+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Friday, May 16, 2008

Kerajaan 2 bulan pun boleh dibubar - SPR

Mstar Online

16-05-2008 05:44:23 PM
Oleh G. MANIMARAN

KUALA LUMPUR: Kerajaan semasa sama ada peringkat negeri dan persekutuan, yang berusia kurang tiga bulan, boleh dibubarkan bila-bila masa jika parti memerintah merasakan perlu berbuat demikian untuk mendapatkan mandat segar.

Tiada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menghalang kerajaan semasa jika berhasrat untuk membubarkan Parlimen ataupun Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus membuka laluan bagi pilihan raya tergempar.

"Tiada peruntukan undang-undang yang mengatakan pembubaran tidak boleh dibuat (dalam masa tiga bulan selepas kerajaan dibentuk), tiada undang-undang," kata Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar ketika dihubungi mStar Online hari ini.

Sehubungan itu, kata beliau, menjadi budi bicara Perdana Menteri untuk mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi membubarkan Parlimen.

Begitu juga bagi pembubaran Dewan Undangan Negeri dengan memperoleh perkenan Sultan ataupun Gabenor, kata beliau.

Negara tidak pernah menyaksikan perkembangan seumpama itu sebelum ini, tetapi peruntukan undang-undang tidak menghalang kerajaan semasa berbuat demikian.

Pilihan raya umum ke-12 diadakan 15 bulan sebelum mandat tahun 2004 berakhir.

Meskipun pilihan raya umum diadakan 8 Mac lalu tetapi mandat kerajaan semasa persekutuan bermula hanya apabila Parlimen mula bersidang.

Parlimen ke-12 mula bersidang 29 April lalu dan penggal pertama mesyuarat akan berakhir 27 Mei ini. Beberapa negeri juga telah mula mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri masing-masing.

Wan Ahmad mengulas demikian ketika ditanya sama ada Parlimen dan Dewan Undangan Negeri boleh dibubarkan meskipun berusia kurang daripada tiga bulan ketika 'suasana politik tidak menentu' ekoran dakwaan melompat parti akan berlaku dalam waktu terdekat.

Cakap-cakap mengenai isu berkenaan kini muncul ekoran dakwaan Pakatan Rakyat cuba memancing ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) bagi menubuhkan kerajaan baru persekutuan.

Ia juga muncul isu hangat di Dewan Rakyat sejak minggu lalu dengan beberapa wakil rakyat dari Sabah memberi 'kata dua' kepada kerajaan persekutuan agar memenuhi tuntutan mereka sebelum September ini.

Dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu, BN kehilangan kerusi majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat dengan hanya memenangi 140 bahagian manakala barisan pembangkang pula mendapat 82 bahagian Parlimen.

Selain itu, BN juga kehilangan kerajaan di lima negeri iaitu Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor dan Kelantan.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |