+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Friday, May 9, 2008

Tembok Grand Saga roboh semula - Polis tahan tiga penduduk cuba bertindak agresif


SEBAHAGIAN penduduk merusuh dan merobohkan semula struktur tembok penghadang
di Cheras Perdana, Kuala Lumpur malam tadi.


KUALA LUMPUR - Tidak sampai lima jam kerja-kerja membina semula tembok penghadang konkrit ia musnah semula apabila sekumpulan penduduk bertindak agresif merusuh dan memusnahkannya semula di persimpangan masuk ke Bandar Bukit Mahkota di sini malam semalam.

Kerja-kerja membina tembok berkenaan bermula pukul 5 petang pada mulanya berjalan lancar.

Bagaimanapun beberapa jam selepas itu, kehadiran semakin ramai penduduk menjadikan suasana di kawasan berkenaan semakin 'panas' sehingga ada yang mengambil tindakan di tangan sendiri.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Shakarudin Che Mod berkata, ekoran rusuhan itu, pihaknya menahan tiga lelaki.

Menurutnya, dua daripada mereka ditahan pukul 7 malam manakala seorang lagi ditahan pukul 11 malam.


SALAH seorang penduduk yang bertindak agresif ditahan polis selepas merusuh merobohkan tembok penghadang di Bukit Mahkota, Cheras malam tadi.


Kerja-kerja mengorek tanah yang dilakukan pekerja Grand Saga Sdn. Bhd. (Grand Saga) sejak petang semalam itu terpaksa dihentikan selepas itu.

Malah sekumpulan anggota polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) terpaksa menggunakan gas pemedih mata bagi mengelakkan berlaku berulangnya kekecohan hingga awal pagi hari ini.

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Supritendan Toha Abdullah yang turut memantau keadaan berkata, ketiga-tiga lelaki berusia 20-an turut ditahan kerana bertindak ganas dan cuba menghalang tugas polis yang berada di kawasan tersebut.

Menurut Toha, seramai 80 anggota polis ditempatkan di kawasan tersebut bagi mengawal keselamatan.

Seramai 50 anggota polis daerah Kajang dan 63 anggota FRU ditugaskan di tempat kejadian bagi mengawal keadaan dan bersedia untuk segala kemungkinan.

"Kita akan berkawal di sini sehingga pembinaan tembok ini selesai," tegasnya ketika ditemui semalam.


SEBAHAGIAN daripada penduduk yang berkumpul di struktur tembok penghalang di Cheras Perdana, Kuala Lumpur malam tadi.


Sementara itu, seorang penduduk Bandar Mahkota Cheras, Mohd. Hilmi Mohd. Nasser, 26, memberitahu, walaupun tembok tersebut dibina semula, penduduk di sini pasti akan merobohkan tembok tersebut sekali lagi seperti yang dilakukan sebelum ini.

"Ia jelas tidak adil kepada kami sebagai penduduk yang menjadi mangsa antara pertelingkahan antara pihak pemaju dan Grand Saga?," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |