+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, July 2, 2008

Kes Anwar: PM Beri Jaminan Keselamatan Kepada Semua Pihak

Bernama

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Kerajaan memberi jaminan bahawa keselamatan semua pihak yang terlibat dalam dakwaan kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, baik pihak pengadu mahupun pihak yang dituduh akan dilindungi.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata undang-undang negara ini pasti akan digunakan untuk menjamin keselamatan mereka yang terlibat.

"Kerajaan akan pastikan sesiapa juga yang terlihat dalam kes ini sama ada pihak yang buat aduan, atau pihak yang dituduh mestilah dipastikan selamat dan (mengikut) undang-undang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga isteri Anwar, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di pejabatnya di sini, hari ini.

Abdullah berkata, Dr Wan Azizah dalam pertemuan itu antara lain memaklumkan kepada beliau mengenai kes yang melibatkan suaminya dan kebimbangan beliau terhadap keselamatan Anwar dan meminta kerajaan memastikan suaminya selamat dan tidak dizalimi dalam siasatan kes berkenaan.

Merujuk kepada keraguan Dr Wan Azizah terhadap peranan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dalam siasatan kes terbaru Anwar, Abdullah berkata perkara itu tidak berbangkit.

"Saya ingin menegaskan di sini bahawa mereka berdua (Abdul Gani dan Musa) adalah orang profesional, mereka masing-masing ada tugas dan tanggungjawab, mesti tahu menjalankannya dengan betul mengikut undang-undang dan tidak akan menyebabkan apa-apa berlaku yang boleh menjadi pelanggaran kepada undang-undang," tegasnya.

Abdullah mengakui Wan Azizah ada menyuarakan keraguannya itu ekoran penglibatan Abdul Gani dan Musa semasa siasatan kes dakwaan liwat terhadap Anwar pada 1998.

Pada waktu itu Abdul Gani merupakan Pendakwa Raya Kanan manakala Musa adalah Pegawai Penyiasat dalam kes itu.

Ditanya adakah mereka akan terus terlibat dalam siasatan terhadap Penasihat PKR itu, Abdullah berkata: "Pada waktu ini saya tidak mendapat kepastian siapa yang akan menjalankan siasatan itu, tetapi yang saya tahu pegawai tertinggi polis daripada Divisyen Jenayah yang mengepalai siasatan yang dijalankan".

Dalam pada itu Abdullah menegaskan bahawa beliau tidak akan campurtangan bagi memastikan siasatan berjalan dengan lancar kerana yakin dengan pihak berkuasa.

"Ini kerana (orang) yang menyiasat akan menjalankan tugas mereka masing-masing kerana mereka adalah profesional, tahu tangungjawab dan kerja masing-masing, tahu apa yang dibenarkan, apa yang menjadi kesalahan, apa yang tidak boleh dilakukan, mereka faham, mereka adalah orang yang berpengalaman dalam hal ini," katanya.

Ditanya sama ada siasatan akan dibuat terhadap Abdul Gani dan Musa berikutan laporan polis oleh Anwar terhadap mereka hari ini, Abdullah berkata adalah menjadi tanggungjawab polis untuk membuat siasatan jika laporan itu berasas.

Anwar hari ini membuat laporan polis berhubung kes pemalsuan keterangan membabitkan serangan ke atas beliau oleh bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Rahim Noor ketika berada dalam tahanan polis, kira-kira 10 tahun lepas.

Laporan polis itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, kira-kira pukul 3 petang.

Ditanya mengenai dakwaan pemimpin PKR bahawa mereka mendapat maklumat daripada risikan negara jiran yang memberi amaran kononnya ada ancaman bunuh terhadap Anwar, Abdullah berkata jika benar, mereka sepatutnya membuat laporan polis.

"Kalau mereka ada apa-apa yang ada hubung kait dengan keselamatan atau berupa ancaman terhadap Anwar, maka mereka perlu buat laporan yang betul kepada polis.

"Jangan hanya buat andaian, (dan) buat cakap, ini yang tidak baik. Dalam kes seperti ini, diharap tidak ada pihak yang membuat andaian atau spekulasi, hendak melemparkan tuduhan-tuduhan kepada mana-mana pihak.

"Biarlah siasatan kes ini dijalankan dengan baik, profesional dan adil," katanya.

Ditanya adakah dakwaan ugutan bunuh itu satu usaha PKR untuk mempolitikkan keadaan, Abdullah berkata: "Serba kemungkinan boleh berlaku kalau tidak ada bukti atau aduan mengenai fakta, maka itu tentulah boleh dianggap cubaan untuk mempolitikkan isu ini."

Ditanya adakah Dr Wan Azizah pada pertemuan itu memohon supaya dakwaan terhadap Anwar digugurkan, Abdullah berkata presiden PKR itu hanya meminta jaminan terhadap keselamatan suaminya dan siasatan terhadap Anwar dijalankan secara adil.

Di akhir sidang media itu, Perdana Menteri sekali lagi menolak dakwaan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) terlibat dalam konspirasi politik bagi menganiaya Anwar.

"Kerajaan tidak akan membuat apa-apa yang berupa penganiayaan dan tidak akan membuat apa-apa tuduhan tidak berasas kepada mana-mana pihak, jadi untuk mengatakan bahawa kerajaan akan mengulangi apa yang dianggap sebagai konspirasi (1998), ini tidak betul," katanya.

-- BERNAMA

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |