewan Rakyat sekalipun bertanding sebagai calon PAS pada pilihan raya umum lalu, Ibrahim kemudian secara sinis berkata Karpal sendiri melanggar Peraturan Mesyuarat.

"Peraturan Mesyuarat 35(48), saya nak menarik perhatian masa dan cara bercakap. Yang Berhormat Bukit Gelugor bercakap duduk dan tak pernah minta untuk berdiri. Inipun melanggar peraturan," katanya.

Kenyataannya itu mengundang kemarahan wakil rakyat DAP dan menyebabkan keadaan kecoh. Karpal menggunakan kerusi roda kerana kecederaan akibat kemalangan jalan raya.

"Saya pohon Yang Berhormat Pasir Mas tarik balik. Kita tak boleh menghina macam itu," kata Fong Po Kuan (DAP Batu Gajah).

Mendengar kata-kata Fong, Ibrahim sekali lagi bangun dan berkata: "Bila orang ganggu saya, saya tak pernah pun usik. Bila saya usik sikit dah melenting. Shut up (menuding jari ke arah barisan pembangkang)."

"Saya Ahli Parlimen Bebas. Tadi pun nama saya diungkit, perlakuan saya adalah untuk menjadi anggota Parlimen bertaraf dunia. Itu saja," katanya.

Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia kemudian meminta semua Anggota Parlimen agar tidak menggunakan perkataan yang kasar dan yang tidak dibenarkan dalam dewan.

"Ahli-ahli Yang Berhormat boleh tak saya minta kerjasama daripada semua untuk menunjukkan sikap betul-betul pemimpin pada pandangan rakyat. Janganlah perkara-perkara teknikal dan remeh kita bincang di sini," katanya.

Bagaimanapun, Fong, yang jelas tidak puas hati dengan jawapan Pandikar Amin, cuba bangun menyebabkan Speaker menegur wakil Batu Gajah itu kerana tidak mengikut Peraturan Mesyuarat.

"Yang Berhormat nak kemuka Point of Order tapi Yang Berhormat sendiri out of order," kata Pandikar Amin.

Gobind Singh Deo (DAP Puchong) dan Mohamed Azmin Ali (PKR Gombak) juga bangun meminta Pandikar Amin membuat keputusan berhubung kenyataan Ibrahim terhadap Karpal itu.

Bagaimanapun sebelum sempat Pandikar Amin menjawab, Ibrahim terlebih dahulu bangun dan mempertikaikan dakwaan kononnya beliau menghina Karpal.

"Tuan Yang Dipertua, apa yang unparliamentary perkataan saya? Saya kata shut up. Shut up tu dalam Bahasa Melayu diam. Apa yang menghinanya? Yang Berhormat, kalau Yang Berhormat boleh hina orang lain, sekali-sekala orang hina Yang Berhormat terimalah.

"Jadilah seorang gentleman. Saya tidak memihak kepada mana-mana. Kalau kita nak tunjuk kita Anggota Parlimen yang baik, saya bersetuju dengan Yang Dipertua. Ini semua gara-gara siaran langsung, semua nak masuk TV," katanya.

Pandikar Amin kemudian meminta supaya semua wakil rakyat berjanji untuk tidak menggunakan perkataan yang tidak dibenarkan dalam dewan dan kedengaran daripada kalangan wakil rakyat berkata setuju. BERNAMA


Read More...

Jika benar Malaysia negara demokrasi, mansuhkan ISA!

Harakahdaily

M Khaleel Kas

Thu | May 01, 08 | 11:05:51 am MYT

KUALA LUMPUR, 1 Mei (Hrkh) - Malaysia tidak perlu lagi mempunyai Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sekiranya kerajaan benar-benar mengamalkan sistem demokrasi.

Menurut Dato' Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) yang dipetik Bernama ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Rakyat di sini semalam, jika akta itu terus digunakan, ia seolah-olah menggambarkan negara ini bukan berada dalam keadaan stabil dan aman.

Sementara itu, Ketua Pembangkang Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (KeADILan-Permatang Pauh) yang turut membahas dalam sidang parlimen semalam, sekali lagi menggesa kerajaan membebaskan tanpa syarat kesemua tahanan ISA atau membicarakan mereka dalam mahkamah terbuka.

Beliau berkata sejak digubal pada 1960, ISA telah menjadi alat paling berkuasa bagi pihak eksekutif untuk menahan seseorang individu atau kumpulan tanpa bicara.

"Akta ini telah menyekat kebebasan individu, meningkatkan kuasa eksekutif, melemahkan kuasa mahkamah dari menyemak sebarang ketidakadilan dan menjadi ancaman terhadap hak asasi manusia.

"Sejak ISA diperkenalkan, sejumlah 10,711 orang menjadi tahanan di bawah akta itu," katanya.

Menurutnya, pada masa ini terdapat 70 orang lagi yang masih ditahan mengikut akta berkenaan di kem tahanan Kamunting, di Taiping.

Dalam pada itu sebelumnya, Dr Wan Azizah menerima memorandum berkenaan ISA daripada Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) di lobi parlimen yang turut menuntut pihak kerajaan agar memansuhkan akta draconian itu atau membicarakan kesemua tahanan di mahkamah terbuka.

Dalam majlis penyerahan memorandum itu, beliau berkata akta seperti itu tidak sepatutnya ada di dunia kerana penahanan itu tiada sebarang perbicaraan dan bukti kukuh yang disabitkan bersama.

"Letakkanlah diri anda jika ada di kalangan sanak saudara anda ditahan di bawah akta ini. Sanggupkah anda merasai derita yang ditanggung keluarga ISA ini, yang mana sudah ada yang ditahan selama lebih enam tahun?" soal Wan Azizah.

Beliau turut meminta media agar melaporkan dan tidak 'menyembunyikan' fakta mengenai ISA ini agar rakyat mengetahui kezaliman akta ini.

Turut sama dalam majlis penyerahan memorandum ialah isteri tahanan ISA, Norlaila Othman, isteri kepada MP Kota Anggerik, yang juga tahanan ISA, Pushpaneela dan adik kepada V Ganabatirau.

Wan Azizah, kemudiannya menyerahkan lencana 'Malaysia Bebas Dari ISA' kepada beberapa Ahli Parlimen, termasuk Dato' Seri Nazri Aziz, Dato' Sharir Samad, Dato' Mukhriz Mahathir dan Khairy Jamaluddin.

Antara Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang hadir ialah Ir Khalid Samad (Shah Alam), Dr Lo' Lo' Ghazali (Titiwangsa), Dr Mariah Mahmud (Kota Raja), Mujahid Yusof Rawa (Parit Buntar), Dr Hayati Osman (Pendang), Mahfuz Omar (Pokok Sena), Siti Zailah Mohd Yusof (Rantau Panjang), Tian Chua (Batu), Sivarasa Rasiah (Subang) dan Fuziah Salleh (Kuantan). - mks.

Read More...

Siaran langsung Dewan Rakyat dikaji semula

Utusan Online

KUALA LUMPUR 30 April - Slot siaran langsung sidang Dewan Rakyat selama setengah jam akan dikaji semula berikutan kekecohan yang berlaku pada hari pertama sidang Dewan itu hari ini, kata Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Beliau kecewa kerana kemudahan itu disalah guna oleh ahli Parlimen pembangkang untuk menonjolkan diri mereka dan bukannya mengetengahkan isu-isu kepentingan rakyat.

''Saya kecewa dengan apa yang berlaku. Parlimen telah disalahgunakan. Siaran langsung disalahgunakan. Ahli Parlimen pembangkang tidak menghargai institusi Parlimen yang berperanan untuk berbincang dan mencari yang terbaik untuk rakyat.

''Tetapi hari ini Parlimen digunakan untuk mencari publisiti murah. Mereka menimbulkan perkara yang remeh-temeh, seperti soal bilangan perkataan malah jelas pembangkang tak menghargai Parlimen dan mandat rakyat serta langsung tidak menghormati semangat keterbukaan yang cuba kerajaan buat," katanya di lobi Parlimen di sini hari ini.

Ditanya sama ada kekecohan itu berpunca daripada eksploitasi siaran langsung oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM), beliau menegaskan, memang ada sesetengah rakyat suka melihat sarkas tetapi Parlimen tidak boleh dianggap sebagai sarkas untuk dipertontonkan kepada umum.

Justeru beliau akan mengadakan perbincangan peringkat kementerian sama ada akan meneruskan slot siaran langsung itu atau menghentikannya.

Bagaimanapun, katanya, melihat kepada tingkah laku ahli Parlimen, khususnya daripada parti pembangkang hari ini yang disifatkannya sebagai ahli Parlimen kelas ketiga, beliau merasakan masa siaran langsung itu tidak patut disambung atau dilanjutkan.

Ahmad Shabery berkata, ahli Parlimen pembangkang menggunakan platform Parlimen untuk kepentingan peribadi dan perkara itu jelas terbukti pada hari ini, menyebabkan rakyat marah dan akan rasa ditipu oleh pembangkang yang secara jelas menyalahgunakan mandat yang diberikan kepada mereka.

''Tidak (melanjutkan masa siaran langsung). Kalau kita lanjut melebihi 30 minit, keadaan inilah yang berlaku sepanjang masa," katanya.

Katanya, beliau sedar di negara-negara lain yang mengadakan siaran langsung secara penuh, khususnya dunia ketiga, masalah yang sama dihadapi iaitu ahli Parlimen tidak menumpukan perbincangan kepada perkara-perkara penting kepada rakyat dan negara.

''Sehinggalah kita merasakan ahli Parlimen khususnya pembangkang benar-benar berfikiran secara kelas pertama, barulah kita rasa wajar tempoh siaran langsung dalam Parlimen disambung dan dipanjangkan.

''Jika mereka masih berkelakuan macam ahli Parlimen kelas ketiga seperti hari ini, kita rasa kita hanya menghabiskan wang dan masa rakyat untuk meneruskannya. Seperti yang saya kata, ada rakyat yang suka melihat sarkas tapi Parlimen bukan sarkas," katanya.

Read More...

Mufti Perlis hantar surat bantahan 'Jom Heboh'.

Mstar Online

30-04-2008 04:39:31 PM

MUFTI Perlis, Dato' Dr Asri Zainul Abidin telah menghantar surat bantahan kepada kerajaan negeri supaya mengambil perhatian serius berhubung penganjuran Karnival Jom Heboh yang bakal diadakan pada 3 dan 4 Mei akan datang di Perlis.

Surat yang dihantar pada minggu lepas menyarankan agar kerajaan negeri melarang sebarang unsur-unsur atau program negatif yang bercanggah dengan agama yang diadakan dalam karnival tersebut.

"Saya tidak mengganggap Karnival Jom Heboh itu haram kerana terdapat juga program dan aktivitinya yang baik seperti pameran penerangan, pendidikan dan urusan perniagaan. Cuma ia perlu dipantau...," katanya.

Pendapat Mufti Perlis berbeza pendapat dengan Mufti Perak yang pernah mengeluarkan fatwa haram umat Islam menghadiri karnival tersebut.

"Seandainya ada program yang mengandungi unsur-unsur negatif dan bertentangan dengan agama, saya sarankan tidak perlulah penduduk negeri Perlis menghadirinya," katanya lagi.

Dr Asri juga turut menghantar surat bantahan yang sama kepada kerajaan negeri melarang umat Islam terlibat dalam Pesta Songkran atau Pesta Air yang menjadi salah satu perayaan masyarakat Thai yang disambut pada 13 April setiap tahun.

Pesta Songkran yang diamalkan sejak berkurun lamanya dikatakan bermula dengan majlis memandikan patung Buddha bagi mendapatkan berkat di samping memandikan golongan warga tua dengan air bunga pada sebelah pagi.

Pesta Songkran sering dianggap sebagai 'Pesta Air' kerana penggunaan air dan wangi-wangian sebagai lambang kemaafan. Pesta Air menjadi kegemaran di kalangan anak-anak muda kerana seronok menyimbah air kepada rakan-rakan.

Mufti yang agak vokal ini berkata, walaupun bantahan ini dibuat ini tidak bermakna Islam melarang sama sekali program berunsur hiburan.

"Contohnya seperti konsert yang mengajak masyarakat berhibur secara matang dan tidak menjerumuskan diri kepada gejala yang tidak sihat. Kita tidak 'ban' hiburan yang matang. Bukan semua jenis hiburan kita 'ban' atau kita cuma mengalu-alukan hiburan berbentuk nasyid saja," katanya.

"Anda boleh jemput kumpulan Kopratasa, penyanyi Shuhaimi Mior Hassan atau Ramli Sarip yang boleh mengajak generasi muda berhibur secara matang," katanya yang turut membantah kehadiran Faizal Tahir dalam konsert Jom Heboh akan datang.

Kata Dr Asri penyanyi berkenaan telah dibuktikan mempunyai rekod dan identiti yang kurang baik yang tidak wajar dicontohi oleh masyarakat umum khususnya para remaja.

Ditanya sama ada surat tersebut memberi kesan dan akan diberi perhatian oleh kerajaan Perlis, beliau berharap teguran beliau akan dapat perhatian kerajaan baru ini. Ianya perlu untuk menghormati suara rakyat dan kelompok agama yang mahu memastikan umat Islam terhindar dari gejala negatif yang jelas bertentangan dengan agama.

"Kerajaan baru ini belum teruji lagi dengan isu-isu seperti ini. Seharusnya mereka diberi peluang menangani masalah begini," katanya.

Read More...

Parlimen kecoh: Karpal 'berlaga' dengan Ibrahim Ali

Harakahdaily

Azamin Amin

Wed | Apr 30, 08 | 3:15:09 pm MYT

KUALA LUMPUR,30 April (Hrkh) - Suasana Parlimen hari ini 'panas' dengan 'pertikaman lidah' dan ketidakpuasan hati antara dua ahli Parlimen daripada bukan parti kerajaan iaitu Karpal Singh (DAP-Gelugor) dan Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) yang masing-masing mempertahankan hujah mereka.

Karpal pada sesi awal perbahasan meminta Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia bagi menjelaskan kedudukan Ibrahim Ali di dewan sama ada merupakan ahli parlimen bebas memandangkan sebelum ini beliau bertanding atas tiket PAS.

Kenyataan itu menimbulkan ketidakpuasan hati kepada Ibrahim yang kemudiannya mencelah dan menyelar sikap Karpal yang tidak menghormati Parlimen.

Katanya, ketika sesi perbahasan dijalankan, beliau mempersoalkan kewajaran Karpal yang tidak meminta kebenaran dewan yang mulia untuk duduk sewaktu berhujah.

Umum mengetahui bahawa Karpal hanya berkerusi roda serta tidak boleh berdiri dan hanya duduk ketika menyampaikan hujah atau mengemuka soalan.

'Serangan' Ibrahim kemudiannya mengundang kemarahan sebilangan besar ahli parlimen khususnya daripada DAP yang meminta Ibrahim menarik balik kata-katanya itu kerana membawa maksud menghina.

"Beliau kena tarik balik kerana telah menghina Orang Kurang Upaya (OKU),"kata Ahli Parlimen Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah).

Azmin Ali (KeADILan-Gombak) juga turut kesal dan menggesa supaya ahli parlimen tidak mengeluarkan kenyataan atau hujah yang tidak menunjukkan sikap dan kenyataan sebenar seorang ahli parlimen (unparliamentary remarks).

"Ala... Yang Berhormat pun biasa hina orang, sesekali kena hina apa salahnya," kata Ibrahim Ali membalas.

Dalam pada itu Menteri Penerangan, Dato' Ahmad Shabery Cheek dilaporkan kecewa dengan sikap ahli parlimen yang ditunjukkan pada hari ini memandangkan sesi 30 minit pertama telah ditayangkan secara langsung oleh RTM ke seluruh negara.

"Saya sangat kecewa...," kata Shabery yang menganggap seolah-olah siaran langsung ini 'disalahgunakan' oleh para Ahli Parlimen.

Katanya selepas insiden ini kerajaan akan mengkaji semula sama ada untuk meneruskan siaran langsung Parlimen tersebut. - mks.

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |