+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, March 27, 2008

Zaman BN bermegah diri sudah berakhir

mstar online

24-03-2008 06:11:54 PM
Oleh SA'ODAH ELIAS

PETALING JAYA: Zaman untuk Barisan Nasional (BN) bermegah dengan pencapaiannya sejak negara merdeka sudah berakhir. Slogan-slogan tentang pembangunan, kestabilan dan kemakmuran yang kerap dijadikan modal oleh BN juga tidak lagi laku kerana maysarakat hari ini lebih faham bahawa itu memang menjadi hak mereka tanpa mengira parti mana yang menubuhkan kerajaan.

Demikian antara pengakuan telus dua pemimpin parti komponen BN, Naib Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan Setiausaha Agung Gerakan Datuk Seri Chia Kwang Chye pada forum anjuran Pusat Kajian Media Asia di sini Isnin.

Forum yang membincangkan realiti politik baru di Malaysia itu turut mengetengahkan ahli panel dari Umno dan DAP. Ahli penal Umno ialah anggota Parlimen Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed sementara DAP diwakili penasihat ekonominya yang juga anggota Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua Kim Wee dan ahli Parlimen Klang Charles Santiago.

Dr Chua dan Chia sependapat bahawa perubahan lanskap politik di negara ini berikutan keputusan pilihan raya 8 Mac lalu menuntut tunggak BN, iaitu Umno untuk melakukan perubahan drastik dengan memberikan ruang lebih luas kepada parti komponen bersuara tentang isu-isu etnik kaum lain.

"Isu-isu melibatkan masyarakat Cina terutama tentang keseimbangan peluang pendidikan, perlu ditangani sepanjang masa supaya jangan nanti kerajaan BN dilihat ambil berat tentang masyarakat Cina hanya pada waktu-waktu dekat pilihan raya. Untuk itu, Umno perlu menerima hakikat bahawa MCA mesti lebih lantang bersuara tentang isu etnik Cina mulai hari ini," katanya.

Chia pula mengaku bahawa pola pengundian kali ini yang menyaksikan BN kehilangan pemerintahan di lima negeri dan hanya dapat menubuhkan kerajaan majoriti mudah dan tidak dua pertiga, lebih menunjukkan bahawa orang ramai menolak BN dan bukan menyokong parti atau calon lain.

Keadaan ini, tegasnya, memerlukan BN berpijak di bumi nyata dan tidak terus bermegah diri dengan pencapaian yang terhad pada pilihan raya 8 Mac lalu.

Untuk itu, katanya, BN perlu memahami dan memenuhi tuntutan masyarakat hari ini yang lebih berpendidikan dan berinformasi.

Nur Jazlan pula berkata beliau yakin Umno mampu menghadapi cabaran hari ini seperti mana ia berjaya memerdekakan Tanah Melayu bersama-sama rakan dalam Perikatan daripada jajahan British dahulu.

Beliau juga bekas ahli Exco Pemuda Umno turut membangkitkan isu penghunusan keris yang menyentuh perasaan kaum lain sambil berkata: "Saya yakin Hishammuddin (Ketua Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein) tidak akan mengulangi perkara itu. Dia tidak ada lagi buat begitu akhir-akhir ini, bukan?" katanya.

Keris lambang pejuangan Pemuda Umno yang dinamakan Keris Panca Warisan itu mula diperkenalkan pada perhimpunan pergerakan itu pada 2005.

Pua pula berkata, kesan keputusan pilihan raya kali ini banyak menguntungkan orang ramai kerana ia memaksa semua pihak, iaitu gabungan tiga parti DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS yang kini mahu dikenali sebagai Barisan Rakyat, dan BN untuk bersaingan dalam memberikan perkhidmatan lebih baik.

"Jika negeri-negeri yang kini ditadbir kerajaan BR melakukan sesuatu yang baik, seperti mewajibkan semua wakil rakyatnya membuat deklarasi harta secara terbuka, kerajaan pusat BN juga perlu melakukan perkara yang sama agar tidak dilihat menentang ketelusan.

"DAP sudah menetapkan semua wakil rakyatnya tidak dibenarkan memohon tanah kerajaan. Jika ini ditiru oleh BN, ia akan memastikan hanya yang mahu berkhidmat kepada masyarakat menjadi wakil rakyat, kerana kedudukan ini tidak lagi memberi peluang kepada yang terlibat membuat duit," katanya.

Santiago pula membangkitkan isu kebanjiran warga asing yang menurutnya antara sebab utama BN kehilangan sokongan daripada kalangan orang Melayu dan kaum India.

Katanya, kebanjiran pekerja asing yang tidak terkawal menyebabkan dua kaum yang berada di tangga paling bawah dari segi pencapaian ekonomi ini berasa kerja mereka dan keselamatan keluarga mereka tidak lagi terjamin.

"Secara keseluruhannya, keputusan kali ini juga merupakan satu usaha rakyat untuk mengekang keangkuhan Umno yang telah gagal mendengar rintihan rakyat," katanya.

Selain itu, katanya, rakyat, terutama golongan miskin semakin tertekan dengan penswastaan beberapa perkhidmatan kerajaan, terutama bekalan air yang bukannya menjanjikan mereka perkhidmatan dan kualiti air yang lebih baik, tetapi sebaliknya banyak menyusahkan mereka.

"Sejak bekalan air diswastakan di Selangor tiga tahun lalu 370,000 pengguna telah mengalami pemotongan bekalan. Kesan buruk penswastaan ini dirasai bukan oleh orang kaya, tetapi golongan paling miskin," katanya.

Mengenai isu pindaan kepada Perlembagaan Negara yang dibangkitkan oleh seorang hadirin pada forum itu, Dr Chua berkata, ia bukannya sesuatu yang mudah untuk dilakukan walaupun atas nama kesaksamaan antara kaum.

"Ia bukan perkara remeh. Paling penting ia mestilah mengambil kira realiti kependudukan di negara ini yang merupakan negara berbilang kaum. Sensitiviti Kesultanan Melayu juga mesti diambil kira," katanya.

Read More...

Umno, anda butakah melantik Tengku Adnan?

Siasah daily

Wednesday, March 26, 2008

KUALA LUMPUR, 26 Mac: Memeranjatkan. Tetapi itulah orang yang dipilih oleh Presiden Umno untuk dilantik sebagai setiausaha agung partinya dan juga Barisan Nasional (BN).

Setiausaha Agung Umno yang baru, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor mempunyai kepentingan dalam sekurang-kurangnya 59 buah syarikat sendirian berhad dan juga berhad.

Di samping itu, beliau menghadapi sekurang-kurangnya empat tindakan bangkap dan hanya satu sahaja dari tindakan itu yang telah selesai.

Beliau juga adalah pihak yang meghadapi sekurang-kurangnya 11 tindakan mahkamah menuntut penggulungan syarikat oleh pelbagai pihak termasuk dari kerajaan Malaysia sendiri apabila syarikat-syarikatnya gagal menjelaskan hutang mereka.

Tengku Adnan juga menghadapi sekurang-kurangnya 15 kes saman kerana kegagalan syarikat yang beliau ada kepentingan dalamnya membayar hutang mereka yang jumlah keseluruhannya hampir RM50 juta.

Semua rekod-rekod ini adalah tembahan kepada penglibatan beliau dalam kes video klip Lingam yang menunggu keputusan dari Suruhanjaya Diraja yang menyiasat kes ini.

Pemilikan saham syarikat

Antara syarikat-syarikat utama yang Tengku Adnan memiliki syer utama adalah KL Monorail Concessionaires Sdn Bhd, Magni-Tech Industries Berhad, Bridgecon Holding Berhad, Nostalgia Kiara Sdn Bhd dan Regnis Industries (M) Sdn Bhd.

Dalam KL Monorail Tengku Adnan adalah stau-satu pemegang saham individu iaitu sebanyak 2,372,500 saham manakala tiga pemegang saham yang lain adalah syarikat sdn bhd.

Jumlah asset semasa syarikat yang menguruskan KL Monorail ini adalah RM7.377 juta dengan modal berbayarnya adalag RM7.4 juta.

Apakah kedudukan Tengku Adnan dalam KL Monorail tidak bertentangan dengan kedudukan beliau sebagai salah seorang anggota kabinet Abdullah dan kini sebagai Setiausaha Agung Umno?

Dalam Nostalgia Kiara, Tengku Adnan adalah pemegang saham individu tertinggi iaitu sebanyak 3,1000,000 . Turut memegang saham individu adalah Robin Tan Yeong Ching, anak Vincent Tan yang memiliki 375,000.

Aset semasa syarikat ini, sebagaimana yang dilaporkan Suruhanjaya Syarikat Malaysia adalah RM28 juta.

Tengku Adnan juga merupakan pemegang saham individu terbesar dalam Regnis Industries iaitu 77 unit manakala yang lain kebanyakannya dipegang oleh syarikat Sdn Bhd.

Beliau juga memilki saham sebanyak 986,507 saham dalam Bridgecon Holding dan 1.89 juta saham dalam Magni-tech Industries Berhad.


Kenapa Tengku Adnan

Dengan rekod-rekod perniagaan yang beliau ada di atas, tidak diketahui bagaimana beliau telah dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (1999-2004), Menteri Pelancongan (2005 – 2007) dan kini Setiausaha Agung Umno dan BN oleh Perdana Menteri.

Ramai yang menafsirkan langkah Abdullah melantik Tengku Adnan sebagai Setiausaha Agung Umno adalah untuk menghadapi Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini defacto Ketua Pembangkang yang disebut-sebut bakal menjadi perdana menteri jika kerajaan yang ada tumbang.

Mungkin langkah ini dibuat berdasarkan pengalaman beliau menghadapi Anwar ketika menjadi Setiausaha Kerja Umno di bawah Tun Dr Mahathir dahulu.

“Are you blind (Anda butakah)?” kata seorang pemerhati politik kepada Umno ketika beliau ditunjukan rekod-rekod yang Siasah terima.

Bagi beliau, setelah menerima kekalahan, Umno sepatutnya memilih Setiausaha Agung yang berwibawa untuk memulihkan nama baiknya bukan orang yang mempunyai rekod buruk sebagaimana Tengku Adnan.

Sebagai pelopor Islam hadhari juga, Abdullah sepatutnya memilih mereka yang benar-benar bersih agar nama baik Islam tidak terpalit dengan imej burok Tengku Adnan ini.

“Kenapa pada tahun 2004 digugurkan, kemudian pada tahun 2005 ambil balik. 2008 digugurkan sebagai menteri tetapi kemudian ambil balik sebagai Setiausaha Agung. Macam yo-yo je. Budak-budak kata macam biskut, sekejap ada sekajap tak ada,” kata beliau lagi.

Sesetengah pihak mungkin beranggapan ini adalah tindakan pembangkang atau Siasah untuk memburukkan nama Tengku Adnan tetapi berdasarkan rekod yang Siasah terima inilah faktanya.

Dan rekod-rekod ini adalah rekod yang boleh dilihat sendiri oleh orang awam kerana ia sudah berstatus rekod awam (public record).

Read More...

Kerajaan Pulau Pinang belanja berhemah....

Kerajaan Pulau Pinang batal beli kereta kegunaan EXCO.

keratan akhbar utusan 27/3/08.

Menurut akhbar utusan hari ini, Kerajaan Pulau Pinang bersetuju membatalkan pembelian 5 buah kereta Proton Perdana V6 untuk kegunaan Exco kerajaan negeri.

Ketua Menterinya berkata, kos belian yang berjumlah RM623,000 itu dapat diselamatkan dan ini dapat menjimatkan wang rakyat serta memantapkan akaun kerajaan negeri dengan perbelanjaan yang berhemah.

Kereta perdana itu ditempah oleh kerajaan lama tetapi tidak sampai lagi dan Lim berkata lagi bahawa barisan exco nya bersetuju menggunakan kenderaan sedia ada yang baru berusia 5-10 tahun yang masih lagi boleh digunakan.

Saya terpanggil untuk memberi pandangan dalam kes ini. Jika kes seumpama ini dapat dipanjangkan ke peringkat pusat, saya boleh bayangkan begitu banyak wang kerajaan dapat diselamatkan. Daripada membeli kenderaan yang baru, walhal kenderaan lama masih lagi boleh digunakan adalah baiknya kerajaan menumpukan kepada kebajikan rakyat ataupun perkara lain yang lebih berfaedah.

Ini tidak, perbelanjaan yang boros oleh pemimpin kerajaan Barisan Nasional di peringkat pusat begitu ketara dan membimbangkan. Kalau nak sebut memang banyak. Tapi, biarlah saya sebutkan di sini bahawa kerajaan Malaysia sepatutnya mengamalkan perbelanjaan berhemah sebagaimana yang dilakukan oleh kerajaan Pulau Pinang khasnya dan juga kerajaan Alternatif yang lain amnya.Semoga semangat begini berterusan. Tahniah kerajaan Barisan Rakyat!!!!

orangkita - cerita camni kena sebarkan kepada seluruh rakyat Malaysia, semoga yang masih lagi menyokong BN terbuka hati dan minda mereka untuk bertukar kepada Barisan Rakyat.

catatan: orangkita (27 mac 2008, 11:10 am)

Read More...

Wednesday, March 26, 2008

Tindakan istana Terengganu selari dengan Perlembagaan - peguam


Siasah daily

Tuesday, March 25, 2008

KUALA LUMPUR, 25 Mac: Majlis Penasihat Pemangku Raja Terengganu telah menjalankan tugas mereka dengan betul mengikut Perlembagaan ketika melantik Adun Kijal Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar.

Demikian kata Ahmad Sabky Yusof, peguam yang juga rakan kongsi dalam firma guaman Radzi dan Abdullah dekat sini.

“Yang bersalah dalam kes ini adalah sikap kepimpinan BN yang hanya menamakan seorang sahaja calon MB ketikamana calon berkenaan tidak diterima oleh istana Terengganu,” kata Sabky.

Menurut Perlembagaan, kata Sabky, raja atau sultan hendaklah melantik mana-mana pihak yang pada pandangan baginda mendapat sokongan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri.

Ini bermakna, istana boleh memilih mana-mana calon. Yang silapnya adalah Presiden Umno hanya berkeras untuk melantik Datuk Seri Idris sahaja sebagai MB.

“Sepatutnya BN mengemukakan calon lain bukan berkeras untuk melantik Idris sahaja,” katanya yang merasa hairan dengan sikap itu sehingga sanggup memperjudikan nasib sebuah kerajaan negeri miliknya.

Beliau memberikan contoh yang berlaku di Perak apabila pemangku Raja Perak meminta tiga nama untuk dipilih dari mereka seorang menteri besar.

“Tugas BN dalam krisis sebegini adalah meraikan kuasa Sultan, bukannya berkeras untuk menafikan kuasa Sultan. Bila BN gagal kemukakan calon yang dipersetujui oleh Sultan berlakulah constitutional deadlock,” katanya.

Apabila perkara ini berlaku, Sultan, katanya boleh melantik calon yang difikirkan baginda akan mendapat sokongan majoriti dalam DUN.

“Sebab itu, bagi saya perlantikan Ahmad Said oleh istana adalah sehaluan dengan kehendak perlembagaan,” kata beliau.

Menurut Sabky, sultan tidak semestinya menunjukkan bukti sokongan majoriti semasa perlantikan dibuat tetapi ia boleh dibuktikan kemudian.

“Cukup dengan baginda percaya, MB Terengganu yang dipilih itu akan mendapat sokongan majoriti,” katanya.

Menurutnya, Ahmad boleh membentuk kerajaan dan membentuk Exco sekurang-kurangnya empat orang setelah dilantik sebagai MB.

“Apabila sidang dewan berlaku, ahli-ahli DUN boleh membuat ujian keyakinan ahli-ahlinya ke atas MB ini.

“Jika dia mendapat sokongan majoriti, dia boleh teruskan kerajaan itu. Jika dia gagal, maka dengan sendirinya, dia jatuh dengan sendirinya sebagai MB. Ketika itu, bolehlah pihak yang mendapat majoriti dalam DUN kemukakan calon MB mereka. Jika Sultan setuju, ia boleh dilantik. Jika tidak bersetuju sekali lagi pusingan itu akan berlaku,” katanya.

Ketika ditanya, bilakah Ahmad Said selaku MB boleh menasihat Sultan untuk membubarkan DUN dan mengadakan pilihan raya semula, Sabky berkata sebelum beliau kalah dalam undi tidak percaya oleh DUN.

Selepas kalah, dia tidak berhak lagi kerana ketika itu dia bukan lagi MB yang sah, katanya.

Read More...

Idris mohon keampunan Sultan

Malaysiakini

Muda Mohd Noor | Mar 25, 08 1:48pm


Bekas menteri besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh, memohon keampunan secara terbuka daripada Sultan Terengganu atas segala kesilapan yang telah menimbulkan kemurkaan baginda.

Idris, juga pengerusi badan perhubungan Umno negeri berkata, beliau pernah mengadap Sultan, kini Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, pada 23 Februari lalu dan telah memohon keampunan baginda.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di Subang petang ini, Idris berkata, beliau menghadap Tuanku Mizan untuk menyerahkan senarai calon BN negeri yang akan bertanding.

Katanya, beliau berbuat demikian sebagai menghormati baginda walaupun pada kebiasaannya senarai itu tidak diserahkan kepada sultan.

sultan mizan and idris juoh and terengganuIdris menambah, beliau sepatutnya menghadap baginda sekali lagi sehari selepas pilihanraya umum 8 Mac, tetapi ia tidak menjadi kenyataan.

BN kembali mempertahankan Terengganu dengan memenangi 24 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri. Ia juga menguasai tujuh daripada lapan kerusi parlimen.

Katanya, beliau gagal menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk menyerahkan senarai ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri walaupun telah menunggu hingga tengah malam pada 9 Mac lalu.

"Saya ada temu janji dengan Yang di-Pertuan Agong di Kuala Lumpur jam 5 petang (9 Mac) tetapi tidak lama sebelum itu saya diberitahu bahawa pertemuan ditangguhkan.

"Tetapi saya tunggu sampai tengah malam, namun tidak dapat menghadap Agong," katanya.

Sehari selepas ini, majlis angkat sumpah pelantikan semula Idris sebagai menteri besar di Istana Maziah, Kuala Terengganu tiba-tiba ditangguhkan tanpa sebab dan tarikh baru tidak dinyatakan.

Penangguhan majlis ini memulakan krisis pelantikan jawatan itu selama 14 hari sehingga pejabat Sultan Terengganu mengumumkan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal, Datuk Ahmad Said, sebagai pengganti wakil rakyat Jertih itu.

Idris berkata, sebelum tarikh itu hubungannya dengan Baginda berjalan baik tetapi beliau tidak tahu sebab-sebab tidak dilantik semula bagi penggal kedua.

idris jusoh pc 250308 01Ditanya sama ada kemurkaan baginda berpunca, antaranya, insiden rusuhan di Batu Buruk pada September tahun lalu, beliau berkata "saya tidak tahu."

Ditanya mengenai kedudukannya ini sebagai menteri besar, Idris berkata:

"Saya sedia apa jua keputusan asalkan ia memberi kebaikan kepada rakyat. Baik untuk rakyat, baiklah untuk saya."

Keputusan itu, tambahnya, termasuklah digugurkan daripada jawatan tersebut yang kini menjadi perebutan antara beliau dengan Ahmad.

"Jika isu ini (perebutan jawatan) berlarutan, rakyat kurang senang. Ini tidak menguntungkan sesiapa.

"Orang yang tidak suka saya, akan terus membuat fitnah terhadap saya dan penyokong saya akan membalas balik," katanya lagi.

Idris bagaimanapun terus mempertikaikan pelantikan Ahmad, yang dilantik Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) Ahad lalu, sebagai menteri besar yang baru.

Ahmad, yang juga ketua bahagian Umno Kemaman, memulakan tugasnya sebagai menteri besar pagi tadi.

Menurut kertas 'Kronologi Pelantikan Menteri Besar Terengganu' yang diedarkan kepada media, pelantikan Ahmad "tidak menurut undang-undang dan bercanggah" dengan undang-undang tubuh negeri dan "tidak menurut menurut perlembagaan", "tidak sah" dan "terbatal sama sekali."

Oleh itu Ahmad "dengan sendirinya terhalang menurut peruntukan perlembagaan daripada menjalankan fungsi dan tugas-tugas sebagai menteri besar," kertas itu dipetik.

Ditanya mengenai laporan bahawa 13 daripada 22 Adun yang sebelum ini menyokongnya, telah beralih menyokong Ahmad, Idris berkata setahunya, kesemua Adun itu masih ada bersamanya semalam.

Ditanya berapa orang Adun yang hadir bersamanya dalam sidang akhbar tadi, Idris berkata:

"Sebahagian besar ada bersama saya dalam sidang media ini, kecuali seorang dua yang kembali ke Terengganu atas urusan keluarga."

Difahamkan mereka menghadiri majlis menyambut harijadi wakil rakyat Kuala Besut Dr A Rahman Mokhtar, sebelum sidang akhbar itu.

Read More...

Mad Said masuk kerja – Deris tak tahu apa dosanya?

Buletin Online



Ditulis oleh SM Noor
Wednesday, 26 March 2008
The image “http://buletinonline.net/images/berita2/derismadsai.gif” cannot be displayed, because it contains errors.

Kuala Terengganu, 25 Mac – ADUN Kijal Dato’ Ahmad Said(Mad Said) melangkah masuk ke Wisma Darul Iman(WDI) pada jam 8 pagi hari ini memulakan hari pertamanya sebagai Menteri Besar.

Lebih seratus orang berhimpun diluar WDI dengan kawalan ketat polis, bercampur-campur antara penyokong, pembantah dan orang awam.
The image “http://buletinonline.net/images/berita2/wdi1.gif” cannot be displayed, because it contains errors.

Mad Said memasuki bangunan pentadbiran negeri pada 7.50 pagi diiringi oleh pengawal keselamatan dan kelompok penyokong.

Mad Said telah disambut oleh Setiausaha Kerajaan Mokhtar Nong dan beberapa pegawai tinggi yang lain, mengiringi beliau ke pejabat Menteri Besar, tingkat 16.

Bagaimanapun Mad Said menolak untuk masuk ke pejabat kerana dinding pejabat tersebut dipenuhi dengan potret Deris.

Walaupun dihujani dengan pelbagai kontroversi, Mad Said nampak yakin setelah mengalahkan Idris Jusoh(Deris) dua kali sebelum dan selepas pilihanraya ke 12.

Kali pertama dia berjaya melepasi halangan ‘cantasan mega’ Deris dan tersenarai dalam barisan calon pilihanraya umum lalu setelah membuat ugutan secara terbuka terhadap Deris.

Hari ini, Deris kalah kali kedua dalam tempoh sebulan apabila Mad Said berjaya masuk ke WDI sebagai Menteri Besar mengetepikan Deris selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu yang telah mendapat watikah pelantikan daripada Perdana Menteri.

"Walaupun keadaan dipenuhi dengan kontroversi, ia tidak mematahkan semangat saya untuk berkhidmat demi masa depan rakyat Terengganu." katanya yang dipetik oleh sebuah agensi akhbar nasional.

Kelmarin, ketika
menjawab satu pertanyaan bagaimana beliau mahu bertugas sedangkan tidak mendapat sokongan kesemua ADUN berkenaan Mad Said berkata, beliau akan tetap melantik Exco di kalangan mereka dalam tempoh terdekat.

Dakwanya, ada di kalangan ADUN berkenaan sebenarnya telahpun menyatakan sokongan kepadanya secara senyap.

Mad Said juga pernah mendakwa dia telah mendapat sokongan dari 13 ADUN yang berpaling tadah dari kem Deris.

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris malaporkan Mad Said berkata bukan semua ADUN menentangnya, ditambah sokongan dari rakyat.

”Tanya orang ramai samada mereka bersetuju dengan perlantikan saya, pasti majoriti mereka dibelakang saya” kata Mad Said dalam himpunan penyokongnya di Kemaman kelamarin

Dalam perkembangan lain, rupa-rupanya Deris selama ini khayal dengan segala slogan ciptaannya sendiri,
sewaktu menjadi Menteri Besar, sehingga tidak tahu apa dosanya kepada istana Terengganu.


Sehingga hari ini, walaupun telah tidak diperkenan oleh istana Terengganu dan menjadi berita hangat dalam media cetak dan elektronik, Deris masih mendakwa hubungannya dengan pihak istana adalah baik.The image “http://buletinonline.net/images/berita2/madsaidsuk.gif” cannot be displayed, because it contains errors.

Dengan sikap ego yang berterusan beliau berkata beliau sedia menghadap Seri Paduka jika diberi peluang untuk memohon maaf terhadap sebarang kesalahan yang telah dilakukannya kepada pihak istana.

Sedangkan sekiranya beliau benar-benar bersifat rakyat, beliau seharusnya terus ‘menjunjung kasih memohon maaf’ kepada Tuanku.

Kata-katanya sebagai dilapor akhbar perdana ``Sebagai hamba Allah, saya tak terlepas daripada melakukan kesilapan,'' tidak membawa sebarang makna, kini.

Sehubungan itu, Unit Komunikasi(UKOM) Kerajaan Terengganu, Unit yang dahulunya cukup kuat menjadi alat propaganda Deris telah pun mengeluarkan berita yang menggelar Mad Said sebagai Yang Amat Berhormat(Y.A.B) namun tidak dicatat sebagai ‘Menteri Besar Terengganu’

Read More...

Perkataan 'binatang' penyokong Idris ditujukan kepada Sultan - Salahuddin

Siasah daily


Tuesday, March 25, 2008

KUALA LUMPUR, 25 Mac: Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub menyifatkan istilah 'natang' (binatang) yang digunakan oleh penyokong Datuk Idris Jusuh pada satu slogan yang tertera pada kain rentang mereka ketika himpunan dikediaman Idris dekat Kuala Terengganu baru-baru ini ditujukan kepada Sultan negeri itu.

Kata Salahuddin beliau sangat yakin istilah itu merujuk kepada Sultan kerana slogan yang berbunyi 'Kami nak Idris, natang! (kami mahukan Idris, binatang) itu bertujuan membantah perlantikan membantah keputusan pelantikan Adun Kijal, Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu.

“Sultan yang mahukan Ahmad Said menjadi Menteri Besar," kata ketua Pemuda PAS itu dalam sidang akhbar di Pejabat PAS jalan Raja Laut hari ini.

Ditanya kemungkinan istilah binatang itu dituju kepada orang lain, Salahuddin berkata ia tetap akan ditafsirkan oleh orang ramai sebagai dituju kepada Sultan kerana pemilihan Ahmad Said dan penolakan Idris sebagai Menteri Besar merupakan keputusan (perkenan) Sultan.
(Gambar:Salahuddin menunjukkan gambar kain rentang yang tertera slogan 'Kami nok Deris, natang')

Sehubungan itu kata beliau, Pemuda PAS telah mengarahkan pihaknya di Terengganu membuat laporan Polis diseluruh negeri kerana beranggapan isu tersebut sebagai bahaya dan menghasut.

Isu Menteri Besar Terengganu mula menjadi kontraversi apabila Ahmad Said bakal dilantik sebagai Menteri Besar yang baru menggantikan Idris selepas pilihan raya umum yang lalu.

Sedangkan Idris dikatakan telahpun menerima watikah daripada Perdana Menteri untuk dilantik semula sebagai MB Terengganu.

Sehubungan itu, keputusan yang dibuat oleh Majlis Penasihat Pemangku Raja dalam melaksanakan fungsi bagi pihak Pemangku Raja untuk memilih Ahmad itu telah menimbulkan rasa tidak puas hati dikalangan penyokong Idris sehinggalah bertindak mengadakan perhimpunan menunjukkan bantahan mereka di kediaman rumah Menteri Besar yang masih diduduki oleh Idris.

Sementara dalam perkembangan berkaitan, bantahan secara terbuka terhadap perkenan Sultan Terengganu itu turut dinyatakan oleh beberapa pimpinan Umno di peringkat Pusat.
Bahkan Ahmad turut diingatkan berkemungkinan akan dikenakan tindakan disiplin oleh parti dan akan berlaku undi tidak percaya sekiranya beliau tetap mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar.

Read More...

Tuesday, March 25, 2008

BN kalah kerana pemimpin Umno angkuh - Tsu Koon

Harakahdaily

Mat Zain Mat Isa

Tue | Mar 25, 08 | 10:00:24 am MYT

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon jelas tidak dapat menyembunyikan rasa kecewanya terhadap prestai buruk Barisan Nasional dalam pilihan raya umum baru-baru ini.

Lebih mengecewakan Pemangku Presiden Gerakan itu, kekalahan teruk partinya sendiri di seluruh negara adalah berpunca daripada kelemahan dan kesilapan dalamannya sendiri.

Beliau menyalahkan para pemimpinnya yang hilang dampingan dengan masyarakat akar umbi. Beliau juga menyebut tentang keangkuhan kuasa yang didakwanya wujud dalam BN. Kedua-dua perkara ini, menurut Tsu Koon, menjadi punca utama kekalahan BN.

Jangan cari kecaman Tsu Koon ini dalam akhbar-akhbar berbahasa Melayu, sama ada Utusan Malaysia, Berita Harian atau sebagainya. Anda tidak akan menemuinya. Ia ada melaporkan pemimpin Gerakan itu bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat tertutup 1,500 perwakilan partinya di Kuala Lumpur, tetapi hanya memetik beberapa tajuk lain yang disentuhnya.

New Straits Times semalam (Isnin) bagaimana pun melaporkan kecaman Tsu Koon itu secara terus-terang.

"The general election results were also due to the people�s dissatisfaction with perceived arrogance of power within BN, especially over certain Umno leaders whom through their words or actions have resulted in resentment," akhbar itu memetik kata Tsu Koon.

Terjemahan bebas oleh penulis sekadar begini: "Keputusan pilihan raya umum juga disebabkan rasa tidak puas hati rakyat dengan tanggapan ada keangkuhan kuasa dalam BN, terutama terhadap beberapa pemimpin Umno tertentu yang mana melalui perkataan dan tindakan mereka menghasilkan kemarahan".

Tsu Koon turut menambah bahawa BN perlu mengubah cara perjalanan dan pendekatannya kepada masyarakat jika mahu terus disokong rakyat. Untuk tujuan itu, katanya, Gerakan akan memainkan peranan besar termasuk menjadi peneraju pembaharuan (a driver of reforms) dalam BN sendiri.

Suara-suara menuntut pembaharuan (reforms) dalam BN memang sudah acapkali didengar sejak kekalahan teruk parti itu dalam pilihan raya baru-baru ini. Namun, setakat ini belum ada mana-mana pemimpin parti komponen BN yang secara terbuka menyalahkan pemimpin parti komponen lain atas kekalahan itu.

Kecaman Tsu Koon terhadap "pemimpin Umno tertentu" semalam adalah sesuatu yang sangat berani dan berterus-terang. Kita tidak tahu siapakan pemimpin tertentu yang beliau maksudkan. Bagaimana pun, patutkah para pemimpin Umno sekadar berdiam diri menerima kecaman terbuka sebegitu?

Kita menunggu apa pula reaksi atau pandangan balas para pemimpin Umno terhadap kenyataan Tsu Koon itu. Jawab, jangan tak jawab! - mr

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |