+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, May 15, 2008

Mad Said Tak Tahu Kenapa Kos Menaiktaraf LTSM Menjadi RM 530 Juta

Buletin Online


PDF Cetak E-mail
Ditulis oleh SM Noor
Thursday, 15 May 2008

The image “http://buletinonline.net/images/berita5/airportrunaways.jpg” cannot be displayed, because it contains errors.

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Mad Said tidak tahu dan mempersoalkan mengapakah kos menaiktaraf landasan terbang Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) menjadi RM 530 juta

Beliau berkata pada awal perbincangan dengan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) kos tersebut adalah RM 300 juta sekiranya landasan tersebut dipanjangkan di daratan dan sekiranya landasan terbang dipanjangkan kearah laut, kos menjadi lebih murah kira-kira RM 200 juta.

”Dalam perbincangan pada awal tahun lalu, diberitahu kos tersebut meningkat kepada RM 250 juta,

“kita (kerajaan negeri) menerima dan bersetuju dengan kos tersebut,
”tiba-tiba dua bulan yang lalu diberitahu bahawa kos tersebut menjadi RM 530 juta.” kata Mad Said.

Beliau berkata sekiranya projek tersebut diputuskan oleh kerajaan negeri kemungkinan ia boleh dikurangkan dan kos menjadi lebih murah, namun ia diluar kuasa kerajaan negeri kerana projek tersebut dilaksanakan oleh kerajaan pusat.

Mad Said mengatakan demikian apabila ditanya oleh pengacara didalam rancangan Bersama Menteri yang disiarkan oleh RTM malam ini.

Sehubungan dengan itu, menurut beliau, itulah antara sebab-sebabnya mengapa tuntutan royalti minyak supaya kembali kepada kerajaan Terengganu dibuat.

Beliau menegaskan bahawa tuntutan royalti yang sedang dibuat akan diselesaikan melalui rundingan dengan pihak kerajaan pusat.

“Sebenarnya 10% yang dibayar oleh Petronas, 5% diberikan kepada kerajaan pusat dan 5% kepada kerajaan negeri,
”InsyaAllah saya akan berunding dengan Perdana Menteri dan menyelesaikan tuntutan ini dengan sebaik-baiknya.” jelas Mad Said.

Berkaitan dengan isu Monsoon Cup, beliau telah menerima makluman dari pengendali sukan tersebut T-Best yang mengatakan bahawa penganjuran perlumbaan perahu layar tersebut adalah RM 20 juta setahun.

Makluman ini berbeza dengan penjelasan Exco Belia dan Sukan Negeri, Rahin Said yang menjelaskan dalam Sidang DUN baru-baru ini, bahawa kerajaan mengadakan perbelanjaan RM 4 juta setahun untuk penganjuran tersebut.

Apabila pengacara menegur bahawa kos RM 20 juta setahun bagi menganjurkan Monsoon Cup juga adalah banyak, Mad Said memberi respon ia akan menjadi lebih murah sekiranya dianjurkan sendiri oleh kerajaan negeri.

Menjawab satu cadangan yang dihantar melalui SMS oleh Wan dari Kerteh, supaya pembinaan masjid dihentikan kerana masjid yang sedia ada tidak cukup imam dan bilal, Mad Said menyatakan pembinaan masjid tidak akan dihentikan walaupun negeri Terengganu kekurangan Imam dan Bilal.

”Perlantikan Imam dab bilal akan dibuat dari masa ke semasa, kita sedang membuat temuduga untuk menambahkan imam dan bilal,
”kita rasakan memang ada juga masalah dari segi pengisian Imam dan Bilal apatah lagi yang melibatkan masjid-masjid mukim dan juga masjid-masjid kerajaan,” tambah beliau

Read More...

Pemuda PAS: Pecahkan monopoli Bernas

Malaysiakini

Siti Nurul Zahra Hamdan | May 15, 08 1:54pm

Pemuda PAS mahu monopoli Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dipecahkan agar wujud persaingan dalam pengedaran beras bagi kepentingan nasional.

"Biarlah jangan ada monopoli supaya adanya persaingan yang kompetitif," kata ketuanya Salahuddin Ayub.

"Saya tidak keberatan jika saham itu dibuka untuk pihak luar, namun perlulah ia ditadbir dengan baik."

Salahuddin diminta mengulas perkembangan sebuah syarikat asing yang sedang menguasai kira-kira 30 peratus saham dalam Bernas.

"Hal ini telah pun dibentangkan di parlimen dalam usul saya dan (perkara) ini telah pun membuka mata ramai pihak," katanya, yang juga ahli parlimen Kubang Kerian kepada Malaysiakini.

Perkara itu telah disuarakannya dalam satu usul tergempar di Dewan Rakyat minggu lepas.

Wang Tak Co Ltd, sebuah syarikat yang berpangkalan di Hong Kong, sejak awal tahun lepas dilaporkan sedang menguasai saham Bernas sehingga lebih 25 peratus.

Syarikat tunggal pengedaran beras negara itu asalnya sebuah agensi kerajaan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) yang diswastakan pada 1996.

Sementara angkatan muda (AMK) PKR pula mahu Bernas dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan supaya kepentingan nasional dapat dilindungi.

Timbalan ketua AMK Fariz Musa berkata kerajaan seharusnya membeli semula pegangan kira-kira 30 peratus saham syarikat pengedar tunggal beras negara itu yang kini berada di tangan syarikat asing.

"Seharusnya Bernas tidak diswastakan dan seharusnya dimiliki oleh kerajaan sepenuhnya," katanya.

"Saham yang dimiliki oleh pihak luar itu harus diambil kembali supaya kepentingan rakyat dapat dilindungi."

Read More...

Pejabat DAP Perak dilontar bom petrol awal pagi ini

Harakahdaily

Thu | May 15, 08 | 12:33:47 pm MYT

IPOH, 15 Mei (Hrkh) - Bernama melaporkan ibu Pejabat DAP Perak di Bandar Ipoh Raya di sini dilempar bom petrol oleh dua lelaki awal pagi ini menyebabkan dua letupan kuat berlaku.

Kejadian pada pukul 2.20 pagi tadi disedari oleh seorang pengawal keselamatan Ammeri Ahmad, 45, yang ketika itu bertugas di sebuah sekolah berhampiran pejabat itu yang kemudian menghubungi pihak polis.

Tidak ada sebarang kecederaan dilaporkan. Dua tingkap pejabat itu mengalami kerosakan.

Ketika ditemui, Ammeri berkata beliau melihat dua lelaki melemparkan sesuatu ke tingkap atas pejabat itu menyebabkan dua letupan kuat berlaku. Katanya apabila beliau menghampiri pejabat berkenaan, dua lelaki itu melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal.

Pengerusi DAP Perak Dato' Ngeh Koo Ham menganggap kejadian itu bermotif politik dan berharap polis membuat siasatan rapi.

"Ia merupakan satu cubaan untuk membakar pejabat DAP yang dipercayai dilakukan oleh mereka yang ada unsur khianat kepada parti," katanya ketika melawat pejabat itu pagi ini.

Ngeh, yang juga Anggota Exco Kanan Negeri, meminta masyarakat menghormati kerajaan campuran DAP, PKR dan PAS yang kini memerintah Perak kerana ia adalah pilihan rakyat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh Supt Idris Abdullah ketika dihubungi berkata siasatan sedang dijalanan mengikut Seksyen 435 kerana khianat dengan api atau benda letupan dengan niat menyebabkan kerosakan.

"Belum ada tangkapan dibuat," katanya.

Anggota Bomba dan Penyelamat Ipoh dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima maklumat kejadian pada pukul 3 pagi. - mr

Read More...

Kos Sebenar Pembinaan Putrajaya RM11,831 Juta

Bernama


KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata kos sebenar bagi pembinaan Putrajaya, pusat pentadbiran baru kerajaan pusat sehingga ini adalah RM11,831 juta.


Beliau berkata ia meliputi pembangunan pejabat-pejabat kerajaan, kuarters kerajaan, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan rumah kediaman rasmi Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri-Menteri dan Hakim.

"Selain itu, ia juga turut meliputi pembangunan infrastruktur seperti terowong, jalan, jambatan, menara selain kemudahan awam seperti taman, dataran dan tasik," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Liew Chin Tong (DAP-Bukit Bendera) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari Rabu.

Abdullah berkata pembinaan bangunan pejabat-pejabat kerajaan di Putrajaya dibuat secara penswastaan melalui kaedah bina, pajak dan pindah.

Beliau berkata melalui kaedah ini, Putrajaya Holdings menggunakan pembiayaan sendiri untuk membina pejabat-pejabat kerajaan itu secara berperingkat di atas tanah kerajaan. "Kerajaan menyewa bangunan tersebut dalam tempoh konsesi selama 25 tahun dengan kadar bayaran bulanan yang telah ditetapkan iaitu bermula dengan RM2.50 sekaki persegi.

"Pada akhir tempoh konsesi, bangunan-bangunan ini akan dipindahkan kepada kerajaan tanpa lain-lain bayaran," katanya.

Abdullah berkata bangunan kerajaan mula diduduki secara berperingkat oleh kementerian dan jabatan kerajaan apabila bangunan-bangunan yang diperuntukan kepada mereka siap.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata jumlah sewa tahunan yang dibayar kerajaan kepada Putrajaya Holdings Sdn. Bhd. pada tahun 2007 ialah RM929.7 juta manakala pada tahun 2006 ialah RM878.1 juta.

"Pada tahun 2005, kerajaan membayar RM732.0 juta kepada mereka dan pada tahun 2004 sebanyak RM434.0 juta," katanya.

-- BERNAMA


Read More...

‘Orang Ini Tak Bernilai Satu Sen’ - Saifudin sangkal Rahman Dahlan

Suara Keadilan

Khamis, 15 Mei 2008

KUALA LUMPUR, 15 MEI (SK)- KeADILan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Ahli Parlimen BN Kota Belud, Abdul Rahman Dahlan bahawa beliau ditawarkan wang lumayan untuk menyertai Pakatan Rakyat.

Ahkbar hari ini menyiarkan kenyataan Abdul Rahman bahawa wang yang ditawarkan kepada beliau cukup untuk ‘bersenang lenang untuk tiga generasi’.

Menurut Pengarah Strategik KeADILan, Saifuddin Nasution Ismail, Pakatan Rakyat tidak pernah menawarkan sebarang imbuhan kepada mana-mana Ahli-ahli Parlimen yang ingin menyertai pakatan itu.

“Mereka yang ingin menyertai kami kerana setuju dengan agenda rakyat yang kami perjuangkan, bukan kerana wang. Kami menafikan sekeras-kerasnya tuduhan Abdul Rahman,” kata Saifuddin.

“Malah kalau pun, katakanlah kami bersetuju dan ada niat untuk menawarkan wang, Abdul Rahman tidak bernilai satu sen,” kata Saiduddin dengan nada sinis.

Read More...

Habuan tinggi paling tadah

Berita Harian

Oleh Azman Zakaria, Abdul Halim Yusoff, Zainab Mohd Yatim dan Norliza Wasilan


Datuk Abdul Rahman Dahlan

Pakatan Rakyat janji ganjaran lumayan, jawatan jika YB BN lompat parti

KUALA LUMPUR: Pembangkang yang terdesak untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN), sanggup menawarkan ganjaran besar sehingga boleh memberi kesenangan hidup kepada dua tiga generasi keluarga Ahli Parlimen yang berpaling tadah.

Malah, jumlah wang yang ditawarkan dijangka berlipat ganda dalam masa terdekat bagi merealisasikan impian Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk membentuk kerajaan sebelum 16 September.


Perkara itu didedahkan Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan, manakala Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Anifah Aman dan Datuk Bung Mokhtar Radin (Kinabatangan) turut mengaku dipujuk supaya melompat ke parti pembangkang.


Abdul Rahman berkata, beliau menerima beberapa panggilan dan dikunjungi 'duta kecil' pembangkang minggu lalu serta minggu sebelumnya, yang cuba memujuknya menyertai Pakatan Rakyat dan dijanjikan sejumlah wang serta kedudukan dalam kerajaan.

Ditanya sama ada tawaran itu berjumlah jutaan ringgit, beliau berkata: "Tekaan anda adalah seperti tekaan saya. Kalau saya ambil saya akan senang dua tiga generasi."

Datuk Anifah Aman

Bagaimanapun, beliau menolak tawaran itu kerana parti pembangkang tidak boleh dipercayai.

"Mereka selalu mendabik dada menjadi kerajaan kelas pertama yang tidak mempunyai unsur rasuah, tapi pada masa sama memberi rasuah wang dan jawatan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, semalam.

Sebelum ini, pembangkang yang menang 82 daripada 222 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum lalu, mendakwa 30 Ahli Parlimen BN, kebanyakannya dari Sabah akan menyertai mereka bagi membolehkan Pakatan Rakyat membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

Desas-desus itu semakin kuat apabila Ahli Parlimen Batang Sadong, Sarawak, Nancy Shukri pada 23 Mac lalu mengakui dihubungi orang dikenali dari Sabah yang mengajaknya menyertai pakatan pembangkang atas alasan kedua-dua negeri itu tidak diberi tempat sewajarnya dalam Kabinet baru.

Datuk Bung Mokhtar Radin

Lima hari sebelum itu, Anifah dan Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar, menolak jawatan timbalan menteri selepas disenaraikan dalam Kabinet baru Persekutuan.

Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh pula meletak jawatan sebagai Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar atas alasan peribadi. Bagaimanapun, semua mereka menafikan akan menyertai pembangkang.

Isu berkenaan reda selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah

Badawi melawat Sarawak dan Sabah pada Mac dan bulan lalu, tetapi spekulasi itu kembali hangat sejak beberapa hari lalu selepas Anifah dan Abdul Ghapur pada sidang Dewan Rakyat menegur Kerajaan Pusat yang didakwa tidak memberi perhatian sewajarnya kepada Sabah.

Mengulas lanjut tindakan pembangkang itu, Abdul Rahman berkata ia adalah hipokrasi terbesar di dunia dan Anwar tidak boleh dipercayai.

"Mereka tanya mahukah saya mengorak sejarah dalam negara untuk tumbangkan rasuah, tapi saya kata cara ini (menawarkan wang dan jawatan) pun korup," katanya.

Mengenai kenyataan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee kelmarin yang mahu BN segera menangani isu berkaitan Sabah bagi mengelak wakil rakyat melompat parti, Abdul Rahman berkata:

"Saya setuju dengan Yong yang mempunyai niat baik meminta Kerajaan Persekutuan melihat keluhan rakyat Sabah. Saya pasti tuntutan yang diminta itu akan difikirkan oleh Perdana Menteri."

Bagaimanapun, katanya, Abdullah perlu diberi masa kerana pilihan raya baru dua bulan setengah berlalu.

"Untuk beri keadilan, berilah masa. Tiada yang boleh dibuat dalam sekelip mata," katanya yang percaya Perdana Menteri akan menjelaskan mengenai perkara itu ketika sekali lagi melawat Sabah akhir bulan ini.

Anifah yang ditemui di lobi Parlimen turut mengakui menerima banyak tawaran, tetapi tidak mengendahkannya.

"Yang penting masalah rakyat Sabah mesti diambil berat, yang saya kisah pada masa ini adalah untuk mengutarakan hal bagi kepentingan rakyat," katanya.

Anifah berkata, tindakannya membangkitkan masalah rakyat Sabah di Parlimen disalah anggap kononnya beliau mahu melompat ke parti pembangkang.

"Ini disalah anggap. Adalah lebih baik untuk saya suarakan masalah rakyat Sabah kerana jika tidak, rakyat akan tanya apa yang kita lakukan untuk mereka.

"Apa yang kita mahu ialah kerajaan memberi perhatian, tetapi malangnya ia diketepikan. Isu kita tidak diberi tumpuan tapi timbul isu lompat melompat pula.

"Jangan bimbang mengenai kita akan lompat parti, tapi bimbang rakyat yang akan melompat (sokong parti pembangkang). Kalau masalah rakyat diambil berat, soal lompat tidak akan timbul," katanya.

Bung Mokhtar juga mengakui didatangi pembangkang yang bertanya sama ada berminat untuk melompat parti, tidak lama selepas pilihan raya umum lalu di Sabah.

Bagaimanapun, katanya, tiada tawaran wang atau jawatan dibuat dan tiada perjumpaan susulan kerana beliau menyatakan tidak berminat bertukar parti.

Abdul Ghapur pula berkata, sesiapa saja boleh melompat parti jika mahu berbuat demikian jika tidak berpuas hati, tetapi beliau tidak akan berbuat demikian.

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali menafikan parti itu menawarkan wang, sebaliknya hanya menjanjikan pakej kemudahan pendidikan dan projek pembangunan untuk Sabah dan Sarawak.

Beliau mendakwa ini adalah masa terbaik untuk bersama pembangkang bagi memajukan Sabah dan Sarawak.

Read More...

Bernas Kata Kekurangan Beras Dalam Negara 'Disengajakan'

Bernama

KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Padiberas Nasional Berhad (Bernas) hari Rabu berkata masalah kekurangan bekalan beras di dalam negara sekarang adalah "disengajakan".

Bernas, badan induk yang mengawal industri beras Malaysia, berkata antara sebab bagi kekurangan itu ialah kawalan yang dilakukan oleh pihak tertentu yang mahu mengaut keuntungan daripada kenaikan harga beras antarabangsa dengan hanya menawarkan beras SST (Super Special Tempatan) daripada gred S15 (yang mengandungi 15 peratus beras hancur).

Kenaikan harga beras antarabangsa juga menyebabkan pengilang tempatan membuat spekulasi bahawa harga beras tempatan juga akan naik, dengan itu mewujudkan persaingan untuk memperoleh padi.

Harga padi di Selangor kini sekitar RM1,000 satu tan metrik.

"Sebenarnya tiada kekurangan bekalan beras di dalam negara kerana pengeluaran padi tempatan kekal stabil dan Bernas telah mengimport lebih banyak iaitu kira-kira 221,421 tan metrik dari Januari hingga April tahun ini," kata seorang pegawai Beras pada taklimat kepada media. Kekurangan beras gred S15 yang lebih murah berlaku kerana hanya Bernas mengeluarkan dan mengawal harga gred S15.

"Secara keseluruhannya, kenaikan harga beras gred lain membawa kepada peningkatan permintaan bagi gred beras yang harganya dikawal. Pengeluar mee hoon dan produk berasaskan beras yang lain juga bertukar menggunakan gred beras yang harganya dikawal kerana lebih murah," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Bernas Bakry Hamzah berkata disebalik kenaikan harga beras antarabangsa (yang kini kira-kira US$1,000 atau RM3,240 bagi satu tan metrik), Bernas masih menjualnya pada harga RM1,450 satu tan metrik kepada pemborong.

Walaupun keadaan itu menyebabkan kerugian, syarikat akan mengekalkan harga rendah supaya harga runcit tempatan tidak terjejas teruk oleh pergerakan harga di pasaran antarabangsa.

Katanya Bernas mampu berbuat demikian kerana ia membuat belian hadapan dan mengekalkan stok lebih daripada cukup. Bakry berkata keputusan kerajaan untuk membenarkan harga beras import diapungkan dalam pasaran tempatan akan membolehkan syarikat itu mendapatkan semula keuntungan.

Malahan dengan langkah itu, beliau yakin Bernas masih dapat menjual beras import kepada pemborong di bawah harga pasaran.

Bakry berharap pengilang swasta akan membantu memastikan bekalan mencukupi di pasaran untuk membantu menstabilkan keadaan.

Beliau juga menyambut baik langkah kerajaan untuk mencapai tahap sara diri yang lebih baik daripada 72 peratus sekarang kepada 86 peratus pada 2010 dan berharap satu hari nanti Malaysia mampu mencapai tahap sara diri 100 peratus dalam pengeluaran beras.

Katanya Bernas mungkin terbabit dalam penanaman padi di masa depan.

-- BERNAMA


Read More...

'YB lain usah sibuk jawab bagi pihak Pak Lah' - Ghapur

Berita Harian

AHLI Parlimen Kalabakan, Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh memberi amaran kepada wakil rakyat yang lain supaya tidak mempersoalkan keikhlasan Ahli Parlimen dari Sabah terhadap Barisan Nasional (BN) dan berhenti bertindak bagi pihak kerajaan dalam menjawab sebarang isu mengenai Sabah.

Sambil membidas Datuk Mohamed Abdul Aziz (BN-Sri Gading) mengenai kenyataan beliau mengenai Ahli Parlimen Sabah ketika membahaskan usul terima kasih terhadap titah diraja semalam, Abdul Ghapur berkata, sepatutnya dalam BN, Ahli Parlimen tidak patut mencabar satu sama lain.

"Sri Gading masih berpemikiran penjajah, tidak terbuka. Apa yang saya titik beratkan ialah kita mahu BN diperbaiki, saya bercakap mengenai Sabah, pembangunannya, mengenai masalah pendatang tanpa izin...kenapa orang lain mahu mencabar kami," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen di sini, semalam.

Kelmarin, Mohamed menasihatkan wakil BN Sabah supaya tidak mempertikaikan pelantikan menteri oleh pucuk pimpinan dan jangan bongkak dengan kemenangan mereka pada pilihan raya umum lalu.

Abdul Ghapur berkata, setiap pandangan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Sabah di Parlimen ialah untuk menyuarakan kebimbangan rakyat, terutama isu pembangunan dan pendatang tanpa izin.

"Jangan salahkan kami (membangkitkan itu) sebab kalau salahkan kami, penduduk Sabah mendesak kami berhenti daripada parti," katanya. Abdul Ghapur berkata, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi patut diberi masa menangani masalah di Sabah.

"Tak apa... Pak Lah mungkin sedang memikirkannya, tetapi jangan tanya Sri Gading (Mohamed) untuk menjawabnya pada kami," katanya.

Sementara itu, Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Shafie Apdal menolak tanggapan Ahli Parlimen dari Sabah yang membidas kerajaan Pusat pada sidang Dewan Rakyat sebagai antiperpaduan dan anti-Semenanjung.

Katanya, mereka (Ahli Parlimen Sabah) hanya inginkan pendapat atau pandangan mereka diberi perhatian serta mendapat tindakan sewajarnya dari Kerajaan Pusat.

"Ahli Parlimen dari Sabah bukan hendak bergaduh, cuma membangkitkan masalah yang timbul. Ini tidak boleh dijadikan tanggapan mengatakan Ahli Parlimen Sabah tidak suka perpaduan dan anti-Semenanjung.

"Ia bukan jalan memecah belahkan perpaduan. Apa yang mereka minta ialah lebih banyak pembangunan di Sabah," katanya.

Mengenai keluhan pembahagian portfolio menteri yang kurang penting kepada Sabah, Shafie berkata: "Kita sudah biasa dalam keadaan ini. Apa yang diberi, kita terima." � Bernama

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |