+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, September 3, 2008

Umno Ternyata Semakin Naif!

msomelayu

SATU segi kesediaan Umno memohon maaf kepada masyarakat Cina atas keterlanjuran pemimpinnya sesuatu yang baik dan terpuji. Langkah mengaku kesilapan dan bertanggungjawab atas apa yang berlaku adalah langkah terpuji. Sikap begitu juga dianggap sebagai jantan (gentelmen) dan dianjurkan oleh Islam.

Bagaimana pun bukan bermakna semua sikap bertanggungjawab seperti itu perlu dan dilihat sebagai baik dan sesuai. Adakalanya bersikap demikian bukan kerana ketinggian akal budi pemimpin berkenaan tetapi ia dibuat kerana mereka dalam keadaan terdesak dan tertekan. Ada juga kadang jala kerendahan diri disebabkan kerana penakut! Hanya mereka yang lemah saja mudah mengaku salah kepada sesuatu keadaan yang belum tentu siapa salah siapa benar demi menyelamatkan diri mereka.

Begitu juga dalam hal ini, tindakan Timbalan Presiden Umno, Mohd Najib Razak memohon maaf kepada masyarakat Cina secara terbuka yang kurang senang dengan kenyataan Ketua Umno Bukit Bendera, Ahmad Ismail tempoh hari itu dilihat sebagai satu tindakan terdesak dan tertekan serta tidak penting berbuat demikian. Apakah wajarnya bagi seorang tokoh Umno seperti Najib untuk memohon maaf?

Rasanya kesalahan atau keterlanjuran yang dilakukan oleh Ahmad itu bukan satu dosa besar sehingga sebuah parti yang dianggap bermaruah memperjuangkan Melayu memohon maaf begitu. Kalau pun benar Ahmad membuat kenyataan bermaksud menghina begitu, sepatutnya bukan sebuah parti yang menghulurkan permohonan maaf. Cukuplah individu yang nakal itu saja memohon maaf kepada masyarakat Cina.

Agak janggal dan pelik sedikit dengan apa yang berlaku itu. Menurut Najib kenyataan yang menyinggung masyarakat Cina itu dibuat oleh Ahmad atas sifatnya secara peribadi bukan menggambarkan kenyataan daripada Umno seluruhnya. Nah... kalau begitu kenapa pula Najib susah payah menjadi hamba untuk memohon maaf (apologetik) kepada masyarakat Cina? Sepatutnya Najib arahkan Ahmad saja memohon maaf dan tidak sampai melibatkan Umno!

Tidak cukup dengan perbutan Najib yang dilihat seolah-olah gentelmen tetapi lemah itu, Ahmad pula akan dikenakan tindakan. Apakah permohonan maaf itu bukan merupakan satu hukuman kepada Ahmad dan Umno atas sikap yang dianggap melampau itu? Dalam konteks apa yang berlaku tindakan Umno benar-benar mencabar maruahnya sendiri.

Pada hemat saya dari segi sejarah kenyataan Ahmad itu tidak ada cacat celahnya. Menurut sejarah kenegaraan ini masyarakat Cina, India, Feringgi dan lain-lain adalah pendatang ke negara ini. Semua orang yang celik sejarah tahu akan susur galur bagaimana mulanya mereka datang bermukim seterusnya mengumpul kekayaan di negara ini.

Masyarakat itu bukan penghuni asli dan mereka adalah pendatang, yang dibawa oleh penjajah untuk dijadikan boroh ataupun datang sendiri kerana ingin mencari makan. Dalam konteks itu masyarakat berkenaan adalah pendatang dan menumpang di negara ini. Dasar Jusoli memberi kesempatan kepada mereka untuk menjadi rakyat negara ini.

Status mereka itu berubah selepas mereka diterima menjadi warganegara ini. Bagaimanapun dari segi tawarikh dan keaslian mereka ia tidak boleh dipadam mereka adalah sebagai penumpang. Tidak ada salahnya kalau Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera memberi tafsiran demikian kerana ia adalah fakta sahih dari lipatan sejarah mengenai mereka.

Apakah bercakap benar terhadap sesuatu yang benar dianggap bersalah ataupun merupakan hasutan?

Saya rasa baik Najib atau Abdullah Ahmad Badawi memahami hakikat ini. Namun kerana kedudukan Umno yang lemah, tertekan menyebabkan mereka jadi kabur mengenai realiti ini dan lebih merelakan memukul anak sendiri kerana ingin menjaga hati jiran.Tidak ada gunanya kalau menjadi baik tetapi hipokrit?

Perlu diingatkan pemohonan maaf seperti mana disebut Najib itu adalah kali kedua dalam tempoh terdekat ini selepas adik sepupunya yang juga Ketua Pemuda Umno, Hishmuddin Hussein memohon maaf atas keterlanjurannya bermain dengan keris telanjang tidak lama dulu. Apakah tugas dan kewajiban kedua anak bekas Perana Menteri itu ialah memohon maaf kepada masyarakat Cina di negara ini?

Dalam musim hari ini pemimpin Umno hendaklah berhati-hati dan menjaga lidah dan tangan jangan sesekali bermain dengan peralatan tradisi Melayu seperti keris atau lembing ataupun bercakap mentafsirkan sejarah kalau tidak mahu kena potong tangan dan dikerat lidah oleh parti mereka bernama Umno.

Apapkah pengertian yang boleh diambil dari apa yang berlaku dan dilakukan ke atas Umno itu (desakan dan tekanan) ialah bernatijah kerana parti tertua orang Melayu itu sedang diancaman kepupusan semangat dan berada dalam tahap jiwa paling lemah kini. Kelemahan dan kepupusan semangat ini salahnya bukan orang lain melainkan pemimpin tertinggi mereka disaat ini, iaitu Mohd Najib Razak dan Abdullah Ahmad Badawi.
Justeru kalau begitu sudah sampai masanya Umno menyalinkan kedua pemimpin mereka itu dengan watak-watak dan sosok yang berani, bersih dan tidak mudah akur kepada tekanan dan asakan serta berani pula berlawan mempertahankan maruah dan martabat! [wm.kl 5:30 am 03/09/08]

Read More...

Harga minyak mungkin turun sebelum Aidilfitri - Shahrir

Mstar Online

03-09-2008 06:49:29 PM
Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB

PUTRAJAYA: Selepas mengalami penurunan sebanyak 15 sen lebih seminggu lalu, harga minyak tempatan mungkin akan diturunkan lagi menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri bulan depan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad Shahrir berkata, jika harga pasaran mengalami penurunan secara berterusan, pada paras AS$109 setong, pengguna boleh mengharapkan harga baru menjelang 1 Syawal.

"Saya memang seronok melihat harga minyak di pasaran dunia turun, walaupun dijangka adanya kekangan berikutan masalah Gustav dan politik di Eropah dan sebagainya.

"Saya tidak boleh ramal tapi harapannya macam yang lain. Tetapi alhamdulillah nampaknya harga minyak di paras yang stabil dan saya harap ia akan berterusan stabil dan menurun sedikit supaya kita dapat pula satu berita baik sebelum hari raya.

“Kalau kita dapat lihat kepada harga pasaran ke hadapan adalah AS$110, kemungkian ianya (akan) rendah daripada ini... saya harap jugak dapat hadiah hari raya seperti yang lain-lain,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran Web TV Bernama di Pejabat Perdana Menteri di sini, hari ini.

Ketika ditanya sama ada kerajaan menetapkan tarikh untuk mengumumkan harga minyak baru, beliau berkata dari segi amalannya, kerajaan telah bersetuju untuk mengambil harga bagi tempoh sebulan.

Bagaimanapun katanya, ia mungkin akan diumumkan kurang daripada tempoh itu termasuk pada bulan ini yang dijangka diumumkan sebelum Aidilfitri.

“Macam bulan lepas, kita dah nak ambil harga sebulan tetapi bila diberitahu tentang kenaikan indeks harga pengguna dan kita akan menyambut merdeka, jadi Kabinet merasakan mengapa kita tunggu kerana harga minyak dah turun pada paras yang baik.

“Jadi kita diputuskan untuk turunkan harga minyak pada ketika itu lebih awal daripada sepatutnya dan keadaan yang sama saya jangka boleh berlaku pada bulan ini,” katanya.

Read More...

Pindah sekolah masih kena histeria


tiga pakar terapi minda, Nor Azizan Abdul Majid (kanan) dan Rahmat Setiawan (kiri) berbincang dengan Bidi Ardi langkah untuk meredakan kejadian histeria di SMK Tanjung Lumpur, Kuantan, semalam.


KUANTAN 2 Sept. - Segelintir daripada 11 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Lumpur, di sini yang berpindah ke sekolah lain akibat diserang histeria, masih mengalami gangguan sama ketika berada di sekolah baru mereka.

Perkara tersebut didedahkan oleh salah seorang ibu mangsa, Mariah Mat Zain, 50, yang terpaksa membawa anaknya, Nor Faizah Mohd. Mustafa, 14, ke SMK Tanjung Lumpur hari ini bagi menerima rawatan setelah diserang histeria kira-kira pukul 8 pagi di sekolah barunya di SMK Soi.

Mariah berkata, sejak dipindahkan ke sekolah baru tiga minggu lalu, gangguan pagi ini adalah kali kedua dialami anaknya sehingga memaksa dia membawanya semula ke sekolah lama untuk dirawat.

''Masuk kali ini sudah enam kali anak saya diserang histeria, ia sangat membimbangkan. Setiap kali diserang, anak saya akan berubah menjadi ganas.

''Ketika ditempatkan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini baru-baru ini setelah diserang histeria, dia boleh melepaskan diri daripada lima lelaki yang cuba mententeramkannya dengan memutuskan kain yang mengikat tangannya di katil," katanya ketika ditemui di pekarangan sekolah tersebut di sini hari ini.

Berikutan gangguan itu juga, jelas Mariah, anaknya terpaksa membatalkan puasanya hari ini kerana keletihan setelah dirawat.

Sementara itu, sukarelawan dan pakar terapi daripada Aur Asyifa' Malaysia, Nor Azizan Abdul Majid berkata, pihaknya akan menggunakan pendekatan perubatan secara saintifik iaitu terapi minda dengan bantuan dua pakar terapi daripada Aur Syifa' Bandung, Indonesia, Rahmat Setiawan, 49, dan Bidi Ardi, 33.

Katanya, menerusi kaedah hipnoterapi yang menggunakan minda sedar dan minda bawah sedar itu, guru-guru sekolah itu akan diberikan penerangan mengenai kaedah mengawal keadaan dan pelajar sekiranya histeria berulang lagi.

''Jika dibenarkan, kita ingin membuat perjumpaan tertutup dengan guru-guru, kita akan menjalankan terapi ke atas guru-guru supaya mereka boleh mententeramkan pelajar menggunakan kaedah yang sama.

''Kaedah ini selamat dan tidak menyakitkan seperti yang diamalkan pengamal perubatan tradisional sebelum ini," katanya yang datang ke sekolah itu hari ini bagi meninjau masalah sebenar yang berlaku.

Ditanya apakah punca yang menyebabkan gangguan berterusan itu, Nur Azizan memberitahu, ia sebenarnya berkait rapat dengan masalah kemurungan dan trauma yang dialami para pelajar.

Tanpa menafikan kewujudan entiti yang menjadi salah satu punca gangguan, beliau berkata, kaedah yang dipraktikkannya akan cuba mengubah persekitaran sekolah yang suram kepada ceria bagi mengembalikan 'mood' pelajar.

''Kita orang Melayu sering dimomokkan dengan benda-benda seperti hantu, jadi bila kejadian histeria berulang, ia akan turut menjangkiti pelajar lain dan akhirnya ia tidak berkesudahan," katanya.

Tambah beliau, pihaknya juga akan berbincang dengan Jabatan Pelajaran Negeri dan pihak-pihak berkenaan bagi mengatasi masalah tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, tinjauan di sekolah itu hari ini mendapati masih terdapat empat hingga lima pelajar perempuan diserang histeria walaupun pada hari pertama persekolahan pada bulan Ramadan.

Selain meracau-racau dengan suara ganas, salah seorang daripada pelajar terpaksa dibawa keluar ke surau sekolah bagi menerima rawatan.

Read More...

Nik Aziz yakin kerajaan baru bakal ganti BN

Harakahdaily

Salmah Mat Husain
Wed | Sep 03, 08 | 6:15:39 pm MYT

KOTA BHARU, 3 Sept (Hrkh) - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yakin kerajaan Barisan Nasional (BN) yang menerajui negara sejak lebih 50 tahun akan diganti kerajaan baru.

� Menurutnya, perubahan itu bukan kerana faktor 16 September semata-mata, sebaliknya dasar dan pemikiran pemimpin BN yang ada hari ini perlu diubah.

"Itu yang saya yakin, kami berjuang dah berpuluh tahun nak ubah dasar negara dan pemikiran rakyat khususnya supaya menerima pentadbiran berasaskan Islam.

"Isu 16 September hanyalah masalah teknikal sahaja, jadi saya serahkan kepada mereka yang terbabit," katanya yang enggan mengulas lanjut ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat Exco, di Kota Darulnaim, hari ini. ��

Isu 16 September ternyata menjadi hambatan besar kepada pemimpin-pemimpin Umno dan BN sehingga mereka mengangggap sebagai gimik politik Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Malah mengikut laporan terbaru 43 anggota parlimen BN sudah menyatakan komitmen akan meninggalkan parti itu bagi menyertai Pakatan Rakyat dalam misi menubuh kerajaan baru di Putrajaya.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, bagi mengelakkan masyarakat sentiasa memperbesarkan isu perkauman beliau berhasrat menunaikan solat di masjid pelbagai budaya di Rantau Panjang sempena Ramadan ini yang diimamkan Cina Muslim.

"Dalam bulan ini saya bercadang menunaikan solat di Masjid Pelbagai Budaya yang mana imamnya orang Cina Muslim. Saya mahu menjadi makmum di belakangnya," ujarnya.

Beliau berkata, perkara itu dilakukan bertujuan meredakan semangat perkauman yang tidak berkesudahan dalam masyarakat sehingga sekarang.

Sedangkan katanya umat Islam mempunyai gurunya iaitu Nabi Muhammad saw, namun mereka lebih berbangga dengan fahaman yang dibawa bangsa lain.

Kata Tuan Guru Nik Abdul Aziz Islam sejak awal lagi Islam tidak memberi ruang kepada isu perkauman kerana Islam mahu merapatkan hubungan sesama bangsa.

"Saya sentiasa sebut, kalau Allah yang buat rupa paras manusia termasuk Cina atau Melayu sama sahaja sudah tentu tidak akan mengenali antara satu sama lain," ujarnya.

Beliau berkata, sebenarnya masalah perkauman berpunca akibat penjajahan Eropah yang berlaku sejak beratus tahun lalu.

Sementara itu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz mencadangkan pihak berwajib mengenakan tindakan yang berat terhadap peniaga mercun bagi mengelak berulangnya kecederaan yang menimpa kanak-kanak.

Katanya, masalah itu berpanjangan sejak sekian lama dan tidak pernah selesai kerana tiada tindakan tegas kerajaan bagi menanganinya.

Beliau diminta mengulas kejadian yang berlaku terhadap seorang kanak-kanak dari Rantau Panjang yang cedera akibat bermain mercun malam tadi.

Kanak-kanak berkenaan difahamkan merupakan mangsa mercun pertama di Kelantan. - mj _

Read More...

Pantun mufti Perlis bidas siapa?

Malaysiakini

Jimadie Shah Othman | Sep 3, 08 4:25pm

Pantun mufti popular, Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang meminta pemimpin negara mengundur diri "apabila negara kacau" menimbulkan seribu tanda tanya.

mohd asri zainul abidin interview 231106 pointPantun yang disiarkan di blog beliau (www.drmaza.com) dua hari selepas pilihanraya kecil parlimen Permatang Pauh minggu lalu, antaranya, menyebut:

Anak singa di Pulau Teberau
Anak tebuan seekor lari
Jika negara sudah kacau
Eloklah tuan mengundur diri

Dalam pilihanraya yang menjadi tumpuan ramai itu, penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Arif Shah Omar Shah dan calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) Hanafi Hamat dengan majoriti besar 15,571 undi.

Karya mufti Perlis yang berjudul Pantun 'Cari Ganti' bagaimanapun tidak menamakan dengan jelas pemimpin politik yang dimaksudkan ataupun anggota mana-mana parti politik.

Bagaimanapun ia dipercayai merujuk Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Tulisan sinis Dr Mohd Asri itu boleh mengundang pelbagai reaksi kerana disiarkan ketika pelbagai pihak mendesak Abdullah mengundur diri - antaranya Anwar dan mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad - kerana didakwa tidak mampu mentadbir negara.

Pantun empat kerat itu berlatarkan imej pejabat perdana menteri di Putrajaya.

Dipelawa jadi calon

Mohd Asri sebelum ini pernah dikaitkan dengan pembangkang apabila menyertai sebuah forum anjuran Pakatan Rakyat di Kelantan.

pantun mohd asri blog 030908Malah, beliau juga turut dipelawa untuk bertanding atas tiket BN bagi mencabar Anwar di Permatang Pauh.

Dalam rangkap akhir pantun empat kerat itu, mufti muda itu turut meminta pengunduran itu digantikan dengan pemimpin yang "berbudi tinggi".

Rangkap itu berbunyi:

Pergilah mandi di Titi Tinggi
Jangan tersepak tali pencuci
Carilah ganti berbudi tinggi
Bukan perompak ganti pencuri

Rangkap ini juga tidak menyatakan siapakan pengganti yang dimaksudkannya itu.

Bagaimanapun, dua tokoh yang disebut-sebut ingin menggantikan tempat Abdullah termasuklah timbalannya Datuk Seri Najib Razak pada pertengahan tahun 2010, selain Anwar yang berusaha merebut tampuk kekuasaan menjelang 16 September ini.

Mufti Perlis sering menjadi perhatian media kerana kerap memberikan reaksi dan komen kritis terhadap fenomena politik dan isu-isu semasa.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Dr Mohd Asri berkata beliau tidak dapat bercakap panjang kerana ada urusan dan meminta belau dihubungi semula.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat dihubungi kembali setakat ini.

Read More...

Angkara JKKK, OKU dinafikan duit raya?

Buletin Online

PDF Cetak E-mail
Ditulis oleh Wartawan Buletin
Tuesday, 02 September 2008

http://buletinonline.net/images/Berita10/jkkkduitraya.jpgMenteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said menyatakan Kerajaan negeri Terengganu meluluskan peruntukan RM46.594 juta sebagai bantuan kepada golongan yang memerlukan sempena Hari Raya Aidilfitri ini.


Ahmad berkata, bantuan hari raya tersebut adalah untuk 153,201 penduduk terdiri daripada golongan miskin yang berpendapatan bawah RM1,500, warga emas, orang kurang upaya dan ibu tunggal.

Menurutnya, bantuan berupa wang tunai itu adalah dari wang royalti minyak yang dikenali sebagai Dana Khas Kerajaan Persekutuan bagi meringankan beban golongan tersebut membuat persiapan bagi menyambut hari kebesaran umat Islam itu.

"Bantuan akan mula diagihkan pada minggu pertama Ramadan ini dan akan diberi secara berperingkat-peringkat," katanya pada 25 Ogos lalu.

Beliau memberitahu, bagi golongan miskin melibatkan 90,490 penerima dan setiap keluarga akan menerima RM300, bagaimanapun jika keluarga berkenaan mempunyai lebih lima orang anak, mereka akan menerima RM500.

Namun sebaliknya tinjauan Buletin Online mendapati bukan semua rakyat dapat merasai ‘nikmat’ dana khas ‘duit raya’ yang dinyatakan oleh Ahmad.

Antaranya adalah sebuah keluarga miskin warga emas dari Kampung Bukit Nenas, Encik Nasir Hamzah, dari Kampung Bukit Nenas, dekat sini.


Beliau yang ditemui baru-baru ini mendakwa tidak menerima sebarang bantuan dana khas raya kecuali ketika pemerintahan kerajaan PAS Terengganu sebelum tahun 2004.

Walaupun beliau adalah penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri ini, namun menurutnya bantuan duit raya melalui dana khas telah ‘dipotong’ tanpa sebarang penjelasan.

“Saya tidak pernah bantuan raya dana khas sejak kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah semula Terengganu ini tetapi dahulu ada juga sekali-sekala.


“Bantuan dana khas saya sudah ‘dipotong’ tetapi orang lain yang lebih senang dan berkemampuan terus dapat duit raya atau zakat,” jelasnya.


Beliau yang juga tergolong di kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) kerana masalah penglihatan masih menanggung persekolahan dua anak perempuan di peringkat menengah.

“Saya pun sudah lama tidak bekerja kerana masalah mata kabur dan mengharapkan bantuan bulanan pejabat kebajikan masyarakat,” ujarnya.


Walaupun begitu, beliau yakin bahawa rezeki adalah dari Allah SWT namun tangan-tangan manusia yang diberi amanah gagal untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan adil.

Tindakan pihak pemimpin masyarakat seperti JKKK, tidak wajar memilih ‘bulu’ atau berdendam dan bertindak menyisihkan beliau sepatutnya tidak berlaku, kata beliau.

Read More...

Musa Hasan lumpuh???

perisik rakyat

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hasan yang menjalani pembedahan pintasan jantung baru-baru ini dipercayai lumpuh tangan kiri beliau dan tidak mampu lagi bertutur secara normal.

Tan Sri Musa Hasan diberitakan akan mengambil masa yang lama untuk sembuh melalui rawatan fisioterapi dan kemungkinan besar kesihatan beliau tidak akan pulih seperti sebelumnya sepenuhnya.

Sekiranya beliau tidak lagi boleh menjalankan tugas beliau sebagai Ketua Polis Negara disebabkan masalah kesihatan, timbalan beliau mungkin akan memangku jawatan Ketua Polis Negara sehingga pengganti Tan Sri Musa Hasan dikenal pasti.

Read More...

Sertai Pakatan: PKR Sarawak dakwa 40 MP tunjuk kesediaan

Mstar Online

03-09-2008 10:22:50 PM
Oleh ARIFFUDDIN ISHAK

(Dikemas kini) PETALING JAYA: Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, Dominique Ng Kim Ho yakin peralihan kuasa kerajaan persekutuan 16 September ini akan menjadi kenyataan tetapi enggan mengulas spekulasi Nab Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin antara mereka yang bakal sertai Pakatan Rakyat.

"PKR Sarawak sangat yakin sasaran 16 September (bentuk kerajaan) akan berjaya dilaksanakan seperti yang dirancang," katanya kepada mStar Online.

Beliau menyatakan demikian sehari selepas Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan menemui beberapa Ahli Parlimen dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung di ibu negara semalam.

Malah pada Khamis lalu, seramai enam wakil rakyat dari Sarawak sudah menemui Anwar iaitu pada petang selepa bekas Timbalan Perdana Menteri mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Rakyat.

Menurut beliau, sehingga hari ini hampir 30 orang Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dari Sarawak dan Sabah telah menyatakan kesediaan mereka untuk menyertai Pakatan Rakyat.

"Keseluruhan dari kedua-dua negeri ialah hampir 30 orang. Dari Sarawak saja kita ada lebih 10 orang yang akan lompat menyertai kita membentuk kerajaan baru pada 16 September nanti," kata beliau.

Ketika ditanya sejauh mana benarnya desas-desus bahawa Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Industri dan Antarabangsa akan menyertai Pakatan, beliau berkata: "Maaf jangan tanya saya mengenai hal itu. Tiada komen."

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan memberitahu telah menemui kesemua Ahli Parlimen yang dimaksudkannya bagi mengadakan perbincangan mengenai hasrat menyertai Pakatan Rakyat.

"Sudah pastilah saya sudah menemui mereka, tapi siapakah mereka itu tak bolehlah saya dedahkan sekarang. Anda mesti tunggu 16 September ini jika ingin mengetahuinya," katanya.

Ditanya apakah faktor yang mendorong Ahli Parlimen BN untuk menyertai Pakatan Rakyat, beliau berkata, perkara itu adalah berdasarkan prinsip yang didokong pakatan itu.

"Mereka sudah sedar bahawa hanya Pakatan Rakyat sahaja yang boleh membela nasib rakyat terutamanya soal memberi perhatian yang lebih baik kepada rakyat di Sarawak dan Sabah yang lebih 10 tahun ketinggalan di belakang," katanya.

Dominique juga menjelaskan bahawa Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah menjanjikan pembelaan yang sewajarnya kepada mereka.

"Datuk Seri Anwar berjanji akan memberikan layanan yang sama rata kepada kami. Tidak seperti apa yang diamalkan oleh kerajaan BN sekarang," katanya.

Selain itu, beliau juga yakin setelah kerajaan Persekutuan berjaya diambil alih oleh kerajaan Pakatan Rakyat, kerajaan negeri Sarawak akan mengikut jejak langkah yang sama.

"Jangan risau, setelah peringkat pusat kita berjaya kuasai, perkara yang sama juga akan berlaku pada pentadbiran kerajaan negeri Sarawak," katanya.

Beliau juga memberitahu Anwar akan mengadakan lawatan ke Sarawak pada bulan ini, namun tarikhnya masih belum ditentukan.

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |