+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, July 2, 2008

Anwar tak jadi umum kerusi ditandingi, nama 4 MP BN sertai Pakatan

Mstar Online

02-07-2008 12:00:16 AM
Oleh ARIFFUDDIN ISHAK dan ZANARIAH ABD. MUTALIB

PENYOKONG-penyokong Anwar Ibrahim mengikuti ucapan beliau di Stadium Malawati, Shah Alam malam tadi. - fotoThe Star K.K. Sham

SHAH ALAM: Pengumuman mengenai kerusi Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal tandingi dan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang didakwa akan melompat parti, yang dinanti-nantikan banyak pihak tidak menjadi kenyataan malam ini!

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disebut ramai akan mengumumkan kerusi yang bakal ditandinginya dalam pilihan raya kecil tidak berbuat demikian.

Malah, Anwar yang kini berhadapan dengan isu terbaru dakwaan meliwat seorang pembantu khasnya juga menangguhkan hasrat beliau untuk mengumumkan nama empat Ahli Parlimen BN yang mahu menyertai Pakatan Rakyat.

Sebaliknya kata Anwar, mengambil kira suasana politik semasa beliau akan mengumumkan nama mereka dalam beberapa minggu lagi atas alasan mahu menyelesaikan kes terbaru dihadapinya sekarang.

Beliau memberi jaminan keempat-empat wakil rakyat berkenaan akan tetap bersama Pakatan Rakyat.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 10,000 penyokongnya dalam satu rapat umum yang diadakan di Stadium Malawati di sini.

Anwar tiba di stadium itu pada pukul 10 malam dan mula berucap kira-kira sejam bermula 10.15 malam.

Semalam Anwar mengatakan bahawa dua daripada mereka merupakan wakil rakyat Umno.

Dalam ucapannya itu, Anwar berkata, beliau akan turut menjelajah ke seluruh negara untuk menjelaskan kepada rakyat berhubung kes yang menimpanya.

Anwar juga menyentuh isu kesan kenaikan harga minyak, kerajaan tidak telus dan isu yang dihadapinya pada 1998.

Turut hadir dalam rapat umum itu adalah Timbalan Presiden PKR, Dr. Syed Husin Ali; Setiausaha Agung yang juga Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, Naib Presiden PKR, R. Sivarasa dan Azmin Ali, Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Ahli Parlimen Sungai Petani Johari Abdul.

Bagaimanapun pemimpin-pemimpin parti komponen Pakatan Rakyat tidak hadir.

Petang tadi, Azmin ketika ditemui wartawan di bangunan Parlimen berkata, Anwar akan mengumumkan rancangannya untuk bertanding pilihan raya kecil dan nama wakil rakyat BN terbabit.

Terdahulu, Anwar mengadakan sidang akhbar di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya bagi menafikan tuduhan liwat terhadap dirinya oleh bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 23.

Beliau percaya, ia merupakan satu konspirasi untuk menjatuhkan karier politiknya.

Anwar membuat laporan polis terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail kerana dikatakan memalsukan keterangan membabitkan serangan ke atas beliau oleh bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Rahim Noor ketika berada dalam tahanan polis, 10 tahun lalu.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |