+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Friday, May 16, 2008

Pusingan akhir: Anwar lawan Najib

KLpos


Cetak E-mail
Oleh Hishamuddin Rais
Jumaat, 16 Mei 2008



JANGAN salah baca. Jangan salah congkak. Pembacaan politik yang betul amat penting untuk mengambil tindakan yang tepat. Politik wajib ditakrif sebagai perang di atas meja. Jika perang di atas meja ini gagal maka perang senjata di darat, laut, padang pasir atau hutan akan di mulakan.

Sejarah manusia adalah sejarah perang untuk mengambil kuasa. Sejarah manusia ialah sejarah pertempuran satu kelas dengan yang lain untuk merebut kuasa demi kepentingan ekonomi. Hukum alam ini tidak pernah beralih-alih atau berubah. Inilah perjalanan sejarah tamadun manusia. Perebutan ekonomi adalah asas yang menimbulkan perang – sama ada perang di meja mahu pun perang di hutan.

Pakatan Rakyat sekarang ini sedang melancarkan perang untuk mengambil alih Kerajaan Persekutuan. Pakatan Rakyat sedang melakukan perang ini agar punca-punca ekonomi dapat disusun kembali. Penyusunan ekonomi ini amat penting. Punca-punca ekonomi Malayssia wajib di agih-agihkan semula secara demokratik dan adil. Dasar ekonomi Pakatan Rakyat ialah untuk kesejahteraan ramai. Bukan kesejahteraan kroni, anak bini atau penyokong parti.

Selama 50 tahun ini punca-punca ekonomi telah di monopoli dan di kawal dengan ketat oleh gerombolan United Malays National Organisation dan sekutunya. Kekuatan ekonomi inilah yang membolehkan United Malays National Organisation dilihat kuat dan dapat terus berkuasa. Hari ini gerombolan ini sedang terdesak. Kekalahan mereka dalam PRU ke 12 yang lalu memungkinkan punca-punca ekonomi dalam tangan mereka tergelincir hilang dan di ambil alih oleh Pakatan Rakyat.

Waspada ! Gerombolan United Malays National Organisation dan konco-konconya TIDAK akan melepaskan kuasa dengan senang. Ini hakikat. Gerombolan yang selama ini hidup bermewah-mewahan tidak mungkin akan melepaskan berbilion juta ringgit yang pada hari ini masih lagi dalam kawalan mereka. Justeru, mereka akan melawan kembali. Mereka akan melakukan apa sahaja untuk mempertahankan punca-punca ekonomi ini. Perlawanan merebut punca ekonomi inilah yang di panggil perang politik.

Dalam perang politik ini semua mungkin berlaku. Dalam berperang semua kemungkinan akan dilakukan. Dalam perang semua kemustahilan akan difikirkan. Dalam perang ini semua taktik akan dilakukan untuk mengambil alih kuasa. Dalam perang ini tidak ada lubang cacing yang tidak akan digali. Dalam perang tidak ada sebuah gua batu yang tidak akan di selongkar. Tujuan akhir perang ini adalah untuk menang dan mengalahkan gerombolan United Malays National Organisation dan meletakkan kembali Malayssia ke atas landasan Ketuanan Rakyat.

Pertempuran politik di antara Pakatan Rakyat dengan gerombolan United Malays National Organisation ini pasti akan bertambah sengit. Apa yang kita baca, dengar dan lihat di pentas politik negara hari ini ialah penyambungan perang yang belum selesai sesudah PRU ke 12. Berita-berita yang kita baca di media atau di lihat di kaca TV semuanya adalah taktik dan strategi peperangan.

Orang ramai wajib sedar bahawa perang politik yang hakiki pada hari ini adalah di antara Anwar bin Ibrahim dengan Najib bin Razak. Jangan silap baca. Jangan silap menganalisa. Jika silap, hasilnya ialah kekalahan.

Abdullah Badawi, Mahathir Muhamad, Tengku Razaleigh, Muhideen Yassin - kesemua mereka ini bukan lagi pemain utama dalam perang ini. Pada awalnya dahulu mereka dilihat penting, kini mereka hanya watak-watak sampingan. Watak-watak ini dilihat keluar masuk gelanggang seolah-olah mereka penting tetapi dalam naratif pertempuran ini, mereka TIDAK penting lagi.

Dalam peperangan ini kita sebagai warga dituntut untuk tidak ada berkecuali. Sesiapa yang berkecuali ertinya sama bersekongkol untuk mempertahan kuasa yang sedia wujud. Kuasa yang sedia wujud ialah kuasa gerombolan United Malays National Organisation. Kuasa yang wujud ialah kuasa yang dimiliki oleh Najib bin Razak. Kuasa Najib bin Razak inilah yang sedang ditempur oleh Anwar bin Ibrahim.

Warga dan rakyat Malayssia wajib membuat pilihan sekarang. Pada hakikatnya warga Malayssia hanya ada dua pilihan – Anwar atau Najib. Apakah rakyat mahukan Anwar memimpin negara dengan agenda Ketuanan Rakyat atau mahukan Najib untuk meneruskan kerenah agenda kapal selamnya.

Najib mewakili politik lama - politik feudal yang memerangkap manusia Melayu dengan slogan Hidup Melayu. Slogan Hidup Melayu yang diwakili oleh Najib selama 50 tahun telah memaksa manusia Melayu duduk dalam cengkaman budaya feudal. Budaya feudal ini telah memastikan fikrah manusia Melayu terus bebal dan bodoh. Ertinya dasar budaya feudal yang di kembangkan oleh United Malays National Organisation bertujuan khusus untuk memperbodoh dan membebalkan manusia Melayu.

United Malays National Organisation tidak mahu manusia Melayu cerdik dan berani berfikiran bebas. Melayu yang cerdik dan berani berfikiran bebas akan berduyun-duyun meninggalkan United Malays National Organisation.

Tidak cukup dengan memperbodohkan Melayu gerombolan United Malays National Organisation ini juga tanpa henti-henti telah dan sedang menakut-nakutkan manusia Melayu dengan dua ekor hantu – satu hantu dipanggil Cina dan satu lagi dipanggil Kaum Asing.

Apabila mereka kalah dalam PRU ke 12 mereka terus menakut-nakutkan manusia Melayu dengan mengatakan bahawa Melayu telah hilang kuasa. Negara ini akan diambil oleh Cina. Kuasa politik Melayu hilang diambil oleh Cina dan Kaum Asing.

Manusia yang takut dengan hantu-hantu ini pasti akan mencari pertolongan dan bantuan bomoh dan pawang. Inilah taktik yang selama ini telah digunakan oleh United Malays National Organisation; mereka menyebarkan cerita hantu dan kemudian mereka juga menjadi pawang menghalau hantu.

Memang tepat dan betul ada orang yang hilang kuasa dalam PRU ke 12 dahulu. Yang hilang kuasa ialah United Malays National Organisation. Bukan orang Melayu. Selama 50 tahun ini yang berkuasa ialah gerombolan United Malays National Organisation dan konco-konconya bukan orang Melayu. Manusia Melayu memang tidak memiliki apa-apa kuasa, tidak memiliki apa-apa ketuanan dan tidak memiliki apa-apa yang istimewa. Melayu hidup menunggu janji dan mati dalam harapan.

Kemenangan Pakatan Rakyat di 5 buah negeri ialah satu kemenangan tetapi BUKAN untuk Melayu, bukan untuk Cina , bukan untuk Iban, bukan untuk Dayak, Kadazan atau India. Kemenangan itu untuk semua rakyat Malayssia. Inilah bezanya Anwar dan Najib. Agenda Anwar untuk rakyat Malayssia dengan Ketuanan Rakyat. Manakala agenda Najib hanya untuk kuncu-konco kapal selamnya dan para kroni dalam gerombolan United Malays National Organisation.

Pada ketika ini taktik-taktik perang ini semakin jelas dan tidak kabur lagi. Dari awal lagi langkah Pakatan Rakyat telah disabotaj dan di serang. Fail-fail dihilangkan. Dokumen-dokumen penting dikoyak-koyak. Ini taktik-taktik perang awal untuk memporak perandakan pentadbiran Pakatan Rakyat.

Yakinlah taktik dan serangan dari konco-konco Najib dan gerombolan United Malays National Organisation akan lebih kerap dan ganas. Menuduh Karpal Singh sebagai tidak hormat kepada Raja adalah taktik perang. Menyokong pegawai kerajaan negeri Perak agar enggan menjalankan tugas adalah taktik perang. Menuduh Anwar Ibrahim sebagai ejen Yahudi adalah taktik perang. Menutup jalan raya, menyembur orang ramai dengan air kimia dan tembakan gas pemedih mata kemudian menuduh Pakatan Rakyat sebagai mengancam suasana perniagaan adalah taktik perang.

Mahathir, Razaleigh, Muhideen, Ali Rustam, Syed Hamid, Rafidah Aziz – semua telah dipukul teruk oleh Pakatan Rakyat. Kini mereka lebam-lebam dan duduk membebel di luar gelanggang. Zam, Razi, Shahidan, Sharizat telah sesak nafas dan telah menanggalkan sarung penumbuk sambil duduk bersila di luar gelanggang.

Abdullah Badawi sendiri kelihatan letih dan lebam-lebam. Abdullah akan dibawa ke luar gelanggang untuk direhatkan mungkin seawal bulan Jun tahun hadapan. Kini yang tinggal dalam gelanggang untuk terus berperang ke pusingan akhir hanyalah Anwar dan Najib.

Rakyat seantero dunia sedang menunggu dan ternanti-nanti bunyi loceng akhir yang akan mengosong Najib bin Razak keluar gelanggang. Bila ini berlaku maka Pakatan Rakyat akan dinobatkan sebagai Kerajaan Baru untuk Malaysia.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |