+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Friday, May 16, 2008

Dewan kecoh isu DEB

Utusan Online

KUALA LUMPUR 15 Mei - Dewan Rakyat hari ini kecoh dengan isu 'soalan bocor' apabila pihak pembangkang mempertikaikan cara Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Amirsham A. Aziz menjawab soalan tambahan Khairy Jamaluddin (BN- Rembau).

Tindakan Amirsham menjawab soalan itu yang berkaitan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dengan membaca teks menyebabkan ahli-ahli Parlimen pembangkang bangun dan mendakwa soalan itu dirancang lebih awal.

Ekoran itu Dewan menjadi kecoh apabila wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang bertikam lidah.

Ketika menjawab soalan tambahan Khairy itu, Amirsham menyatakan kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang berikrar menghapuskan DEB kerana dasar itu melahirkan rasuah, kronisme dan keberkesanan sistemik, tidak tepat dan dibuat tanpa memahami objektif DEB.

Di sebalik segala gangguan itu, Amirsham meneruskan jawapan tanpa menghiraukan kebisingan di sekitarnya, malah menyatakan, jika begitulah kesimpulan Guan Eng terhadap DEB, maka sesiapa sahaja yang mendapat bantuan melalui dasar itu sama ada dalam bentuk pinjaman, peluang pekerjaan, perniagaan, biasiswa dan sebagainya adalah kroni dan kaki rasuah.

''Ini bermakna ahli profesional bumiputera yang dihasilkan melalui DEB termasuk 23.5 peratus akauntan tergolong dalam kategori tersebut.

"Jangan sampai segala kebaikan sesuatu dasar dilupakan. Keseluruhannya DEB adalah dasar yang adil, baik dan mengubah pembangunan negara sehingga hari ini," katanya.

Ketika menjawab soalan tambahan Prof. Dr. P. Ramasamy (DAP-Batu Kawan), Amirsham sekali lagi diganggu oleh wakil rakyat yang bangun mempertikaikan jawapan beliau sehingga menyebabkan Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan) membangkitkan Peraturan Tetap meminta Timbalan Yang Dipertua menggunakan kuasa mengawal keharmonian Dewan.

Terdahulu, menjawab soalan asal Khairy, Amirsham berkata, kerajaan tidak bercadang mengubah polisi yang telah digubal berlandaskan semangat DEB yang bertujuan meningkatkan taraf sosio-ekonomi golongan bumiputera, India, Orang Asli dan kumpulan minoriti di Sabah dan Sarawak.

Malah katanya, penyusunan semula masyarakat, khasnya membela golongan miskin merupakan ''affirmative action'' yang diguna pakai di kebanyakan negara termasuk Amerika Syarikat, India dan Afrika Selatan.

''Kerajaan akan meneruskan komitmennya melaksanakan strategi-strategi asas DEB iaitu pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum dan penyusunan semula masyarakat bagi menghapuskan pengenalan etnik mengikut fungsi ekonomi," katanya.

Amirsham berkata, sekiranya matlamat DEB berjaya direalisasikan, terutamanya dari segi agihan kekayaan negara dengan lebih adil antara etnik, negeri, bandar dan luar bandar, akan secara langsung mempercepatkan usaha memastikan penyertaan lebih seimbang dan saksama pelbagai lapisan masyarakat di Malaysia.

Beliau berkata, seterusnya ia akan menyumbang ke arah pemantapan perpaduan nasional yang menjadi salah satu aset terpenting dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia untuk maju melepasi 2020.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |