+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Monday, December 15, 2008

Nizar pertahan keputusan

Utusan Online

ALOR STAR 14 Dis. - Kerajaan Perak tidak akan berganjak daripada keputusannya untuk menggunakan kereta Toyota Camry 2.4 bagi menggantikan Proton Perdana V6 Executive sebagai kenderaan rasmi Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri meskipun tindakan itu mendapat kritikan daripada pelbagai pihak.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, kerajaan Perak berpendapat penggunaan kereta buatan asing itu memberi jaminan dan khidmat yang lebih baik berbanding Proton Perdana.

"Kita rasakan penggunaan kenderaan Exco dan pegawai cukup lasak dan Toyota Camry merupakan satu model yang boleh melalui proses demikian dengan harga berpatutan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjung hormat ke pejabat Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Beliau ditanya sama ada kerajaan Perak akan mengubah keputusan mengenai kelulusan penggunaan kereta Toyota Camry bagi menggantikan Proton Perdana V6 Executive selepas pelbagai pihak mengkritik tindakan itu.

Kelmarin, Kerajaan Perak dilaporkan meluluskan pembelian 16 buah kereta Toyota Camry 2.4 bagi menggantikan Proton Perdana V6 Executive sebagai kenderaan rasmi Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri.

Mohammad Nizar berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kos membaiki serta menyelenggara Proton Perdana yang begitu tinggi dan sering mengalami kerosakan.

Bagaimanapun, tindakan itu disifatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Manong, Datuk Ramly Zahari sebagai tidak patriotik kerana kerajaan pakatan pembangkang sanggup menggunakan kereta import berbanding kereta buatan tempatan.

Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPM) juga menyifatkan kerajaan Perak sebagai 'mengkhianati' negara apabila menggunakan kereta buatan luar bagi menggantikan kereta tempatan sebagai kenderaan rasmi.

Mohammad Nizar berkata, kerajaan Perak akan meneruskan rancangan penukaran kereta berkenaan tetapi belum memutuskan bila kerana perlu menilai kemampuan kewangan negeri.

Ditanya tindakan tersebut sebagai tidak patriotik, beliau berkata: "Hanya kerana pakai kereta tempatan kita dipanggil patriotik? Saya rasa masalah ini tidak timbul."

Read More...

Berapakah nilai RM2.7 juta?


Kalau korang bandingkan RM2.7 juta dengan RM1.8 juta, memang lah nilai RM2.7 lebih tinggi. Apa itu RM2.7 juta? Itu adalah jumlah kos belian kenderaan berjenama Camry yang akan di beli oleh Kerajaan Negeri Perak tanpa tolak cukai. Rujuk SINI

Wah pandai anak murid cikgu. Tahniah ... esok boleh beli gula gula. Wakakaka
Ok ....... kita anggarkan, kenderaan Camry tu akan di gunakan untuk 5 tahun atau lebih.

Sekiranya kereta itu di gunakan di dalam tempoh 5 tahun, kita bahagikan jumlah tersebut dengan jumlah tahun, maka kita dapat belanja kos belian menjadi RM540,000 setahun.

RM540,000 setahun kita bandingkan dengan RM2.5 juta setahun, mana banyak?

Tentulah RM2.5 juta itu lebih banyak dan tahu kah anda apa yang di maksudkan dengan RM2.5 juta itu? Ia adalah kos senggara rumah Pak Lah di putra jaya. KLIK SINI.

Itu baru kos senggara rumah, belum yang lain lain lagi. So ... .apa lah nilai RM2.7 juta itu berbanding dengan belanja yang korang keluar untuk rumah pak Lah ... wakakakak ...
Soal patriotik pulak ... cuba bandingkan dengan Kereta kerajaan Negeri Sarawak. Rolls royce, bmw, jaguar dan macam macam lagi. Uhhhh ... patriotik sungguh kerajaan Sarawak.

Weyyyy ... .sudah la jangan bodohkan rakyat sampai cam tu. Korang jealous ke? Kalau tak jealous, korang jangan pakai kereta luar. Beli lah kereta Proton. Kitorang tak kesah pun.

Cuma kalau nak patriotik ... suruh menteri jual kereta mewah diorang dan ganti dengan kereta Proton. Mahu ke dak?

Soal patriotik tak ada kaitan antara duit sendiri atau kerajaan, ia adalah jenama barangan itu sendiri. Kalau duit sendiri pun kalau beli kereta luar, dikira tak patriotik jugak ... wakakakak

Terkini : Selepas Kedah, Penang pun tak mau guna PROTON

Read More...

Dr. Asri: Pemilihan PM perlu libatkan rakyat

PETALING JAYA: Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang kini bercuti sabatikal di United Kingdom berpendapat sudah sampai masanya pemilihan Perdana Menteri dibuat dengan melibatkan setiap individu rakyat.

"Mungkin sudah sampai masanya untuk rakyat Malaysia memikirkan kaedah pemilihan Perdana Menteri negara ini dengan cara yang membabitkan setiap individu rakyat.

"Sistem yang digunapakai di Amerika, mungkin boleh difikirkan disamping beberapa pengubahsuaian berdasarkan kepada keperluan negara ini," kata beliau melalui emel yang dikirimkan baru-baru ini.

Kelebihan pemilihan terbuka, menurut Dr Asri, yang seperti di atas ini boleh dilihat kepada beberapa perkara berikut:

i. Pemilihan seperti itu akan benar-benar mewakili keredhaan majoriti rakyat.

ii.Cara pemilihan yang sebegini, dengan diberi peluang yang adil bagi setiap calon akan menghasilkan tokoh kepimpinan yang lebih berkarisma, berkemampuan dan telus.

iii.Kewibawaan atau kesetiaan rakyat untuk taat kepada sesiapa yang dipilih menjadi Perdana Menteri lebih nyata disebabkan setiap warga diberi peluang yang sama dalam pemilihan.

iv.Cabaran atau ugutan penentang Perdana Menteri yang dipilih tidak boleh menggugat kewibawaan seseorang Perdana Menteri kerana dia benar-benar dipilih oleh majoriti rakyat.

v.Mereka yang tidak berwibawa atau bermasalah akan bimbang untuk menawarkan diri dalam pemilihan yang terbuka seperti itu.

vi.Kesedaran umat Islam tentang perpaduan dan ukhuwwah islamiyyah demi survival mereka akan meningkat.

Namun, jelas Dr Asri, cadangan ini jika hendak dilaksanakan hendaklah benar-benar dihalusi agar lebih mendekati maksud sistem syura yang dinyatakan oleh Islam.

"Penegakan akhlak Islamiyyah dalam pemilihan calon dan kempen hendaklah dijadikan asas yang membawa kepada keharmonian pemilihan," kata beliau.

Read More...

Peniaga getah umum bertanding calon bebas

Berita Harian


Isma Airfath Hassanuddin

KUALA TERENGGANU: Seorang peniaga getah, Isma Airfath Hassanuddin, 38, mengumumkan hasratnya untuk bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu 17 Januari depan bagi membersihkan namanya yang tercemar ketika Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12), Mac lalu.

Isma Airfath yang berasal dari Kampung Kok Pauh, Rantau Panjang, Kelantan pernah bertanding sebagai calon bebas menggunakan lambang kepala harimau untuk Parlimen Rantau Panjang pada PRU12 dan kalah kepada calon Pas, Siti Zailah Mohd Yusoff dengan majoriti 4,486 undi.

Walaupun kalah pada PRU12 lalu dan hanya mendapat 320 undi, dia berkata, semangat dan keazaman untuk berjuang dalam dirinya masih kuat dan akan tetap bertanding selagi termampu.

Katanya, dia berasa terpanggil untuk bertanding atas kemahuan sendiri tanpa ditaja oleh sesiapa dan demi membuktikan bahawa proses demokrasi masih berjalan di negara ini.

"Sebelum ini saya pernah dikecam dan difitnah teruk kononnya bertanding atas tajaan sesetengah pihak. Oleh itu, motif utama saya masuk bertanding kali ini adalah untuk membersihkan nama baik saya yang tercemar sebelum ini.

"Saya harap kali ini tidak ada gangguan daripada mana-mana pihak dan saya boleh bertanding dengan aman,"katanya dalam satu sidang media di sebuah resort di sini, semalam.

Pilihan raya kecil P36 Kuala Terengganu perlu diadakan berikutan kematian penyandang, Datuk Razali Ismail yang juga Timbalan Menteri Pelajaran pada 28 November lalu.

Isma Airfath yang akan tetap menggunakan lambang kepala harimau kali ini berkata, dia tidak takut mengambil risiko seperti hilang wang pertaruhan pada PRU12 kerana baginya, kejayaan hanya boleh dikecapi apabila seseorang itu berani mengambil risiko.

Katanya, walaupun bertanding di tempat asing, dia yakin peluangnya cerah kerana mendapat sokongan rakan dan saudara mara yang tinggal di Kuala Terengganu.

"Saya tak takut ambil risiko kerana kehidupan sebagai peniaga sememangnya penuh dengan cabaran. Saya juga mempunyai ramai kenalan di sini terutama daripada kelab motor dan pelanggan. Oleh itu, saya yakin akan mendapat sokongan penuh mereka.

"Keluarga juga memberi galakan supaya saya masuk bertanding kali ini. Kalau dapat jadi Ahli Parlimen...rezekilah,"katanya.

Ditanya adakah dia yakin mampu menewaskan calon bebas, Maimun Yusof,82 yang turut mengumumkan hasrat untuk bertanding, dia berkata, perkara itu tidak akan menjejaskan semangatnya kerana masing-masing mempunyai peluang tersendiri.

Read More...

Pilihan raya kecil Kuala Terengganu Pas Pertaruhkan Siapa?

msomelayu

KALAU BN ada tiga hingga lima calon untuk diletakkan bertanding dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu pada 6 Januari depan, Pas pula ada tiga calon yang menjadi sebutan dan sandaran untuk merampas kerusi berkenaan. Di sini saya tidak bercadang untuk mengulas dan menganalisa calon-calon BN, dan hanya akan menyorot calon-calon Pas sahaja.

Tiga nama disebut-sebut akan diletakkan oleh Pas, ialah Naib Presiden, Mohamad Sabu yang juga calon Pas di kerusi berkenaan dalam pilihan raya umum lalu, Pesuruhjaya Pas Terengganu, Mustafa Ali dan seorang ahli perniagaan Prof Khazani Abdullah.

Ketiga calon ini realtifnya berbeza antara satu sama lain. Mohamad Sabu dikenali sebagai pekerja parti yang lantang dan rajin di dalam Pas. Pekerja yang pandai mengulas isu dan membuat humor ketika bersyarah. Beliau juga menjadi daya penarik kepada majlis ceramah Pas.

Kerana kehebatan itu beliau saya sifatkan sebagai calon berlabel nasional. Mustafa Ali pula pemimpin veteran dalam Pas yang berpengalaman. Saya namakan sebagai pekerja lama parti. Manakala Khazani tokoh muda Pas yang masih belum dikenali calon amatur dan harapan masa depan. Pekerja baru parti.

Walaupun Pas Terengganu tidak ‘kasik’ calon dan masih ada serangkaian calon lain, seperti Wan Mutalib Embong, Abu Bakar Chik dan lain-lain, tetapi itulah tiga nama yang dikira akan disenaraipendekkan oleh Pas Terengganu untuk dipertimbangkan dan diputuskan oleh Pas Pusat dan Majlis Syura Ulama.

Rasanya elok juga untuk melihat populariti calon-calon berkenaan berdasarkan poll yang dibuat oleh beberapa portal berita dan juga blog persendirian termasuk blog saya. Perbandingan ini hanya tertumpukan kepada dua nama saja, Mohamad Sabu dan Mustafa Ali kerana Khazani tidak disenaraikan dalam mana-mana poll.

Ada empat orang nama yang disenaraikan dalam poll berkenaan, iaitu Mohamad Sabu, Mustafa Ali, Wan Mutalib Embong dan Syed Azman Syed Ahmad. Jelas sekali dari segi popular menurut poll-poll itu, Mohamad Sabu menjadi pilihan utama berbanding dengan Mustafa Ali.

Misalnya poll yang dibuat oleh KL.Pos yang dikutip jam 11:00 pagi ini (11 Disember 2008) Mohamad Sabu mendapat sokongan sebanyak 89%, Mustafa 4% dan Wan Mutalib sebanyak 7%.
Manakala poll dari blog pinkturtle pula yang dikutip pada waktu sama daripada 430 pengundi, sebanyak 68% atau 291 undian diberikan kepada Mohamad Sabu, Syed Azman 27% atau 115 undian, Wan Mutalib dan Mustafa masing-masing 3% atau kira-kira 11-13 undi saja.

Poll dari blog saya pula yang dikutip pada masa sama, daripada 216 pengundi Mohamad Sabu menerima 122 undian atau 56%, Syed Azman 43 undi atau 19%, Wan Mutalib menerima 6 undi atau 2% dan Mustafa menerima 21 undi atau 9%. Saya turut meletakkan pilihan ‘calon-calon lain’ yang menerima 24 undi atau 11%.

Saya mengagakkan mereka yang membuat pengundian menerusi poll dalam ketiga blog berkenaan adalah hampir 90 % orang yang sama dan kebanyakan mereka adalah pelayar dari luar Kuala Terengganu. Jelas dari poll itu Mohamad Sabu menjadi calon popular dengan mengatasi calon-calon lain dari ketiga poll berkenaan.

Ada beberapa sebab kenapa Mohammad Sabu popular, antaranya kerana nama beliau sudah disebut awal-awal oleh Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mahukan Mohamad Sabu diberikan peluang bertanding sekali lagi. Sedikit sebanyak pandangan Nik Aziz itu mempengaruhi pengundi terutamanya pengundi yang taksub dengan cara politik beliau (Nik Aziz).

Selain itu ialah kerana Mohamad Sabu dilihat popular berbanding dengan nama-nama lain di kalangan masyarakat bawahan dan mereka yang meminati politik berbentuk ceramah.

Persoalannya kini apakah Pas Terengganu akan mengambil kira trend yang ditunjukkan oleh poll berkenaan ataupun suara pemerhati dan peminat politik Pas di luar Terengganu itu? Kalau Pas memperlakukan ini sudah tentu Mohamad Sabu adalah calon paling layak.

Sebaliknya sekiranya Pas Terengganu ada kriteria dan indikatornya sendiri, populariti berdasarkan poll dan ukuran orang awam itu tidak akan diterima pakai dan memungkinkan Mohamad Sabu tidak akan diturunkan semula.

Dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu ini apa yang paling diutamakan kemenangan. Pas perlu menang untuk membuktikan bahawa pengaruh Pas masih kuat di negeri itu. Kemenangan itu juga akan menjadi petunjuk untuk masa depan Pas – pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

Manakala dalam konteks Pakatan Rakyat pula kemenangan itu sangat penting bagi meyakinkan rakyat untuk meneruskan projek terbengkalai untuk menumbangkan kerajaan BN yang diilhamkan oleh Anwar Ibrahim.

Justeru calon yang dianggap benar-benar mampu memberi kemenangan akan dipilih dan diberikan keutamaan.

Seperti disebutkan tadi nama Khazani tidak dimasukkan ke dalam poll. Jadi beliau tidak mendapat petunjuk apakah beliau mampu atau tidak. Namun Dewan Pemuda Pas Terengganu beriya mahu menonjolkan Khazani sebagai calon dalam pilihan raya berkenaan sambil menafikan yang Pas Terengganu kekurangan calon tempatan.

Berdasarkan latar belakang pendidikan akademi Khazani yang luas dan cemerlang itu beliau berkelayakan. Tetapi bila diukur kepada pengalaman dan penglibatan dalam politik ia masih mentah dan muda.

Mari kita tinjau satu persatu potensi yang ada kepada ketiga calon berkenaan.

Mohamad Sabu – memang beliau orang luar dan pertama kali bertanding di Kuala Terengganu. Beliau pernah menang di luar negerinya, iaitu di Kelantan selama dua penggal. Mohamad Sabu adalah tokoh yang tersendiri dalam Pas dengan anutan, fahaman dan aliran pemikiran sendiri. Beliau dilihat seorang pejuang Islam yang percaya kepada kekuatan semangat, iltizam yang ampuh dan bukan bersujud kepada kebendaan.

Mohamad Sabu bukan seorang pengamal politik kebendaan. Kehidupannya sendiri sedarhana. Kepercayaan dan dasar politiknya, Hadith dan Quran. Beliau seorang yang tertarik dengan pendekatan Islam secara jema’i.

Dari segi dakwah menerusi ceramah memang ada kepada beliau. Mohamad Sabu juga mempunyai semangat perjuangan yang kental dan tidak cair dengan ugutan. Pendeknya Mohamad Sabu seorang pejuang Islam tulen dalam Pas dan sudah teruji keimanannya.

Bagaimana pun statusnya sebagai orang luar memberi sedikit masalah kepadanya. Pilihan raya kecil menyebabkan pengundi akan melihat kepada isu-isu local dan dalam hal ini sebagai orang luar beliau tidak mempunyai kelebihan berbanding dengan calon setempat. Apa lagi pengundi di Kuala Terengganu itu sendiri kuat semangat kedaerahannya dan melihat calon yang ada pertalian persaudaraan dengan mereka.

Mustafa Ali – adalah tokoh veteran Pas Terengganu yang banyak pengalaman. Beliau sudah tidak popular dan sedang menghadapi kesuraman cahaya politiknya. Di luar Terengganu beliau sudah ditolak dengan politiknya yang kurang tegas dan play save. Kelebihan yang ada kepadanya ialah beliau calon tempatan. Mustafa mempunyai banyak pertalian persaudaraan dengan pengundi di Kuala Terengganu.

Khazani Abdullah – Beliau tokoh muda yang belum dikenali. Dalam erti kata lain beliau tidak mempunyai apa-apa aset semasa melainkan mempunyai latar belakang pendidikan dan kerjaya yang baik.

Berdasarkan kepada huraian dan dapatan itu Pas kini hanya mempunyai dua calon sahaja iaitu Mohamad Sabu dan Mustafa Ali. Sekrianya pengundi Terengganu masih berpegang kepada tradisi dan politik 'semangkuk' (tempatan) maka Mustafa Ali lah calonnya.

Kesimpulannya bagi saya sebelum Pas memutuskan calon, Pas harus melihat apakah yang diharapkan daripada kemenangan pilihan raya kecil kecil itu. Sekiranya Pas mahu menjadikan kemenangan itu sebagai modal meneruskan projek terbengkalai 16 September, Pas harus memilih calon yang boleh menyambungkan projek berkenaan. Sebaliknya jika Pas merasakan projek itu perlu terbengkalai maka Pas boleh memilih calon yang hanya membawa kemenangan tetapi tidak akan merubah suasana politik nasional. [wm.kl 10:30 11/12/08]

Read More...

Ali Rustam terdesak tarik balik larangan lawat Kelantan

Harakahdaily

Lanjusoh
Sun | Dec 14, 08 | 6:28:29 pm MYT

KOTA BHARU, 14 Dis (Hrkh) - Lapan tahun lalu, Ketua Menteri Melaka, Dato' Seri Mohd Ali Rustam melarang kakitangan kerajaan negeri terbabit melawat Kelantan, namun beberapa hari lalu tegahan itu tiba-tiba ditarik balik.

Apakah motif tersebut, sedangkan tindakannya sebelum ini jelas bersifat dendam politik.

Biar pun larangan itu mengambil masa selama lapan tahun, namun ia seperti tidak pernah diendahkan kakitangan kerajaan Melaka apabila banyak rombongan datang di sini ketika larangan masih berkuatkuasa.

Malah, Mohd Ali sendiri keluar masuk kampung di Pasir Mas ketika berlangsung pilihan raya kecil Dun Pengkalan Pasir pada Disember 2005.

Bagi Naib Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman, Ketua Menteri Melaka itu disifatkan sebagai seorang yang hipokrit dan menjadi pengampu besar dalam Umno.

"Negeri-negeri lain yang juga diperintah Barisan Nasional tidak pernah melarang kakitangan mereka melawat Kelantan seperti dilakukan Mohd Ali.

"Tindakan terbarunya tidak lain lagi kerana mahu menonjolkan diri kononnya sebagai seorang pemimpin yang terbuka bagi melayakkannya dipilih sebagai Timbalan Presiden Umno pada pemilihan Mac depan," katanya di sini.

Baru-baru ini Mohd Ali mengumumkan menarik balik larangan kepada kakitangan kerajaan Melaka daripada melawat Kelantan ketika melancarkan Tahun Melawat Melaka di sini.

Abdul Latif berkata, Dewan Pemuda PAS Negeri tidak nampak Ketua Menteri Melaka itu ikhlas apabila tiba-tiba menarik balik larangan kakitangannya daripada melawat Kelantan.

"Sebenarnya keputusannya itu mempunyai hasrat terselindung bagi mencari penyokong di kalangan perwakilan Umno di negeri ini untuk mencapai impiannya menjadi Timbalan Perdana Menteri," ujarnya.

Bagaimanapun beliau menyambut baik tindakan dilakukan Mohd Ali dan mendoakan semoga diberi hidayah oleh Allah Taala supaya kembali ke landasan Islam sebenar. - mj _

Read More...

Harga minyak mungkin turun lagi, syor minimum RM1.80

Kosmo Online

PULAU PINANG - Harga runcit petrol dan diesel dijangka turun lagi dalam masa terdekat selaras dengan penurunan harga minyak mentah di pasaran global, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad.

Beliau berkata, pada masa ini terdapat ruang untuk menurunkan harga itu dan kerajaan selalunya mengadakan semakan terhadap harga bahan api itu pada awal atau pertengahan bulan sebelum membuat sebarang pengumuman.

"Insya-Allah ada ruang untuk turunkan lagi harga itu dalam masa terdekat.

"Maknanya sekarang dah dekat nak sampai (masa) kepada penurunan harga itu," katanya ketika melancarkan kempen Penurunan Harga oleh pasar raya Sunshine di Bayan Baru di sini.

Pada 3 Disember lepas, kerajaan mengumumkan penurunan harga petrol dan diesel sebanyak 10 sen seliter, dengan petrol RON97 kini dijual pada harga RM1.90 seliter daripada RM2 seliter dan RON92 kepada RM1.80 seliter daripada RM1.90 seliter, manakala diesel dijual pada harga RM1.80 seliter daripada RM1.90 seliter.

Read More...

Bayi dibuang dalam lubang tandas awam

Berita Harian

Oleh Zuliaty Zulkiffli
bhnews@bharian.com.my


BAYI yang ditemui dalam keadaan tali pusatnya terbelit pada leher, manakala sebahagian punggungnya terperosok dalam lubang tandas kini mendapat rawatan di Hospital Jitra.

CHANGLUN: Berpantang maut sebelum ajal. Begitulah nasib seorang bayi lelaki yang ditemui masih hidup selepas dibuang dalam lubang tandas awam di pasar basah Perkampungan Tradisi, Lembah Keriang dekat sini, semalam.

Bayi seberat 2.4 kilogram itu ditemui dalam keadaan tali pusatnya terbelit pada leher, manakala sebahagian punggungnya terperosok dalam lubang tandas.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Sawaludin Hamenudin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai penemuan bayi itu dan siasatan sedang dijalankan.

Sementara itu, seorang penduduk, Rofidah Md Noor, 45, berkata beliau terkejut apabila dimaklumkan mengenai penemuan bayi itu oleh seorang lelaki berusia 30-an, kira-kira jam 10 pagi.

“Sebaik dimaklumkan, saya bergegas ke tandas dan mengambil bayi itu sebelum membalut badannya dengan surat khabar.

“Ketika ditemui, bayi itu dalam keadaan lemah dan sedang menghisap jari dipercayai lapar, manakala kakinya lebam,” katanya.

Rofidah percaya bayi itu baru dilahirkan berdasarkan kesan darah dalam tandas berkenaan.

Bayi itu dibawa ke Pusat Kesihatan Changlun sebelum dipindahkan ke Hospital Jitra untuk rawatan lanjut.

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |