+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Friday, May 16, 2008

Video Lingam: Dr. M antara 6 individu disyor disiasat lanjut

Mstar Online

16-05-2008 07:47:53 PM
Oleh ARIFFUDDIN ISHAK

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad merupakan antara enam individu dikenal pasti oleh Suruhanjaya Diraja sebagai mereka yang telah memainkan peranan 'penting' dalam aturan pelantikan hakim-hakim dan perlu disiasat lanjut.

Suruhanjaya Diraja yang menyiasat klip video Datuk V.K. Lingam mengesyorkan supaya keenam-enam mereka disiasat di bawah Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi, Kanun Keseksaan dan kerana menghalang proses keadilan.

Selain Dr. Mahathir lima yang lain ialah peguam Datuk V.K.Lingam sendiri, ahli perniagaan Tan Sri Vincent Tan; bekas anggota Kabinet, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, dan dua bekas Ketua Hakim Negara iaitu Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan Tun Eusoff Chin.

Pada sidang akhbar di pejabatnya pukul 3petang tadi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim berkata, Jemaah Menteri telah bersetuju agar Jabatan Peguam Negara memulakan siasatan lanjut serta-merta atas segala tuduhan terhadap mereka.

Malah, Jemaah Menteri turut bersetuju untuk mengedarkan laporan suruhanjaya ini kepada orang ramai minggu depan pada harga RM542 senakshah.

Laporan berjumlah 186 muka surat itu diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi minggu lalu.

Suruhanjaya Diraja itu dianggotai bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohamed Noor sebagai pengerusi, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mahadev Shankar, bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong, bekas Peguamcara Negara Puan Sri Zaitun Zawiyah Puteh dan ahli sejarah Prof Emeritus Datuk Dr Khoo Kay Kim.

Suruhanjaya itu dibentuk bagi menyiasat klip video 14 minit yang didakwa memaparkan Lingam, sedang bercakap menerusi telefon dengan seorang yang dikatakan seorang hakim kanan, kononnya bagi mengatur pelantikan hakim.

Seramai 21 saksi termasuk Dr. Mahathir dan tiga bekas ketua hakim negara dipanggil memberi keterangan dalam inkuiri yang memakan masa selama 17 hari bermula 14 Januari lalu.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |