+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Saturday, July 19, 2008

Anwar: Buktikan 'siapa rogol siapa'

Malaysiakini

Jul 19, 08 7:00am

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta polis membuktikan empat fakta yang kukuh sebelum membenarkan DNA beliau diambil.

"Bukti pertama, siapa rogol siapa, saya sakit pinggang, budak universiti (bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan) kuat.

"Bukti kedua, di mana (berlakunya kejadian), ketiga tempat mana dan keempat di mana saksi," katanya.

Polis sedang menyiasat aduan terhadap Anwar yang dibuat oleh bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, mendakwa diliwat oleh ketua umum PKR pada 26 Jun lalu.

Anwar enggan memberi contoh baru DNA beliau kerana bimbang ia akan dimanipulasi seperti yang didakwanya pernah berlaku 10 tahun yang lalu ketika perbicaraan kes pertamanya pada 1999.

Lagi pula, kata mantan timbalan perdana menteri itu, DNA beliau telahpun diambil untuk kes tersebut.

ketika menyampaikan ceramah politik di Cheng, Melaka malam ini, Bernama melaporkan Anwar berkata, sekiranya empat bukti kukuh itu dikemukakan, beliau bersedia untuk diambil darah.

'Beralas simen'

Bagaimanapun, bekas Timbalan Perdana Menteri itu mempertahankan tindakannya untuk tidak menjalani ujian DNA dengan mendakwa DNA hanya "corrobotive evidence" (bukti yang memberi pengesahan).

"Saya bukan tak boleh bagi darah, darah saya dulu telah diambil...ingat," katanya bahawa sampel DNA beliau pernah dibawa ke mahkamah.

Beliau merujuk kepada kes tuduhan liwat pertama yang pernah dikemukakan ke atasnya 10 tahun lepas.

Anwar juga menuduh polis telah bertindak melampau ketika menahannya pada Rabu lalu seolah-olah beliau "Osama Laden" .

"Saya telah "diiringi" oleh berpuluh-puluh motosikal besar anggota polis ketika saya dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPK) Kuala Lumpur, apa kesalahan saya," katanya.

Katanya semasa di lokap pula, beliau hanya beralaskan simen untuk beliau merehatkan diri.

Read More...

Lebih baik jika Ali Rustam tak buat apa-apa dari komen isu muzakarah

Harakahdaily

Ibrahim Othman

Fri | Jul 18, 08 | 10:06:06 am MYT

Apabila Naib Presiden Umno, Dato' Seri Mohd Ali Rustam membuka mulut, mengatakan sudah wujud perubahan pandangan daripada parti pembangkang itu (PAS) dalam mencari persefahaman demi kepentingan Melayu dan umat Islam di negara ini, menunjukkan dia tidak tahu sejarah PAS sebenarnya.

Kenyataan ini dibuat Mohd Ali yang juga Ketua Menteri (KM) Melaka, selepas merasmikan persidangan tahunan berkelompok cawangan Umno Bahagian Bukit Katil, di Melaka.

Di kalangan pemimpin Umno, Mohd Alilah satu-satunya pemimpin yang dilihat 'mahu memusuhi PAS' dengan mengeluarkan arahan suatu ketika dahulu, melarang 'orang Melaka' melawat Kelantan yang diperintah PAS.

Namun, 'sekali air bah, sekali pantai berubah'. Apabila Presiden Umno yang juga Perdana Menteri (PM) sendiri menyambut baik hasrat Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang untuk 'bertemu dan bermuzakarah' banyak pihak di dalam Umno, nampaknya �positif� walaupun mereka seperti teraba-raba di dalam gelap.

Mohd Ali merupakan satu-satunya pemimpin Umno yang cukup dibimbangi oleh ahli-ahli parti apabila membuat komentar.

Dia juga dilihat seorang pemimpin yang cukup kurang kemampuan untuk berucap dan menjelaskan isu yang diperbahaskan.

Tidak hairanlah, apabila bekas KM Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik berkali-kali mencadangkan 'diadakan debat terbuka' antara calon-calon yang mahu bertanding jawatan Presiden, timbalan Presiden dan naib Presiden, ramai yang beranggapan Rahim cuba untuk 'membandingkannya' kebolehannya dengan Mohd Ali dalam perdebatan.

Dalam masa yang sama, Mohd Ali merupakan salah seorang pemimpin Umno yang tidak bersetuju dengan Debat antara Menteri Penerangan, Dato' Ahmad Shabery Cheek dengan Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim walaupun, dalam masa yang sama PM mengatakan persetujuannya.

Mohd Ali mungkin 'fobia' dengan perkataan 'debat' kerana dia tidak berkemampuan berbuat demikian.

Justeru, hasrat murni Presiden PAS itu sebenarnya 'untuk menyelamatkan Umno�' yang dilihat terumbang ambing sekarang, dan sejarahnya PAS yang bukan sekali 'menyelamatkan orang-orang Umno' yang bermasalah tidak dapat 'dilihat dan dibaca' oleh Mohd Ali.

Itulah sebabnya, dalam perkata berkaitan, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika bersetuju cadangan Abdul Hadi, mengingatkan 'pengalaman pahit' berkawan dengan Umno kerana sejarah terdahulu.

Mohd Ali seharusnya tahu, apabila Umno (Perikatan) bermasalah dalam pilihan raya umum (PRU) tahun 1969, PAS sanggup berkorban dengan menyertai Perikatan tetapi dikeluarkan dari pakatanitu dalam tahun 1978, oleh Perdana Menteri ketika itu, Allahyarham Tun Hussein Onn.

Apakah Mohd Ali tidak ingat, bagaimana dalam tahun 1987, apabila Tengku Razaleigh Hamzah tewas kepada Tun Dr Mahathir Mohamad untuk merebut jawatan Presiden Umno, PAS menerima kerjasama dengan Parti Melayu Semangat 46 (S 46) yang diketuai Ku Li, yang ketika itu tidak dibenarkan menyertai Umno?

S 46 kemudiannya meninggalkan PAS atas alasan sendiri dan kemudiannya membubarkan parti itu, untuk ahli-ahlinya menyertai Umno kembali.

Apabila Dato' Seri Anwar Ibrahim dipecat dari Umno, pemimpin PASlah yang pertama sekali menghulurkan tangan membela Anwar dengan menjelajah ke seluruh negara, selain memberikan ruang seluas-luasnya di dalam Harakah, untuk Anwar dan rakan-rakannya 'membela diri'.

Mohd Ali mungkin tidak tahu semua ini, atau terasa Umno masih terlalu kuat untuk 'bermuzakarah' sedangkan kepimpinan PAS sudah nampak, Umno mungkin 'dalam keadaan bahaya' jika terus bersendiri tanpa 'kawan' yang sebangsa dan seagama.

Percakaran sesama sendiri dalam komponen BN, usul undi tidak percaya dari PKR, krisis yang melanda MIC, Gerakan dan MCA, menyebabkan Umno makin �kurus� (baca: lemah) dari segi sokongan.

Memetik kata-kata Abdullah; "Umno sedia bermuzakarah dengan PAS bagi mencari titik persefahaman antara kedua-dua parti itu demi kepentingan Islam dan orang Melayu," membuktikan Abdullah nampak keperluan itu tetapi malangnya, Mohd Ali hanya nampak wujud perubahan pandangan daripada parti pembangkang itu dalam mencari persefahaman demi kepentingan Melayu dan umat Islam di negara ini.

Abdullah seterusnya berkata; "bagi saya langkah ini amat penting kerana ia boleh menyelesaikan banyak isu khususnya yang melibatkan kepentingan Islam dan Melayu.

"Kedua-dua parti seharusnya mengelakkan sebarang perbalahan jika timbul isu dan masalah membabitkan kepentingan bersama.

"Saya terima baik hasrat PAS untuk berunding atau berbincang mengenai apa jua yang saya fikir perlu diwujudkan persefahaman antara kedua-dua parti ini," Abdullah mengulas kesediaan PAS yang dinyatakan Ustaz Abdul Hadi dalam wawancara dengan lidah rasmi parti, Harakah.

Dalam wawancara itu, Abdul Hadi dengan nada tegas menyatakan dalam menyampaikan mesej Islam, PAS berhak mengadakan rundingan dengan Umno tanpa perlu merujuk dengan mana-mana parti dalam pakatan pembangkang.

Abdullah seterusnya yakin jika PAS dan Umno Berjaya membentuk persefahaman, beliau yakin ia akan memberi banyak manfaat kepada Islam dan Melayu.

Sebenarnya, langkah Dato' Mustafa Ali di Terengganu yang mengadakan pertemuan khas dengan MB Terengganu untuk membincangkan kepentingan rakyat Terengganu harus dicontohi pemimpin-pemimpin lain, termasuk Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, untuk mengadakan pertemuan dengan MB Kedah. - mr_

Read More...

Surau atau pejabat UMNO?

Buletin Online


PDF Cetak E-mail
Ditulis oleh AYu
Saturday, 19 July 2008

The image “http://buletinonline.net/images/berita9/surau%20terap.jpg” cannot be displayed, because it contains errors.

Setiu - Tindakan UMNO Cawangan Kampung Terap, Pecah Rotan dalam Parlimen Setiu, memasang papan tanda di hadapan surau kampung berkenaan menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan penduduk.

Ini kerana apabila papan tanda UMNO cawangan dipasang di situ memberikan gambaran bahawa seolah-olah surau yang dibina oleh kerajaan itu menjadi pejabat UMNO.

Tambahan pula, pihak berkenaan tidak dapat menghidupkan surau itu sama ada dengan mendirikan solat secara berjemaah atau mengadakan majlis ilmu sejak mengambilalih pengurusannya selepas pilihan umum 2004 lalu.

Difahamkan, hanya majlis pembahagian wang ehsan yang dikendalikan oleh pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan yang setaraf dengannya sahaja diadakan di surau itu.

Bahkan pihak JKKK di situ turut mengadakan mesyuarat di surau itu.

Menurut penduduk, ini berbeza sewaktu zaman pemerintahan PAS pada 1999 hingga 2004 lalu kerana pihak Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR) yang diamanahkan mentadbir surau itu berjaya mengimarahkannya.

Sehubungan itu, mereka berharap pihak berkenaan terutama JKKK perlu mengambil tanggungjawab agar dapat melakukan sesuatu untuk menghidupkannya terutama pada bulan Ramadhan nanti.

Tinjauan Selasa lalu mendapati paip di bahagian tempat wuduk lelaki dan wanita tiada air kecuali satu saluran getah ke tandas yang disambungkan pada paip di belakang surau itu.

Bagaimanapun, bekalan elektrik tidak menghadapi masalah manakala karpet baru berwarna biru difahamkan dipasang beberapa hari lalu.

Kampung Terap termasuk dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Batu Rakit yang diwakili Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat.

Read More...

DNA: Anwar bersedia jika 5 syarat dipenuhi, PM saran jalani ujian

Mstar Online

19-07-2008 10:42:50 AM

KUALA LUMPUR: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang sedang dalam siasatan polis kerana tuduhan meliwat bekas pembantunya, meminta polis membuktikan empat fakta yang kukuh sebelum membenarkan DNA beliau diambil.

"Bukti pertama, siapa rogol siapa, saya sakit pinggang, budak universiti (bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan) kuat.

"Bukti kedua, di mana (berlakunya kejadian), ketiga tempat mana dan keempat di mana saksi," katanya ketika menyampaikan ceramah politik yang dihadiri lebih 1,000 orang di Cheng, Melaka malam tadi.

Kata Anwar, jika empat bukti kukuh itu dikemukakan, beliau bersedia untuk diambil darah.

Bagaimanapun, bekas Timbalan Perdana Menteri itu mempertahankan tindakannya untuk tidak menjalani ujian DNA dengan mendakwa DNA hanya corrobotive evidence (bukti yang memberi pengesahan).

"Saya bukan tak boleh bagi darah, darah saya dulu telah diambil .. ingat," kata beliau bahawa sampel DNA beliau pernah dibawa ke mahkamah.

Beliau merujuk kepada kes tuduhan liwat pertama yang pernah dikemukakan ke atasnya 10 tahun lepas.

Anwar juga menuduh polis telah bertindak melampau ketika menahannya pada Rabu lepas seolah-olah beliau "Osama Laden" .

"Saya telah "diiringi" oleh berpuluh-puluh motosikal besar anggota polis ketika saya dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPK) Kuala Lumpur, apa kesalahan saya," kata beliau yang dipetik Bernama.

Kata Anwar, semasa di lokap pula, beliau hanya beralaskan simen untuk beliau merehatkan diri.

Anwar enggan membenarkan sampel darahnya diambil ketika dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada malam Rabu lalu, dengan membantah bahawa beliau bimbang ia akan dimanipulasikan oleh pihak tertentu seperti dalam kes liwatnya 10 tahun lepas.

Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, polis menimbang mendapatkan perintah mahkamah bagi Anwar memberi sampel darahnya untuk ujian DNA.

Kira-kira enam jam sebelum itu, Anwar pada sidang media di rumahnya di sini juga telah meletakkan syarat bagi menjalani DNA iaitu pemeriksaan perubatan dan pengambilan sampel daripada pihak pengadu, Mohd. Saiful dijalankan secara profesional.

Beliau semua pemeriksaan perubatan dan sampel yang diambil dari Mohd Saiful, disahkan secara bebas sebelum beliau mempertimbangkan untuk menjalani sebarang analisis DNA, kata beliau menerusi peguamnya R. Sivarasa.

"Terlebih dahulu semua pemeriksaan perubatan dan pengambilan sampel berkaitan pengadu (Mohd Saiful) perlu ditentusahkan secara bebas dan dilakukan secara profesional tanpa sebarang campur tangan polis.

"Hanya selepas itu sahaja, Datuk Seri (Anwar Ibrahim) akan mempertimbangkan untuk menyertai sebarang analisis DNA," katanya.

Di Putrajaya, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Anwar perlu memberikan sampel DNA yang boleh dibuat secara telus bagi membantu siasatan dakwaan kes liwat yang didakwa melibatkannya.

Perdana Menteri berkata, Anwar sendiri boleh melihat proses ujian DNA itu bagi mengetahui keputusannya.

"Kalau dia betul-betul kata tak terlibat ke apa. Bagi sampel," kata Abdullah, sambil menambah kata seolah-olah dirinya berada di tempat Anwar sekarang dengan berkata: "Buat sekarang. Saya nak tengok."

Abdullah berkata: "Dia (Anwar) kata dia tak buat apa-apa. Tengoklah. Tentu hasilnya tidak membuktikan sesuatu yang dia tidak lakukan. Itu caranya... apa susah sangat?"

Perdana Menteri berkata demikian ketika ditanya mengenai keperluan pihak berkuasa mengambil sampel itu sekali lagi setelah sampel berkenaan diambil 10 tahun lalu semasa kes liwat melibatkan bekas timbalan perdana menteri itu.

Mengenai perhatian kerajaan Amerika Syarikat dan Jepun kononnya kes itu bermotifkan politik, Abdullah berkata ia tidak betul.

"Tak ada. Tidak ada sebarang konspirasi atau pun apa-apa tindakan yang nak menganiaya Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tak ada. Toksah dok percayalah," katanya.

Abdullah berkata kerajaan sememangnya mahu kes itu diselesaikan dengan segera.

Mengenai permintaan Anwar supaya Perdana Menteri memberi jaminan siasatan polis akan dijalankan secara profesional, Abdullah memberikan jaminan itu.

"Dia (Anwar) akan dilindungi oleh undang-undang yang ada. Kita mesti patuh dengan undang-undang. Pihak berkuasa juga patuh dengan undang-undang.

"Kita ada undang-undang. Undang-undanglah yang akan menjadi pedoman untuk kita nak bertindak atau ambil apa-apa langkah dan tindakan," kata Abdullah.

Read More...

Anwar risau DNA dimanipulasi

Malaysiakini

Jimadie Shah Othman | Jul 18, 08 3:53pm

Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan menyerahkan sampel DNA beliau kerana bimbang berulang proses pemalsuan bukti sampel itu seperti dalam perbicaraan kes pertamanya kira-kira 10 tahun lepas, kata peguamnya.

Sivarasa Rasiah, yang juga naib presiden PKR, berkata Anwar pernah mengalami penipuan bukti DNA beliau apabila sampel sebenar dalam jagaan polis forensik telah dibuang secara tidak sah oleh seorang pegawai berpangkat senior asisten komisioner.

dna testing 180708"Ketika disoal balas terhadap saksi-saksi pendakwaan, terdedahlah bahawa DNA yang diambil dari sampel darah telah sengaja diletakkan (kemudian) ke atas tilam yang dikenali umum itu (melalui televisyen)," kata Sivarasa.

Beliau menjelaskan, apabila peguam bekas timbalan perdana menteri itu juga mencabarnya, keterangan awal tentang perkara itu dibuang daripada keterangan mahkamah oleh hakim waktu itu Datuk Seri S Augustine Paul.

"Apabila dihadapkan dengan fakta ini, pihak pendakwaan meminda pertuduhan (terhadap Anwar) dan memujuk hakim, Augustine Paul, agar membuang keseluruhan bukti DNA daripada rekod (keterangan mahkamah), menghalang peguam-peguam Anwar mencabarnya."

Pada 1998, Anwar dituduh menyalahgunakan kuasa apabila cuba mempengaruhi tugas polis dalam siasatan terhadap dakwaan salah laku seksnya.

Tambahnya, Anwar hanya bersedia memberikan sampel DNA sekiranya ia dijalankan secara profesional dan wujud pihak perubatan yang bebas.

Sivarasa juga menganggap kenyataan menteri dalam negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar sebagai "mencampuri" urusan siasatan polis dalam kes tersebut.

"Kami dapati kenyataan itu tidak sesuai, mencampuri (proses) siasatan dan mempolitikkannya. Kami percaya keseluruhan proses bermotifkan politik."

Sebagai ahli kabinet, kata Sivarasa, tindakan Syed Hamid itu boleh dianggap mencampuri siasatan.

"Ia bukan datang daripada pemimpin biasa atau ketua Pemuda Umno tetapi menteri penuh, antara menteri yang berpengaruh dalam negara," katanya di sidang media di rumah penasihat PKR di Bukit Segambut, Kuala Lumpur petang ini.

"Respons kami, berhenti buat komen, berhenti campur tangan dalam proses siasatan."

anwar ibrahim freed from police ipk detention pc 170708 11Mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini, peguam itu berkata Anwar memang ditelanjang dan bahagian sulitnya diukur seperti dimaklumkan kepada media semalam (foto kanan).

"Itu kenyataan (dalam akhbar) yang salah. Beliau dibogelkan dan (bahagian sulit) beliau diukur," katanya.

New Straits Times hari ini memetik satu sumber, yang tidak dinamakan, dari hospital Kuala Lumpur yang menafikan doktor berbuat demikian seperti dakwaan Anwar dalam sidang medianya semalam.

Sivarasa menambah, Anwar memberikan kerjasama dalam siasatan kelmarin walaupun kandungan laporan polis pengadu kes itu Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 28 Jun tidak dimaklumkan kepadanya.

"Beliau dinasihatkan peguam-peguam kanan supaya tidak memberi keterangan sebelum melihat laporan polis. Kalau beliau tidak memberi kenyataan, sehari selepas itu media akan mainkan (isu bahawa) Anwar menolak memberi kenyataan dan tidak bekerjasama dengan polis.

"Beliau (akan dituduh) menyembunyikan sesuatu. Perkara ini bertentangan dengan kehendaknya. Beliau bekerjasama penuh selama lima jam setengah," katanya.

Mengulas usaha Anwar mendapatkan kandungan laporan itu, Sivarasa berkata, peguam-peguamnya belum memutuskan tindakan khusus untuk mendapatkannya.

Beliau bagaimanapun bersetuju dengan kenyataan Syed Hamid bahawa tiada peruntukan undang-undang untuk memaksa seseorang memberikan sampel darah bagi siasatan polis.

pkr weekly pc 061207 sivarasa rasiahDitanya sama ada Anwar dibenarkan ke luar negeri atau sebaliknya, Sivarasa berkata pihaknya tidak diberitahu tentang perkara itu.

"Rasminya, pihak berkuasa tidak berkata bahawa beliau tidak boleh pergi. Jika perlu, kami akan berhubung dengan pihak yang relevan seperti imigresen atau perlu dibuat permohonan kepada mereka (imigresen) atau perlu meminta kebenaran mahkamah," katanya.

Disoal alibi Anwar pada hari beliau didakwa meliwat bekas pembantunya itu, Sivarasa berkata "segala bukti tentang alibi telah diberitahu polis."

"Beliau telah beri semua butir-butir yang perlu kepada pihak polis apabila kenyataannya dirakamkan. Itu sebabnya kita ambil (masa) lima jam setengah (beri keterangan).

"Semua saksi lain yang terlibat telah diberitahu. Bagi pihak kami, itulah yang patut disiasat secara profesional dan bebas. Bagi kita, DNA tidak perlu lagi selepas siasatan itu," katanya.

Soalan pemberita berulang kali kepada Sivarasa berkaitan alibi dijawab dengan "segala keterangan telah diberitahu polis."

Berbeza dengan semalam, hampir 30 wartawan dan jurugambar hadir di sidang media itu dan tiada penyokong Anwar kelihatan.

Read More...

Polis buat kerja gila - Mohd Sabu

Harakahdaily

Intan Abdullah

Fri | Jul 18, 08 | 5:28:08 pm MYT

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Hrkh) - Pihak polis sengaja menimbulkan suasana ketegangan sebagai provokasi dengan mengadakan sekatan jalan raya dalam kehangatan isu liwat Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim dan ura-ura usaha Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan pusat.

Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu menyelar tindakan pihak polis yang disifatkan mengadakan sekatan jalan raya yang tidak perlu dan tidak menitik beratkan kesan dan masalah yang terpaksa ditanggung pengguna jalan raya akibat sekatan tersebut.

"Ini semua kerja gila, dan sengaja diada-adakan atau mungkin polis sudah tiada kerja lain yang hendak dibuat," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Mengulas mengenai dakwaan Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar mengenai kemungkinan suatu perhimpunan akan dianjurkan dalam masa terdekat, beliau dengan tegas menafikannya.

"Kita (PAS) tidak ada sebarang perancangan untuk mengadakan perhimpunan buat masa ini.

"Bahkan sekiranya hendak diadakan perhimpunan pun, polis buat sekatanpun perhimpunan tetap boleh dijalankan," ujarnya.

Mantan Pengerusi Jawatankuasa Perhimpunan Gabungan Menuntut Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) itu turut menjelaskan perhimpunan 100,000 rakyat pada 10 November tahun lalu membuktikan sekatan jalan raya tidak memberikan apa-apa kesan kepada 'kekuatan suara hati dan kehendak' rakyat untuk menyampaikan hasrat mereka.

Sementara itu, Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua pula menyifatkan tindakan polis mengadakan sekatan yang masih berterusan itu sebagai tidak bertanggung jawab serta menyusahkan rakyat.

"Ini satu perkara yang tidak masuk akal dan tidak bertanggung jawab," tegasnya.

Ahli Parlimen Batu itu melahirkan kehairanan terhadap pendirian dan tindakan pihak polis yang kelihatan sudah mula tersasar daripada peranan dan tanggung jawab mereka yang sebenar.

"Kerja polis bukan buat sekatan kerana ia tidak akan membantu apa-apa malah operasi tersebut akan melibatkan anggota polis yang ramai," ujarnya.

Dalam suasana indeks jenayah negara kian meningkat khususnya di Lembah Klang, beliau juga melahirkan kekesalan dengan sekatan tersebut yang telah memberi kesan buruk kepada ekonomi rakyat.

"Apa yang berlaku menyebabkan orang ramai marah kerana ia menyusahkan.

"Mereka tidak mempertimbangkan kesan apabila para peniaga terjejas pendapatannya, selain pengguna jalan raya yang mengejar urusan kerja masing-masing," katanya lagi.

Memburukkan lagi keadaan, pihak polis katanya mengambil keputusan menjalankan sekatan jalan raya dengan menggunakan khabar angin semata-mata.

"Itulah lambang tahap profesional dan integriti polis kita," ujarnya.

Semalam, menurut Khalid, sekatan jalan raya di 22 lokasi di seluruh negeri dibuat bagi membendung kecenderungan pihak tertentu mengadakan perhimpunan tanpa permit.

Selain mencegah jenayah, beliau berkata, sekatan jalan yang sentiasa berubah lokasi itu perlu bagi memastikan tidak ada elemen tidak sihat yang mengganggu ketenteraman dan keselamatan masyarakat khususnya di Selangor.

"Saya sedar sekatan jalan ini menimbulkan ketidakselesaan tetapi saya mohon maaf. Ini membabitkan keselamatan, jadi kita perlu beri perhatian," katanya ketika ditemui pemberita semalam.

Beliau ditanya mengenai sekatan jalan raya menghala ibu negara yang menyebabkan kesesakan teruk sejak Isnin lalu.

Dilaporkan lebih 1,600 pegawai dan anggota membabitkan Pasukan Simpanan Persekutuan, Unit Anjing Pengesan, Pasukan Gerakan Am (PGA), Unit Berkuda dan Unit Udara dikerah mengawal semua pintu masuk ke ibu kota.

Khalid berkata, walaupun Anwar Ibrahim dibebaskan semalam, polis tidak menolak kemungkinan penyokongnya mungkin mengadakan perhimpunan dalam tempoh terdekat. - mns _

Read More...

Petani gelisah upah tuai naik

Utusan Online

ALOR STAR 18 Julai - Keputusan Persatuan Usahawan Jentuai Kedah/Perlis (Kicai) mengambil tindakan menaikkan kadar upah menuai padi antara 25 peratus hingga 30 peratus serelung pada Musim 1 2008 yang bermula Rabu lalu mencetuskan rasa kurang senang di kalangan pesawah.

Ini berikutan petani dikatakan baru sahaja hendak menikmati kenaikkan Harga Minimum Terjamin (HMT) padi daripada RM650 setan metrik kepada RM750 setan seperti yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini.

Sehubungan itu, kadar upah menuai baru sehingga 30 peratus yang dikenakan Kicai itu dilihat mereka seolah-olah tidak membawa keuntungan meskipun HMT padi dinaikkan.

Ini lebih-lebih lagi pada saat kira-kira 70,000 pesawah di negeri ini hanya meraih pendapatan secara purata RM180 bagi setiap relung padi yang dituai pada musim-musim sebelum ini.

Bagaimanapun, jika dilihat secara logik dan tanpa mempertahankan mana-mana pihak, perlu diakui bahawa KICAI membuat keputusan untuk menaikkan kadar upah menuai kerana kos operasi yang meningkat.

Menurut Presiden Kicai, Md. Nor Hamzah, kadar upah baru yang diputuskan pada mesyuarat agung persatuan tersebut pada bulan lalu itu disebabkan oleh kenaikan harga sebahagian barang yang sekali gus meningkatkan kos operasi menuai.

Mereka mendakwa kos pembelian minyak diesel naik 63 peratus; alat ganti import (45 peratus); alat ganti buatan besi tempatan (95 peratus); kos pengangkutan (52 peratus); upah pekerja (30 peratus); makanan pekerja (35 peratus) dan bateri sehingga 95 peratus.

Berikutan itu, Kicai memutuskan kadar upah menuai baru pada musim ini ialah RM120 serelung bagi kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), manakala di luar MADA pula RM130 berbanding RM90 pada musim lalu.

"Kadar upah baru itu adalah yang paling rendah kami kenakan. Ia perlu dilaksanakan selepas kos operasi menuai yang meningkat tinggi terutama kenaikan harga bahan bakar baru-baru ini.

"Untung yang diperoleh oleh pemilik mesin jentuai pun sebenarnya tidak seberapa," katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Dalam pada itu, berikutan keputusan Kicai tersebut, Pengerusi Penyelaras Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA, Ahmad Radin meminta persatuan berkenaan mengkaji semula jumlah kenaikan yang ingin dikenakan itu demi kepentingan semua pihak.

Malah, katanya, PPK, MADA sedia mengadakan perbincangan dengan Kicai bagi mencari satu persetujuan yang menguntungkan kedua-dua belah pihak.

Ini kerana, ujar beliau, para peladang sebenarnya terpaksa menanggung peningkatan kos input tani seperti merumput, membajak, benih padi, pelbagai jenis racun, membaja termasuk baja tambahan dan kos sewa bendang RM300.

Ahmad berkata, kenaikan HMT padi daripada RM650 setan metrik kepada RM750 setan seperti yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini memberi sedikit kelegaan kepada para pesawah untuk mendapat pendapatan yang lebih baik.

"Peladang baru nak rasa kenaikan harga padi, tetapi kadar upah menuai terbaru itu akan membuatkan keuntungan diperoleh pesawah yang sepatutnya bertambah berikutan kenaikan HMT padi menjadi kurang semula.

"Kami cukup memahami kos operasi yang semakin tinggi ditanggung oleh pemilik mesin jentuai, tetapi kenaikan kadar upah menuai itu biarlah bersesuaian," katanya.

Dalam hal ini, kedua-dua pihak perlu memahami antara satu sama lain agar isu kenaikan kadar upah menuai padi ini tidak berlarutan sehingga menjejaskan kerjasama antara mereka.

Pada keadaan ekonomi yang menekan, kedua-dua pihak perlu lebih bertimbang rasa agar wujud situasi menang-menang antara mereka, lebih-lebih lagi Kedah merupakan penyumbang kepada lebih 40 peratus pengeluaran beras negara.

Read More...

Wajar Kalau Anwar Cepat Tanding Pilihan Raya

msomelayu

SEKIRANYA petisyen pilihan raya untuk kerusi Parlimen Bandar Baru - Kulim yang mulai didengari Ahnad ini diterima bermakna kerusi berkenaan kosong. Dalam tempoh 60 hari satu pilihan raya kecil perlu diadakan.

Kalau takdir itu berlaku ia berkebetulan dengan apa yang disebut Anwar Ibrahim sewaktu berdebat isu minyak dengan Ahmad Shabery Chik beberapa hari lalu. Katanya beliau akan menyertai pilihan raya dalam masa terekat.

Apakah Anwar sudah dapat menghidu kerusi Parlimen Bandar Baru - Kulim itu akan terlepas?

Adalah elok kalau Penasihat PKR segera menyertai mana-mana pilihan raya kecil bagi membolehkan beliau berada di Parlimen. Lebih cepat beliau menjadi ahli Parlimen ia akan membantu proses untuk menggulingkan kerajaan BN menerusi undi tidak percaya seperti mana dirancangkan.

Sekiranya dakwaan Anwar benar terdapat 30 ahli Parlimen BN akan menyertai Pakatan Rakyat, kemenangan Anwar dalam pilihan raya itu nanti akan membawa perkembangan baru. Ia akan menambahkan semangat keyakinan umum bahawa ura-ura untuk mengambil alih kerajaan dalam tempoh terdekat akan jadi lebih diyakini lagi.
Hari ini dengan beliau berada di luar Parlimen menyebabkan ada orang tidak percaya dengan rancangan berkenaan. Ini menyebabkan orang mengira apa yang dihebohkan itu sebagai gimik saja.

Sesungguhnya lagi cepat kerajaan yang ada kini digulingkan ia lebih baik. Sudah pastiAnwar sendiri tidak mahu berpening kepala dengan apa yang dihadapinya pada masa kini. Beliau harus selesaikan isu hari ini dengan apa saja.

Sekiranya kerajaan hari ini tumbang beliau sudah pasti akan dipilih menjadi Perdana Menteri. Dengan kedudukan itu segala fitnah, tuduhan dan serangan kini akan berakhir. Kerana begitulah apa yang berlaku dan diamalkan di negara ini bila seseorang sudah menjadi orang besar apa lagi nombor satu segala mengenai dirinya diselesai dengan mudah dan akan dilihat semua elok. [wm.kl 5:20 pm 18/07/08]

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |