+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Friday, May 16, 2008

Meneladani watak sederhana Nik Aziz, Guan Eng

Detik Daily

Posted on Thursday, May 15 @ 17:47:24 MYT by reformis
Artikel

Oleh Mohamad Sabu
Naib Presiden PAS

Gabungan kekuatan Tengku Razaleigh Hamzah yang menerajui Semangat 46 dengan kekuatan keperibadian Tok Guru Nik Abdul Aziz Nikmat, Mursyidul Am PAS menyebabkan BN Kelantan mendapat "kosong kerusi" di peringkat Dun dan Parlimen dalam pilihan raya 1990.

Tok Guru Nik Aziz, watak dan kekuatannya terserlah setelah memerintah. Semasa beliau menjadi anggota pembangkang, watak dan pengaruhnya tidaklah seberapa. Kuasa yang dikejar oleh ahli-ahli politik selalunya disalahgunakan semasa menikmati kuasa yang dimandatkan oleh rakyat.

Sebaliknya Tok Guru mempamerkan kesederhanaan.

Beliau tidak tinggal di rumah yang disediakan oleh kerajaan, tidak mengambil elaun keraian semasa Aidilfitri dan Aidiladha. Tok Guru juga memotong gaji bulanannya dan dimasukkan kembali ke dalam tabung kebajikan. Itu hanya beberapa pembaharuan yang dibuatnya.

Kekuatan dan persembahan baru Menteri Besar Kelantan menyebabkan PAS dan rakan-rakannya dalam Angkatan Perpaduan Ummah dan seterusnya Barisan Alternatif dapat bertahan memerintah selama lima penggal. Percubaan BN untuk menggugat pemerintahan Angkatan dan BA gagal, di antaranya berpunca atas kesederhanaan perwatakan Menteri Besar Kelantan itu.

Menurut kajian selidik beberapa badan NGO terhadap sokongan kepada PAS dan BA, 7 peratus datang dari keperibadian Tok Guru Nik Aziz.

Kini selepas pilihan raya 2008, muncul seorang anak muda yang semasa mudanya menghadapi pelbagai tekanan dan ujian sebagai pembangkang kepada BN. Lim Guan Eng pernah ditahan ISA di bawah Operasi Lalang 1987, kemudiannya dipenjarakan di bawah kesalahan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan. Beliau hilang segala keistimewaan sebagai ahli Parlimen sama ada dalam bentuk gratuiti, pencen dan tidak boleh bertanding dan memegang apa-apa jawatan dalam mana-mana pertubuhan dalam tempoh yang agak lama.

Setelah menjawat jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, beliau mengumumkan beberapa langkah untuk membersihkan pentadbirannya dari sebarang unsur rasuah dan nepotisme. Saya lebih tertarik untuk memaparkan amalan beliau secara peribadi untuk menjadi pemimpin melalui teladan.

Penyanyi Ning Baizura dan pengurusnya telah terserempak dengan Ketua Menteri Pulau Pinang ini yang menaiki kelas ekonomi pesawat MAS, sedangkan beliau selayaknya berada dalam kelas bisnes. Laman blog Ning Baizura telah memapar dan menceritakan hal Lim Guan Eng itu.

Pertemuan saya dengan Ketua Pulau Pinang bersama isterinya, Betty Chew di Lapangan Terbang Subang secara kebetulan telah menjelaskan lagi keazaman beliau untuk menjaga harta rakyat. Beliau menyatakan akan hanya menaiki pesawat kelas bisnes apabila kehabisan kelas ekonomi.

Semasa menginap di hotel, beliau akan menginap di standard room, sedangkan beliau layak berada di bilik 'suite' seperti dinikmati oleh menteri mesar dan ketua menteri yang lain. Jawapan yang diberikan oleh beliau adalah sama saja, beliau ingin menjadi contoh terutama kepada pegawai-pegawai kerajaan bahawa menjadi ketua menteri bukan untuk mendapat keistimewaan dan berbelanja dengan mewah, walaupun ia merupakan hak yang diluluskan kepadanya.

Sebenarnya rakyat amat suka apabila mereka mendapat pemimpin politik seperti Tok Guru Nik Aziz dan Lim Guan Eng yang tidak pernah terfikir untuk memperkayakan peribadi, apatah lagi untuk melakukan rasuah atau salah guna kuasa, yang amat dibenci oleh rakyat.

Rakyat tidak mahu pemimpin hanya lantang suara semasa menjadi pembangkang, dan menegur segala bentuk penyelewengan yang dilakukan oleh musuh, tetapi apabila mendapat kuasa, mereka hanya mengulang apa yang dilakukan oleh pemerintah sebelumnya.

Contoh dan amalan sederhana yang dijelmakan oleh Tok Guru Nik Aziz dan Lim Guan Eng, insya-Allah akan menjadi budaya baru dalam kepimpinan politik dan masyarakat pada masa akan datang. Lim Guan Eng yang pernah makan malam bersama saya di warung-warung dengan kenderaan peribadi begitu menarik perhatian rakyat Pulau Pinang terhadap perwatakannya yang sederhana itu.

Sudah tentu harapan rakyat agar ia tidak menjadi hangat-hangat tahi ayam, sebaliknya budaya baru pemimpin Malaysia dapat dijelmakan pada masa akan datang. Sesungguhnya amalan rasuah, nepotisme, pembaziran akan lebih dibenci orang awam pada masa akan datang.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |