Mstar Online
09-05-2008 05:57:29 PM
PULAU PINANG: Kerajaan Pulau Pinang akan melancarkan skim pemberian bantuan beras kepada golongan yang kurang berkemampuan bagi menampung kenaikan harga bahan makanan tersebut.
Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata mesyuarat exco kerajaan negeri hari ini memutuskan sumbangan beras itu akan diberikan mulai Sabtu depan kepada 7,635 orang penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
"Setiap seorang daripada mereka akan menerima sekampit beras seberat 10 kilogram sebagai tanda prihatin kerajaan negeri kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco di pejabatnya.
Beliau berkata skim pemberian beras itu yang bernilai RM130,000, hanya akan diadakan sekali sahaja dengan pengedarannya kepada kumpulan berkenaan akan diuruskan oleh JKM secara berperingkat.
"Kita amat mengambil berat terhadap nasib golongan berkenaan yang mungkin tidak mempunyai kemampuan untuk membeli beras kerana harganya yang semakin meningkat.
Bukan setakat beras, malahan harga bahan makanan lain seperti susu tepung dan juga tepung turut meningkat," katanya.
Lim berkata kerajaan negeri juga akan melihat dari semasa ke semasa terhadap keperluan untuk memberikan bantuan bahan makanan yang lain pada masa akan datang jika dirasakan sesuai.
Katanya pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan dan Masyarakat Penyayang Negeri, Phee Boon Poh dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan skim itu.
Selain itu, beliau juga meminta kepada rakyat yang benarbenar memerlukan bantuan JKM supaya mendaftar dengan jabatan itu untuk dipertimbangkan bantuan.
Ketua Menteri juga mahu Bernas menggunakan keuntungan yang diperolehinya saban tahun untuk memberi subsidi kepada harga beras agar bahan makanan utama rakyat negara ini tidak naik terlalu tinggi.
"Bernas tidak harus diberi lesen untuk memonopoli pengimportan beras dan jika urusan itu dibuka kepada lebih banyak syarikat, harga beras akan lebih kompetitif dan tidak akan meningkat begitu tinggi," katanya.
"Pada pendapat saya, Bernas telah gagal melaksanakan tanggungjawabnya," katanya.
Sehubungan itu, beliau mahu kerajaan persekutuan memikirkan cara yang berkesan untuk menangani isu inflasi, kenaikan harga dan kekurangan bekalan makanan bagi memastikan rakyat boleh mendapat bekalan makanan dengan mudah, mencukupi serta dengan harga yang berpatutan. BERNAMA
0 comments:
Post a Comment