+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Sunday, November 9, 2008

Syed Hamid: KDN tidak akan pertikai keputusan mahkamah bebaskan Raja Petra

Mstar Online

KAJANG: Kementerian Dalam Negeri tidak akan mempertikai keputusan mahkamah berhubung pembebasan penulis blog Raja Petra Raja Kamarudin daripada tahanan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), kata Menterinya Datuk Seri Syed Hamid Albar.

"Itu mahkamah punya keputusan, jadi kalau dia dibebaskan, itu hak mahkamah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Masjid Penjara Kajang, Hulu Langat, di sini hari ini.

Raja Petra, 58, ditahan di bawah ISA pada 12 Sept lepas selepas bertindak secara sedar, sengaja dan tidak bertanggungjawab menyiarkan artikelartikel tulisannya yang mempersenda dan menghina orang Islam, kesucian Agama Islam serta peribadi Nabi Muhammmad S.A.W yang telah membangkitkan kegelisahan dan kemarahan masyarakat Islam di negara ini.

Raja Petra dibebaskan hari ini atas perintah Mahkamah Tinggi Shah Alam yang menerima permohonan habeas corpus daripada penulis blog itu.

Dalam perkembangan lain, Syed Hamid meminta pihak yang melemparkan dakwaan rasuah ke atasnya agar membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) bagi kesahihan.

Mengulas laporan polis yang dibuat Ketua Penerangan PAS Johor Mazlan Aliman yang mendakwa beliau merasuah penyokongnya bagi meraih jawatan Naib Presiden Umno, Syed Hamid berkata pihak terbabit perlu menggunakan saluran yang betul dalam mendapatkan penjelasan dan bukannya menggunakan taktik fitnah.

"Saya hairan kenapa PAS buat laporan itu. Saya tengok mereka (PAS) ni suka cari benda fitnah. Semua ada saluran dan caranya, siapa tidak puas hati boleh bawa kepada BPR dan terpulang kepada BPR untuk menentukan siasatannya," katanya. BERNAMA

Read More...

DR M: Hakim-hakim berkenaan dipecat

Malaysiakini

Nov 8, 08 6:57pm

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengesahkan bahawa tiga hakim yang terlibat dalam krisis kehakiman 1988 telah dipecat, walaupun Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz menyatakan mereka diminta meletak jawatan.

"Setahun saya, mereka dipecat," katanya kepada wartawan ketika diminta mengulas isu itu, di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya.

salleh abas and malaysia parliamentBeliau bagaimanapun berkata, bekas-bekas hakim itu tetap menerima pencen atas dasar ihsan, termasuk bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas, demikian menurut laporan Bernama.

"Sekalipun beliau dipecat, beliau telah memberikan khidmat kepada kerajaan dalam beberapa tahun beliau di situ. Untuk memisahkan beliau sepenuhnya dari pencen adalah amat zalim, jadi diputuskan beliau dan hakim-hakim lain diberikan pencen mereka," kata Dr Mahathir.

Khamis lalu, Nazri memberitahu Dewan Rakyat bahawa tidak pernah keluar perintah daripada tribunal berkenaan supaya memecat hakim-hakim itu, dan dalam sidang akhbar selepas itu, beliau sekali lagi menegaskan bahawa hakim-hakim itu telah diminta meletak jawatan.

Tun Salleh Abas, allahyarham Tan Sri Wan Suleiman Pawan Teh dan Datuk George Edward Seah dipecat dari jawatan selepas tribunal berkenaan mendapati mereka bersalah atas salahlaku dalam krisis kehakiman 1988, manakala tiga hakim lain Tan Sri Datuk Mohd Azmi Kamaruddin, Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdoolcader dan Tan Sri Wan Hamzah Mohd Salleh digantung tugas tetapi kemudian
dikembalikan ke jawatan mereka.

Dr Mahathir enggan mengulas bila ditanya sama ada jumlah yang dibayar kepada hakim-hakim itu mencukupi, dan berkata itu harus ditanyakan kepada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim.

Dr.Mahathir berkata kerajaan sepatutnya membayar pampasan kepada bekas ketua setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar Datuk Dr Abdul Aziz Muhamad yang telah dibebaskan Selasa lalu dari tuduhan bersubahat dalam kes jenayah pecah aman dan menipu melibatkan RM9 juta.

Dr Mahathir, Presiden Kehormat Yayasan Kepimpinan Perdana sebelum itu melancarkan triathlon amal oleh perenang termuda jarak jauh negara, Salman Ali Shariati Abdul Halim, serta menyampaikan ucaptama dalam forum "Nilai Belia dan Kepimpinan Masa Depan" selepas pelancaran itu.

Salman Ali Shariati, 11, memulakan triathlon itu dengan acara berenang sejauh lapan kilometer, kemudian berbasikal sejauh 360 kilometer dan berlari sejauh 84 kilometer, dan dijangka tamat jam 5 petang esok.

Read More...

KDN rayu keputusan mahkamah bebaskan Raja Petra

Mstar Online

KOTA KINABALU: Kementerian Dalam Negeri akan merayu terhadap keputusan mahkamah semalam membebaskan editor laman web Malaysia Today Raja Petra Kamaruddin daripada tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Menterinya, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata walaupun kementeriannya tidak bersetuju dengan keputusan mahkamah itu, keputusan itu tetap dihormati.

"Bagi saya, kalau ada sesiapa yang mengatakan mahkamah di dalam negara kita tidak bebas, ini (keputusan) membuktikan bahawa proses penghakiman dan keadilan di negara kita adalah satu proses yang bebas dan tidak membuat keputusan semata-mata memihak kepada kerajaan.

"Walaupun kita tidak bersetuju dengan keputusan itu, kita akan membuat rayuan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Jelasnya, penahanan Raja Petra mengikut ISA merupakan langkah pencegahan sebelum tercetus konflik dan salah faham berasaskan agama akibat penulisan editor itu dalam laman web tersebut.

Katanya, sekiranya perkara yang tidak diingini berlaku berikutan tindakan pihak atau individu tertentu bermakna ISA, yang bertindak sebagai undang-undang pencegahan, tidak berkesan.

"Tetapi mahkamah mempunyai hak untuk mentafsirkan bagaimana sesuatu keputusan yang diambil oleh menteri mengikut kuasa yang diberikan di bawah undang-undang.

"Kuasa itu diberikan di bawah perlembagaan Malaysia untuk mengadakan akta pencegahan," katanya.

Beliau berkata, kementeriannya juga akan mendapatkan penjelasan terperinci daripada mahkamah supaya tidak wujud keraguan dalam mengambil tindakan mengikut peruntukan di bawah ISA, termasuk kuasa menteri dalam membuat keputusan menahan seseorang. BERNAMA

Read More...

Bapa restui Norman-Memey

Mymetro

KUALA LUMPUR: “Kalau sudah ditakdirkan Memey bertemu jodoh dengan Norman, abang tidak ada masalah, malah merestuinya,” kata bapa pelakon Suhaiza atau Memey, 20, Suhaimi Sarwani, 45, ketika dihubungi di kediamannya di Felda Tenggaroh 1, Kota Tinggi, Johor, malam tadi.

Suhaimi yang membahasakan diri dengan panggilan abang, berkata dia sekeluarga sedia menerima pilihan hidup Memey asalkan anaknya gembira dan berbahagia bersama pasangannya.

“Terpulang kepadanya untuk membuat pilihan sendiri...abang ikut saja pilihannya.

“Oleh itu, abang akan merestui hubungan mereka sekiranya ditakdirkan bertemu jodoh,” katanya mengulas kejadian menimpa Memey yang ditangkap khalwat dengan Norman Hakim di Ukay Perdana, pada 30 Oktober lalu.

Ditanya pandangan masyarakat kampungnya berkaitan kejadian terbabit, Suhaimi berkata, dia tidak menghadapi sebarang masalah kerana penduduk memahami situasi dialami Memey.
“Orang kampung tidak pernah meminggirkan kami, sebaliknya mereka memberi sokongan. Mereka dapat menerima kejadian menimpa anak abang kerana ia sebahagian asam garam kehidupan sebagai seorang artis.

“Abang tidak pernah menghalang Memey berkecimpung dalam industri seni, malah sentiasa menggalakkan dia meneruskan bidang diceburi kerana memang diminatinya sejak kecil,” katanya.

Selepas kejadian itu, Suhaimi berkata, Norman ada menghubungi ibu Memey untuk menjelaskan perkara sebenar dan meminta maaf dengan apa yang berlaku.

Katanya, Norman memberi jaminan tidak akan mengaitkan insiden itu dengan keluarganya.

Menurutnya, Memey yang juga anak ketiga daripada enam beradik selalu menghubungi keluarganya untuk bertanya khabar.

“Hampir setiap hari Memey menghubungi isteri saya tak kira waktu pagi, petang atau malam kecuali kalau dia ada penggambaran kerana mungkin terlalu sibuk berlakon,” katanya.

Mengenai keretakan rumah tangga Norman bersama Abby Abadi, kata Suhaimi, dia tidak mahu campur tangan dalam urusan rumah tangga pasangan berkenaan.

“Biarlah mereka selesaikannya dengan baik. Saya tak nak komen apa-apa pasal rumah tangga mereka,” katanya tenang menjawab soalan yang dikemukakan wartawan Harian Metro.

Suhaimi turut menyerahkan kepada mahkamah menentukan kes khalwat Memey bersama Norman.

“Apa saja keputusan, saya terima seadanya. Sekiranya terbukti mereka melakukan kesalahan itu, saya tetap menerima anak saya dan Norman,” katanya.

Pada awal pagi 30 Oktober lalu, Norman atau Mohamed Nurhakim Zaidon, 32, (gambar) dan Memey ditangkap khalwat oleh sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di pejabat pelakon lelaki itu di Ukay Perdana.

Ini menyebabkan kemelut perkahwinan Norman dengan Abby atau Arbaeyah Abdul Manan, 30, yang sudah lama berlanjutan semakin parah.

Abby yang berang dengan tindakan Norman mempunyai hubungan dengan Memey kini menuntut suami menceraikannya.

Kelmarin, Norman yang ditemui selepas menunaikan solat hajat dan istikarah di Masjid Nur Hidayah Kampung Pandan, berkata dia pasrah apa yang berlaku sama ada bersama semula atau berpisah dengan Abby.

Read More...

Pembebasan Raja Petra: Kejayaan luar biasa, Syed Hamid wajar lepaskan jawatan

Suara Keadilan

KUALA LUMPUR, 8 NOVEMBER (SK) - Keputusan Mahkamah Tinggi untuk membebaskan Raja Petra Kamarudin dari tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah satu keputusan yang diluar jangka.

Menurut bekas tahanan ISA, Saari Sungib adalah satu kejayaan luar biasa bagi rakyat Malaysia semalam apabila hakim membenarkan Raja Petra dibebaskan setelah Horbus Corpus.

“Adalah satu kejayaan luar biasa dalam perjuangan menghapuskan ISA, Raja Petra berja dibebaskan dan hakim pula menafikan

Saari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Klang berkata, dalam kes ini Menteri Dalam Negeri, Syed Hamid Albar haruslah melepaskan jawatan kerana tidak berwibawa dalam melaksanakan tugas dengan wibawa.

“Syed Hamid berhak melepaskan jawatan beliau sebagai menteri kerana beliau tidak berwibawa menjalan tugas,” katanya lagi.

Ujarnya kesilapan beliau menahan wartawan yang melindungi keselamatan wartawan beliau amat diragui.

Dalam pada itu, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) bertaraf antarabangssa, Amnesty International penggunaan ISA yang digunapakai dinegara ini dan menuntut agar kesemua tahanan ISA dibebaskan.

“Amnesty International meminta agar kerajaan membubarkan ISA dengan segera serta mendakwa dengan kesalahan dan membicarakan atau membebaskan kira-kira 60 orang yang masih lagi ditahan dibawah ISA” menurut kenyataan berkenaan.

Dalam penghakiman semalam, Hakim Mahkamah Tinggi Syed Ahmad Helmy berkata walaupun Seksyen 8 ISA selaras dengan Artikel 149 Perlembagaan Persekutuan tetapi dalam kes ini alasan penahanan yang dibuat oleh Menteri Dalam Negeri, Syed Hamid Albar tidak termasuk dalam skop Seksyen 8 akta itu.

Beliau turut mengarahkan agar Raja Petra, yang ketika itu berada di Kem Tahanan Kamunting (Kemta), Taiping, yang ditahan sejak 12 September lepas, dibawa ke mahkamah sebelum pukul 4 petang semalam bagi urusan pembebasannya.

Seksyen 8(1) menetapkan bahawa seseorang itu boleh ditahan selama dua tahun dan boleh disambung bila-bila masa.

Para peguam yang mewakili Raja Petra adalah Malik Imtiaz Sarwar, Azhar Azizan Harun dan Ashok Kandiah.

Raja Petra yang tiba dari Kem Tahanan Kamunting (Kemta) di mahkamah lebih kurang jam 3 petang kelihatan tenang.

Read More...

Mesyuarat Pemuda Rembau 'kecoh sedikit'

Malaysiakini

Abdul Rahim Sabri | Nov 8, 08 2:41pm

Mesyuarat Pemuda Umno Rembau 'kecoh sedikit" sewaktu proses pencalonan bagi ketua Pemuda Umno Malaysia diadakan pagi tadi.

Ia berlaku selepas nama Khairy Jamaluddin yang juga ketua Pemuda bahagian tersebut dicadang dan disokong untuk jawatan tersebut.

khairy jamaluddinSebaik sahaja nama Khairy dicalon, ada perwakilan yang terus membuat cadangan supaya pencalonan ditutup dan disokong oleh perwakilan lain.

Menurut sumber-sumber, ketika itu ramai perwakilan meluangkan nama 'Khairy' tanda penyokong pencalonannya

Ketika itu, seorang lagi perwakilan berjalan ke arah mikrofon dan meminta supaya dibuka semula pencalonan.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan nama calon-calon mahu dicadangkan.

Perwakilan lain yang melihat keadaan itu mula bangun dan menjerit "KJ, KJ, J" serta "Pencalonan ditutup, pencalonan ditutup".

Seramai 308 perwakilan hadir dalam mesyuarat perwakilan itu yang dirasmikan oleh Ketua Umno bahagian Rembau yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Pengerusi tetap kemudiannya memutuskan pencalonan telah ditutup atas alasan majoriti perwakilan mahu Khairy dicalonkan sebagai ketua Pemuda.

Berikutan itu, Khairy terpilih sebulat suara sebagai calon ketua Pemuda, manakala exco Pemuda, Datuk Reezal Merican Naina Merican dicalonkan untuk naib ketua.

Setakat ini, Datuk Mukhriz Mahathir mendahulu dengan 74 pecalonan, Khairy 53 dan Datuk Khir Toyo (58). Bagi naib pula ahli Parlimen Muar, Razali Ibrahim mendahului dengan 94 pencalonan dan Reezal sehingga ini mendapat 82 pencalonan.

Sementara itu, Khairy berkata, pencalonan beliau di tempat sendiri itu telah melengkapkan kempennya untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda.

"Pencalonan ini tidak sempurna jika rakan-rakan saya sendiri tidak
menyokong kita. Ini maruah saya," katanya selepas mesyuarat itu.

Sementara itu, Khairy juga kekal sebagai ketua Pemuda Umno bahagian tersebut selepas menang tanpa bertanding hari ini.

Manakala Mohd Shafrul Azman juga menang tanpa bertanding bagi jawatan naib ketua Pemuda bahagian selepas memperoleh 96 pencalonan daripada 100 cawangan dalam bahagian berkenaan.

Read More...

Pemimpin amal politik wang tiada tempat dalam UMNO - Najib

Utusan Online

PEKAN 8 Nov. - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan bahawa tidak ada tempat dalam UMNO bagi pemimpin parti itu yang terlibat dalam gejala politik wang.

Tegasnya, UMNO memerlukan pemimpin yang memiliki kredibiliti dan bersih daripada amalan politik wang untuk meneruskan perjuangan parti ke peringkat tertinggi.

Bagaimanapun, kata beliau, ia terpulang kepada ahli parti untuk memilih pemimpin dan bergantung tahap penguatkuasaan parti berhubung gejala itu.

''Tidak ada tempat untuk pemimpin yang mengamalkan politik wang tetapi ia akhirnya terpulang kepada ahli UMNO untuk membuat pilihan.

''Ia juga bergantung kepada tahap penguatkuasaan kita. Ia macam perangkap laju, ada yang terlepas dan ada yang terkena," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pekan di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail yang meminta pucuk pimpinan UMNO segera menyelamatkan parti itu daripada kehancuran berikutan berleluasanya politik wang pada pemilihan sekarang yang disifatkan paling serius dengan lebih 900 aduan diterima setakat ini.

Menurut Tengku Ahmad Rithauddeen, beliau berulang kali melaungkan amaran mengenai politik wang malangnya lebih banyak aduan diterima kali ini berbanding pemilihan empat tahun lalu.

Mengulas lanjut, Najib yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, pihaknya sedar untuk menangani politik wang dalam pemilihan parti bukan sesuatu yang mudah tetapi usaha ke arah itu perlu diperhebatkan.

''Kita sedar ia bukan mudah. Bercakap memang mudah tetapi hendak melakukannya sukar. Namun bukan bererti usaha-usaha ke arah itu kita hentikan. Kita patut memperhebatkan lagi usaha kita," tegasnya.

Ditanya mengapa tiada sebarang tindakan diambil ke atas calon-calon tertentu setakat ini, katanya, setiap aduan dan laporan memerlukan bukti kukuh untuk mensabitkan seseorang calon dengan politik wang.

''Walaupun ia (Lembaga Disiplin UMNO) bukan mahkamah tetapi asas bukti (politik wang) mesti ada iaitu di mana berlaku kejadian, berapa jumlah wang yang diterima dan bukti wangnya," jelasnya.

Dalam pada itu, Najib berkata, UMNO sedang meneliti kesahihan setiap aduan politik wang yang sebahagiannya dipercayai palsu dan bertujuan menjatuhkan calon tertentu.

Menurut beliau, pihaknya mengaku menerima banyak aduan berhubung politik wang tetapi setiap tindakan tidak boleh diambil terburu-buru bagi mengelakkan mana-mana calon teraniaya.

''Aduan itu banyak tetapi kita jangan menganiaya sesiapa. Kadang-kadang ada aduan palsu dan kurang tepat. Kadang-kadang pihak tertentu hendak mengena atau menjatuhkan mana-mana pemimpin dengan politik wang.

''Setiap aduan mesti disiasat dari segi kesahihan laporannya," katanya

Beliau menegaskan, amalan politik wang perlu dibanteras bagi memastikan imej parti tidak terjejas selain perjalanan proses pemilihan adalah bersih.

Amalan politik wang, tambah Najib, akan menyebabkan pemimpin yang tidak sepatutnya dipilih memegang sesuatu jawatan.

''Kita mungkin mempunyai barisan pemimpin yang tidak dapat mengangkat perjuangan UMNO ke tahap yang lebih tinggi lagi selain merosakkan kredibiliti parti itu sendiri.

''Rakyat akan menilai terhadap UMNO melalui pemimpin yang diketengahkan," jelasnya.

Read More...

Gesa senjata nuklear dihalang, Obama hadapi kecaman sulung Iran

Mstar Online

[DIKEMAS KINI] CHICAGO: Barack Obama yang mencatatkan kemenangan bersejarah sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) Selasa lalu, semalam berkata bahawa usaha antarabangsa adalah perlu bagi menghalang Iran daripada membangunkan senjata nuklear.

Bagaimana beberapa jam selepas kenyataan itu dikeluarkan, Speaker Parlimen Iran, Ali Larijani mengecam pendirian Obama.

"Ini menggambarkan kesinambungan dasar yang salah, yang sama seperti pada masa lalu," kata Ali ketika mengulas kenyataan Obama itu, di Teheran hari ini.

"Jika Amerika Syarikat mahu mengubah pendiriannya yang berkaitan dengan rantau ini ia harus menghantar isyarat-isyarat baik,' katanya.

Bercakap pada sidang akhbar 20 minit di sebuah hotel di sini semalam, Obama berkata:

"Pembangunan senjata nuklear Iran, saya percaya sesuatu yang tidak boleh diterima."

"Iran menyokong pertubuhan pengganas, yang saya merasakan sesuatu yang perlu dihentikan," katanya.

Obama muncul Presiden AS yang ke-44 dengan menewaskan John McCain pada pemilihan Selasa lalu.

Kemenangan itu diharap oleh masyarakat dunia dan dipercayai akan membawa perubahan dalam dasar luar AS.

Obama memberitahu, beliau akan meneliti surat ucapan tahniah yang dihantar oleh Presiden Iran Mahmoud Ahmadinejad dan akan menjawab sewajarnya.

Dalam suratnya kepada Obama, Mahmoud selain mengucapkan tahniah beliau juga menggesa Presiden yang baru itu supaya mengamalkan perubahan "fundamental dan adil" dalam dasar luar AS di rantau tersebut.

"Saya mengucapkan tahniah atas kejayaan menawan undi majoriti... saya berharap anda akan mengutamakan kepentingan awam yang sebenar dan keadilan untuk mengakhiri permintaan tidak habis-habis sebuah minoriti yang hanya mementingkan diri sendiri," kata beliau dipetik IRNA.

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |