+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++
Showing posts with label PR Pulau Pinang. Show all posts
Showing posts with label PR Pulau Pinang. Show all posts

Monday, December 15, 2008

Kereta rasmi: Pulau Pinang juga tidak mahu guna Proton

Mstar Online

GEORGE TOWN: "Yang pasti kami tidak akan membeli Proton (Perdana)."

Demikian reaksi Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng apabila ditanya mengenai pendirian kerajaan negeri itu ekoran keputusan Perak menggantikan Proton Perdana V6 dengan Toyota Camry.

Bagaimanapun pihaknya akan menukar kereta sedia ada apabila tiba masa untuk berbuat demikian.

Ketua Menteri berkata, pihaknya ingin memastikan kerajaan negeri memperoleh nilai sebenar bagi setiap pembelian dibuat.

"Toyota Camry adalah pilihan tetapi apabila tiba masa untuk menukar kereta, kami akan mendapatkan kereta yang paling ekonomikal dan syarikat mana yang boleh memberi pilihan terbaik," kata beliau sambil menyifatkan kereta nasional sebagai teruk.

Selain perkhidmatan yang tidak memuaskan, kos penyelenggaraan sebuah Perdana V6 mencecah kos RM30,000 setahun, kata beliau.

Di IPOH, Exco Kanan Perak, Datuk Ngeh Koo Ham hari ini menyalahkan kerajaan pusat sebagai penyebab kerajaan negeri Perak terpaksa membayar harga tinggi bagi pembelian 16 kereta Toyota Camry 2.4 untuk anggota exco kerajaan negeri dan pegawai kanannya.

Beliau berkata, keengganan kerajaan pusat memberikan pelepasan cukai menyebabkan kerajaan negeri terpaksa membayar harga RM167,000 untuk sebuah Toyota Camry berbanding harga sebenar hanya RM97,000 bagi menggantikan Proton Perdana V6 Executive sebagai kenderaan rasmi.

Sambil menegaskan peruntukan untuk membeli kereta baru itu telah diluluskan oleh kerajaan negeri Barisan Nasional yang lepas, Ngeh berkata, keputusan pembelian itu adalah untuk mengelakkan wang rakyat dibazirkan bagi membayar kos penyelenggaraan tinggi kereta rasmi sedia ada.

"Adalah lebih menjimatkan menyenggara kereta-kereta Toyota Camry daripada kumpulan Proton Perdana V6. Kami mahu menjimatkan wang dengan membeli kereta baru oleh kerana kos senggara tidak begitu tinggi," katanya kepada pemberita selepas konvensyen DAP Perak di sini.

Pada Jumaat, Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata kerajaan negeri akan mengeluarkan RM2.7 juta bagi membeli kereta baru itu, dan menyatakan menyenggara Perdana melibatkan kos tinggi.

Pengumuman Menteri Besar itu mengundang reaksi pelbagai pihak termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri Pangkor, Datuk Dr Zambry Abd Kadir yang menyifatkan kerajaan negeri tidak menepati janji untuk berbelanja secara berhemah.

Di ALOR STAR, Mohammad Nizar ketika bercakap kepada pemberita selepas membuat kunjungan hormat di Pejabat Menteri Besar Kedah, berkata keputusan membeli kenderaan tersebut dibuat selepas kerajaan negeri membuat kajian lebih empat tahun mengenai penggunaan serta kos membaiki kereta proton Perdana terdahulu.

Katanya dalam tempoh itu, kos untuk membaiki kereta Perdana telah mencecah lebih RM1 juta.

"Jadi apa guna kita ikut balik sejarah lama, kita kena buat perubahan untuk menjimatkan wang rakyat," kata beliau.

Read More...

Friday, November 14, 2008

Pulau Pinang : Tidak boleh guna tiket kelas pertama, hotel mewah

Harakahdaily

Thu | Nov 13, 08 | 11:28:46 am MYT

BUKIT MERTAJAM, 13 Nov (Hrkh) - Kerajaan Negeri Pulau Pinang pimpinan Pakatan Rakyat mengambil langkah yang drastik dalam mesyuarat exco semalam, apabila bertindak menarik balik segala kemudahan yang dinikmati pegawai-pegawai tinggi sebagai salah satu langkah berjimat cermat.

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Mohd Fairus Khairuddin berkata, semua pegawai tertinggi kerajaan, termasuk Ketua Menteri, Lim Guan Eng, hanya akan menggunakan penerbangan kelas ekonomi atau tambang murah dalam melakukan segala urusan kerajaan.

Katanya, tiada penerbangan kelas pertama atau kelas perniagaan dibenarkan, tiada penginapan di hotel empat atau lima bintang dan segala majlis tidak akan dianjurkan di hotel mewah.

Dengan penarikan balik segala kemudahan ini katanya, Ketua Menteri, anggota exco dan pegawai tinggi negeri hanya akan menggunakan penerbangan ekonomi dan menginap di bajet hotel apabila menjalankan tugas di luar Pulau Pinang.

Sebelum arahan dikeluarkan secara rasmi dalam mesyuarat mingguan exco semalam, Lim Guan Eng telah pun mengamalkan kesederhanaan sewaktu beliau mula memimpin kerajaan negeri.

Langkah yang diambil beliau ini, diperluaskan kepada semua anggota exco dan pegawai tinggi kerajaan negeri, sebagai salah satu usaha mengelakkan pembaziran wang rakyat.

Guan Eng baru-baru ini dilaporkan sebagai berkata, beliau tidak pernah rasa terganggu atau tidak selesa sewaktu menjalankan tugas di luar kawasan walaupun menaiki penerbangan kelas ekonomi dan menginap di hotel sederhana.

Katanya, beliau merasakan lebih selesa mengamalkan sikap berjimat cermat kerana tidak mahu dipertanggungjawabkan sebagai pemimpin yang membazirkan wang rakyat.

Mengulas lanjut isu berkenaan Fairus menjelaskan, "Jika perlu, mereka boleh menaiki Air Asia. Arahan ini membabitkan semua pegawai tertinggi kerajaan."

Mengenai majlis anjuran kerajaan negeri, Timbalan Ketua Menteri menjelaskan, ia boleh diadakan di Dewan Serbuna atau Kompleks Sukan yang bersesuaian.

"Arahan telah dikeluarkan, tidak dibenarkan sebarang penganjuran program kerajaan negeri di hotel.

"Tidak perlu beri hadiah (kepada pemimpin kerajaan), yang penting majlis yang dianjurkan mencapai objektif. Oleh itu kita harap semua ketua jabatan kerajaan akur dengan arahan ini," tegasnya. - mr_

Read More...

Tuesday, July 22, 2008

Air percuma untuk miskin tegar - Pulau Pinang


GUAN ENG (kanan) bersalaman dengan Azhar selepas majlis perasmian Sidang DUN di George Town semalam.



GEORGE TOWN - Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan memberi air percuma sehingga 30,000 liter sebulan kepada keluarga miskin tegar di negeri berkenaan.

Selain itu, keluarga yang berpendapatan di antara RM460 hingga RM1,000 sebulan, PBAPP turut menyediakan kemudahan pinjaman tanpa faedah sebanyak RM1,500 dalam membantu pemasangan paip.

Perkara itu diumumkan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas ketika menyampaikan ucapan perasmian Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-12 di sini semalam.

Menurutnya, ia adalah usaha yang diambil kerajaan negeri sejajar dengan matlamat Miskin Tegar Sifar 2008 dengan memberi penumpuan terhadap pembasmian kemiskinan bandar dan luar bandar serta penempatan semula setinggan.

Read More...

Friday, May 9, 2008

P.Pinang hulur beras kepada golongan kurang mampu

Mstar Online

09-05-2008 05:57:29 PM

PULAU PINANG: Kerajaan Pulau Pinang akan melancarkan skim pemberian bantuan beras kepada golongan yang kurang berkemampuan bagi menampung kenaikan harga bahan makanan tersebut.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata mesyuarat exco kerajaan negeri hari ini memutuskan sumbangan beras itu akan diberikan mulai Sabtu depan kepada 7,635 orang penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Setiap seorang daripada mereka akan menerima sekampit beras seberat 10 kilogram sebagai tanda prihatin kerajaan negeri kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco di pejabatnya.

Beliau berkata skim pemberian beras itu yang bernilai RM130,000, hanya akan diadakan sekali sahaja dengan pengedarannya kepada kumpulan berkenaan akan diuruskan oleh JKM secara berperingkat.

"Kita amat mengambil berat terhadap nasib golongan berkenaan yang mungkin tidak mempunyai kemampuan untuk membeli beras kerana harganya yang semakin meningkat.

Bukan setakat beras, malahan harga bahan makanan lain seperti susu tepung dan juga tepung turut meningkat," katanya.

Lim berkata kerajaan negeri juga akan melihat dari semasa ke semasa terhadap keperluan untuk memberikan bantuan bahan makanan yang lain pada masa akan datang jika dirasakan sesuai.

Katanya pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan dan Masyarakat Penyayang Negeri, Phee Boon Poh dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan skim itu.

Selain itu, beliau juga meminta kepada rakyat yang benarbenar memerlukan bantuan JKM supaya mendaftar dengan jabatan itu untuk dipertimbangkan bantuan.

Ketua Menteri juga mahu Bernas menggunakan keuntungan yang diperolehinya saban tahun untuk memberi subsidi kepada harga beras agar bahan makanan utama rakyat negara ini tidak naik terlalu tinggi.

"Bernas tidak harus diberi lesen untuk memonopoli pengimportan beras dan jika urusan itu dibuka kepada lebih banyak syarikat, harga beras akan lebih kompetitif dan tidak akan meningkat begitu tinggi," katanya.

"Pada pendapat saya, Bernas telah gagal melaksanakan tanggungjawabnya," katanya.

Sehubungan itu, beliau mahu kerajaan persekutuan memikirkan cara yang berkesan untuk menangani isu inflasi, kenaikan harga dan kekurangan bekalan makanan bagi memastikan rakyat boleh mendapat bekalan makanan dengan mudah, mencukupi serta dengan harga yang berpatutan. BERNAMA

Read More...

Monday, May 5, 2008

Kepimpinan bukan satu kelebihan tapi amanah - TKM Pulau Pinang

Harakahdaily

Mohd Sabri Said

Fri | Apr 25, 08 | 2:51:15 pm MYT

Masih ramai yang belum mengenali Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin. Aktivis gerakan reformasi dan KeADILan ini menang di Dun N12 Penanti (dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh) dengan majoriti 2219 pada pilihan raya umum 8 Mac lalu mengalahkan calon BN, Dato' Abdul Jalil Majid. Dalam wawancara sulungnya dengan pemberita Harakah, Mohd Sabri Said, Timbalan Ketua Menteri itu membicarakan beberapa isu berkaitan pentadbiran baru negeri.

Harakah: Apa perasaan saudara selepas dipilih ke jawatan Timbalan Ketua Menteri?

Fairus: Sebenarnya saya bukan orang baru dalam perjuangan khususnya Parti Keadilan Rakyat Malaysia (KeADILan), sebaliknya terlibat sejak permulaan reformasi sehinggalah kini bila diarahkan sebagai calon Dun Penanti dalam Parlimen Permatang Pauh.

Ketika dilantik ke jawatan Timbalan Ketua Menteri, saya terkejut sebab tanggung jawab yang diamanahkan terlalu tinggi. Namun apa pun bila ada sokongan rakan taulan, ia akhirnya menjadi satu amanah untuk saya memperkasakan atau memperkemaskan termasuk ekonomi dan martabat Islam di Pulau Mutiara ini.

Saya difahamkan YB tidak tinggal di rumah kediaman rasmi kenapa begitu?

Kemenangan yang Allah SWT berikan ini bukan hendak bermegah-megah sebaliknya amanah yang amat besar maka menjadi tanggungjawab bukan saya saja, tetapi juga Ketua Menteri, Lim Guang Eng yang tidak mendiami kediaman rasmi kerajaan kerana tidak mahu menggunakan wang rakyat untuk kepentingan peribadi.

Memandangkan masa ini kita tidak menguasai Kerajaan Persekutuan, kita cuba berjimat sedaya upaya bimbang sesuatu berlaku seperti di Kelantan dan Terengganu yang dikuasai PAS pada tahun 1999-2004.

Saya rasa apa yang sedia ada cukup memadai sebagaimana yang ditunjukan oleh Nabi s.a.w., para sahabat atau Khalifah Al-Rashidin. Mereka bermula dengan contoh diri sendiri kerana kepimpinan bukan satu kelebihan sebaliknya amanah yang dipertanggungjawabkan.

Satu lagi yang semua exco laksanakan termasuk Ketua Menteri ialah kami membatalkan pembelian lima buah kereta Perdana V6 yang ditempah oleh kerajaan terdahulu. Kita telah mendapat jawapan rasmi dari EON bagi pembatalan tersebut. Pembelian itu melibatkan RM623,000.

Kami hanya pakai kereta yang sedia ada dan saya sendiri menggunakan kereta Dato' Seri Anwar Ibrahim ketika menjawat jawatan Menteri Pendidikan pada tahun 1990 dulu. Maknanya kereta rasmi ini sudah 18 tahun.

Kita beranggapan tidak perlu bermewah dan duit ini boleh diperuntukan kepada kebajikan rakyat atau keperluan pembangunan Pulau Pinang.

Pada ucapan pertama YB di khalayak ramai sempena Sambutan Maulidur Rasul di Tapak Ekspo Seberang Jaya, YB menyebut slogan 'Generasi Al-Amin'. Boleh huraikan lebih lanjut?

Misi kita di Pulau Pinang bukan sahaja hendak meningkatkan prasarana pembangunan negeri malahan termasuk membentuk generasi yang kuat dan beramanah.

Bila rakyat kuat dan gagah mereka boleh bekerja dengan produktiviti yang tinggi serta dapat memperkasakan ekonomi supaya tidak bergantung nasib dengan kedudukan orang lain.

Lagipun, ia mengambil sempena pesanan Jibrail kepada Nabi Muhamad s.a.w. iaitu selalulah mengerjakan qiamulail kerana dengannya dapat memberikan kekuatan, dan kedua jangan sama sekali kita bergantung nasib dengan manusia.

Bila memenangi dan berjaya membentuk kerajaan baru apakah tindakan paling awal diambil oleh kerajaan untuk kepentingan rakyat?

Pertama yang kita lakukan ialah tambahan elaun khas kepada Guru-Guru Kelas Fardhu Ain (KAFA) seluruh Pulau Pinang sebanyak RM863 ribu bagi jumlah 1,450 guru dan 11 penyelia guru KAFA. Maknanya, saya meletakan nombor satu tentang soal pendidikan kerana guru KAFA sanggup meluangkan masa untuk mengajar anak-anak bangsa ke arah pembentukan akhlak.

Tindakan awal telah digerakkan, sekurang-kurangnya guru-guru yang mendidik merasa dihargai atau selesa. Pertambahan ini menjadikan setiap seorang memperolehi RM50.00 menjadikan RM730.00 sebulan.

Walaupun negeri ini dalam keadaan 'gawat ekonomi' tetapi itulah pengorbanan kerajaan negeri yang mula dilaksanakan dan Insya Allah jika ekonomi lebih baik, mungkin boleh laksanakan dengan lebih baik demi kebaikan semua pihak.

Apakah perancangan kerajaan negeri terhadap nasib masyarakat Melayu yang semakin terhakis?

Isu Melayu terpinggir terhasil daripada pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN). Kita bangun untuk meratakan keadilan rakyat dan tidak perlu banyak label digunakan bagi pendekatan begitu.

Apa yang penting ialah (program) pengisian terhadap golongan miskin dan berpendapatan rendah. Majoriti golongan ini ialah orang Melayu. Sekarang ini isu berkenaan bukan lagi besar kerana rakyat sudah celik dan beranggapan semuanya mainan politik sempit Umno dan BN.

Jika rakyat tidak bijak kenapa berlaku tsunami politik yang begitu hebat. Orang Cina dan India pun sudah berani datang mendengar Tok Guru berceramah bukan di belakang malahan di barisan hadapan.

Di Kulim contohnya, orang India dengan tidak berbaju sanggup membalut diri dengan bendera PAS dan KeADILan.

Ini satu kesedaran politik lantaran celiknya sanubari rakyat dan bila sanubari bersuara ia begitu keramat sehingga terhumbannya BN dalam pilihan raya umum lepas.

Perkampungan Melayu makin terhakis contohnya di Kampung Makam, Jelutong, Tanjung To' Kong dan banyak lagi. Bagaimana tindakan kerajaan untuk memastikan keadaan itu tidak terus berlaku?

Islam sebenarnya menghargai seni bina yang indah kerana Islam boleh menyerlah jiwa Rabbani sekiranya tamadun lama dikekalkan. Saya tidak boleh lagi memberi komen secara langsung sebaliknya akan meneliti bentuk perancangan yang diinginkan oleh kerajaan terdahulu terhadap pembangunan di beberapa buah kampung.

Kita akan memastikan hak lama terus dipelihara bukan bertindak melulu sehingga mengorbankan sesebuah perkampungan itu walhal ia dibina memakan masa ribuan tahun.

Bagaimana pula nasib peniaga-peniaga Melayu dalam hal ini?

Perkara ini bukan di bawah portfolio saya, tetapi saya boleh memberi sedikit komen tentang masalah utama mereka seperti penempatan, lokasi perniagaan dan sebagainya. Kita sedang giat turun ke padang dan menyiasat di mana alternatif yang patut diberikan.

Saya tidak mahu membuat sebarang komen lanjut lagi buat masa ini kerana kajian sedang dibuat kerana sebagai kerajaan baru kita juga harus meneliti cadangan yang dibuat oleh kerajaan dahulu kerana ada setengahnya boleh diambil kira seandainya pelaksanaannya baik untuk golongan terbabit.

Jika terdapat ia tidak memberikan manfaat kita akan hapuskan. Golongan peniaga kecil Melayu amnya usah khuatir kerana kerajaan sekarang sedaya upaya menambah baik peluang yang ada.

YB juga memegang portfolio koperasi, apakah perancangan untuk memantapkan koperasi yang ada di negeri ini?

Saya cadangkan semua koperasi agar lebih matang dan nampak profesional. Jangan lagi anggap penubuhan koperasi kerja main-main sebaliknya harus menanggung tanggung jawab mengerakkan perjalanannya ke arah yang lebih berdaya saing.

Selain itu juga saya bertekad mensifarkan rasuah yang menular dalam koperasi supaya sesebuah koperasi dapat bangun dan berjalan dengan telus dan adil.

Sekarang ini isu Yang DiPertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp) menjadi hangat. Bagaimana perkembangan terkini?

Dalam akhbar arus perdana, YB Shabudin menampakkan kurang akhlaknya beliau apabila secara tiba-tiba menyerang saya selaku Timbalan Ketua Menteri yang memegang urusan agama.

Sampai saat ini saya masih tidak membuat sebarang kenyataan akhbar berkenaan isu ini kerana hendak menjaga nama baiknya dan tidak mahu memalukan sesiapa kerana saya mahukan proses pertukaran itu berjalan dengan baik, penuh sopan dan berhemah.

Tetapi, tidak semena-mena YB Shabudin melancarkan serangan kepada saya dalam media. Sepatutnya beliau tahu tanggung jawabnya untuk menyerahkan jawatan yang disandang berikutan kekalahan parti yang diwakilinya.

Sudah banyak kedengaran hasrat rakyat agar beliau meletakkan jawatan. Apa salahnya, beliau sebagai YDP Maipp datang berkunjung hormat ke pejabat saya sebagaimana yang dilakukan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), pengarah jabatan dan Mufti Kerajaan Negeri, Dato' Haji Hasan Ahmad.

Adakah beliau lebih besar daripada mereka ini sehingga mengatakan dalam akhbar, saya perlu berjumpa dengannya untuk menyelesaikan masalah. Beliau jelas tidak memahami tatacara itu dan sebagai ahli politik perlakuannya dianggap keterlaluan.

Saya hendak memberi peringatan, sebagai seorang yang menjagai institusi agama apa salahnya hadir berkunjung hormat; bukan saya yang turun berjumpa dengannya. Tindakan seumpama itu tidak kena dengan pengtadbiran negeri.- tajdid

Read More...

Monday, April 21, 2008

2 pimpinan PAS negeri jadi ahli majlis MPPP dan MPSP

Utara Online

Berita

Oleh: Mohd Sabri Said

GEORGETOWN, 17 April (Hrkh) - Dua orang pimpinan PAS Negeri Pulau Pinang diberi kepercayaan menganggotai Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Mereka ialah Ketua Penerangan PAS Negeri, Haji Abdul Halim Saleh diamanahkan menganggotai MPPP manakala Setiausaha PAS Negeri, Fazhil Kemi MPSP.

Semalam Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Alam Sekitar, Chow Kon Yeow mengisytiharkan senarai nama kepada media Ahli Majlis MPPP dan MPSP di Bilik Gerakan Pejabat Ketua Menteri di Komplek Tun Abdul Razak (Komtar).

Senarai Ahli Majlis MPPP berjumlah 23, DAP seramai 10 orang, KeAdiLan 7, Badan Bukan Kerajaan (NGO) 4 dan PAS hanya 1.

Sementara itu Ahli Majlis MPSP pula menyaksikan DAP 9, KeAdiLan 8, NGO 3 dan PAS 1.

Selain dua dikhaskan kepada PAS antara senarai nama Ahli Majlis MPPP ialah Tham Weng Fatt, Zulkifli Mohd Noor, Harvindar Darshan Singh, Tay Leong Seng, Lim Siew Khim, Yeoh Soon Hin, Lim Cheng Hoe, Tan Hun Wooi, Ng Chor Huat, Thanaledhimi a/p S. Veeriah, Lim Kah Cheng, Lok Kok Wah, Rizal Faris Mohideen Abdul Kader, Choong Khuat Seng, Chua Kheng Ee, Felix Ooi Keat Hin, Mohd Ismail Ibramsa, Mohamad Bakhiar Wan Chik, Francis a/l Joseph Abdul Rahman Ismail, Fauziah Mahadi, Pegawai Daerah Timur Laut, Azizi Zakaria dan Pegawai Daerah Barat Daya, Hasan Saad.

Manakala mereka yang dipilih menganggotai Ahli Majlis MPSP pula ialah Ng Choong Hock, Oon Neow Aun, Teoh Seang Hooi, Sooh Lip Chee, Ngu Lek Wah, Ramiah a/l Govindrasamy, Ramachandran a/l M. Muthiah, Teong Ai Ling, Tan Cheai Peng, Liu Ting Ling, R. Guna Segaran a/l Raguan @ Raghaven, Dato' Muhamad Ismail, Che Mat Haji Hashim, Johari Kasim, Norhayati Jaafar, Amizzudin Ahmat, Goh Choon Aik, Haji Mohd Kamil Abu Bakar, Zaini Awang, Kusala Kumari @ Rynu a/p A. Shanmugam, Pegawai Daerah Seberang Perai Utara, Mokhtar Mohd Jait, Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah, Roslan Yahaya dan Pegawai Daerah Seberang Perai Selatan, Haji Jusni Haji Ismail. - mns

Read More...

Saturday, April 19, 2008

Isu tanah: Lim Guan Eng beri Rashid peluang buat penjelasan

Harakahdaily

Zainulfaqar Yaacob

Fri | Apr 18, 08 | 2:18:59 pm MYT

GEORGETOWN, 18 April (Hrkh) - Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memberi peluang kepada bekas Timbalan Ketua Menteri, Dato' Seri Abdul Rashid Abdullah bertemu dan menjelaskan kepadanya berhubung isu penyelewengan tanah.

"Sebenarnya kerajaan negeri tidak pernah mencabar mana-mana pihak, tetapi Abdul Rashid mencabar kita untuk mendedahkan penyelewengan tanah kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR). Kita hanya menyahut cabaran beliau," ulas Guan Eng dalam sidang media setelah selesai mesyuarat exco baru-baru ini.

Ketika ditanya tempoh masa diberikan kepada Dato' Abdul Rashid, sambil berselorah Guan Eng menyatakan bahawa masa yang diberikan tidaklah sampai tahun 2020. Beliau memaklumkan tarikh akhir untuk Dato' Rashid bertemu beliau adalah sehingga akhir bulan ini.

Lim Guan Eng percaya, Dato' Rashid akan bertemu beliau kelak dan menasihatkan media agar tidak melakukan provokasi berhubung kenyataan media hari ini.

Dato' Seri Abdul Rashid merupakan bekas Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Hal Ehwal Tanah, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri sebelum pilihan raya umum (PRU) 8 Mac lalu. - mns

Read More...

Tuesday, April 15, 2008

Kerajaan Pulau Pinang akan warta cukai tanah RM1 untuk institusi pendidikan

Mstar Online

14-04-2008 04:31:15 PM

PULAU PINANG: Semua institusi pendidikan yang tidak berasaskan keuntungan serta beroperasi di atas tanah bukan milik kerajaan di Pulau Pinang boleh menikmati kemudahan pembayaran cukai tanah bernilai RM1 tidak lama lagi.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata untuk membolehkan institusi pendidikan itu menikmati kemudahan berkenaan, beliau akan membentangkan perkara itu pada mesyuarat Exco Rabu ini untuk mendapatkan kelulusan supaya perkara itu dapat diwartakan.

Katanya apabila perkara itu diwartakan kelak, kedudukan institusi pendidikan yang menerima manfaatnya seperti Sekolah Cina, Tamil, Sekolah Agama Rakyat dan sekolah bantuan modal akan lebih terjamin dari segi undang-undang.

Ketika bercakap kepada pemberita selepas menerima kunjungan rombongan Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurusan Sekolah China Malaysia (Dong Zong), yang diketuai pengerusinya, Dr Yap Sin Tian di sini, beliau berkata kerajaan negeri akan memberikan layanan yang sama kepada sekolah daripada semua aliran bagi membolehkan anak-anak terus mendapat pendidikan.

Cadangan mengurangkan bayaran cukai tanah kepada RM1 itu merupakan antara perkara yang dikemukakan oleh Dong Zong pada pertemuan itu.

Pada ketika ini, cukai tanah yang terpaksa dibayar oleh pihak pengurusan sekolah berkenaan terutamanya yang beroperasi di atas tanah bukan milik kerajaan adalah berbeza-beza dan mengikut kadar pasaran semasa.

Menurut Jadual Ketiga Kanun Tanah Negara, pengecualian bayaran cukai tanah adalah terhad kepada institusi pendidikan yang mendapat bantuan penuh daripada kerajaan.

Lim berkata sudah tiba masanya isu pendidikan tidak harus dipolitikkan kerana tindakan itu hanya akan merugikan bukan sahaja negara malahan masa depan anak-anak.

"Sudah sampai masanya isu pendidikan ditimbang dari aspek keperluan kerana pendidikan adalah baik untuk pembangunan negara.

"Pendidikan akan menyumbang kepada pembangunan ekonomi, rohani dan jati diri rakyat dan ia adalah sesuatu yang baik bagi negara dan ini harus digalakkan.

"Dalam aspek ini, seperti mana yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan, pendidikan bahasa ibunda dan juga agama harus terus digalakkan," katanya.

Sehubungan itu, kerajaan negeri menyarankan agar semua sekolah berkenaan mengemukakan permohonan kepada pejabat tanah dan daerah masing-masing untuk dipertimbangkan cukai tanah sebanyak RM1.

Selain cadangan mengurangkan bayaran cukai tanah sekolah di negeri ini, Dong Zong juga mencadangkan supaya semua tanah rizab sekolah di setiap kawasan perumahan boleh digunakan untuk membina sekolah daripada mana-mana aliran yang diperlukan penduduk setempat termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Menengah Persendirian Cina yang bukan bersifat keuntungan.

Persekutuan itu juga mencadangkan agar kerajaan Pulau Pinang memberi peruntukan pembangunan kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina untuk membantu pembangunan sekolahsekolah itu dan berharap perkara itu dapat dilaksanakan secepat mungkin.

-BERNAMA

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |