+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, May 1, 2008

Siaran langsung Dewan Rakyat dikaji semula

Utusan Online

KUALA LUMPUR 30 April - Slot siaran langsung sidang Dewan Rakyat selama setengah jam akan dikaji semula berikutan kekecohan yang berlaku pada hari pertama sidang Dewan itu hari ini, kata Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Beliau kecewa kerana kemudahan itu disalah guna oleh ahli Parlimen pembangkang untuk menonjolkan diri mereka dan bukannya mengetengahkan isu-isu kepentingan rakyat.

''Saya kecewa dengan apa yang berlaku. Parlimen telah disalahgunakan. Siaran langsung disalahgunakan. Ahli Parlimen pembangkang tidak menghargai institusi Parlimen yang berperanan untuk berbincang dan mencari yang terbaik untuk rakyat.

''Tetapi hari ini Parlimen digunakan untuk mencari publisiti murah. Mereka menimbulkan perkara yang remeh-temeh, seperti soal bilangan perkataan malah jelas pembangkang tak menghargai Parlimen dan mandat rakyat serta langsung tidak menghormati semangat keterbukaan yang cuba kerajaan buat," katanya di lobi Parlimen di sini hari ini.

Ditanya sama ada kekecohan itu berpunca daripada eksploitasi siaran langsung oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM), beliau menegaskan, memang ada sesetengah rakyat suka melihat sarkas tetapi Parlimen tidak boleh dianggap sebagai sarkas untuk dipertontonkan kepada umum.

Justeru beliau akan mengadakan perbincangan peringkat kementerian sama ada akan meneruskan slot siaran langsung itu atau menghentikannya.

Bagaimanapun, katanya, melihat kepada tingkah laku ahli Parlimen, khususnya daripada parti pembangkang hari ini yang disifatkannya sebagai ahli Parlimen kelas ketiga, beliau merasakan masa siaran langsung itu tidak patut disambung atau dilanjutkan.

Ahmad Shabery berkata, ahli Parlimen pembangkang menggunakan platform Parlimen untuk kepentingan peribadi dan perkara itu jelas terbukti pada hari ini, menyebabkan rakyat marah dan akan rasa ditipu oleh pembangkang yang secara jelas menyalahgunakan mandat yang diberikan kepada mereka.

''Tidak (melanjutkan masa siaran langsung). Kalau kita lanjut melebihi 30 minit, keadaan inilah yang berlaku sepanjang masa," katanya.

Katanya, beliau sedar di negara-negara lain yang mengadakan siaran langsung secara penuh, khususnya dunia ketiga, masalah yang sama dihadapi iaitu ahli Parlimen tidak menumpukan perbincangan kepada perkara-perkara penting kepada rakyat dan negara.

''Sehinggalah kita merasakan ahli Parlimen khususnya pembangkang benar-benar berfikiran secara kelas pertama, barulah kita rasa wajar tempoh siaran langsung dalam Parlimen disambung dan dipanjangkan.

''Jika mereka masih berkelakuan macam ahli Parlimen kelas ketiga seperti hari ini, kita rasa kita hanya menghabiskan wang dan masa rakyat untuk meneruskannya. Seperti yang saya kata, ada rakyat yang suka melihat sarkas tapi Parlimen bukan sarkas," katanya.

Read More...

Mufti Perlis hantar surat bantahan 'Jom Heboh'.

Mstar Online

30-04-2008 04:39:31 PM

MUFTI Perlis, Dato' Dr Asri Zainul Abidin telah menghantar surat bantahan kepada kerajaan negeri supaya mengambil perhatian serius berhubung penganjuran Karnival Jom Heboh yang bakal diadakan pada 3 dan 4 Mei akan datang di Perlis.

Surat yang dihantar pada minggu lepas menyarankan agar kerajaan negeri melarang sebarang unsur-unsur atau program negatif yang bercanggah dengan agama yang diadakan dalam karnival tersebut.

"Saya tidak mengganggap Karnival Jom Heboh itu haram kerana terdapat juga program dan aktivitinya yang baik seperti pameran penerangan, pendidikan dan urusan perniagaan. Cuma ia perlu dipantau...," katanya.

Pendapat Mufti Perlis berbeza pendapat dengan Mufti Perak yang pernah mengeluarkan fatwa haram umat Islam menghadiri karnival tersebut.

"Seandainya ada program yang mengandungi unsur-unsur negatif dan bertentangan dengan agama, saya sarankan tidak perlulah penduduk negeri Perlis menghadirinya," katanya lagi.

Dr Asri juga turut menghantar surat bantahan yang sama kepada kerajaan negeri melarang umat Islam terlibat dalam Pesta Songkran atau Pesta Air yang menjadi salah satu perayaan masyarakat Thai yang disambut pada 13 April setiap tahun.

Pesta Songkran yang diamalkan sejak berkurun lamanya dikatakan bermula dengan majlis memandikan patung Buddha bagi mendapatkan berkat di samping memandikan golongan warga tua dengan air bunga pada sebelah pagi.

Pesta Songkran sering dianggap sebagai 'Pesta Air' kerana penggunaan air dan wangi-wangian sebagai lambang kemaafan. Pesta Air menjadi kegemaran di kalangan anak-anak muda kerana seronok menyimbah air kepada rakan-rakan.

Mufti yang agak vokal ini berkata, walaupun bantahan ini dibuat ini tidak bermakna Islam melarang sama sekali program berunsur hiburan.

"Contohnya seperti konsert yang mengajak masyarakat berhibur secara matang dan tidak menjerumuskan diri kepada gejala yang tidak sihat. Kita tidak 'ban' hiburan yang matang. Bukan semua jenis hiburan kita 'ban' atau kita cuma mengalu-alukan hiburan berbentuk nasyid saja," katanya.

"Anda boleh jemput kumpulan Kopratasa, penyanyi Shuhaimi Mior Hassan atau Ramli Sarip yang boleh mengajak generasi muda berhibur secara matang," katanya yang turut membantah kehadiran Faizal Tahir dalam konsert Jom Heboh akan datang.

Kata Dr Asri penyanyi berkenaan telah dibuktikan mempunyai rekod dan identiti yang kurang baik yang tidak wajar dicontohi oleh masyarakat umum khususnya para remaja.

Ditanya sama ada surat tersebut memberi kesan dan akan diberi perhatian oleh kerajaan Perlis, beliau berharap teguran beliau akan dapat perhatian kerajaan baru ini. Ianya perlu untuk menghormati suara rakyat dan kelompok agama yang mahu memastikan umat Islam terhindar dari gejala negatif yang jelas bertentangan dengan agama.

"Kerajaan baru ini belum teruji lagi dengan isu-isu seperti ini. Seharusnya mereka diberi peluang menangani masalah begini," katanya.

Read More...

Parlimen kecoh: Karpal 'berlaga' dengan Ibrahim Ali

Harakahdaily

Azamin Amin

Wed | Apr 30, 08 | 3:15:09 pm MYT

KUALA LUMPUR,30 April (Hrkh) - Suasana Parlimen hari ini 'panas' dengan 'pertikaman lidah' dan ketidakpuasan hati antara dua ahli Parlimen daripada bukan parti kerajaan iaitu Karpal Singh (DAP-Gelugor) dan Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) yang masing-masing mempertahankan hujah mereka.

Karpal pada sesi awal perbahasan meminta Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia bagi menjelaskan kedudukan Ibrahim Ali di dewan sama ada merupakan ahli parlimen bebas memandangkan sebelum ini beliau bertanding atas tiket PAS.

Kenyataan itu menimbulkan ketidakpuasan hati kepada Ibrahim yang kemudiannya mencelah dan menyelar sikap Karpal yang tidak menghormati Parlimen.

Katanya, ketika sesi perbahasan dijalankan, beliau mempersoalkan kewajaran Karpal yang tidak meminta kebenaran dewan yang mulia untuk duduk sewaktu berhujah.

Umum mengetahui bahawa Karpal hanya berkerusi roda serta tidak boleh berdiri dan hanya duduk ketika menyampaikan hujah atau mengemuka soalan.

'Serangan' Ibrahim kemudiannya mengundang kemarahan sebilangan besar ahli parlimen khususnya daripada DAP yang meminta Ibrahim menarik balik kata-katanya itu kerana membawa maksud menghina.

"Beliau kena tarik balik kerana telah menghina Orang Kurang Upaya (OKU),"kata Ahli Parlimen Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah).

Azmin Ali (KeADILan-Gombak) juga turut kesal dan menggesa supaya ahli parlimen tidak mengeluarkan kenyataan atau hujah yang tidak menunjukkan sikap dan kenyataan sebenar seorang ahli parlimen (unparliamentary remarks).

"Ala... Yang Berhormat pun biasa hina orang, sesekali kena hina apa salahnya," kata Ibrahim Ali membalas.

Dalam pada itu Menteri Penerangan, Dato' Ahmad Shabery Cheek dilaporkan kecewa dengan sikap ahli parlimen yang ditunjukkan pada hari ini memandangkan sesi 30 minit pertama telah ditayangkan secara langsung oleh RTM ke seluruh negara.

"Saya sangat kecewa...," kata Shabery yang menganggap seolah-olah siaran langsung ini 'disalahgunakan' oleh para Ahli Parlimen.

Katanya selepas insiden ini kerajaan akan mengkaji semula sama ada untuk meneruskan siaran langsung Parlimen tersebut. - mks.

Read More...

Laporan bercanggah akhbar perdana - Berita Harian

Tranungkite

Dilulus terbit pada Thursday, May 01 @ 11:05:12 MYT oleh SongkokPutih
Kenyataan Media Oleh PAS Johor Bahru

 PAS Johor Bahru berasa kesal berhubung laporan tidak tepat yang disiarkan oleh Akhbar Berita Harian bertarikh 27 April 2008 bertajuk "Karpal dakwa diancam bunuh kerana hina Islam". Laporan yang tidak tepat serta bercanggah dengan fakta sebenar telah menjatuhkan kredibilti dam integriti penulisan kewartawanan dan sekaligus boleh menjadi bahan fitnah yang akan kekal abadi sehingga ke akhirat kelak.

Lebih menyedihkan lagi laporan yang tidak tepat itu keluar daripada sebuah akhbar perdana berbahasa melayu dan menjadi tunjang kepada masyarakat melayu mendapatkan maklumat yang bersih, tepat dan adil. Anehnya, sebuah lagi akhbar berbahasa inggeris dilihat lebih telus dan lebih integriti dalam menyampaikan isu yang sama. Berikut adalah salinan daripada laporan akhbar daripada kedua-dua sumber tersebut :-


Karpal dakwa diancam bunuh kerana hina Islam
GEORGETOWN: Penasihat DAP Kebangsaan, Karpal Singh, semalam, membuat laporan polis berhubung berita yang disiarkan dalam laman web Pas Johor yang mendakwa beliau memburukkan Islam dan darahnya halal untuk dibunuh.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor yang diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Delima, R S N Rayer, membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, kira-kira jam 2.30 petang.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Karpal berkata, perbuatan pihak tertentu memburukkannya adalah fitnah.
"Saya bukan anti-Islam dan dakwaan yang dilemparkan itu adalah tidak benar dan fitnah semata-mata," katanya.

Beliau berkata, tindakan pihak tertentu menuduhnya sebagai seorang anti-Islam tidak boleh diterima kerana bercanggah dengan apa yang diperjuangkan.

Katanya, tiada sebab untuknya berbuat demikian kerana baginya agama Islam adalah agama rasmi negara dan bukannya sebagai negara Islam kerana
Malaysia dianggap negara sekular.
Beliau kesal dengan dakwaan yang dilemparkan seorang penulis dikenali sebagai Aliff menerusi laman web Pas Johor yang mengatakan bahawa dirinya memburukkan Islam dan darahnya halal untuk dibunuh.

"Bagi saya, ini adalah sesuatu yang sukar diterima sehingga saya menerima ancaman bunuh kerana didakwa memburukkan agama Islam, sekali gus membuatkan orang Islam menganggap saya sebagai Salman Rushdie.

"Saya tidak faham sama sekali mengapa segelintir pihak mahu menuduh saya sebagai seorang anti-Islam kerana selama ini amat menghormati agama lain. Apa yang akan saya peroleh jika bertindak demikian," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta mana-mana pihak tidak menyamakannya dengan Salman Rushdie dan ancaman bunuh ke atasnya tidak menyelesaikan masalah.
DAP upset over 'kill Karpal' call
JOHOR BARU: The state DAP is upset over a comment left on a PAS website that called for the murder of DAP national chairman Karpal Singh and is calling for an apology.
Johor DAP vice-chairman Norman Fernandez said that it was unacceptable for the message to be posted on the Johor Baru PAS website especially when Pakatan Rakyat was trying to introduce a new era in politics.
"We want them to take the comment out, apologise to Karpal and ensure that no inciting messages will be put on their website henceforth," he said.
The comment dated April 24 was listed on the website Shoutbox and was written by a commenter called "Alif" who alleged that Karpal had insulted Islam and that "darahnya halal dibunuh" (it's justifiable to kill him).
He added that for Pakatan Rakyat to succeed, mutual respect was needed and it was the responsibility of the webmaster to ensure that such comments did not appear on the party website.
Meanwhile, Johor PAS Commissioner Datuk Dr Mahfodz Mohamad said the comment posted was not the stand of the Johor PAS.
PAS Johor Bahru ingin mengajak kepada semua rakyat Malaysia agar membandingkan laporan berita yang disiarkan oleh kedua-kedua akhbar perdana tersebut. Malangnya, laporan yang disampaikan oleh Akhbar Berita Harian yang sehari lewat (lihat tarikh pada alamat yang diberi) dalam menyampaikan laporan ini berbanding Thestar, tidak mencerminkan laporan yang tepat dimana ia merujuk kepada laman web PAS Johor dan bukannya PAS Johor Bahru.
Adakah wartawan Berita Harian tidak tahu membezakan di antara kawasan Johor Bahru dengan Negeri Johor? Kami menyifatkan wartawan yang menulis laporan tersebut tidak prihatin serta tidak bertanggunjawab dengan sengaja memburuk-burukkan PAS Johor sedangkan di lawan web kami telah jelas dipaparkan perkataan "Kawasan Johor Bahru".
Akhbar Thestar dilihat lebih telus menyampaikan laporan dimana ia menyebut kenyataan kontroversi tersebut datangnya daripada penggunaan shoutbox dan ditulis oleh seorang pelayar yang menggunakan nama samaran "Aliff". Jika dilihat daripada laporan Akhbar Berita harian, langsung tidak dinyatakan penggunaan "shoutbox" dan membayangkan seolah-olah kenyataan tersebut ditulis di dalam bentuk artikel. Kami juga ingin menyarankan wartawan tersebut belajar daripada wartawan Thestar tentang kaedah penyampaian maklumat yang lebih telus dan menyeluruh.
Sehubungan dengan itu, kami ingin menegaskan sekali lagi bahawa kenyataan kontroversi tersebut adalah bukan kenyataan rasmi atau pendirian PAS Johor Bahru mahupun PAS Johor amnya. Penulisan tersebut hanyalah sebaris ayat (tidak sampai 10 patah perkataan) dan lahir daripada tulisan salah seorang pengunjung website kami. Tambahan pula, kenyataan kontroversi tersebut telah disanggah oleh pengunjung lain yang tidak bersetuju dengan pandangannya. Malahan, pengunjung tersebut juga telah meminta maaf secara terbuka kepada Karpal dan Pakatan Rakyat amnya menerusi shoutbox yang sama berhubung dengan kenyataannya.
Layari : http://pasjohorbahru.com/

Read More...

PAS gesa Bernama mohon maaf


Malaysiakini

Jimadie Shah Othman | Apr 30, 08 4:33pm

Pemuda PAS Johor mendesak agensi berita Bernama memohon maaf dan membetulkan laporannya yang mendakwa ketua pergerakan itu turut mengiringi seorang pelajar ke balai polis dalam kes hasutan bunuh terhadap pengerusi DAP Karpal Singh.

Ketua pergerakan itu Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata Pemuda PAS negeri bersedia menyaman agensi berita nasional itu jika "permohonan maaf dan penjelasan secara terbuka tidak dilakukan dalam tempoh tujuh hari" mulai hari ini.

"Saya cukup terkilan kerana saya dan Pemuda PAS Johor telah dikaitkan secara langsung sehinggakan nama saya telah disiarkan tanpa mendapatkan maklumat terus daripada saya oleh wartawan Bernama," kata Khairul Faizi.

dap karpal singh"Setelah berita ini disiarkan, saya telah mendapat kritikan daripada beberapa pihak terhadap tindakan saya kerana (disalahanggap) telah mengiringi pelajar tersebut ke balai polis sedangkan perkara tersebut tidak ada kaitannya secara langsung dengan saya dan Pemuda PAS Johor."

Bernama kelmarin melaporkan, pelajar kolej berumur 19 tahun menyerah diri kepada polis berhubung dakwaan menghasut bagi pembunuhan Karpal, yang juga ahli parlimen Bukit Gelugor, dalam laman web PAS Johor.

Remaja itu yang dilaporkan diiringi bapanya dan empat anggota Pemuda PAS negeri yang diketuai Khairul Faizi tiba di balai polis Johor Bahru selatan pada pukul 1 tengah hari.

Selepas keterangannya direkodkan oleh polis, lapor agensi berita itu lagi, pelajar itu ke pejabat naib pengerusi DAP Johor, Norman Fernandez pada 4 petang.

Khairul Faizi semalam telah menafikan penglibatannya dan juga barisan pemimpin Pemuda PAS negeri.

Dalam kenyataannya kepada Malaysiakini selepas mengadakan sidang media di Johor Bahru hari ini, Khairul Faizi turut melahirkan rasa terkilan kerana pihak Bernama "langsung tidak memohon maaf atas kesilapan penyiaran maklumat" tersebut.

Malah, tambahnya, agensi berita itu meminta beliau berhubung sendiri dengan naib pengerusi DAP negeri itu bagi mendapatkan penjelasan.

Menurutnya lagi, agensi berita itu mendakwa kepadanya bahawa sumber maklumat itu daripada Fernandez sendiri.

Menurut blog ketua Pemuda itu, turut hadir di sidang media tadi, ketua penerangan Pemuda PAS pusat Suhaizan Kaiat, bendahari Pemuda PAS negeri Ruhaizam Abd Hamid dan exco pergerakan itu Za’aba Ibrahim.

Read More...

Perbahasan hari pertama Parlimen hangat dan gamat dengan 'pertikaman lidah'

Harakahdaily

Nordin Wan Yaacob | Foto Nasir Sudin
Wed | Apr 30, 08 | 1:33:33 pm MYT

Seperti yang dijangkakan kemasukan 82 ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PAS, Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) dan DAP membawa satu senario baru dalam perbahasan sidang Dewan Rakyat yang bermula hari ini.

Suasana tidak lagi seperti pada penggal yang lalu (selepas pilihan raya umum 2004) yang hanya menyaksikan babak ampu mengampu sahaja yang berlaku.Sebaliknya kali ini Dewan Rakyat menyaksikan satu kehangatan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

ImageSejak Speker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia memulakan sidang Dewan Rakyat jam 10.00 pagi lagi, suasana dewan menjadi gamat dengan pertikaian demi pertikaian dikemukakan ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional (BN).

Sidang yang sepatutnya dimulakan dengan Sesi Soalan dan Jawapan Lisan itu terganggu sementara berikutan perbalahan yang berlaku antara beberapa ahli parlimen dalam soal urutan soalan-soalan Soal Jawab Lisan, isu penggunaan perkataan-perkataan menghina, isu Aturan Urusan Mesyuarat, hak-hak ahli Parlimen dalam mendapatkan peluang menyoal balas yang mana rata-ratanya adalah isu teknikal.

Antara yang berbahas mengenai isu itu ialah, Azmin Ali (KeADILan-Gombak); Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur); Chong Chien Jen (DAP-Bandar Kuching); Dato' Bung Mokhtar Raden (BN-Kinabatangan); Ir Khalid Samad (PAS-Shah Alam); Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) dan beberapa ahli Parlimen lain yang mencelah sesekali.

Tidak ketinggalan Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang turut memberi pandangan-pandangannya berdasarkan pengalaman di Dewan Rakyat terhadap beberapa isu yang dibangkitkan.

Speaker terpaksa menunggu hingga jam 10.55 pagi untuk memulakan seoalan pertama yang diajukan oleh Dato' Razali Ibrahim (BN-Muar) yang dijawab Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Namun jawapan yang diberi oleh Abdullah mengenai tahap kecekapan pentadbiran kerajaan dan isu-isu pembangunan tidak disenangi beberapa ahli Parlimen, yang menyebabkan mereka meminta soalan tambahan untuk diajukan kepada Perdana Menteri.

Begitupun Speaker menolak permintaan yang datangnya daripada beberapa Ahli Parlimen DAP, PAS dan wakil bebas, Dato' Paduka Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) menyebabkan suasana kembali tegang dan beberapa ahli Parlimen silih berganti bangun bagi meminta 'point of order'.

Kelam kabut dibuatnya Speaker hingga ada pula yang mencadangkan agar perbahasan ditangguhkan sementara berikutan kekalutan-kekalutan yang berlaku.

Sementara itu hanya tiga soalan sahaja yang mampu dibahaskan pagi tadi memandangkan kekalutan yang berlaku.Tiga soalan itu dibangkitkan oleh Razali (soalan pertama); Bung Mokhtar (soalan kedua) dan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (KeADILan Permatang Pauh) bagi soalan yang ketiga.

Sidang berjalan semula selepas Speker meminta semua ahli parlimen menunjukkan kesopanan dan daya kepimpinan mereka agar perjalanan perbahasan berjalan dengan lancar.

Semasa memulakan sesi perbahasan, Speaker menjemput Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) membentangkan usul tergempar di bawah perkara 18 (1), namun selepas membacakan usul itu dengan isinya mendesak kerajaan persekutuan memulangkan royalti minyak kepada negeri Terengganu, usul itu ditolak Speaker.

Penolakan usul itu sekali lagi menyebabkan keadaan gamat dengan beberapa ahli Parlimen termasuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena); Dr Dzulkifly Ahmad (PAS-Kuala Selangor); Dr Hatta Mohd Ramli (PAS-Kuala Krai) dan Ir Khalid Samad (PAS-Shah Alam) bangun mendesak penjelasan dan penimbangan semula usul itu agar dibahaskan.

Namun Speaker tidak berganjak dengan keputusannya itu, menyebabkan ramai yang marah.

Sementara itu, suasana di luar Dewan Rakyat juga tidak kurang meriahnya, ramai yang tertumpu kepada skrin-skrin televisyen yang disediakan di Lobi Parlimen untuk mendengar perbahasan yang pastinya hangat dan membuatkan jantung sentiasa bergerak laju.

Kelihatan beberapa Ahli Parlimen keluar masuk dewan, dan ada juga yang sempat menjengah Kafeteria bagi membasahkan tekak menikmati sarapan pagi dalam suasana yang agak sibuk.

Antara yang kelihatan di Kafeteria ialah, Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa yang duduk bersama bekas Ahli Parlimen BN Ketereh, Dato' Mohd Alwi Che Ahmad.

Seketika ternampak kelibat Presiden PAS yang keluar dari Dewan Rakyat dan terserempak dengan Presiden MIC, Dato' Seri S.Samy Vellu.Mereka bersalaman sambil jurugambar dari pelbagai media tidak henti-henti mengambil gambar mereka berdua.

Spontan dari mulut Samy menanyakan khabar kepada Presiden PAS, dan mereka kelihatan cukup mesra tanpa sebarang rasa prejudis walaupun dalam politik mereka bermusuh.

Presiden PAS seterusnya diberi laluan oleh Samy untuk ditemuramah wartawan-wartawan yang sememangnya menanti ulasan Presiden PAS itu mengenai beberapa isu yang sedang melanda negara hari ini terutamanya isu Melayu dan Islam.

Di Bilik Media pula, para wartawan sibuk mendengar perbahasan dan tidak kurang yang sinis mengkritik tingkah laku ahli Parlimen dengan 'lap top' di tangan ada yang mula menulis berita-berita panas yang berlaku pagi tadi.Semuanya mahu berita yang dilayangkan ke meja Editor akhbar masing-masing menepati kehendak dan sensasi, tidak kurang yang mahu berita mereka disiarkan segera.

Tidak kurang ada yang memerhatikan sahaja setiap gerak-geri yang terlintas di hadapan mereka.Team Harakahdaily terpaksa pulang ke pejabat pada jam 1.00 petang bagi melaporkan apa yang berlaku di Dewan Rakyat.

Ketika ini (jam 1.30 petang) sidang telah pun dihentikan Speaker pada jam 1.00 petang dan akan bersambung sebentar sahaja lagi (jam 2.30 petang). - mks.

Read More...

Pandikar Amin: Alhamdulillah tidak seperti Parlimen Taiwan

Mstar Online

30-04-2008 08:24:51 PM

KUALA LUMPUR: "Bersyukur kepada Tuhan, ia bukannya seperti yang berlaku di Parlimen Taiwan." Begitulah gambaran yang diberikan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengenai persidangan Dewan Rakyat hari ini yang menyaksikan beberapa Anggota Parlimen pembangkang dan Barisan Nasional (BN) bertikam lidah dan mengganggu persidangan awal hari ini.

Parlimen Taiwan terkenal dengan tingkah laku Anggota Parlimen yang tidak mengikut peraturan Parlimen apabila ada yang terbabit dalam tindakan seperti melontar buku dan kerusi terhadap satu sama lain.

"Jika mereka tidak dapat mengawal diri mereka, mengeluarkan perkataan-perkatan tidak mengikut peraturan Parlimen, akan berlaku seperti yang terjadi di Taiwan," katanya selepas persidangan hari pertama Dewan Rakyat di pejabatnya di Parlimen di sini.

Pandikar Amin berkata persidangan hari ini benar-benar menguji kesabarannya dan memberi amaran kepada semua Anggota Parlimen supaya tidak mengulangi kelakuan sedemikian kerana beliau tidak suka menggantung sesiapa pun di antara mereka.

"Tidak terfikir di fikiran saya. Kalau dibuat (tindakan mengantung) seolah-olah tak cukup kesabaran. Tapi kalau betul-betul ada yang melanggar peraturan dan terus menerus menegakkan benang yang basah, tindakan akan diambil," katanya.

Sehubungan itu beliau amat berharap semua Anggota Parlimen akan memberikan kerjasama mereka dengan mematuhi arahannya supaya beliau dapat menjalankan tugasnya semasa persidangan dijalankan.

"Apa kebaikan dalam sistem demokrasi berparlimen kecuali kalau kita mematuhi peraturan yang telah ditetapkan," katanya. BERNAMA


Read More...

Pelajar terkejut gelagat ahli Parlimen

Utusan Online


Pelajar-pelajar dari SMK Sri Andalas, Klang mengikuti siaran langsung Sidang Dewan Rakyat pada hari petama di bangunan Parlimen, semalam.


KUALA LUMPUR 30 April - Para pelajar yang menghadiri hari pertama persidangan Dewan Rakyat hari ini tidak menyangka mereka akan dikejutkan dengan tingkah laku dan perkataan kurang sopan daripada ahli-ahli Parlimen.

Mereka sama sekali tidak menduga perjalanan persidangan di Dewan yang sepatutnya dihormati selaras dengan kedudukannya sebagai institusi pembuat dasar, dicemari dengan tindak-tanduk ahli-ahli Parlimen.

Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Andalas, M. Jochim berkata, dia dan rakan-rakan sebelum ini menjangka sidang Dewan berjalan secara profesional dengan ahli-ahli Parlimen membangkitkan pelbagai isu.

Bagaimanapun, dia mengakui terkejut melihat ahli Parlimen bertindak seperti kanak-kanak apabila menggelarkan satu sama lain dengan panggilan tertentu.

‘‘Saya menjangka persidangan ini akan berlangsung dalam suasana formal apabila ahli-ahli Parlimen mengemukakan pandangan mereka tetapi lain pula yang berlaku.

‘‘Saya tak sangka mereka saling memanggil satu sama lain dengan pelbagai panggilan, seperti budak-budak,” katanya ketika ditemui di bangunan Parlimen hari ini.

Jochim adalah antara 37 pelajar SMK Sri Andalas yang menyaksikan sidang Dewan Rakyat hari ini selain pelajar dari SMK Alam Megah dan Sekolah Tinggi Kajang.

Terdahulu, semasa sidang Dewan berlangsung, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh memanggil Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin sebagai ‘bigfoot’.

“Saya harap ‘bigfoot’ dari Kinabatangan tidak akan mengganggu saya. Bigfoot sit down,” kata Karpal.

Bung Moktar kemudiannya bangun dan berkata : ‘‘Berdirilah kalau berani. If I’m bigfoot, you are big monkey.”

Sementara itu, seorang lagi pelajar, Dhamayanthi Nair berkata, dia pada awalnya amat gembira apabila diberitahu berpeluang mengikuti sidang Dewan Rakyat.

Dia menjangka banyak pengalaman berguna dapat diperoleh sepanjang mengikuti sidang itu apabila mendengar hujah-hujah daripada ahli-ahli Parlimen.

Bagaimanapun dia tidak menyangka kunjungan pertamanya ke sidang Dewan Rakyat dikejutkan dengan tingkah laku ahli-ahli Parlimen yang kurang sopan itu.

Katanya, dia terkejut dan ketawa apabila melihat serta mendengar sendiri bagaimana ahli Parlimen daripada pakatan pembangkang dan Barisan Nasional memanggil satu sama lain dengan nama ‘Bigfoot’ dan ‘Big Monkey’.

Sementara itu, guru SMK Andalas, Mariani Zainal berkata, dia pernah menyaksikan ahli-ahli Parlimen bergaduh sesama sendiri semasa menghadiri beberapa sidang Parlimen sebelum ini.

Sehubungan itu, apa yang disaksikan hari ini tidak begitu mengejutkannya tetapi berharap pelajar-pelajarnya dapat menimba pengalaman berguna semasa menyaksikan persidangan kali ini.

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |