+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Friday, May 9, 2008

Pengerusi SPR tipu rakyat batal guna dakwat

Harakahdaily

Mat Zain Mat Isa

Thu | May 08, 08 | 8:05:26 pm MYT


Pihak polis mengesahkan tidak menemui sebarang bukti adanya mana-mana pihak yang telah membawa masuk dakwat penanda kuku untuk mensabotaj ketelusan perjalanan Pilihan Raya Umum ke-12 lalu.

Demikian pendedahan dibuat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar menerusi jawapan bertulis kepada soalan Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) pada sidang Dewan Rakyat, Selasa (6 Mei) lalu.

Dalam soalannya, Fong ingin tahu hasil siasatan pihak polis ekoran pembatalan penggunaan tanda dakwat kuku semasa pilihan raya baru-baru ini. Jawapan Hamid Albar itu sekaligus mendedahkan bahawa alasan digunakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membatalkan penggunaan dakwat itu adalah suatu pembohongan yang semata-mata berdasarkan andaian tidak berasas.

Pada 4 Mac lalu, iaitu empat hari sebelum pembuangan undi pada pilihan raya, SPR mengejutkan negara apabila mengumumkan pembatalan cadangan penggunaan dakwat kekal pada kuku semasa proses pembuangan undi pilihan raya itu.

Sewaktu mengumumkan perkara itu, Pengerusi SPR, Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman berkata, laporan keselamatan diterima pihaknya mendedahkan terdapat pihak tertentu di Malaysia telah membeli dakwat itu dari luar negara.

Dakwa Rashid lagi, pihak itu dikatakan merancang untuk mensabotaj perjalanan pilihan raya dengan mencalitkan dakwat itu pada kuku pengundi, terutama di kawasan luar bandar. Tujuan pihak tertentu itu, yang entahkan wujud atau tidak, menurut teori Rashid ialah bagi menimbulkan kekeliruan dan syak wasangka mengenai status pengundi berkenaan.

Logiknya, apabila kuku telah ditanda, status pengundi itu akan dipertikaikan kerana dia dianggap sudah keluar mengundi. Ekoran andaian kemungkinan buruk itu, SPR dikatakan mendapatkan nasihat dari segi perundangan dan ketenteraman awam. Jalan mudah bagi SPR mengelakkan kemungkinan itu ialah mengambil keputusan membatalkan cadangan penggunaan dakwat kekal itu. Malah Rashid turut dilaporkan membayangkan penggunaan dakwat kekal itu, jika diteruskan, dikhuatiri akan mencetuskan kekecohan di tempat pengundian, 8 Mac lalu.

Bagai diduga, pihak paling gembira dan menyambut baik pengumuman SPR itu ialah kalangan pemimpin Barisan Nasional. Akhbar harian dalam beberapa hari selepas itu memuatkan komen para pemimpin utama BN yang rata-rata menganggap keputusan diambil SPR itu amat tepat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendahului yang lain memuji langkah SPR itu. Beliau mengandaikan ada pihak boleh mempengaruhi sesetengah pengundi untuk menggunakan dakwat itu pada kuku jari sehingga menyebabkan mereka tidak layak mengundi.

"Kalau tidak layak mengundi, kita telah menafikan hak mereka di bawah Perlembagaan Persekutuan dan akan timbul banyak kekecohan dan ketegangan pada hari mengundi," katanya, sebagaimana dipetik akhbar, 6 Mac.

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib pula mengandaikan sekiranya dilaksanakan juga cadangan itu, sedangkan semua dakwat yang telah dibeli dari luar negara itu sudah diedarkan serta digunakan, ia boleh mencetuskan kekacauan pada hari pengundian.

Ketua Puteri Umno, Datuk Noraini Ahmad turut menyambut baik keputusan SPR itu kerana bimbang berlaku penipuan sekiranya cadangan itu diteruskan.

Ketua Biro Undang-Undang Wanita Umno, Datuk Kamelia Ibrahim malah berkata, dakwat itu akan digunakan sebagai �senjata� oleh pihak tertentu untuk menghalang pengundi berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka.

Pandangan beberapa pemimpin BN lain turut disiarkan. Kesemuanya memberikan andaian serupa yang bertitik-tolak daripada apa yang didakwa oleh Rashid sebagai "laporan keselamatan" diterima pihaknya itu.

Di kalangan pemimpin pembangkang pula, tindakan mengejut SPR itu dianggap sebagai strategi saat akhir BN untuk menyelamatkan taktik kotor yang selama ini didakwa digunakannya. Bukankah penggunaan dakwat kekal itu dicadangkan parti-parti pembangkang bagi mengelakkan kemungkinan penipuan?

Sejak sekian lama terdapat dakwaan adanya pengundi yang mengundi lebih daripada sekali, terutama membabitkan beberapa tempat pembuangan undi yang berbeza. Taktik ini didakwa digunakan BN bagi memastikan pengundinya dapat membuang undi bagi pihak pengundi lain, terutama mereka yang tidak pernah keluar mengundi atau tidak dapat mengundi disebabkan berbagai alasan.

Kecurigaan atas ketelusan proses pengundian membabitkan pengundian berulang itu mendorong Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menyenaraikan penggunaan dakwat kekal itu sebagai salah satu tuntutannya kepada pihak kerajaan.

Kesediaan SPR pada awalnya untuk melaksanakan cadangan itu dianggap menggambarkan keterbukaan kerajaan dan ketelusan SPR itu sendiri. Malang bagi rakyat yang mendambakan sebuah pilihan raya yang adil dan telus apabila di saat akhir menjelang pilihan raya, SPR menarik balik kesediaannya untuk menggunakan dakwat kekal itu.

Lebih malang dan lebih memalukan kita semua, pembatalan itu rupa-rupanya dibuat bersandarkan suatu "laporan keselamatan" yang terbukti bohong dan tidak berasas.

Barangkali, sesiapa yang rasa tertipu dan diperbodohkan oleh tindakan SPR itu boleh membuat laporan polis terhadap SPR dan pengerusinya sekali?- tajdid

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |