+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Friday, May 9, 2008

Mualaf isytihar murtad

Berita Harian

Oleh Fazallah Pit


KELUAR ISLAM: Siti Fatimah ketika beredar dari Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang, semalam.

Mahkamah Tinggi Syariah arah Maipp batal sijil peluk Islam

GEORGETOWN: Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang semalam membenarkan permohonan seorang mualaf untuk mengisytiharkan dirinya keluar Islam kerana tidak mengamalkan ajaran itu sejak memeluk Islam.

Ketua Hakim Syarie Perlis, Othman Ibrahim, turut memerintahkan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp) membatalkan sijil pemelukan Islam plaintif, Siti Fatimah Tan Abdullah atau namanya asalnya, Tan Ean Huang, 39.

Keputusan itu adalah yang pertama di negara ini membabitkan mualaf yang masih hidup sejak Mahkamah Syariah diberi kuasa mengendalikan kes permohonan keluar Islam pada 1 Januari 2006.

Othman membuat keputusan itu atas kapasiti sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang kerana beliau mendengar kes berkenaan sejak perbicaraan awal, dua tahun lalu.

Beliau bagaimanapun, menolak permohonan plaintif supaya mengarahkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menukar status agama pada kad pengenalannya kerana ia di luar bidang kuasa mahkamah. Othman berkata, plaintif perlu mengemukakan sendiri permohonan kepada JPN bagi menukar status agama daripada Islam kepada Buddha mengikut prosedur biasa.

Dalam penghakimannya, Othman berkata, mahkamah memutuskan bahawa plaintif bukan lagi seorang Islam menurut Seksyen 61(3)b(x) Enakmen Aturcara Mal Mahkamah Syariah Pulau Pinang 2004 kerana wanita itu jelas tidak mengamalkan ajaran Islam sejak mula lagi.

“Berdasarkan gambar Siti Fatimah di tokong dan pernyataannya sendiri dan rakannya, plaintif jelas mengamalkan ajaran Buddha, bukan Islam,” katanya.

Othman kesal kerana suami plaintif dan Maipp gagal membimbing serta menjaga kebajikan wanita itu hingga membawa kepada keadaannya sekarang.

Malah, katanya, Maipp tidak menunjukkan minat terhadap kes itu dengan tidak hadir pada prosiding awal, walaupun saman sudah diberi dan hanya mengemukakan hujah pembelaan di hujung perbicaraan.

Peguam syarie yang mewakili Maipp, Ahmad Munawir Abdul Aziz, berkata pihaknya akan mengemukakan rayuan pada masa terdekat.

Peguam Siti Fatimah, Ahmad Jailani Abdul Ghani pula berkata, keputusan itu penting kerana orang bukan Islam tidak sewajarnya memegang dokumen pengenalan diri sebagai orang Islam.

Sementara itu, Siti Fatimah yang ditemui di luar kamar mahkamah gembira dan mahu mengadakan makan besar bersama ahli keluarganya seiring dengan sambutan Hari Ibu.

Plaintif memfailkan permohonan terhadap Maipp selaku defendan untuk mengisytiharkan keluar dari Islam pada 10 Julai 2006.

Dalam pernyataannya, plaintif menyatakan tidak pernah yakin dengan ajaran Islam dan hanya memeluk agama itu bagi membolehkannya berkahwin dengan lelaki warga Iran, Ferdoun Ashanian.

Dia yang pernah bekerja sebagai tukang masak, sentiasa mengamalkan ajaran Buddha dan kerap bersembahyang di tokong Tua Pek Kong, Kuan Yin dan Thi Kong.

Siti Fatimah memeluk Islam pada 25 Julai 1998 dan berkahwin dengan Ferdoun pada 16 September 2004. Dia memfailkan permohonan itu selepas suaminya menghilangkan diri tanpa sebab.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |