+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++
Showing posts with label wanita UMNO. Show all posts
Showing posts with label wanita UMNO. Show all posts

Thursday, March 26, 2009

Khairy, Shahrizat ketuai Pemuda, Wanita UMNO

Malaysiakini

Mar 25, 09 3:47pm

kemaskini 12.19pm Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menang ketua Wanita Umno dengan majoriti besar apabila mengutip 507 undi berbanding penyandangnya Tan Sri Rafidah Aziz yang meraih 280 undi.

Rafidah menerajui Wanita Umno sejak 1984, melainkan untuk satu penggal ekoran kekalahannya kepada Datuk Seri Dr Siti Zaharah Sulaiman pada 1996.

shahrizat wanita umno victory 250309 2Ahli parlimen Kuala Kangsar memenangi semula jawatan itu daripada Siti Zaharah pada pemilihan 2000 sehingga dikalahkan hari ini.

Shahrizat menewaskan Rafidah dengan majoriti 227 undi.

Jumlah undi bagi jawatan ketua Pemuda menimbulkan debaran berpanjangan apabila ia diumumkan paling lewat malam ini.

Persaingan sengit tiga penjuru akhirnya dimenangi oleh naib ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin dengan menewaskan Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo dan Datuk Mukhriz Mahathir.

Menantu perdana menteri mendapat 304 undi, bekas menteri besar Selangor itu (254) dan anak mantan perdana menteri (232).

Sementara naib ketua dikuasai oleh Datuk Razali Ibrahim dengan menewaskan Datuk Reezal Merican Naina Merican, regu Khairy.

Kemenangan Khairy ini, yang diberikan amaran berhubung kesalahan melanggar tataetika pertanding Umno, dibantah oleh sekumpulan kira-kira 200 penyokong Mukhriz.

Berkumpul di tingkat bawah PWTC sejak keputusan rasmi diumumkan 11.20 malam ini, mereka melaungkan "Khairy rasuah" dan menyifatkan kemenangan ini bukan seperti dihasratkan oleh Umno.

Sepasukan polis sedang mengawal mereka, yang kelihatan menghalang pihak berwajib dengan membentuk "rantaian manusia" daripada menyuraikan mereka.

Jawatan ketua Puteri dipertandingkan enam penjuru antara Datuk Shahaniza Shamsuddin, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Ismalina Ismail, Bibi Sharliza Mohd Khalid, Ida Rahayu Md Noor dan Saarah Ali Bashah.

perwakilan umno 2009 polls delegates breakdown 250309Rosnah dan Shahanim Mohamad Yusoff masing-masing terpilih ketua dan timbalan ketua Puteri Umno.

Turut dipertandingkan, jawatan-jawatan exco, pengerusi tetap dan timbalan pengerusi tetap ketiga-tiga sayap berkenaan.

Seramai 796 perwakilan Wanita, Pemuda (791 orang) dan Puteri (789 orang) membuang undi.

Pengundian bermula kira-kira jam 11.45 pagi dan selesai kira-kira dua jam kemudiannya

Berdasarkan proses pengundian yang berjalan lancar pagi tadi, ramai yang beranggapan bahawa para perwakilan sudah tekad memilih calon masing-masing.

Esok bermula pula persaingan sengit dua penjuru jawatan nombor dua Umno dan naib presiden (lapan calon) selepas majlis perasmian oleh presidennya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi jam 9 pagi.

Menurut jadual, pengundian untuk menentukan nasib Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Tan Sri Muhammad Muhd Taib akan bermula jam 11 pagi.

Timbalan presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak secara rasmi akan diumum sebagai pengganti Abdullah.

Selain perebutan 25 kerusi sebagai anggota Majlis Tertinggi di kalangan 50 calon, turut dipertaruhkan adalah jawatan pengerusi tetap dan timbalannya.

Keputusan rasmi dijangka dapat diketahui sekitar jam 10 malam esok.

Read More...

Friday, November 28, 2008

'Perang besar' Rafidah - Shahrizat semakin memburuk

Harakahdaily

Safar Jumaat
Fri | Nov 28, 08 | 3:00:31 pm MYT

'ORANG lihat Rafidah (Tan Sri) kerana dia lama. Orang lihat Rafidah kerana dia garang. Orang lihat Rafidah kerana dia bercakap lantang tetapi orang tidak tahu siapa Shahrizat (Dato' Seri)', kata-kata ini sedang berpindah dari mulut ke telinga dan dari mulut ke mulut.

Memetik kata-kata Ketua Pergerakan Wanita Umno Johor, Dato' Halimah Mohd Sadique baru-baru ini, jangan 'telanjangkan' Wanita memberi erti, 'peperangan besar' sedang berlaku sekarang, setelah lebih 12 tahun Wanita Umno tidak terlibat dalam 'peperangan' seperti ini.

Orang kuat Rafidah memberitahu, sejarah paling besar Shahrizat dalam Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat ialah kesemua pimpinannya (Menteri, Timbalan Menteri dan Setiausaha Parlimen) tewas sekaligus dalam Pilihan Raya Umum ke 12 (PRU 12), 8 Mac lalu.

Sejarah ciptaan Shahrizat ini bukan senang untuk diulangi sesiapa dan jangan pula terkejut jika Shahrizat sekali lagi mencipta sejarah kekalahannya.

Kali ini dia akan kalah di tangan Rafidah pula, pemimpin yang membimbing dia, sejak sekian lama.

Kata penyokong Rafidah, jika gelaran pemangku dijadikan alasan untuk menolak 'Pelan Peralihan Jawatan', ternyata Shahrizat silap. Apakah kalau dia tidak menjadi pemangku, kepimpinannya akan diterima oleh kepimpinan (Wanita) parti-parti komponen yang lain? Jawapannya, belum tentu!

Walau apapun yang Dato' Raja Ropeah Raja Abdullah salah seorang Exco yang menunjukkan belangnya mahu menyokong Shahrizat perkatakan, kononnya Rafidah tidak berbincang terlebih dahulu dan sebagainya..hari ini, Wanita Umno terbahagi dua.

Yang bermati-matian mempertahankan Rafidah, secara total menolak Shahrizat dan yang menyokong Shahrizat, secara totoknya, mahu melihat Rafidah dikalahkah.

Cerita kempen, cerita Shahrizat yang tidak mahukan Dato' Seri Azalina Othman dicalonkan sebagai Naib Ketua Wanita Umno.

Kononnya, jika orang menang diterima, maka beratlah peluang Shahrizat untuk menjadi Menteri semula.

Tetapi kalau orang macam Dato' Kamilia Ibrahim yang sudah tamat dua penggal menjadi Senator dan tidak bertanding dalam PRU 12 yang lalu, Shahrizat dikatakan lebih selesa.

Sejauh mana cerita ini betul, tidak ada siapa yang boleh mengesahkannya tetapi hendak menolak kesemuanya, seperti ada kebenarannya pula. Khabarnya, Shahrizat meyakinkan Rafidah supaya jangan menerima 'kehadiran' Azalina.

Apabila beberapa bahagian mula mencalonkan Shahrizat sebagai ketua dan Kamilia sebagai naib, ada beberapa orang Exco Wanita membisikkan kepada Rafidah, supaya meneliti semula Pelan Peralihan Jawatan dan turut mencari 'regu' baru selepas Shahrizat sudah kelihatan beregu dengan Kamilia;

"Jangan! Saya tidak setuju. Saya mahu terus dengan apa yang sudah dijanjikan," Rafidah dipetik sebagai berkata demikian bagi menolak sangkaan mengatakan dia akan dipermainkan Shahrizat.

Tenyata, cakap-cakap beberapa Exco yang menasihatkan Rafidah dahulu itu, seperti betul-betul berlaku dan Rafidah kini bertanding bersendirian, tanpa ada sesiapa beregu dengannya untuk menjadi naib.

Ketika Shahrizat berseronok menjadi calon yang mewakili Wilayah Persekutuan, khabarnya hanya Wanita Bahagian Cheras di bawah Dato' Faridah Abu Hassan sahaja tidak bersama-samanya tetapi ada juga yang mengatakan Dato' Azizah Samad dari Bahagian Seputeh juga 'disangsikan' pendiriannya menyokong Shahrizat.

Menurut ceritanya, ada tiga nama disenaraikan untuk turut mengutip pencalonan bagi jawatan naib. Pertama Dato' Halimah Mohd Sadique, kedua, Dato' Maznah Mazlan dan ketiga, Azalina. Namun, Halimah tidak berminat kerana mahu memberi peluang penyandang jawatan Timbalan Menteri atau Menteri ke depan.

Kata yang bercerita, Halimah tidak mahu dicalonkan kerana dia serius untuk berundur. Itulah sebabnya, jawatannya sebagai Ketua Umno Bahagian Tenggara pun tidak dipertahankannya.

Dia lebih berminat jika Maznah dicalonkan tetapi tidak mendapat restu Rafidah, kerana Rafidah mahu berpegang dengan Pelan Peralihan Jawatan yang sudah disusunnya.

Satu sumber lain pula memberitahu, Shahrizat mendapat nasihat dari bekas Setiausaha Politiknya, yang kini bekerja kuat untuk mempertahankan legasi Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam Umno, Dato' Reezal Merican Naina Merican.

Reezal dipercayai menasihatkan Shahrizat supaya menentang Rafidah kerana khuatir Rafidah terus menyerang Abdullah jika dia masih kekal menjadi Ketua Pergerakan Wanita Umno.

Kata sumber itu lagi, Reezal tidak puashati dengan Rafidah yang membuat desakan supaya Abdullah berundur awal dan akibat dari itu, Reezal menyakinkan Shahrizat, dengan bantuan Dato' Alwee Che Ahmad sekali, Abdullah lebih seronok jika Rafidah ditentang dan mengharapkan Shahrizat mempunyai kekuatan mengalahkan Rafidah.

Dalam beberapa wawancara dengan media, Rafidah memang tidak yakin kepada kemampuan Shahrizat untuk menghadapi pilihan raya. Malah, kekalahan Shahrizat di Lembah Pantai di tangan calon KeADILan, Nurul Izzah Anwar yang terlalu mentah menyebabkan Rafidah cukup kecewa.

"Kalau kawasan sendiri pun kalah, macam mana nak buat kerja untuk membantu kawasan lain," sumber itu memberitahu kononnya Rafidah sering mengulang-ulangi ayat serupa apabila bercakap soal Shahrizat mahu bertanding menentangnya.

Itulah sebabnya Rafidah dikatakan memerlukan tiga bulan selepas pemilihan bagi menyusun kerja, memberi keyakinan kepada rakan-rakan komponen dan beberapa strategi lain bagi memudahkan Shahrizat meneruskan tugasnya.

"Malangnya, dia tidak sabar. Dia terpengaruh dengan desakan orang lain yang tidak tahu secara mendalam Pergerakan Wanita Umno dan dia bersedialah untuk menerima akibatnya," kata sumber itu.

Malahan, sumber itu turut menyebut bahawa Pergerakan Wanita Umno tidak akan sekuat sebelumnya selepas pertandingan kali ini, tanpa mengira siapa yang menang dan siapa yang kalah.

Yang menang akan membawa gengnya bersama dan yang kalah akan terus disisihkan kerana mereka dianggap kumpulan yang tidak tahu bersabar dan tidak tahu erti kesetiaan bila berjanji.

Khabarnya Najib lebih selesa dengan Rafidah tetapi Abdullah dikatakan mahukan Shahrizat.

Ketika Abdullah dilihat tidak bersetuju dengan Tan Sri Muhyiddin, tetapi dalam isu Wanita Umno, Abdullah dan Muhyiddin dikatakan senada mahukan Shahrizat.

Jika Rafidah menang, Muhyiddin dalam bahaya untuk menang kerusi Timbalan Presiden tetapi jika Shahrizat menang, Muhyiddin bolehlah mengadakan kenduri awal di rumah Shahrizat meraikan kemenangan bersama, walaupun pengundian bagi jawatan Timbalan Presiden belum bermula! - mr_

Read More...

Tuesday, November 25, 2008

Rafidah: Saya bukan gila jawatan kabinet

Malaysiakini

Muda Mohd Noor | Nov 22, 08 1:15pm

Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz berkata beliau mahu peralihan kuasa dilakukan pada Jun tahun depan bukan kerana beliau ‘gila jawatan kabinet'.

Sebaliknya, kata beliau, ia bertujuan untuk memperkukuhkan kedudukan Wanita Umno dan Barisan Nasional (BN) selepas kalah teruk dalam pilihanraya umum Mac lalu.

"Saya mengekalkan peralihan kuasa pada Jun 2009 semata-mata untuk memperkuatkan Wanita umno, kerana kita mendapati, setelah kali teruk dalam pilihanraya umum lalu, Kekuatan Wanita Umno sudah terlalu berkurangan.

"Kelemahan wanita Umno telah menyebabkan kekalahan parti dalam pilihanraya umum lalu.

"Kalau orang kata, saya mengekalkan jawatan ketua semata-mata untuk mendapatkan jawatan kabinet, itu adalah kerja gila," katanya.

Sebelum itu beliau ditemui kira-kira 40 penyokongnya yang terdiri lima ketua Wanita Umno negeri, exco Wanita serta ketua-ketua Wanita bahagian dari seluruh negara.

Mereka menemuinya di pejabat Wanita Umno Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibunegara pagi tadi bagi menyatakan sokongan mereka terhadap keputusannya untuk mempertahankan jawatan ketua Wanita Mac depan.

Pemangku bukan perkara baru

Kelmarin, Naib Ketua Wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengumumkan akan bertanding menentang Rafidah bagi merebut jawatan ketua pergerakan itu.

Menurut Rafidah lagi, beliau tidak faham mengapa Shahrizat mahu bertanding jawatan ketua Wanita sedangkan beliau (Shahrizat) sendiri telah setuju dari awal lagi mengenai penyerahan kuasa itu.

"Dalam mesyuarat Exco Wanita, Shahrizat tidak pernah bercakap yang beliau tidak setuju dengan pelan peraihan kuasa (Jun) itu, walaupun saya beri peluang kepada dia untuk bercakap mengenai ini, tapi beliau tidak cakap, tapi sebaliknya tetap setuju dengan peralihan kuasa.

"Saya hairan mengapa selepas pencalonan tamat, isu pemangku jawatan ketua Wanita dibangkitkan.

"Kalau tidak setuju dengan jawatan pemangku, mengapa tidak diberitahu atau dibangkitkan lebih awal," katanya.

Menurut Rafidah, jawatan pemangku ketua dalam Umno bukan perkara baru.

Utamakan pilihanraya

"Tun Hussein Onn menjadi pemangku presiden selama satu tahun 9 bulan, Datuk Seri Hishammuddin (Hussein) jadi pemangku ketua Pemuda selama dua tahun (dan), Datuk Seri Abdullah (Ahmad Badawi), juga jadi pemangku presiden Umno.

"Jadi jawatan pemangku tidak ada kurangnya. Kerja adalah sama, kalau pemangku ketua Wanita tidak ada kuasa, apa kuasa yang ada pada ketua wanita.

"Yang ada hanyalah kerja dan tanggungjawab. Tidak ada masalah pun walaupun menjadi pemangku kerana kita ada exco, kita ada ketua Wanita negeri, kita ada ketua bahagian Wanita.

"Boleh tanya (Datuk Seri) Hishammuddin apa rasanya menjadi pemangku ketua (Pemuda). Jadi tak usahlah pertikai jawatan sebagai pemangku.

"Yang paling penting (ialah) soal menghadapi pilihanraya umum ke-13... Tidak sanggup lagi kita hendak melihat kekalahan yang baru," tegas Rafidah.

Mengenai pertemuannya dengan penyokongnya hari ini, Rafidah berkata, mereka datang sendiri selepas mengetahui yang beliau akan mempertahankan jawatan ketua Wanita.

Mereka yang datang itu termasuk ketua Wanita dari lima negeri - Pulau Pinang, Johor, Pahang, Kelantan dan Selangor.

"Bukan saya panggil, mereka datang sendiri," katanya.

Read More...

Saturday, November 15, 2008

Misteri Rafidah : Ramai yang bingung...

Agenda daily

Align Center


Untuk berlaku adil kepada Tan Sri Rafidah Aziz mungkin ada hal-hal tersembunyi yang tidak diketahui atau belum beliau perjelaskan lagi buat masa ini.Sementara jawapan itu belum ada apa yang nampak diatas kertas hari ini kalau tanya 10 orang kesemua mereka akan kata bingung melihat deadlock dalam isu kepimpinan Pergerakan Wanita UMNO.

Malah tinjauan rambang Agendadaily dikalangan sebilangan orang kanan UMNO mendapati mereka juga tidak mengerti kenapa Rafidah berkeras mahu berpegang kepada pelan peralihan kuasa bulan Jun 2009 dan tidak serah saja kepada Datuk Seri Shahrizat Jalil menang tak bertanding semasa pemilihan bulan Mac nanti.

Menurut mereka alasan bahawa langkah itu kerana hendak berpegang kepada janji dan keputusan yang telah dibuat serta memastikan pergerakan itu utuh tidak masuk akal langsung lebih-lebih lagi melihat kedudukan Naib Ketua Wanita UMNO itu yang nyata tersepit sekarang.

Ini kerana dari pandangan mata kasar semua orang melihat jika Rafidah menarik diri dari pemilihan Shahrizat dengan sendirinya akan jadi Ketua Wanita tanpa pertandingan.Begitu juga halnya dengan Datuk Kamalia Ibrahim akan menang tanpa bertanding sebagai Naib Ketua Wanita.

Jadi dalam bab ini alasan untuk mengelak pertandingan dan keutuhan pergerakan itu memang sudah tidak boleh digunapakai.

Kalau itu sudah tidak boleh dijadikan sebabnya maka apa lagi yang membuatkan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri ini begitu tegas sekali nak bergayut lagi tiga bulan hingga Shahrizat kena memangku jawatan selama lebih tiga tahun jika pelan peralihan kuasa itu berlaku seperti dirancang?

Berbagai spekulasi dan andaian berlegar ketika ada pergerakan Wanita beberapa buah negeri sudah membuat kenyataan terbuka - ada yang menyokong pelan peralihan kuasa dan ada yang mahu jawatan itu diserahkan kepada Shahrizat pada bulan Mac ini.

Tokoh Veteran UMNO dan bekas Ketua Wanita Tan Sri Aishah Ghani malah membuat andaian yang dinilai oleh sesetengah ahli pergerakan itu sebagai sinis bila berkata mungkin Rafidah menaruh harapan nak masuk balik dalam kabinet baru pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak nanti.

Beliau sendiri tidak nampak alasan kukuh kenapa Rafidah tidak mempercepatkan pelan peralihan kuasa Wanita dari Jun ke Mac.

Menurut Aishah berkata dari kaca mata rakyat dan ahli UMNO perpaduan dalam Wanita tidak langsung terjejas jika peralihan kuasa itu dipercepatkan.

Apa yang membuatkan ramai bertanya apakah Rafidah bersikap begitu kerana hendak 'memaksa' Shahrizat berentap dengan Kamalia.

Sebaliknya ada yang bertanya tidakkah nanti perpaduan pergerakan itu akan tergugat jika berlaku pertandingan sengit antara mereka dan ini nyata bertentangan dengan hasrat yang dilaungkan oleh Rafidah sendiri serta semangat pelan peralihan kuasa.

Juga ada spekulasi yang berlegar kata Rafidah berkeras begitu kerana marah dengan tindak tanduk 73 bahagian Wanita tetap mencalonkan Shahrizat bertanding jawatan Ketua Wanita sedangkan pelan peralihan kuasa sudah dipersetujui.

Ada juga yang kata ini kerana Rafidah tidak mahu Kamalia jadi Naib Ketua Wanita.

Yang nyata diatas kertas semuanya nampaknya macam boleh selesai secara aman jika pelan peralihan kuasa itu dipercepatkan.

Jika tidak semuanya terbalik kot dan ribut pasti melanda pergerakan itu.

Jawapannya kini berada pada Rafidah yang dikatakan sedang bercuti di luar negara sekarang.- 14/11/2008


Read More...

Kerjasama dengan Pas tidak bermotif politik – Shahrizat

Utusan Online


Pengerusi Senada, Shahrizat Abdul Jalil menyambut Ketua Dewan Muslimat Pas Pusat, Nuridah Mohd. Salleh pada Perjumpaan dan Dialog Senada di Putrajaya, semalam. Seramai 19 anggota Muslimat Pas menyertai majlis itu.


PUTRAJAYA 14 Nov. – Kerjasama antara Sekretariat Pembelaan dan Perkasaan Wanita Islam (Senada) dengan Dewan Muslimat Pas yang dimeterai hari ini tidak bermotif politik, sebaliknya menumpukan kepada usaha untuk memperkasa golongan wanita Islam negara ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, kerjasama itu yang merentasi sempadan kaum, ideologi politik dan bangsa adalah platform dalam menentukan kecemerlangan wanita Islam ke tahap yang lebih optimum.

Beliau berkata, penyertaan Dewan Muslimat Pas adalah detik bersejarah yang membuktikan bahawa Islam merupakan titik penyatuan kepada semua aspek kehidupan walaupun dengan latar belakang yang berbeza.

“Kerjasama dan perjuangan ini adalah wadah yang akan menyatukan kita di bawah satu agama iaitu Islam. Kita akan wujudkan pelbagai program yang melibatkan badan bukan kerajaan dan pihak yang relevan dalam memperkasakan kedudukan wanita Islam,” katanya.

Shahrizat yang juga Penasihat Hal Ehwal Wanita dan Sosial kepada Perdana Menteri berkata demikian selepas mempengerusikan sesi dialog Senada bersama Dewan Muslimat Pas, di sini hari ini.

“Menerusi kerjasama ini, kita akan betulkan persepsi golongan bukan Islam agar mereka lebih positif, sekali gus mengenepikan sebarang rasa prejudis dan perbezaan kerana Islam agama yang begitu indah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Muslimat Pas Noriah Saleh berkata, pihaknya sentiasa bersedia meneruskan kerjasama seumpama ini memandangkan ia berteraskan kebajikan yang sememangnya dituntut dalam Islam.

“Muslimat Pas tidak ada masalah untuk bekerjasama dan melaksanakan kerja kebajikan bersama siapa sahaja. Kita boleh bersama tanpa sebarang halangan,” katanya.

– Bernama

Read More...

Sunday, April 27, 2008

Rafidah: Pembangkang guna perang psikologi raih untung

Mstar Online

26-04-2008 07:12:49 PM

KOTA KINABALU: Parti pembangkang menggunakan perang psikologi dalam usaha meraih keuntungan dalam politik, kata Ketua Pergerakan Wanita Umno, Datuk Seri Rafidah Aziz hari ini, Sabtu.

Beliau berkata permainan yang dilakukan oleh pembangkang dalam arena politik adalah untuk memberi gambaran bahawa mereka semakin memperoleh sokongan.

"Memanglah pembangkang telah menang di lima negeri yang mereka sendiri pun tidak sangka.

"Mungkin kelemahan kami yang membolehkan mereka menang. Bagaimanapun kami tidak akan memandang ringan ancaman mereka," katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan pemimpin Wanita Umno Sabah di sini.

Beliau berkata kemenangan di kelima-lima negeri itu memberikan pembangkang dorongan dan kekuatan tambahan untuk mengambil alih negeri lain juga.

Bagaimanapun, Rafidah berkata rakyat dan Anggota Parlimen BN tidak akan terpengaruh dan akan terus berdiri teguh supaya tidak terjebak dengan janji dan strategi lain yang digunakan oleh pembangkang.

Ketika diminta mengulas cadangan Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim supaya sebuah suruhanjaya khas diwujudkan untuk mengenal pasti punca pencapaian buruk BN dalam pilihan raya lepas, Rafidah berkata penubuhan suruhanjaya itu tidak perlu memandangkan proses mengenal pasti punca kekalahan itu telahpun bermula dan sedang berjalan.

Beliau berkata bagi Wanita Umno, arahan dikeluarkan supaya mengenal pasti punca kekalahan di setiap kawasan pilihan raya dan di saluran peti undi.

"Sebagai contoh, jika kita tahu bahawa saluran empat dan lima, peti undi pengundi muda, adalah punca kekalahan BN, maka penawarnya ialah dengan meminta sayap Puteri dan Pemuda supaya mendekati golongan muda dengan lebih agresif.

"Jika ada masalah dalam lingkungan kawasan pilihan raya, maklumat itu juga akan dikumpulkan dan dibentangkan kepada presiden parti," katanya.

Beliau berkata maklum balas turut dikumpul di lima negeri yang dimenangi pembangkang. BERNAMA

Read More...

Wednesday, April 16, 2008

‘Jangan tunggu sampai nasi jadi bubur’ - Rafidah Aziz

Utusan Online

KUALA LUMPUR 15 April – Peralihan kuasa di antara Presiden dan Timbalan Presiden UMNO perlu berlaku pada masa yang tepat dan jangan menunggu sampai ke tahap ‘nasi sudah menjadi bubur’.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Rafidah Aziz berkata, pada masa yang sama pergerakan itu mahu proses peralihan antara Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak berlaku dengan tertib dan berhemah bagi memastikan parti tidak berpecah belah.

Beliau turut menegaskan, dalam melaksanakan peralihan kuasa itu, perlu dipastikan tidak berlaku perkara yang akan menyebabkan UMNO lebih lemah daripada yang sepatutnya.

Sehubungan itu, beliau berharap Presiden dan Timbalan Presiden berbincang secara mendalam dari hati ke hati supaya proses peralihan kuasa berlaku pada masa yang tepat.

“Janganlah pula peralihan kuasa ini dijalankan sehingga keadaan seperti ‘nasi sudah menjadi bubur’.

“Peralihan itu hendaklah dilaksanakan pada masa yang sesuai pada pandangan mereka berdua, juga sesuai daripada kaca mata Datuk Najib sendiri,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pergerakan Wanita di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Abdullah semalam, bahawa beliau akan berunding dengan timbalannya berkaitan hal-hal peralihan kuasa.

Rafidah berharap ahli-ahli parti tidak memaksa Najib mengambil alih kerajaan dengan segera tanpa memberi peluang kepada Abdullah membetulkan keadaan dan menstabilkan parti.

Bagaimanapun katanya, sekiranya dibiarkan terlalu banyak komen dan teka-teki berhubung peralihan kuasa itu, maka parti tidak akan stabil.

Justeru, tegas Rafidah, kestabilan parti hendaklah dijamin sebelum peralihan kuasa dibuat.

“Wanita juga mahu peralihan kuasa difokuskan kepada Presiden sahaja kerana apabila ia berlaku, maka ada Presiden baru. Sudah tentu akan ada Perdana Menteri yang baru.

“Terpulanglah kepada Perdana Menteri baru ini untuk melantik sesiapa yang beliau fikir layak menjadi Timbalan Perdana Menteri,” katanya.

Rafidah berkata, adalah tidak wajar bagi ahli-ahli parti untuk menunjukkan kepada Perdana Menteri baru tentang siapa yang patut menjadi Timbalan beliau.

Kata beliau, ia adalah hak penuh Perdana Menteri untuk memutuskannya.

“Selagi ada Presiden parti (Abdullah), kita beri sokongan sepenuhnya. Kita tidak mahu UMNO kucar-kacir,” katanya.

Menjawab soalan bagaimana peralihan kuasa boleh dibuat secara berhemah, Rafidah berkata, ia dibuat bukan berdasarkan desakan atau tekanan daripada mana-mana pihak.

Ketika ditanya kemungkinan peralihan itu berlaku dalam keadaan yang tidak aman, beliau berkata, sebab itulah Abdullah dan Najib perlu berbincang secara bijaksana dari hati ke hati untuk memilih tarikh yang tepat.

“Hanya mereka berdua yang tahu bila masa yang sesuai dan tepat,’’ katanya.

Rafidah juga berkata, ahli-ahli UMNO dari peringkat tertinggi sehingga ke akar umbi tidak boleh lepas tangan dalam memikul tanggungjawab kekalahan parti itu pada pilihan raya umum lalu.

Katanya, hasil post-mortem yang dijalankan oleh Wanita UMNO telah mengenal pasti pelbagai faktor yang menjadi punca kekalahan dan ia perlu ditanggung oleh semua ahli parti.

Bagaimanapun, katanya, apa yang penting ialah memulih dan merawat parti untuk menjadi lebih baik daripada sebelum ini.

“Kita jangan bincangkan kelemahan parti di luar kerana tiada hasil yang baik daripadanya. Pihak yang bertepuk tangan tentunya pembangkang dan penentang kita,” jelasnya.

Read More...

Sunday, March 23, 2008

TERBARU : Saya Wanita - Azalina

Agenda Daily



[ Gambar diatas ialah petikan dari sebuah akhbar berbabasa Cina yang dirakam secara kandid semasa Perhimpunan Agung UMNO 2007 lalu yang mungkin ada kaitan dengan berita ini]



Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman meminta mana-mana pihak agar jangan mempersoalkan statusnya sebagai ahli Pergerakan Wanita UMNO Malaysia.

Ini kerana menurut beliau, semua anggota Puteri UMNO secara automatik didaftar sebagai anggota Wanita UMNO sebaik sahaja melepasi had umur Puteri yang ditetapkan.

"Saya ialah Naib Ketua UMNO Bahagian Pengerang, jadi soal sama ada saya ahli Wanita atau tidak, tidak timbul. Bukan isu ahli Wanita atau tidak, tetapi ahli UMNO dilantik sebagai menteri kabinet. Mengikut perlembagaan (Puteri) juga, ahli yang telah melepasi had umur sebagai ahli Puteri secara automatik menjadi ahli Wanita," katanya dalam sidang akhbar di kementeriannya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari Jumaat.

Sementara itu, Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Rafidah Aziz dalam sidang media berasingan di bangunan yang sama selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO Pergerakan itu terus berdolak dalik apabila ditanya mengenai sama ada Azalina mewakili Wanita atau tidak di dalam kabinet baru yang ditubuhkan Selasa lalu.

Malah semasa menjawab soalan yang bertubi-tubi daripada wartawan mengenai perkara berkenaan, Rafidah hanya merujuk Azalina sebagai 'anyone'.



"Kenapa kita perlu bincang pasal anyone," ujarnya.

Sebagai mengelak daripada menjawab persoalan berkenaan Rafidah meminta barisan Exconya untuk menyatakan pendirian mereka dan disambut dengan ungkapan "kami tak bincang pun pasal dia".

Kedudukan Azalina yang mendominasi sidang media berkenaan turut mendengar penjelasan sama ada Azalina ahli Wanita atau tidak. Menurut Rafidah, ia tidak dapat dijelaskan kerana mereka tidak mengetahui Cawangan atau Bahagian Wanita yang diwakili oleh Azalina.





Selepas sidang media berkenaan, apa yang sangat menarik ialah apabila seorang anggota Exco Wanita menyerahkan kepada Agendadaily dokumen empat muka surat yang bertajuk Senarai Calon Wanita 2008 yang tertera nama Azalina sebagai salah seorang daripada lima calon Wanita di Johor yang bertanding pada pilihan raya umum lalu.
- 21/3/2008

-----------------------------


Azalina bukan Wanita...?

Hal ini sebenarnya tidak jelas dan ia menjadi salah satu bahan bualan baik dikalangan ahli UMNO sendiri.Bagi mereka yang tidak faham sangat tentang politik atau politiking ada bertanya mengapa Wanita UMNO bising-bising tidak ada wanita dalam kabinet.

Bukankah Datuk Azalina Othman Said yang dulunya Menteri Belia dan Sukan dilantik sebagai Menteri Pelancongan dalam kabinet 2008 itu seorang wanita?

Ini menjadi salah satu soalan yang ditujukan kepada Datuk Seri Rafidah Aziz dalam sidang akhbarnya yang panas di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri awal petang Rabu.

Kenapa Azalina tidak dianggap sebagai sebahagian dari Wanita UMNO?

Ini jawapan Rafidah, “ saya tak tahu sama dia ahli Wanita atau tidak…kena check Faridah ( katanya kepada Setiausaha Wanita UMNO Malaysia Datuk Faridah Abu Hassan yang berdiri di sebelahnya ).


Serentak dengan itu kedengaran suara dikalangan para ahli Exco Wanita UMNO Malaysia yang berdiri disampingnya diatas pentas sidang akhbar itu berkata, “ tak…tak…tak…tak”

Kata Ketua Wanita UMNO itu lagi, “ dia tak Puteri ( UMNO) lagi… I don’t know …saya tak tahu…tolong check dengan ibupejabat (UMNO)…saya tak mahu cakap siapa member ke tidak…janganlah tanya saya.”

Ditanya lagi bukankah dia seorang wanita jadi menteri? Jawab Rafidah yang enggan mengulas lanjut,sambil berkata “ tak payahhhh ( tanya).. ”

Sebenarnya dari mood di sidang akhbar itu dapat dirasakan semacam mereka merasakan status Wanita UMNO itu ialah kalangan Exco Pergerakan Wanita itu sendiri.


Sewaktu majlis jamuan selepas sidang akhbar itu Agendadaily bertanya kepada salah seorang EXCO Wanita UMNO,Datuk Dr Noressah Mohamad kenapa Azalina tidak dianggap sebagai Wanita UMNO.

Katanya ini kerana Azalina tidak pernah declare secara terbuka kata beliau seorang Wanita UMNO.

Baginya Azalina adalah seorang ahli Majlis Tertinggi UMNO dan ahli UMNO.

Malah katanya mereka juga tidak anggap Datuk Dr Masitah Ahmad yang dilantik semula sebagai Timbalan Menteri Dijabatan Perdana Menteri sebagai Wanita UMNO.

Azalina yang merupakan bekas Ketua Puteri UMNO meninggalkan pergerakan itu setelah usianya melampaui had umur 40 tahun.

Soalnya Azalina duduk di mana sekarang?

Ketua Puteri sekrang Datuk Noraini Ahmad sendiri baru melepasi usia 40 tahun dan kini memegang jawatan itu atas ‘ waktu tambahan’ sementara menunggu pemilihan UMNO akan datang ini.


Sebenarnya status itu memang mengelirukan.

Ketua Puteri 40 tahun manakala bagi ahli-ahli biasa Puteri UMNO had umurnya mereka lupus dari pergerakan itu ialah 35 tahun.

Begitu juga halnya dengan ahli pergerakan Pemuda UMNO yang habis umur 40 tahun.

Berbeza dengan Puteri UMNO,Pemuda UMNO tidak menetapkan had usia bagi pemegang jawatan Ketua Pemuda UMNO.

Begitu juga halnya dengan Ketua Wanita UMNO.

Untuk mendapat kepastian tentang status ini Agendadaily menghubungi Senator Datuk Syed Ali Alhabshee selaku Ketua UMNO Bahagian Cheras.


Beliau yang juga bekas Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan mengesahkan tidak ada sebarang peraturan dalam perlembagaan UMNO yang menetapkan seorang ahli Puteri yang habis umur perlu isi borang atau istihar diri baru oleh masuk Wanita UMNO.

“Inilah masalahnya bila kita bermusuhan sesama sendiri tak tentu pasal,”katanya.

Katanya di pejabat UMNO Bahagian Cheras yang beliau tabir itu pun tidak ada borang khusus memerlukan ahli Puteri yang habis umur kena isi untuk jadi ahli Wanita atau kena istihar.

“Ini semua mengarut…apa salahnya para pemimpin Wanita jumpa elok-elok Azalina dan Dr Masitah ajak mereka rapat dengan Wanita UMNO…atau ambil mereka jadi Exco Wanita …mereka juga wanita... jadi kena anggap mereka sebahagian dari Wanita UMNO,”katanya.

Ditanya tentang cakap-cakap kalangan pemimpin Wanita UMNO bimbang Azalina mungkin cabar Rafidah untuk jawatan Ketua Wanita UMNO,beliau berkata, “ Itu semua cakap orang… lagipun ini soal demokrasi…kenapa perlu sekat-sekat begini.Siapa yang layak biarlah mereka nak bertanding apa jawatan pun.Biarlah ahli yang menentukan siapa yang mereka mahu.”

Syed Ali kesal kerana dalam keadaan agak lemah begini pun ada pihak yang masih nak berpuak-puak dan nak ‘ kepung jawatan’.

“Rakyat sudah bagi mesej jelas dalam pilihanraya baru ini.Tak kan tak faham lagi. Kalau sikap begini berterusan alamat UMNO boleh jadi tak relevan lagi nanti,”katanya.

Katanya semua pihak dalam UMNO tak kira Wanita,Pemuda,Puteri perlu muhasabah diri dan merapatkan barisan dan mengenepikan hal-hal yang boleh memecahbelahkan parti.

Sementara itu tidak lama lepas berita ini disiarkan ada beberapa orang ahli UMNO yang telefon Agendadaily mendakwa Azalina sendiri selama ini tidak ambil sebarang langkah untuk merapatkan diri dengan Wanita UMNO.

Kata mereka Azalina sebagai adik juga patut tahu bawa diri dan ambil langkah-langkah yang ' mesra Wanita' dan tidak melihat dirinya sebagai entiti tersendiri semata-mata kerana rapat dengan 'orang atas'.

"Ada orang mungkin rasa bila dia dah kamcen dengan orang atas tak lagi perlu pandangan orang dibawah ni...siapalah kami ni.

"Jadi tak adil nak kata Rafidah dan para Exco Wanita yang salah atau menolak Azalina...Ada banyak lagi hal kalau nak cakaplah ...tolong tulis fakta ini,"kata salah seorang dari mereka.

Ketua Puteri UMNO Datuk Noraini Ahmad yang dihubungi Agendadaily kemudian untuk mengulas soal status ahli Puteri yang habis umur itu juga mengesahkan mereka dikira otomatik jadi Wanita UMNO.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO ( atas kapisiti sebagai Ketua Puteri) berkata memang tidak ada borang perlu diisi atau perlu istihar diri nak masuk Wanita UMNO dan sebagainya.

"Mereka yang habis umur Puteri secara terus diserap dalam Wanita UMNO.Kalau tidak mereka nak ke mana lepas itu,"katanya.

Noraini berkata adalah menjadi lumrah dalam mana-mana parti politik sebagai persiapan untuk melangkah dari Puteri masuk ke Wanita usaha awal perlu dijalankan untuk merapatkan diri dengan mereka.

"Saya selalu berpesan kepada anak-anak buah saya kena sentiasa berbaik-baik dengan kalangan Wanita UMNO di tempat masing-masing,"katanya.

Menyentuh tentang dirinya yang sudah berusia 41 tahun dan akan hilang status Naib Presiden UMNO apabila tidak boleh lagi pegang Puteri UMNO pada pemilihan UMNO akan datang ini,Noraini berkata, " tak ada masalah apa.Kita dah biasa jadi orang bawah...tak perlu adjust apa-apa.

Menurut Noraini beliau juga pernah jadi Ketua Wanita UMNO cawangan sebelum sayap Puteri UMNO ditubuhkan dulu.
- 20/3/2008

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |