+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Friday, October 31, 2008

Harga petrol, diesel turun 15 sen lagi

Malaysiakini

Oct 31, 08 5:24pm

Kerajaan hari ini mengumumkan penurunan harga petrol dan diesel sebanyak 15 sen seliter berkuatkuasa esok.

Sehubungan itu, harga runcit petrol dan diesel adalah seperti berikut:

• Petrol RON97 dikurangkan daripada RM2.30 seliter kepada RM2.15 seliter;

• Petrol RON92 dikurangkan daripada RM2.20 seliter kepada RM2.05 seliter; dan

• Diesel dikurangkan daripada RM2.20 seliter kepada RM2.05 seliter.

Dalam satu kenyataan hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, penurunan itu dibuat ekoran harga minyak dunia telah menurun secara ketara akhir-akhir ini.

Katanya, kerajaan juga telah membuat keputusan untuk sekali lagi mempercepatkan pengurangan harga runcit bagi membolehkan orang ramai menikmatinya.

Ini merupakan penurunan harga kali keempat kerajaan mengumumkan bagi minyak petrol dan diesel

Pada 15 Oktober lalu kerajaan menurunkan harga minyak petrol RON97 sebanyak 15 sen kepada RM2.30 sen seliter manakala harga petrol RON92 diturunkan 10 sen kepada RM2.20 seliter. Harga minyak diesel pula diturunkan 20 sen kepada RM2.20.

Pada 4 Jun lalu, kerajaan mengumumkan kenaikan harga petrol sebanyak 78 sen atau kira-kira 41 peratus, kepada RM2.70 seliter daripada RM1.92 seliter, berikutan lonjakan harga minyak mentah dunia ketika itu.

bm version petrol and diesel fuel price hike reduction 311008

Read More...

Api perkauman bawa negara ke ambang bahaya

Harakahdaily

Mohd Rashidi Hassan | rashidi@harakah.net.my

Fri | Oct 31, 08 | 5:00:36 pm MYT

Apabila MCA, Gerakan dan lain-lain komponen Barisan Nasional menggasak Umno dalam isu perkauman sempit Melayu-Cina, Pakatan Rakyat tidak seharusnya terheret sama.

MCA dan Gerakan yang menuduh Umno parti pembuli, pemimpin Umno 'racist' - perkauman, pemimpin Umno harus 'diISAkan' kerana mencetuskan perkara-perkara sensitif khususnya dilihat boleh membawa kepada ketegangan kaum.

Pakatan Rakyat juga tidak seharusnya terperangkap dengan permainan kotor BN apabila Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohamed Nazri Aziz mendakwa pembangkang mahu menghapuskan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan berhubung dengan kepentingan dan hak orang Melayu.

Kenyataan Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim sering diputarbelitkan oleh media massa. Beliau didakwa mahu menggadaikan prinsip Islam dan kepentingan Melayu jika berkuasa nanti.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang juga dibalas dengan pelbagai kecaman, kononnya DAP mendesak hak istimewa Melayu dihapuskan.

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, suatu ketika dahulu (ketika masih Timbalan Presiden) sering menjadi sasaran media pro BN yang mendakwa beliau mahu menghapuskan hak istimewa Melayu.

Walhal, Ustaz Hadi mengemukakan prinsip keadilan Islam yang menerima kesamarataan, kepimpinan serta ketuanan atas nama Islam.

Malah Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat sebelum pembentukan kerjasama Pakatan Rakyat lagi pernah berkata, PAS akan menerima siapa sahaja menjadi Ketua atau Perdana Menteri asalkan dia beragama Islam.

Oleh itu, rakyat, khususnya orang-orang Melayu harus fikirkan, apakah selama 62 tahun usia Umno, dan menjadi pemerintah negara sejak sebelum merdeka, bangsa Melayu dan agama Islam benar-benar terpelihara?

Orang-orang Melayu harus sedar daripada penipuan Umno/BN bahawa DAP adalah parti anti Islam dan anti Melayu yang akan merosakkan negara.

Jika hendak dituduh DAP anti Islam dan anti Melayu berdasarkan kenyataan-kenyataan pemimpin DAP yang terdahulu, bagaimana pula dengan memo sembilan Menteri bukan Islam kepada PM yang mencabar Islam tahun 2006 yang lalu?

Bagaimana pula dengan pelbagai tuntutan dan kecaman yang dilemparkan oleh MCA dan Gerakan terhadap Melayu Umno dalam perhimpunan mereka baru-baru ini?

Justeru, jangan sesekali kita rakyat Malaysia, terperangkap dengan 'racist game' yang membahayakan ini.

Pemimpin Umno memainkan sentimen kemelayuan, untuk mendapat sokongan dan pencalonan dalam pemilihan mereka yang berlangsung sekarang ini. Pemimpin Umno sudah tentu mahu kelihatan sebagai ultra Melayu.

Begitu juga dengan MCA dan Gerakan. Dalam keadaan masa depan politik mereka yang terumbang ambing, mereka tidak ada jalan lain kecuali meniup sentimen kecinaan dan menjadi ultra Cina untuk mengekalkan sokongan terhadap mereka.

Apa faedah yang rakyat akan dapat daripada kempen-kempen ultra bangsa yang digembar gemburkan pemimpin BN ini? Tidak ada! Mereka 'useless' semata-mata.

Ingatlah, Anwar sudah memberi jaminan berkali-kali bahawa keseluruhan kepentingan Islam dan hak istimewa orang-orang Melayu dalam Perlembagaan akan dipelihara sebaik-baiknya.

DAP juga dalam perbincangannya dengan KeADILan dan PAS, memperakukan janji bahawa semua yang dimaksudkan tersebut tidak akan dipersoalkan sama sekali.

Cumanya, ada konsensus dalam Pakatan Rakyat bahawa, di samping memelihara kepentingan Islam dan Melayu, keperluan dan kepentingan agama dan kaum lain juga harus dipelihara dengan lebih adil dan saksama.

Jerat perkauman PKNS

Dalam isu khusus di Selangor misalnya. Isu membabitkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor atau PKNS ditubuhkan pada 1 Ogos 1964. Dalam perlembagaannya tidak diwajibkan secara jelas, PKNS mesti dipimpin oleh orang-orang Melayu.

Hanya sejak ditubuhkan sehingga sekarang, BN dan Umno seolah-olahnya menjadikan PKNS seperti hak mutlak Melayu.

Di sebalik serangan terhadap Kerajaan Negeri Selangor yang didakwa mengetepikan orang Melayu, malangnya kepada orang Melayu apabila didapati selepas 44 tahun BN berkuasa, kaum Cina menguasai 75 peratus perniagaan PKNS berbanding Melayu, hanya 25 peratus.

Isu tercetus apabila Pengurus Besarnya, Harun Salim bersara 31 Oktober lepas, dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melantik Low Siew Moi, memangku jawatan Pengurus Besar, sementara menemui calon yang sesuai.

PKNS ada tiga Timbalan Pengurus Besar, selain dari Siew Moi (Perhubungan Korporat) ada dua orang lagi iaitu Md Nasir Md Arshad (Pentadbiran dan Pembangunan) dan Abdul Ghani Hashim (Teknikal).

Pelantikan tersebut dibantah keras oleh Pengerusi Umno Selangor, Dato' Seri Dr Mohamad Khir Toyo. Khalid didakwa mengenepikan orang Melayu, sebaliknya dilantik orang Cina.

Manakala Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato' Dr Dr Hasan Mohd Ali turut tidak bersetuju dan mencadangkan perlantikan Siew Moi dibuat secara harian atau mingguan.

Dalam hal ini, nada Khir dan Hasan adalah sama, tidak setuju dengan Siew Moi, walaupun pendekatan masing-masing sedikit berbeza.

Manakala Ahli Parlimen DAP Kawasan PJ Utara, Tony Pua dalam reaksi berbeza mendakwa PAS 'salah faham', berikutan kenyataan Dr Hasan.

Katanya, "Keturunan pengurus besar tersebut tidak patut dipersoalkan sama sekali. Adalah mengecewakan apabila bantahan (terhadap pelantikan Low), dibuat berasaskan perspektif kaum dan tidak dari segi kualitinya," kata Pua.

Dalam hal ini, beliau berharap, PAS tidak akan hanya melihat pada perkara yang kecil semata-mata, tetapi juga turut mengambil kira soal yang lebih besar daripada itu.

Melihat kepada kriteria perlantikan, Khalid pada asasnya adalah orang ekonomi dan akaun, jarang sekali beliau membuat keputusan berdasarkan politik. Perlantikan Siew Moi tidak ada kena mengena dengan soal bangsa atau kaum.

Difahamkan selepas pertemuan dibuat Khalid dengan ketiga-tiga mereka, Khalid mendapati Siew Moi lebih layak memangku jawatan kerana mahir dalam urusan akaun dan pengetahuan perancangan perniagaan korporat PKNS.

Dua orang lain, walaupun berketurunan Melayu, bertugas dalam bidang Human Resource dan Teknikal.

Oleh itu dalam hal ini, tidak wajar menuduh Khalid membelakangkan orang Melayu kerana melantik orang Cina, kerana Khalid sudah menegaskan, pelantikan ini dibuat hanya sementara menanti calon yang sesuai.

Khalid selaku CEO GLC Selangor, memang berhak melantik, sesiapa sahaja yang layak menjadi Pengurus Besar PKNS, bukan sahaja di antara ketiga-tiga mereka sahaja.

Jika kerajaan negeri sudah mengetahui lebih awal bahawa Harun Salim hendak bersara, mereka boleh berusaha mengelakkan perbezaan pendapat sesama pemimpin.

Jangan sampai 'sudah hendak terberak baru hendak mencari lubang'. Sedarlah bahawa kenyataan yang sering bercanggahan antara KeADILan, PAS dan DAP, ia tidak baik untuk sebuah pakatan.

Walaupun MB ada kuasa eksekutif, zaman sudah berbeza. Zaman ini rakyat tidak menerima 'absolute power' atau 'executive one man decision'. Itu zaman Khir Toyo. Rakyat berbilang kaum di negara, mahukan Pakatan Rakyat mentadbir negeri secara konsensus.

Tanpa menafikan kuasa eksekutif MB dari sudut perlembagaan negeri, namun ada baiknya pemimpin ketiga-tiga parti KeADILan, PAS dan DAP, sama ada sendiri Khalid, Dr Hasan mahupun Teresa Kok, harus sentiasa duduk semeja mencari kesepakatan.

Pakatan Rakyat harus beringat, musuh-musuh yang hendak melaga-lagakan mereka begitu ramai. Harus lebih berhati-hari terhadap media massa yang dikuasai BN, kerana mereka sering menjadi dalang yang menyemarakkan api perkauman. - mks._

Read More...

Anwar ucap selamat kepada Abdul Razak Baginda



PENASIHAT Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh (tengah) berbincang dengan peguam, S. Nair selepas menghadiri prosiding kes tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan di Komplek Mahkamah Jalan Duta di sini, hari ini. Turut kelihatan isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (kiri).


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dibicarakan atas tuduhan liwat di Mahkamah Sesyen di sini sempat mengucapkan selamat kepada penganalisis politik, Abdul Razak Baginda yang dibebaskan Mahkamah Tinggi Shah Alam daripada tuduhan bersubahat membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
"Saya ucapkan kepada beliau selamat kembali kepangkuan keluarga. Beliau memang layak untuk mendapat keputusan (pembebasan) itu," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Kompleks Mahkamah Jalan Duta, di sini hari ini.

Menurut Anwar, keputusan itu memang telah dijangka.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Zakaria Pagan berkata proses perbicaraan kes liwat Anwar berjalan lancar tanpa sebarang insiden walaupun terdapat sekumpulan penyokong ketua pembangkang itu yang berkumpul di hadapan mahkamah tersebut seawal jam 8 pagi tadi.

"Hampir 20 penyokong Anwar berkumpul di mahkamah dan seramai 50 anggota polis ditugaskan untuk mengawal keadaan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Terdahulu, Anwar tiba di Mahkamah Sesyen di sini pada jam 8.50 pagi bagi menghadiri prosiding kes tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23.

Beliau hadir ke mahkamah diiringi isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan peguam beliau S.N. Nair.

Mahkamah hari ini mendengar hujahan lanjut yang dibentangkan peguam bela Anwar bagi membantah permohonan pendakwa untuk memindahkan perbicaraan kes liwat terhadapnya ke Mahkamah Tinggi.

Anwar, 61, didakwa meliwat Mohd. Saiful pada 26 Jun lalu, antara jam 3.01 dan 4.30 petang di Unit 11-5-1, Desa Damansara Kondominium, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara. - Bernama

Read More...

Bebas tuduhan kes Altantuya, Razak kata "Alhamdulillah"

Mstar Online

ABDUL Razak Abdullah Baginda selepas dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam sebentar tadi. - foto AP

[DIKEMAS KINI, 2.30 petang] KUALA LUMPUR: Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia, Abdul Razak Abdullah Baginda, (gambar) yang merupakan tertuduh ketiga dalam kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu dibebaskan pagi ini.

Bagaimanapun Cif Inspektor Azilah Hadri, 32, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 36, kedua-duanya anggota Unit Tindakan Khas (UTK) diarah supaya membela diri atas tuduhan yang dihadapi.

Selepas dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam sekitar pukul 10 pagi tadi, Abdul Razak hanya berkata: "Saya mahu pulang ke rumah."

Beliau tidak mengulas lanjut.

Bagaimanapun ketika diajukan soalan mengenai perasaannya apabila ditemui di luar rumahnya di Bukit Damansara pukul 2 petang tadi, beliau hanya berkata: "Alhamdulillah."

WAJAH Abdul Razak Abdulla Baginda selepas dibebaskan pagi tadi. foto The Star oleh KAMAL SELLEHUDDIN

Abdul Razak yang kelihatan gembira menambah, beliau berpuasa sebagai tanda kesyukuran.

Ketika ditanya sejak bila berpuasa, Abdul Razak berkata: "Sejak dipenjarakan 22 bulan yang lalu."

Dengan komen itu, beliau yang keluar sekali lagi dari rumahnya kira-kira pukul 2.10 petang menasihatkan para pemberita jangan menunggu kerana akan pulang lewat.

"(Sidang media) bukan hari ni... jangan tunggu, saya lama...," katanya apabila ditanya bila sidang media akan diadakan.

Terdahulu pada sebelah pagi, Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin memutuskan pihak pendakwa gagal membuktikan kes prima facie terhadap penganalisis politik tanah air berusia 48 tahun itu.

Setelah membuat penilaian maksimum yang cukup tinggi terhadap kesemua bukti secara total, Mohd. Zaki berkata, "Saya berpuas hati wujudnya kes prima facie bagi tertuduh pertama (Azilah Hadri) dan yang kedua (Sirul) untuk menjawab tuduhan."

"Dengan itu saya memanggil tertuduh pertama dan kedua membela diri. Bagi tertuduh ketiga (Abdul Razak), saya mendapati tiada kes prima facie baginya untuk menjawab tuduhan.

"Oleh itu, beliau dibebaskan dan dilepaskan," kata Mohd. Zaki dalam keputusannya setebal 10 halaman yang dibacakan beliau.

Mohd Zaki juga mengumumkan 10 November ini sebagai tarikh perbicaraan bela diri bagi kedua-dua tertuduh berkenaan.

Azilah dan Sirul Azhar mempunyai tiga pilihan untuk membela diri iaitu memberi keterangan bersumpah, memberi keterangan dalam kandang tertuduh atau berdiam diri.

Kedua-duanya memilih untuk memberi keterangan bersumpah.


PERTUDUHAN:

Azilah dan Sirul Azhar dituduh membunuh Altantuya, 28, di lokasi antara Lot 12843 dan 16735, Mukim Bukit Raja, di sini antara pukul 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006.

Abdul Razak pula dituduh bersubahat dengan mereka di Wilayah Persekutuan antara 9.54 pagi 18 Oktober dan 9.45 malam 19 Oktober tahun 2006.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum mati.

Altantuya, ibu kepada dua anak lelaki masingmasing berusia 4 tahun dan 10 tahun, mendapat latihan sebagai guru dan penterjemah dalam bahasa Inggeris dan Bahasa Rusia di National University of Mongolia.

Mayatnya dilupus dengan cara diletupkan dengan bahan letupan.

Cebisan daging dan tulangnya ditemui bertaburan di kawasan Puncak Alam.

Kes sensasi itu mendapat liputan meluas kerana Altantuya dilaporkan datang ke Malaysia untuk mencari Abdul Razak yang didakwa mempunyai hubungan sulit dengannya.

Azilah diwakili peguam Datuk Hazman Ahmad dan J. Kuldeep Kumar, Sirul diwakili peguam Kamarul Hisham Kamaruddin, Hasnal Redzua Merican and Ahmad Zaidi Zainal manakala Abdul Razak diwakili peguam Wong Kian Kheong.

Pendakwaan pula diwakili Timbalan Pendakwa Raya Tun Abdul Majid Tun Hamzah, Noorin Badaruddin, Manoj Kurup dan Hanim Rashid.

Peguam Karpal Singh, Sangeet Kaur Deo dan Ram Karpal Singh adalah peguam pemerhati bagi keluarga Altantuya.


Mahkamah Tinggi Shah Alam mula bersidang pukul 9.35 pagi tadi.

Kes berprofil tinggi itu berlarutan selama 151 hari sejak November 2006, melibatkan pihak pendakwa mengemukakan 84 orang saksi.

Ia merupakan dua kes berprofil tinggi yang menjadi perhatian hari ini.

Satu lagi ialah kes liwat Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Sesyen Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Terdahulu, ketiga-tiga tertuduh dibawa ke Mahkamah pada 9 pagi.

Sungguhpun pintu mahkamah hanya dibuka pada pukul 8.30 pagi, namun wakil media tempatan dan luar negara serta orang ramai berhimpun di pekarangan mahkamah seawal 5.30 pagi bagi memastikan mereka dapat masuk ke dalam mahkamah kerana ruang galeri awam hanya boleh menampung kirakira 50 orang.

Bapa Altantuya, Dr. Shaariibuu Setev, yang memakai suit biru gelap tiba pada pukul 8.50 pagi bersama Konsul Kehormat Mongolia di Malaysia Datuk Syed Abdul Rahman Alhabshi dan Duta Mongolia ke Thailand yang juga ditauliahkan ke Malaysia, Siikhuu Saisainbileg.

Karpal Singh tiba pada pukul 8.57 pagi.

Ibu bapa Abdul Razak tiba pada pukul 8.51 pagi diikuti anak perempuan Abdul Razak, Rowena tiga minit kemudian manakala isteri Abdul Razak Mazlinda Makhzan tiba pada pukul 9 pagi.

Anggota keluarga Azilah dan Sirul Azhar masing-masing tiba 7.20 pagi.

Azilah dan Sirul Azhar masih memakai penutup muka ala Ninja bagi menyembunyikan wajah mereka daripada orang ramai.

BERITA TERDAHULU

Pekarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta di ibu negara dan Shah Alam, Selangor menjadi tumpuan orang ramai sejak awal pagi ini untuk mengikuti perkembangan kes berprofil tinggi - melibatkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Tinjauan mStar Onlinedi kawasan pekarangan Mahkamah Tinggi Shah Alam mendapati orang ramai termasuk saudara-mara tertuduh kes pembunuhan Altantuya sudah mula berkumpul sejak 7.30 pagi.

Begitu juga di kawasan Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini.

Bapa Altantuya turut hadir, kira-kira pukul 8.50 pagi.

Berbanding di Shah Alam, bilangan orang yang mula berhimpun di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur sejak 7.30 pagi tadi tidak ramai berbanding ketika Ogos lalu.

Anwar tiba di kawasan mahkamah bersama isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dengan diiringi peguam Sankara Nair.

Turut hadir untuk mengikuti kes Anwar ialah bekas penulisan ucapan beliau. Dr. Munawar Anees.

Semalam Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Munawar agar mahkamah menyemak semula keputusan Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak rayuan berhubung sabitan kesalahan dan hukuman yang dikenakan terhadapnya serta menyerahkan rayuan itu ke Mahkamah Tinggi bagi membolehkannya dihujah berdasarkan merit.

Pihak keselamatan mula membenarkan wartawan masuk ke kamar mahkamah sejak pukul 8.30 pagi di kedua-dua lokasi - di Jalana Duta, Kuala Lumpur dan Shah Alam.

Di Shah Alam, Mazlinda Makhzan - isteri Abdul Razak Abdullah Baginda, salah seorang tertuduh, tiba kira-kira 8.55 pagi dan disusuli Razak lima minit kemudian.

Apabila tiba di kawasan mahkamah, Mazlinda terus memeluk Razak dan menangis.

Keluarga tunang seorang lagi tertuduh, Cif Inspektor Azilah Hadri tiba pukul 7.15 pagi.

Bagi kes pembunuhan Altantuya, Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin dijadual menyampaikan keputusannya dalam kes pembunuhan tersebut iaitu sama ada ketiga-tiga tertuduh perlu dipanggil untuk membela diri ataupun sebaliknya.

Keputusan Mohd Zaki bukan sahaja menjadi debaran kepada tiga tertuduh, Azilah dan Koperal Sirul Azhar Umar (keduaduanya anggota Unit Tindakan Khas, UTK) dan penganalisis politik tanah air Abdul Razak malahan kepada para pemerhati politik dan orang ramai.

Kes berprofil tinggi ini mencetuskan pelbagai spekulasi sehinggakan nama seorang pemimpin negara pernah dikaitkan dan menyaksikan babakbabak yang mengejutkan pada sepanjang prosiding.

Kes pembunuhan Altantuya di mana mayatnya dilupus menggunakan bahan letupan di Puncak Alam berlarutan hampir dua tahun dan pihak pendakwaan akhirnya menutup kes pada 23 Jun lalu.

Sekiranya keputusan hakim memihak kepada pendakwaan yang berpendapat wujud prima facie terhadap ketiga-tiga tertuduh, mereka akan dipanggil membela diri manakala jika sebaliknya kesemua mereka akan dilepas dan dibebaskan.

Sementara itu, perbicaraan kes Anwar yang menghadapi tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan akan masuk hari ketujuh di Mahkamah Sesyen Jalan Duta selepas ditangguhkan pada 8 Oktober lalu.

Perbicaraan kes liwat Anwar masih berasa di peringkat awal dengan mahkamah mendengar hujah bantahan pihak pembelaan berhubung permohonan pendakwaan untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi.

Hujah bantahan oleh pihak pembelaan melibatkan persoalan mengenai tandatangan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail pada sijil perakuan yang dilampirkan kepada mahkamah untuk memindahkan kes tersebut di bawah Seksyen 418A Kanun Tatacara Jenayah.

Persoalan itu timbul kerana Abdul Gani kini disiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR) setelah Anwar membuat laporan polis terhadapnya.

Read More...

Kes khalwat: Memey tidak sedar Norman ada di pejabat masa serbuan

Mstar Online

PETALING JAYA: "Saya tidak sedar Norman pulang ke pejabat pada waktu itu. Apa yang saya tahu, setelah serbuan dibuat, barulah saya sedar Norman berada di aras dua pejabat itu," luah pelakon muda, Memey Suhaiza atau nama sebenarnya Suhaiza Suhaimi berhubung kes ditangkap khalwat bersama aktor dan suami kepada pelakon Abby Abadi, iaitu Norman Hakim.

Pelakon dan model berusia 20 tahun itu yang enggan memberikan sebarang komen semalam, bagaimanapun hari ini menjelaskan perkara sebenar yang terjadi setelah dia dan Norman ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di pejabat Norman di Ukay Perdana, Ampang sekitar pukul 3 pagi semalam.

Pasangan itu dijangka dihadapkan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Januari depan.

Dalam nada sugul, Memey menceritakan insiden itu sama sekali tidak disangka akan terjadi kepada dirinya yang ketika ini baru saja merangkak untuk mengukir nama di dalam bidang lakonan.

"Setelah mesyuarat selesai kira-kira jam 12 malam, Norman keluar dan saya bersama beberapa lagi staf yang lain masih berada di pejabat. Kemudian seorang demi seorang pulang dan akhirnya tinggal saya saja di aras satu pejabat itu kerana saya perlu menyiapkan sedikit lagi urusan lain.

"Sehinggalah saya terdengar bunyi ketukan bertalu-talu di pintu, tetapi saya tidak berani untuk keluar lihat. Akhirnya saya hubungi abang Norman, Sophee dan lebih kurang setengah jam selepas itu dia sampai di pejabat.

Memey sanggup berdepan dengan Abby untuk menjelaskan perkara sebenar

"Barulah saya sedar yang pejabat itu telah diserbu oleh JAIS dan Norman berada di aras dua. Saya amat terkejut dengan apa yang berlaku dan saya akui, sehingga hari ini saya masih lagi bingung.

"Saya minta maaf kerana tidak dapat memberikan sebarang komen semalam, bukan kerana ingin menyembunyikan diri, tetapi saya perlu ruang untuk menenangkan fikiran.

"Alhamdulillah, setelah mendapat sokongan daripada ibu dan ahli keluarga semua, barusaya rasa saya mampu untuk berdepan dengan pihak media. Malah, ibulah orang pertama yang saya hubungi sebaik ditahan JAIS," kata gadis yang dibesarkan di sebuah felda di Kota Tinggi, Johor ini.

Jelas pelakon yang popular menerusi beberapa buah drama seperti Graduan, Farah Syakirah dan Mahsuri ini, dia menganggap apa yang berlaku ini sebagai satu pengajaran buatdirinya.

Namun, Memey tidak nafikan perasaan gusar sentiasa menyelubunginya apatah lagi bila memikirkan perasaan isteri Norman, Abby, yang pastinya terguris ekoran kejadian itu.

Lebih memburukkan keadaan, Memey juga sebelum ini dicop menjadi 'orang ketiga' di dalam rumahtangga pasangan itu yang kini dikatakan sedang bergolak, malah sebelum berlakunya insiden itu lagi.

Gosip tentang hubungannya dengan aktor drama Gerak Khas itu mula bertiup awal tahun ini apabila mereka dikatakan mula rapat setelah membintangi drama bersiri Pasrah.

Sehinggalah baru-baru ini apabila khabar angin mengatakan Norman sudah pun bernikah lagi secara rahsia di sempadan Malaysia-Thailand dan wanita itu dikatakan adalah Memey.

Namun, kedua-duanya menafikan hal tersebut.

"Saya tidak harap orang akan faham masalah saya, tetapi cuba letak diri anda di tempatsaya sekarang, apa yang akan anda buat? Berkali-kali saya menafikan yang saya mempunyai hubungan lebih dari seorang sahabat dengan Norman, tetapi dengan apa yang baru terjadi ini, saya tahu orang akan cakap macam-macam pada saya.

"Saya tidak mampu buat apa-apa. Saya sedar, orang akan salahkan saya sebagai perampas mahupun punca pergolakan rumahtangga mereka. Saya hanya berharap saya mampu lakukan yang terbaik untuk membersihkan nama saya.

"Sejak semalam, saya asyik memikirkan bagaimana penerimaan ramai terhadap diri saya selepas ini. Saya amat takut jika kes ini akan turut menjejaskan karier saya.

"Tetapi setakat ini saya bersyukur, stesen televisyen dan pihak produksi drama yang saya terlibat tidak berhasrat untuk 'gam' saya atau sebagainya setelah saya hubungi mereka semalam," kata anak saudara kepada pelakon dan penerbit drama, Darling Ngasri ini.

Ditanya sama ada dia akan berdepan sendiri dengan Abby untuk menjelaskan hal yang sebenar, Memey berkata:

"Saya tiada masalah untuk bersemuka dengannya. Kalau inilah satu-satunya cara boleh jernihkan semula keadaan, saya akan buat. Saya faham buat masa ini, emosi Abby pasti tidak menentu. Masalah sebelum ini pun belum selesai, ditambah pula dengan kes baru.

"Seboleh mungkin, saya akan cuba selesaikan masalah ini. Norman ada juga menghubungi saya semalam dan kami berbincang bagaimana untuk membersihkan nama masing-masing.

"Saya tidak marah jika Abby rasa terguris dengan saya kerana saya faham perasaan yang sedang dia alami," kata Memey.

Menurut Memey, sewaktu gosip hubungannya bersama Norman bertiup kencang sekitar awal tahun ini, dia sendiri pernah menghubungi Abby dan menjelaskan khabar angin tersebut tidak benar.

"Ketika itu, Abby menerima penjelasan saya. Tetapi, sekarang ini, saya tidak tahu macam mana," tutur Memey yang ketika ini sedang sibuk di penggambaran drama Bara Ku Genggam untuk siaran RTM.

Read More...

Hakim Chin letak jawatan



HAKIM Mahkamah Tinggi, Datuk Ian Chin Hong Chong (gambar), yang pernah mendedahkan bahawa hakim diugut pecat jika membuat keputusan tidak memihak kepada kerajaan, mengemukakan surat peletakan jawatan berkuat kuasa 1 Disember depan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator T Murugiah, berkata Chin menghantar surat peletakan jawatan itu kepada Yang di-Pertuan Agong pada 16 Julai lalu. Beliau kini bercuti sejak 21 Ogos lalu sehingga 30 November depan.

"Dalam hal ini tidak timbul lagi kenapa perlu kita siasat kes ini kerana dia (Chin) sudah meletak jawatan," katanya menjawab soalan Chua Tian Chan (PKR-Batu) yang ingin tahu langkah kerajaan menyiasat isu-isu dibawa Chin pada persidangan Dewan Rakyat semalam.

Pada 11 Jun lalu, Chin ketika mendengar kes pertikaian terhadap keputusan pilihan raya umum 8 Mac lalu di Sarawak, berkata kononnya bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada satu persidangan hakim pada 1997 pernah mengugut akan menggunakan tribunal khas untuk menyingkirkan hakim yang membuat keputusan tidak menyebelahi kerajaan.

Read More...

Lebih 250,000 anak luar nikah

Buletin Online

PDF Cetak E-mail
Ditulis oleh Editor
Wednesday, 29 October 2008

http://buletinonline.net/images/berita13/gejalaseksbebas.gif
Kuala Lumpur - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sudah mengeluarkan 257,411 sijil kelahiran yang didaftarkan tanpa dicatatkan nama bapa dari 2000 hingga Julai lalu

Bernama memetik Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata demikian ketika menjawab soalan R Sivarasa (PKR Subang).(gambar kanan)

http://buletinonline.net/images/berita13/siva_1_small.jpgBeliau berkata pendaftar tidak boleh mencatatkan nama bapa dalam sijil kelahiran bagi anak-anak tidak sah taraf iaitu anak-anak luar nikah, kecuali atas permintaan bersama ibu dan orang yang mengaku dirinya sebagai bapa, selaras dengan peruntukan Seksyen 13 Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 atau Akta 299.

“Bagaimanapun mengikut Seksyen 28 Akta 299, pendaftar berhak mendapatkan maklumat sebaik mungkin berkenaan ibu dan bapa yang sah bagi setiap kelahiran yang hendak didaftarkan.

“Ini bermakna pihak pendaftar boleh membuat siasatan bagi mendapat maklumat yang sahih bagi tujuan pendaftaran ke atas setiap kelahiran,” katanya

Read More...

BPR: Siasatan kes 'mata lebam' Anwar selesai

Malaysiakini

Oct 31, 08 3:05pm

Badan Pencegah Rasuah (BPR) sudah selesai menjalankan siasatan kes insiden "mata lebam" Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa dalam tahanan 10 tahun lalu.

Ketua Pengarah BPR, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan bagaimanapun tidak dapat menyatakan dengan tepat bila siasatan itu selesai dan menurutnya kertas siasatan sedang dalam proses penelitian.

"Dari segi siasatan dah selesai tapi sekarang sedang dikaji oleh panel bahagian pendakwaan kita," katanya kepada pemberita di Kuching hari ini.

Mengenai bila keputusan siasatan tersebut akan diketahui, Ahmad Said dilaporkan oleh Bernama sebagai berkata, ia terserah kepada panel bahagian pendakwaan untuk menentukannya.

Siasatan itu dijalankan laporan yang dibuat oleh Anwar terhadap Tan Sri Musa Hassan dan Tan Sri Abdul Ghani Patail.

Anwar mendakwa, Musa dan Abdul Gani menyembunyikan fakta dan memalsukan maklumat dalam kes membabitkan serangan fizikal terhadapnya oleh Tan Sri Rahim Noor, waktu itu ketua polis negara, pada 20 September 1998.

Abdul Gani pada ketika itu adalah timbalan pendakwaraya paling kanan, manakala Musa pula ketua pegawai penyiasat kes yang membabitkan Anwar.

Pada 15 Oktober lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menafikan dakwaan bahawa siasatan kes insiden 'mata lebam' Anwar sudah selesai dan hasil laporan itu mendapati terdapat elemen penyalahgunaan kuasa oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Mohamed Nazri menjelaskan siasatan kes itu dijalankan BPR dan bukan oleh Pejabat Peguam Negara seperti yang didakwa ahli Parlimen DAP bagi Ipoh Timur, Lim Kit Siang.

Mengenai kes kehilangan wang bukti berjumlah RM40,000 dalam peti keselamatan di pejabat BPR Sibu pada September lalu, Ahmad Said berkata kes itu diserahkan kepada polis untuk siasatan manakala BPR turut menjalankan siasatan dalaman.

"Seorang pegawai (BPR Sibu) yang disyaki terlibat telah pun dipindah ke Kuala Lumpur dan sedang disiasat ," katanya.

Read More...

Razak Baginda bebas, bagaimana keyakinan rakyat pada sistem kehakiman?

Suara Keadilan

KUALA LUMPUR, 31 OKTOBER (SK) - Walaupun Razak Baginda dibebaskan namun kes ini harus dilihat bagaimana penghakiman ini memberi kesan kepada rakyat Malaysia, kata Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff.

Ketika dihubungi Suara Keadilan Online, Yusmadi berkata, terdapat beberapa kecurigaan yang berlaku sepanjang kes ini berlaku yang menjadi persoalan kepada rakyat negara ini.

“SAYA Berpendapat bahawa keputusan tersebut patut dihormati, tapi pada masa yang sama sejauh mana keputusan ini boleh memberi keyakinan rakyat kepada sistem jenayah dan sistem keadilan negara yang setakat ini dikritik hebat,” katanya.

Pagi ini Mahkamah Tinggi Shah Alam, Hakim Mohd Zaki Md Yasin membebaskan tertuduh ketiga kes pembunuhan berprofil tinggi, Abdul Razak Baginda degan alasan pihak pendakwa gagal membuktikan kes prima facie terhadap penganalisis politik berkenaan.

Mengulas mengenai keputusan bekenaan, bapa kepada mangsa bunuh, Dr Setev Shariibuu berkata beliau amat kecewa dengan keputusan mahkamah berkenaan yang bebaskan Razak.

Tambah Yusmadi yang juga peguam hak asasi, sesuatu penghakiman yang diputusan makamah mesti mempunyai nilai kepentingan awam, yang bermaksud pihak awak mampu melihat satu proses keadilan yang adil kepada kedua-dua pihak samaada tertuduh dan yang mendakwa.

“Saya rasa ini merupakan satu isu yang besar dan perlu dilihat oleh pemerintah dan pihak-pihak berwajib supaya keputusan mahkamah yang diputuskan dinegara tidak dijadikan bahan ketawa apatah lagi tidak dapat pengiktirafan oleh rakyat dan masyarakt global,” katanya lagi.

Selain Razak yang dibebaskan, tertuduh pertama dan kedua, Azilah Hadri dan Sirul Azhar dikehendaki membela diri, hakim mengumumkan 10 November ini sebagai tarikh perbicaraan bela diri bagi mereka.

Mereka bertiga didakwa kerana membunuh seorang warga Mongolia, Altantuya Shariibuu. Mayat Altantuya telah diletupkan dan cebisan daging dan tulangnya ditemui bertaburan di kawasan Puncak Alam dan dipercayai diletupkan pada 19 Oktober 2006

Read More...

Grand design sekat Najib?

Siasahdaily

KUALA LUMPUR, 31 Okt: Satu demi satu kontroversi yang menimpa bakal perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Apakah ia berlaku tanpa dirancang atau sememangnya ada perancangan besar (grand design) di belakang semua perkara ini.
Inilah yang hangat dibincangkan di kalangan penyokong timbalan presiden Umno itu.

"Kalau hendak dikatakan ia perkara biasa dalam tempoh peralihan kuasa kerana dia pun tidak boleh mengawal sepenuhnya lagi, apakah selepas menjadi PM segala kontroversi ini akan hilang?" soal seorang penganalisa politik yang mengkaji perkara ini.

Beliau mengkaji trend memburuk-burukkan nama baik Najib yang sedang merebak sekarang ini.

"Mula-mula (Datuk Seri) Anwar membawa isu Altantuya. Selepas itu, Bank International Indonesia (BII). Pembangkang juga bantah isu pinjaman RM5 bilion wang KWSP. Kini Pak Lah batalkan projek pembelian Eurocopter, Mahathir pula kritik cadangan memansuhkan pendekatan DEB. Semua kontroversi ini menghala kepada Najib. Saya rasa ini semua ada perancangan," kata beliau kepada Siasah.

Beliau berpendapat, semacam ada satu usaha untuk memburuk-burukkan nama Najib supaya dia tidak sempat menjadi PM Mac tahun depan.

Namun, siapakah yang berkepentingan?

Pertama, adalah pembangkang. Sememangnya pembangkang risau dengan pendekatan yang bakal diambil Najib dalam menghadapi kebangkitan mereka sebagaimana pendekatan Abdullah ketika mula-mula mengambil alih tapuk kepimpinan negara sebelum ini.

"Jika Najib sempat naik, ramai yang berpendapat habislah peluang Anwar untuk menjadi Perdana Menteri. Oleh itu, pembangkang perlu sekat Najib. Jadi, mereka kena pastikan Najib tidak jadi PM," katanya.

Pihak kedua yang ada kepentingan adalah 'budak-budak Abdullah'.
Mereka ini terdiri dari para pemimpin Umno yang bimbang apabila Najib dan Muhyidin naik, mereka akan tersingkir dari kedudukan mereka sekarang.

"Mereka telah gagal memujuk Pak Lah agar lawan Najib. Pak Lah tak mau Umno pecah. Sekarang mereka berusaha untuk memastikan Najib tidak sempat jadi PM pula," kata sumber itu.

Bagi beliau, jika adanya grand design ini, ia adalah kerjasama antara budak-budak Pak Lah dengan pembangkang untuk menyekat Najib.

Read More...

‘Hadiah Istimewa’ Menjelang Monsoon Cup - Penduduk Tok Abu Terima Notis Roboh Rumah

Buletin Online

Ditulis oleh WanKay
Friday, 31 October 2008

http://buletinonline.net/images/berita13/notisrumahtokabu.gif
Hairan??!! Rumah yang bertanda pangkah menerima notis roboh, rumah yang bertanda anak panah (rumah kerabat JKKK) tidak diberi notis !

Kuala Nerus – Tempias pembangunan ‘rakus’ Pulau Duyong dan Monsoon Cup bakal memberikan ‘hadiah istimewa’ kepada penduduk asal yang tinggal di pesisir sungai Terengganu dalam DUN Seberang Takir.

Dalam keadaan ‘kroni’ yang terbabit bergembira menyambut keputusan kerajaan meneruskan penganjuran sukan tersebut dengan peruntukan RM22.6 juta, tiga keluarga di Kampung Tok Abu Seberang Takir mengalami ‘detik cemas dan perasaan gundah gulana’ kerana rumah mereka akan dirobohkan pada bila-bila masa mulai 22 Oktober lalu.


Pihak Pejabat Tanah Kuala Terengganu telah menghantar notis pada 22 September lalu mengarahkan mereka berpindah dalam tempoh 30 hari dan ‘merombak’ rumah mereka sendiri, sebelum pihak pejabat ‘membawa jentolak’ untuk menyodok dan merobohkannya.

http://buletinonline.net/images/berita13/mangsatokabu.jpgSeorang penduduk yang terlibat, Encik Mokhtar Ali, 56, dari Kampung Seberang Tok Abu mendakwa beliau adalah penduduk asal dan telah tinggal di atas tanah tersebut sejak lebih 20 tahun lalu.

Katanya, tanah tersebut merupakan peninggalan keluarga serta mengakui tidak pernah membuat permohonan secara rasmi kerana pernah mendapat jaminan dari wakil rakyat Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Saya akui kesilapan tidak membuat permohonan rasmi tetapi telah tinggal sejak lebih 20 tahun dan penduduk asal di kampong ini.

“Saya pernah dapat ‘jaminan’ seorang bekas wakil rakyat Umno-BN ketika itu supaya duduk (tinggal) di atas tanah itu tanpa rasa bimbang kerana telah turun-temurun,” jelasnya kepada Buletinonline, hari ini.

Beliau melahirkan rasa sedih dan dukacita kerana menerima notis dari kerajaan yang dipilihnya pada pilihanraya umum yang lalu.

“Saya rasa terkilan dan sedih dengan penerimaan notis itu dan harap kerajaan buat pertimbangan semula dengan menyediakan tapak baru untuk kami sekeluarga sebagai tempat tinggal baru,” katanya ketika ditemui Buletinonline semalam.

Menurutnya, pihak kerajaan negeri tidak akan membayar apa-apa pampasan terhadap notis tersebut kerana didakwa menceroboh tanah kerajaan.

http://buletinonline.net/images/berita13/makciktokabu.jpgSeorang warga emas dan ibu tunggal, Wan Mariam Endut, 62, turut melahirkan rasa sedih, terharu dan marah dengan perintah pejabat agar tanah yang diterokai oleh datuk neneknya, dikosongkan segera.

“Mak Cik cukup-cukup sedih dan terasa hati bila dapat notis kerajaan supaya kami kosongkan tanah itu yang diduduki sejak lebih 35 tahun lalu.


“tanah ini telah di terokai, diusahakan dan diduduki oleh ibubapa dan datuk nenek Mak Cik sejak Mak Cik dilahirkan lagi,

“Mak Cik pernah buat permohonan tanah itu sejak 10 tahun lalu tetapi kerajaan tidak memberikan jawapan dan tiba-tiba menerima notis roboh,” ujarnya dengan nada sedih dan terharu.

Katanya, kerajaan negeri perlu melihat kewajaran ‘menghalau’ penduduk asal yang tinggal di atas tanah tersebut sejak terun-temurun lagi.

Beliau juga meminta kerajaan berlaku adil, kerana menurutnya hanya tiga buah rumah sahaja disitu yang menerima notis roboh sedangkan dua rumah yang didiami oleh ‘kaum kerabat Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung tidak diberi notis.

“Kerajaan kena adil, jangan pilih kasih, mengapa rumah Mak Cik yang kena sedangkan dua rumah lagi ‘adik beradik’ JKKK tidak diberi notis,”katanya sambil jarinya menunjuk kearah dua buah rumah tersebut.

http://buletinonline.net/images/berita13/yadagang.jpgPengerusi Majlis Tindakan Dun (MTD) Seberang Takir, Haji Zakaria Dagang meminta kerajaan negeri membuat pertimbangan hak milik kepada tiga orang penduduk asal yang ‘tercicir’.

“Saya minta kerajaan negeri buat perkiraan dan pertimbangan semula untuk beri hak milik kepada tidak orang penghuni yang masing-masing telah terima notis roboh rumah mereka.

“mereka (mangsa) adalah penduduk asal di Kampung Tok Abu ini dan wajar diberi hak milik ke atas tanah yang telah mereka terokai dan usahakan,

“menurut kaedah Islam, mereka berhak diberi hak milik kerana usaha mereka ‘menghidupkan’ tanah tersebut ” ujarnya.

Katanya, tanah ganti dan pampasan perlu diberi jika kerajaan negeri terpaksa mengambil balik tanah-tanah tersebut.

http://buletinonline.net/images/berita13/farizmusa.jpgKetua Angkatan Muda Parti KeADILan Rakyat (AMK) Terengganu, Fariz Musa isu tersebut perlu ditangani segera dengan menggantikan tapak tanah baru kepada penduduk terbabit.

“Masalahnya, ke mana mereka hendak pergi jika rumah mereka dirobohkan dan kerajaan perlu tangani segera dengan menggantikan tapak tanah baru kepada penduduk yang terlibat dengan pengambilan balik tanah di Kampung Tok Abu,” tegasnya.

Oleh itu, katanya pihak Pejabat Tanah Daerah perlu menyediakan tapak tanah baru kepada beberapa buah keluarga tersebut yang tidak berjauhan dengan tempat kerja mereka.


Menurut notis (imej bawah) yang dikeluarkan oleh Pejabat Tanah Kuala Terengganu, penduduk terbabit didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 425 (1) Kanun Tanah Negara yang boleh diambil tindakan denda tidak melebihi RM50,000.00 atau tidak lebih lima tahun penjara atau kedua-dua sekali.

Notis berkenaan turut memaklumkan bahawa pihak Pejabat Tanah Daerah tidak akan mengeluarkan apa-apa amaran lagi dan tindakan roboh boleh dilakukan pada bila-bila masa dari sekarang

http://buletinonline.net/images/berita13/notisrumahtokabu1.gif.

Read More...

Kes bunuh Altantuya: Peguam bela mahu panggil Raja Petra saksi

Mstar Online

KUALA LUMPUR: Peguam Kamarul Hisham Kamaruddin yang mewakili Koperal Sirul Azhar Umar berkata, pihaknya akan mendapatkan keterangan Raja Petra Kamaruddin, yang kini ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), sebagai saksi kepada anak guamnya.

"Saya ingin mendapatkan keterangan Raja Petra sebagai saksi kerana berdasarkan kenyataannya yang terkandung dalam Akuan Bersumpah beliau sebelum ini mengenai kes ini," katanya ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.

Menurutnya, secepat mungkin beliau akan menulis surat kepada Mentei Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar bagi mendapatkan kebenaran untuk mendapatkan keterangan Raja Petra.

"Terlebih dahulu mestilah saya akan berhubung dengan peguam beliau (Raja Petra) bagi mendapatkan keizinan.

"Kemudiaan kita akan dapatkan kebenaran daripada menteri," katanya.

Tambah beliau, jika beliau gagal mendapatkan kebenaran tersebut, pihaknya akan memohon mahkamah mengeluarkan sapina untuk membolehkan menemui Raja Petra.

Selain Raja Petra, Kamarul juga menjelaskan pihaknya akan mendapatkan penyiasat persendirian, P. Balasubramaniam sebagai saksi kes ini.

Penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini daripada tuduhan bersubahat membunuh wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Bagimanapun, dua anggota polis daripada Unit Tindakan Khas, Cif Inspektor Azilah Hadri, 32, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 36, diperintah membela diri terhadap tuduhan itu.

Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin yang membuat keputusan itu berkata beliau mendapati bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Abdul Razak, 48.

Mahkamah menetapkan 10 November ini untuk Azilah dan Sirul Azhar membela diri.

Azilah dan Sirul Azhar mempunyai tiga pilihan untuk membela diri iaitu memberi keterangan bersumpah, memberi keterangan dalam kandang tertuduh atau berdiam diri. Kedua-duanya memilih untuk memberi keterangan bersumpah.

Read More...

Bapa Altantuya kecewa, keputusan cemar imej kehakiman

Harakahdaily

M Khaleel Kas
Fri | Oct 31, 08 | 12:34:08 pm MYT

KUALA LUMPUR, 31 Okt (Hrkh) -Tindakan dan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebaskan penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda daripada tuduhan membunuh Altantuya Shaariibuu telah mengecewakan bapa mangsa berkenaan.

Dalam satu maklum balas kepada wartawan sebentar tadi,Dr Shaariibuu Setev melahirkan kekecewaan dengan keputusan yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Dato' Mohd. Zaki Md. Yasin.

Walaupun dua tertuduh lain iaitu Cif Inspektor, Azilah Hadri, 32 dan Korporal Sirul Azha Umar, 37,yang merupakan anggota Unit Tindakan Khas (UTK) diperintah untuk membela diri dalam kes pembunuhan tersebut,namun keputusan tersebut masih tidak memuaskan hatinya.

Katanya, keputusan tersebut bakal mencemarkan imej sistem kehakiman negara ini di peringkat antarabangsa kerana kes itu menjadi tumpuan dunia.

Tambahnya,beliau akan mendapatkan nasihat daripada pihak berkuasa kehakiman dan Kementerian Luar Mongolia untuk membuat rayuan keputusan kes hari ini.

Dalam keputusan pagi tadi, memutuskan terdapat kes prima facie terhadap tertuduh pertama, Azilah dan tertuduh kedua, Sirul.

Kedua-dua mereka didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun itu yang mana jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum gantung sampai mati.

Azilah yang mula berkhidmat dalam UTK sejak 8 Januari 2003, mempunyai kepakaran dalam body-guarding atau teknik mengawal orang kenamaan penting (VVIP) sama ada secara berjalan kaki mahupun berkenderaan.

Manakala, Sirul yang menyertai UTK sejak 23 Januari 1996 pula bertugas dalam Unit Komunikasi.

Sementara itu, pihak pendakwa dijangka akan mengemukakan rayuan terhadap pembebasan Razak Baginda.

Kes yang mendapat perhatian seluruh negara ini bermula apabila mayat model Mongolia tersebut ditemui di Lot 12843 dan Lot 16735 di Mukim Bukit Raja, Selangor.

Altantuya dipercayai telah ditembak sebelum badannya diletupkan dengan menggunakan bahan letupan dua tahun lalu.

Azilah dan Sirul didakwa secara bersama dalam pembunuhan Altantuya dan Razak Baginda pula telah didakwa bersubahat dalam pembunuhan tersebut.

Kes berprofil tinggi yang mendapat perhatian seluruh negara ini berlarutan selama 151 hari sejak November 2006, yang menyaksikan pihak pendakwa mengemukakan 84 orang saksi. - mks._ _

Read More...

Mahkamah bebaskan Razak Baginda

Malaysiakini

Oct 31, 08 10:12am

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini membebaskan penganalisa politik Abdul Razak Baginda daripada tuduhan bersubahat membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

razak baginda acquitted 311008 10Bagaimanapun, dua anggota polis daripada Unit Tindakan Khas, Cif Inspektor Azilah Hadri, 32, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 36, yang dituduh membunuh Altantuya, diperintah membela diri.

Azilah dan Sirul Azhar dituduh membunuh Altantuya, 28, di lokasi antara Lot 12843 dan 16735, Mukim Bukit Raja, di Shah Alam antara jam 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober tahun lalu.

Abdul Razak, pengarah eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia, pula dituduh bersubahat dengan mereka di Wilayah Persekutuan antara jam 9.54 pagi 18 Oktober dan 9.45 malam 19 Oktober tahun 2006.

Mahkamah menetapkan 10 November ini untuk Azilah dan Sirul Azhar membela diri. Kedua-duanya memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah.

Mayat Altantuya telah diletupkan dan cebisan daging dan tulangnya ditemui bertaburan di kawasan Puncak Alam.

Dalam keputusannya, Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin berkata pihak pendakwa gagal membuktikan kes prima facie terhadap Abdul Razak, 48.

Pihak pendakwa dijangka memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah membebaskan Abdul Razak itu.

razak baginda acquitted 311008 06Razak diwakili oleh peguam Wong Kian Kheong. Azilah diwakili peguam Datuk Hazman Ahmad dan J Kuldeep Kumar manakala Sirul diwakili peguam Kamarul Hisham Kamaruddin, Hasnal Redzua Merican dan Ahmad Zaidi Zainal.

Pendakwaan pula diwakili Timbalan Pendakwaraya Tun Abdul Majid Tun Hamzah, Noorin Badaruddin, Manoj Kurup dan Hanim Rashid.

Peguam Karpal Singh, Sangeet Kaur Deo dan Ram Karpal Singh pula bertindak peguam pemerhati bagi keluarga Altantuya.

Pihak mendakwa selesai berhujah pada 23 Jun lalu selepas mahkamah mendengar keterangan daripada 84 saksi selam 151 hari.

Abdul Razak yang jelas kelihatan gembira dengan keputusan tersebut, meninggalkan mahkamah dengan ditemani isteri dan anak perempuannya pada kira-kira jam 10.10 pagi.

Beliau bagaimanapun enggan menjawab soalan wartawan yang menunggunya, dan hanya berkata: "Saya mahu pulang ke rumah".

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |